
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat
(JAPEM) telah mengadakan majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui
peruntukan JAPEM kepada 6 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir,
kebakaran rumah dan rumah roboh. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, bangunan
KKBS.
Hadir menyampaikan bantuan kewangan tersebut ialah Yang Mulia Dayang Mirany Floridzah
binti Abdul Rahman, Pemangku Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada empat(4) orang ketua keluarga yang terlibat
dalam kejadian banjir, seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran dan
seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh.

Sebuah rumah milik Haji Othman bin Ibrahim di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung
Telisai, Daerah Tutong telah mengalami kerosakan di sebahagian sudut rumah dalam kejadian
kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober 2022 kira-kira pukul 1.45 pagi. Salah seorang penghuni
rumah mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tangan dan telah dirawat segera oleh
pasukan paramedik di tempat kejadian.
Empat buah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau dan sebuah rumah
di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara yang dimiliki oleh Hajah Alimah binti Awang
Haji Ahad, Awang Tan Chia Chun, Ameliani binti Haji Emran dan Dayang Chee binti Jemat telah
dimasuki air yang melebihi paras satu kaki. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan
tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian berlaku pada 4 September 2022 dan 8
Oktober 2022.

Manakala mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Saba Ujong, Daerah Brunei dan Muara
juga dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Rumah milik Dayang
Sarinah binti Haji Mohamad roboh pada 6 Oktober 2022 dan akibat kejadian itu rumah beliau
tidak selamat untuk didiami lagi.
Kesemua mangsa-mangsa bencana menerima bantuan kewangan kerajaan hari ini untuk
meringankan kesusahan yang dialami demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini
menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk
yang mengalami musibah.