Merujuk kepada isu tular melalui media sosial Instagram, Facebook, Whatsapp dan
Reddit dengan tajuk “Penjawat Awam Berkongsi dan Mempersendakan
Permohonan Perumahan Kerajaan”, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa dakwaan individu bekerja di
JAPEM adalah tidak benar.
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk berhati-hati, tidak mudah terpedaya dan
mempercayai maklumat-maklumat atau spekulasi yang disebarkan melalui aplikasi
sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Jabatan ingin memberikan
kepastian bahawa keselamatan data permohonan-permohonan yang diterima
melalui Jabatan ini adalah sentiasa menjadi keutamaan dengan memastikan ianya
terjaga, selamat dan dilindungi serta proses-proses permohonan akan dijalankan
berdasarkan tatacara dan prosedur sepertimana yang telah ditetapkan oleh jabatan
ini. Pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat juga adalah terikat
dengan Akta Rahsia Rasmi (Bab 5 Penggal 153) mengenai Kerahsiaan Maklumat
Kerajaan.
Jabatan Pembangunan Masyarakat sangat memandang serius terhadap isu
dakwaan yang tidak berasas dan perkara ini juga telah dilaporkan kepada pihak
berkuasa. Jabatan Pembangunan Masyrakat juga turut mengingatkan orang ramai
bahawa perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan
direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi
kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam,
Penggal 148 (Public Order Act, Cap 148) Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada
menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan
laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan
ketenteraman awam terganggu boleh dipenjarakan tiga (3) tahun atau denda
sebanyak BND3,000 atau kedua-duanya sekali.