Sebagai usaha untuk menyokong dan memeriahkan lagi sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas
2025 / kali ke-22 yang disambut setiap 1 Oktober, Negara Brunei Darussalam akan menyalakan lampu
berwarna kuning keemasan (gold) di beberapa buah tempat iaitu di Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali
Saifuddien (SHOAS) dan bangunan Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Penyalaan lampu di lokasi tersebut akan berlangsung selama dua malam, bermula pada 30 September
hingga 1 Oktober 2025, dari jam 7.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Inisiatif ini bukan sahaja
bertujuan untuk memperingati jasa-jasa warga emas dalam menyumbang kepada pembangunan
negara, tetapi juga sebagai memberi penghormatan dan penghargaan kepada warga emas.

Warna kuning keemasan (gold) dipilih sebagai warna tema rasmi Sambutan Hari Antarabangsa Warga
Emas bagi menunjukkan warga emas yang meniti usia emas, serta menggambarkan kekayaan
pengalaman dan sumber pengetahuan mereka yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda sebagai
panduan cara hidup.
Sebagai tanda sokongan dan penyertaan orang ramai dalam inisiatif ini, orang ramai digalakkan untuk
mengambil gambar lokasi-lokasi yang diterangi cahaya kuning keemasan dan memuat-naiknya ke
media sosial dengan menggunakan hashtag #HAWE2025. Diharapkan inisiatif ini memberi kesedaran
kepada masyarakat mengenai kepentingan menghargai, melindungi dan menyokong warga emas dalam
aspek kekeluargaan, penjagaan serta kesejahteraan dapat terus diperkukuhkan.