.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.

31 Januari 2009
BruNOz SUMBANGKAN DERMA KE TABUNG KEBAJIKAN KEBANGSAAN

Satu Penyampaian sumbangan derma kepada Tabung Kebajikan Kebangsaan telah diadakan pada petang tadi di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Sumbangan derma sejumlah BND$700.00 datangnya dari BruONz yang telah disampaikan oleh President BruNoz 2009, Faridah Dato Paduka Serbini kepada Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman.

BruNoz merupakan persatuan penuntut Brunei Darussalam yang belajar di Australia (Melbourne, Sydney, Brisbane) dan New Zealand.

 
31 Januari 2009
PUSAT BAHAGIA RAIKAN SAMBUTAN HARI LAHIR

Seramai 12 orang pelatih di Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara yang lahir dalam bulan Januari diraikan pada pagi tadi. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Sambutan dimulakan dengan persembahan tarian oleh pelatih Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara dan ikuti dengan nyanyian oleh sukarelawan di pusat berkenaan.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian cenderamata kepada kakitangan pusat berkenaan yang akan berpindah dan yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Acara kemuncak ialah persembahan Tarian Singa oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan.

Hidangan Nasi Biryani dan Kek Hari Jadi adalah sumbangan Doris Yap dan keluarga. Sementara itu sumbangan 'goodie bags' disumbangkan oleh Liew Peng Lim dan Dayang Hajah Kalbi binti Haji Puteh.

Para pelatih juga menerima 'Ang Paw' dari Lily Ng, Lien Wen Dev dan Steven Pang.

Pusat Bahagia mengalu-alukan sumbangkan orang ramai sama ada dalam bentuk material untuk sama-sama memeduli orang berkeperluan khas. Orang ramai yang ingin untuk membuat sumbangan boleh berhubung terus ke pusat berkenanan atau melalui talian 2331113 sewaktu pejabat.

 
28 Januari 2009
MANGSA BANJIR DAERAH BRUNEI MUARA TERIMA BANTUAN KEWANGAN

Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada mangsa-mangsa banjir yang berlaku pada 20 dan 21 Januari 2009 bagi Daerah Brunei Muara telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penyerahan bantuan berupa kewangan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat kepada seramai lebih kurang 233 pemilik rumah di Daerah Brunei Muara yang mana kediaman mereka terjejas oleh banjir dan telah membuat laporan ke JAPEM serta disahkan oleh penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong masing-masing.

Bantuan yang diberikan sekurang-kurangnya adalah bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir. Sehingga ke petang ini, JAPEM telah menerima laporan mengenai 420 buah rumah yang terjejas oleh banjir. Sehubungan dengan itu, kepada mangsa-mangsa banjir adalah dinasihatkan untuk melapor melalui penghulu-penghulu atau ketua-ketua kampong mereka masing-masing.

 
27 Januari 2009
B$50 RIBU DISUMBANGKAN KE TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN

Tabung Bantuan Kemanusiaan Rakyat Palestin hari ini menerima sumbangan sejumlah B$50,000.00.

Sumbangan derma tersebut datangnya daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Perhubungan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah  kepada Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Penasihat Bersama Tabung.

Derma yang diterima hari ini menjadikan jumlah kutipan tabung berkenaan sehingga kini B$61,000.00.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Tabung sekali lagi menyeru kepada orang ramai untuk sama-sama menyumbangkan derma sama ada terus kepada Urus Setia Tabung bertempat di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan atau melalui tabung-tabung yang telah ditempatkan di gedung-gedung perniagaan, masjid-masjid dan surau di seluruh negara.

 
22 Januari 2009
MANGSA BAREK ELEKTRIK DAN JKR GADONG TERIMA BANTUAN

Berikutan dari fenomena hujan lebat yang berterusan, beberapa buah tempat di negara ini mengalami  banjir kilat. Akibat dari bencana tersebut, beberapa kerugian dan kerosakan harta benda awam dan persendirian telah berlaku.

Sehubungan dengan itu, satu Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa-Mangsa Banjir  telah diadakan di kawasan Barek Elektrik dan JKR Gadong pada petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman.

Sumbangan bantuan berupa catuan makanan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Bantuan tersebut adalah menampung kehidupan seharian untuk seminggu.

 
14 Januari 2009
TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN DITUBUHKAN

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul derma berbentuk kewangan seangkat-angkat hati daripada rakyat dan penduduk di negara ini bagi maksud disumbangkan kepada rakyat awam Palestin yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Lebih dari 900 orang rakyat awam Palestin terkorban oleh serangan dilancarkan oleh Tentera Israel ke atas Bandar Gaza sejak dari 27 Disember 2008. Separuh dari jumlah yang terkorban itu terdiri dari kanak-kanak dan wanita. Sementara lebih dari 4,000 orang cedera dan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal. Banyak bangunan musnah, bekalan air dan eletrik terputus. Rakyat awam Palestin sangat memerlukan bantuan bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan khemah-khemah perlindungan sementara.

Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin telah ditubuhkan hari ini bertempat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir di mesyuarat tersebut selaku Penasihat Bersama Tabung ialah Yang Berhormat Pehn Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Awang Mohd Zain bin Haji Serudin, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Selaras dengan mesyuarat tersebut satu jawatankuasa khas dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Awam Palestin telah dibentuk bagi mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan kutipan derma bagi tabung berkenaan. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahlinya terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Derma akan dikumpulkan bagi tempoh tiga (3) bulan mulai 14 Januari 2009 hingga 13 April 2009. Tempoh tersebut memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung atau menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut. Tabung-tabung kutipan derma akan disediakan di masjid-masjid dan surau-surau, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan swasta dan bangunan awam termasuklah bangunan kerajaan di seluruh negara bertujuan memudahkan orang ramai menghulurkan derma. Orang ramai juga boleh datang terus ke Urusetia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Tingkat 2, Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Dengan adanya kumpulan derma itu nanti diharapkan dapat meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan rakyat Palestin.

 
8 Januari 2009
SMS BRUNEI PRIHATIN UNTUK TABUNG ANAK-ANAK YATIM KEBANGSAAN KUTIP $149,636.00

Sebagai salah satu usaha untuk memudahkan orang ramai menghulurkan derma seangkat-angkat hati melalui SMS kepada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, satu projek dikenali sebagai Derma SMS Brunei Pihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan telah ditubuhkan. Jumlah keseluruhan derma yang telah berjaya dikumpulkan di sepanjang tempoh mulai dari 27 ogos hingga 15 Oktober 2008 ialah sebanyak $149,636.00. Dari jumlah tersebut, $91,480.00 adalah daripada derma yang telah dikumpulkan oleh DST Group Sdn Bhd. Sementara selebihnya $58,156.00 dikumpulkan oleh B.Mobile Communication Sdn Bhd.

Sehubungan dengan itu satu majlis iaitu Majlis Penyerahan Derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan telah diadakan pada petang tadi bertempat di Tingkat 8, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir untuk menerima sumbangan derma tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menyerahkan derma bagi pihak DST Group Sdn Bhd ialah Awang Haji Marsad bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Operasi DST Group Sdn Bhd dan menyerahkan derma bagi pihak B. Mobile Communication Sdn Bhd ialah Awang Song Kin Koi, Ketua Pegawai Eksekutif B.Mobile Communication Sdn Bhd. Di Majlis tersebut B.Mobile Communication Sdn Bhd juga menderma sebanyak $5,000 untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.

Derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan telah bermula pada tahun 2005 dan ini merupakan projek kali keempat dijayakan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, DST Group Sdn Bhd, B.Mobile Sdn Bhd dan Jabatan Radio Televisyen Brunei dengan tujuan untuk memudahkan orang ramai beramal dengan menderma melalui SMS ke Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.

Dikesempatan ini, Jawatankuasa bagi Projek Derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dengan amat sukacitanya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbangkan derma melalui SMS kepada tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan tulus ikhlas para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripadaNya jua. Amin

 
3 Januari 2009
23 KETUA KELUARGA TERIMA BANTUAN KEWANGAN

Penubuhan Tabung Bantuan Tajaan Kanak-Kanak Sekolah (TBTKK) adalah bertujuan salah satunya membantu anak-anak dari keluarga yang dikenalpasti kurang berkemampuan untuk membeli peralatan-peralatan sekolah yang diperlukan bagi persediaan memulakan persekolahan bagi tahun 2009.

Sehubungan dengan itu, satu Majlis Penyampaian Bantuan Daripada Tabung Bantuan Tajaan Kanak-Kanak Sekolah telah diadakan pada hari ini yang mana sumbangan derma tersebut telah disampaikan oleh Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman, selaku Pengerusi Bersama Tabung berkenaan.

Jumlah bantuan yang diberikan ialah sebanyak sepuluh ribu empat ratus ringgit ($10,400.00). Bantuan berbentuk kewangan ini diaih-agihkan kepada seramai dua puluh tiga (23) orang ketua keluarga untuk dikhususkan bagi perbelanjaan dalam membantu anak-anak mereka bersekolah.

Dengan adanya bantuan tersebut adalah diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga-keluarga yang mengharapkan bantuan melalui Tabung Tajaan Kanak-Kanak Sekolah.

 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn

Terms Of Use

Hak Cipta Terpelihara (c) JAPEM