
Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan mengadakan
mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan persediaan-persediaan bagi
menyambut Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) kali ke-tiga belas yang berlangsung di
Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nor
Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji
Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang
Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah)
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Dalam ucapan alu-aluan Pengerusi Bersama, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji
Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan menyatakan bahawa pada tahun ini sambutan HKK terus diraikan sebagai
komitmen negara dalam usaha mendukung pembangunan sosial ke arah
pembangunan masyarakat yang mampan dan sejahtera. Sambutan HKK ini
dihasratkan dapat memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap
pentingnya mengukuhkan institusi keluarga sebagai asas penting dalam
pembentukan identiti, nilai dan harapan masa depan sesebuah negara. Ini kerana
pembangunan keluarga juga merupakan elemen yang penting dalam mencapai
Wawasan Brunei 2035, yang bertujuan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam
sebagai sebuah negara yang memiliki kualiti hidup terbaik di dunia, setaraf dengan
negara-negara maju, yang berfokus pada peningkatan kualiti kehidupan semua
penduduknya.

Beliau juga mengongsikan bahawa tema Sambutan HKK pada tahun ini yang jatuh
pada setiap Hari Ahad pertama pada bulan Mei ialah ‘Keluargaku Harapanku’,
manakala Fokus Sambutan ialah “Menerapkan Nilai-Nilai Teras Kekeluargaan Brunei:
Sayang-menyayangi; Tanggungjawab; Hormat-Menghormati; Pemedulian’ (Nilai-nilai
Teras Kekeluargaan Brunei; “Satu HaraPan”. Sambutan HKK juga selari dengan
aspirasi global melalui 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan juga selaras
dengan Social Blueprint Negara Brunei Darussalam, khususnya Aspirasi 2:
Memperkasa Keluarga yang Penyayang, Kukuh dan Berdaya Tahan. Matlamat dan
Aspirasi ini seterusnya disampaikan / didokong melalui Pelan-Pelan Tindakan di
bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) termasuklah Pelan Tindakan Institusi
Keluarga. Turut dikongsikan bahawa Pelan Tindakan Institusi Keluarga bagi tahun
2025-2029 telah pun diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam susulan dari
Mesyuarat MKIS ke 2-2024, dan akan dilancarkan pada tahun ini sebagai salah satu
inisiatif utama sambutan HKK tahun ini.
Selain itu, beliau juga mengongsikan bahawa Sambutan HKK pada tahun ini telah
diadakan pada hari Ahad, 4 Mei 2025. Acara tersebut dimulakan dengan Majlis
Kesyukuran yang diadakan pada 3 Mei 2025, Acara-acara bersempena HKK juga giat
dilaksanakan setiap minggu pada bulan ini oleh pelbagai pihak.
Beliau berharap dengan adanya dokongan dasar negara yang berorientasikan
keluarga serta Tema dan Fokus HKK, usaha memperkasa institusi keluarga dari segi
sosial, ekonomi dan rohani akan terus diperkukuhkan demi memastikan
kesejahteraan keluarga kekal sebagai teras dalam perancangan pembangunan
mampan negara.

Beliau juga mengalakkan setiap agensi-agensi kerajaan untuk mengadakan
sekurang-kurangnya satu (1) aktiviti/inisiatif bersempena Sambutan Hari Keluarga
Kebangsaan (HKK) pada tahun ini dan pada tahun-tahun seterusnya, dan bagi setiap
agensi untuk mengongsikan apa jua aktiviti/inisiatif berkenaan kepada Jabatan
Perdana Menteri.
Beliau juga mengharapkan agar semua pihak berganding bahu untuk sama-sama bekerjasama, dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan Hari Keluarga Kebangsaan untuk mencapai matlamat kita demi keharmonian keluarga dan pembangunan negara.
Turut hadir ke mesyuarat ini ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada
ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan persatuan
badan-badan bukan kerajaan.