Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan daripada Bekas-bekas
Penuntut Tingkatan 4, Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOASC) tahun 1975 bagi
Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 bertempat di bangunan
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pagi ini.
Sumbangan derma tersebut telah disampaikan oleh YM Pengiran Dato Paduka Haji Abd
Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail, Pengerusi Bersama
Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Penuntut Tingkatan 4, SOASC tahun 1975 yang
berjumlah Empat Ribu Empat Ratus Lima Puluh (BND 4,450.00).
Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan daripada Majlis Perkumpulan Jubli Emas bagi
Jawatankuasa Sambutan 50 Tahun Penuntut Tingkatan 4, SOASC tahun 1975 yang
telah diadakan pada 27 April 2025.
Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah YM Dayang Hajah
Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan dan YM Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh,
Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis dan bekas -
bekas penuntut SOASC tahun 1974.

Tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 telah
dilanjutkan selama enam bulan lagi, iaitu sehingga 18 Oktober 2025 bagi memberi
peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan
derma kepada rakyat Palestin di Gaza.
Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan
hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan
Masyarakat selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan
Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada
tabung berkenaan. Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin
menderma sebahagian sahaja dari hasil kutipan bersih yang diperolehi dari
mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk
memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh
menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD),
nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza
2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas Kod QR yang
boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan
Rakyat Palestin di Gaza 2023.
Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat,
bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam
di seluruh negara. Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus
kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di Bahagian
Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat,
bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar
Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.