.: Konvensyen Hak Kanak-Kanak :.

 

Konvensyen ini telah diterima pada tahun 1989, menandakan kemuncak kerja advokasi selama lebih enam dekad beberapa kumpulan orang tertentu dan konsensus kerajaan-kerajaan dunia. Konvensyen ini adalah dokumen paling komprehensif yang menetapkan prinsip-prinsip etika dan norma-norma tingkah laku antarabangsa terhadap kanak-kanak. Kanak-kanak adalah lahir dengan hak asasi semua manusia.

Pengharapan

Setiap generasi baru memberi harapan kepada umat manusia. Jika kelangsungan hidup dan perkembangan kanak-kanak dapat dipastikan, jika kanak-kanak dilindungi daripada bahaya dan exploitasi dan mereka berkemampuan ikut serta mengambil keputusan dalam segala hal yang mengaitkan mereka, tertubuhlah asas bagi satu masyarakat yang adil yang kita kehendaki dan yang patut diterima oleh kanak-kanak.

PRINSIP-PRINSIP YANG DIGARISKAN

Tidak ada diskriminasi
Semua hak dikenakan kepada semua kanak-kanak tanpa mengira bangsa, warna, jantina, bahasa, agama, pendapat politik, asal negara, etnik atau masyarakat, harta, ketidakupayaan, kelahiran atau tarafnya atau ibu bapa/penjaganya.

Kepentingan terbaik kanak-kanak
Pertimbangan utama dalam segala hal ialah kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak.

Hak untuk hidup dan berkembang
Kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan berkembang dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk aspek jasmani, emosi, psiko-sosial, kognitif, sosial dan kebudayaan.

Ikut serta
Kanak-kanak hendaklah dibolehkan ikut serta secara aktif dalam segala hal yang melibatkan kehidupan mereka dan bebas untuk memberi pendapat. Mereka mempunyai hak untuk didengar dan diambil peduli secara serius.

DEFINISI

Siapa dia kanak-kanak?
Mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, nelainkan jika undang-undang menyatakan usia dewasa kurang daripada 18 tahun.

KATEGORI HAK

Hak kepada kesihatan dan kebajikan asas

  • Hidup dan berkembang

  • Taraf kehidupan yang memadai

  • Taraf kesihatan yang paling tinggi yang dapat dicapai dan perkhidmatan kesihatan yang berkesan

Hak kepada pembelajaran, aktiviti masa lapang dan kebudayaan

Pembelajaran yang dapat mengembangkan sahsiah, kebolehan bakat, mental dan fizikal ke tahap yang paling tinggi, yang menggalakkan rasa hormat kepada keluarga, identiti kebudayaan dan bahasa. Pembelajaraan yang dapat menyediakan kanak-kanak untuk menghadapi kehidupan sebagai seorang dewasa yang lengkap dan aktif.

Hak kepada perlindungan khusus

  • Hak untuk dilindungi dalam keadaan darurat seperti pertempuran bersenjata

  • Apabila kanak-kanak dalam keadaan berkonflik dengan undang-undang.

  • Dalam situasi kanak-kanak dieksploitasi seperti dijadikan buruh, penyalahgunaan dadah, eksploitasi atau penderaan seksual, penjualan, perdagangan dan penculikan.

  • Hak untuk dilindungi dari diskriminasi dalam apa jua bentuk

Hak sivil dan kebebasan

  • Hak untuk memilki nama dan kewarganegaraan

  • Kebebasan memberi pandangan, pendapat, suara hati dan agama (dengan menghormati hak-hak dan tanggungjawab ibu bapa dan penjaga).

  • Hak untuk bergabung dan berkumpul secara aman (dengan menghormati hak-hak dan reputasi orang-orang lain atau bagi perlindungan keamanan kebangsaan atau ketenteraman awam atau kesihatan awam atau moral).

  • Perlindungan daripada penyeksaan atau perlakuan atau hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan

RINGKASAN HAK UTAMA

  • Hak untuk hidup.

  • Hak kepada permakanan yang cukup, badan yang sihat dan aktif.

  • Hak untuk memiliki nama dan kewarganegaraan.

  • Hak untuk diberi perlindungan terhadap penganiayaan, eksploitasi, pengabaian, keganasan dan bahaya.

  • Hak untuk melahirkan pandangan dan diberikan pertimbangan sewajarnya menurut umur dan kedewasaan.

  • Hak menerima maklumat (lisan, bertulis atau bercetak) terutamanya yang bermaksud untuk menggalakkan kesejahteraan sosial, keagamaan dan moral dan kesihatan jasmani dan mental kanak-kanak.

  • Hak kanak-kanak yang kehilangan upaya kepada perubatan, penjagaan dan pembelajaraan yang khusus untuk memastikan maruah diri, menggalakkan kepercayaan diri dan memudahkan kanak-kanak ikut serta secara aktif dalam masyarakat.

  • Hak untuk tidak dipisahkan daripada ibu bapa (melainkan difikirkan mustahak demi kesejahteraan kanak-kanak itu).

  • Hak untuk dijaga (ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan keadaan hidup yang perlu bagi perkembangan kanak-kanak itu, mengikut kemampuan dan keupayaan mereka).

  • Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang utama dalam mengasuh kanak-kanak tetapi pihak Kerajaan hendaklah memberikan bantuan yang bersesuaian dalam hal pelaksanaan tanggungjawab ini dan memastikan perkembangan institusi-institusi yang bersesuaian.

  • Pendidikan rendah hendaklah diberikan percuma dan wajib untuk semua. Pelbagai pendidikan menengah hendaklah disediakan. Pendidikan tinggi dapat diperolehi dengan mudah berdasarkan keupayaan. Disiplin dikenakan dengan mengambil kira maruah kanak-kanak.

  • Hak untuk berehat dan bermain dan mempunyai peluang yang sama bagi aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian.

  • Bagi kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang, ia mempunyai hak untuk dilayan dengan cara yang selaras dengan penggalakan martabat dan harga dirinya dan mempunyai hak kepada beberapa jaminan termasuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya; diberikan bantuan guaman dan bantuan lain yang bersesuaian dan berhak kepada privasinya dengan sepenuhnya dalam semua peringkat prosiding.

  • Hak tidak boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup tanpa kemungkinan dibebaskan.

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]