.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2010 |  Bagi Bulan : :.       

23 Januari 2010
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA DITUTUP

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal ketika mempengerusikan mesyuarat penutupan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina

Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina telah memaklumkan bahawa mulai hari ini Tabung berkenaan dengan rasminya ditutup dan diselajurkan dengan pembubaran Jawatankuasa.

Sehubungan dengan itu satu mesyuarat penutupan Tabung berkenaan telah diadakan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina.

Di sepanjang tempoh kutipan, Tabung ini telah berjaya mengumpul sebanyak B$422,819.86 dan USD 100,000.00. Derma tersebut Insya Allah akan disalurkan kepada pihak berkenaan dengan secepat mungkin melalui pihak yang akan dikenal pasti oleh Jawatankuasa Tabung.

Tabung berkenaan telah dibukakan selama tempoh tiga (3) bulan iaitu mulai 10hb Oktober 2009 sehingga 09hb Januari 2010. Sepanjang tempoh tersebut telah memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung atau untuk mana-mana pihak berpeluang untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Melalui kesempatan ini, Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina dengan amat sukacitanya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma sama ada secara individu, pertubuhan atau perkumpulan yang telah menyumbangkan derma kepada Tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan tulus ikhlas para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripadaNya jua, Amin.

 
23 Januari 2010

LEBIH 200 RIBU DISUMBANGKAN KE TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal menerima sumbangan derma Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina daripada  Yang Di-Pertua Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI, Yang Mulia Dyg Hajah Marhani Binti Abd Hamid

Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina telah menerima sumbangan derma sejumlah BND217,816.00 dari  beberapa buah agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan awam di negara ini.

Dari jumlah tersebut Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei menyumbangkan derma sebanyak B$12,000.00 yang disampaikan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei, Yang Mulia Mejer Jeneral Haji Aminuddin Ehsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Jabatan Hal Ehwal Masjid menyumbangkan derma sebanyak B$51,172.68 iaitu sumbangan daripada orang ramai melalui tabung di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Yang Mulia Awg Haji Abdul Kahar Bin Haji Hussin.

DST GROUP Communication Sdn Bhd menyumbangkan derma sebanyak B$49,777.00 iaitu derma yang disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin yang disampaikan oleh Pengurus Am Perkhidmatan Kumpulan Korporat DST Group Sdn Bhd, Yang Mulia Awg Haji Matnarudin Bin Ibrahim.

B-MOBILE Sdn Bhd menyumbangkan derma sebanyak B$19,892.00 iaitu derma yang disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin yang disampaikan oleh Yang Mulia Dyg Hajah NurulBaiyinah Binti Haji Kassim.

Universiti Brunei Darussalam menyumbangkan derma sebanyak B$16,725.68 yang disampaikan olehPenolong Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Brunei Darussalam, Yang Mulia Professor Dr Zohrah Binti Haji Sulaiman.

Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyumbangkan derma sebanyak B$13,736.39 yang disampaikan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Yang Mulia Awg Haji Muhammad Bin Penglima Asgar Dato Haji Abdullah.

Persatuan Bank-Bank (Jawatankuasa Penempatan Tabung di Bank-Bank dan Bangunan Awam) menyumbangkan derma sebanyak B$16,088.44 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awg Haji Minorhadi Bin Haji Mirhassan.

Jabatan Daerah Belait menyumbangkan derma sebanyak B$14,025.45 yang disampaikan oleh Pengawai Daerah Belait, Yang Mulia Awg Haji Jamain Bin Momin.

Jabatan Daerah Temburong menyumbangkan derma sebanyak B$1,460.00 yang disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awg Sazali Bin Haji Timbang.

Jabatan Daerah Tutong menyumbangkan derma sebanyak B$13,082.12 yang disampaikan oleh Penolong Pengawai Pentadbir Tingkat 1, Jabatan Daerah Tutong, Yang Mulia Pg Mohd Bakhtiar Bin Pg Haji Ibrahim.

Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam menyumbangkan derma sebanyak B$2,000.00 yang disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Majlis Wanita NBD, Yang Mulia Dyg Hajah Kartini Binti Orang Kaya Paduka Setia Di Raja Abang Haji Abu Hanifah.

Giant Hypermarket, Tasek Rimba menyumbangkan sebanyak B$6,121.32 yang disampaikan oleh Pengurus Besar Am Pasar Raya Besar Giant, Yang Mulia Encik Latip Bin Isnin.

Penduduk kampong di Mukim Pengkalan Batu menyumbangkan derma sebanyak B$236.00 yang diserahkan oleh Ketua Kampong Wasan, Yang Mulia Awg Mat Noor Bin Ma’arof.

Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) menyumbangkan derma sebanyak B$1,500.00 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua WI, Yang Mulia Dyg Hajah Marhani Binti Abd Hamid.

Hadir menerima sumbangan tersebut di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal selaku Pengerusi bersama Tabung berkenaan.

 
23 Januari 2010
PENUNTUT PUSAT TINGKATAN ENAM KATOK LAWAT JAPEM

Sebahagian daripada penuntut Pusat Tingkatan Enam Katok yang mengikuti lawatan sambil belajar ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan petang tadi telah menerima lawatan sambil belajar daripada 43 orang penuntut dan 4 orang guru Pusat Tingkatan Enam, Katok.

Rombangan yang diketuai oleh Cikgu Serinah binti Hassanal, dialu-alukan di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Pentadbir JAPEM, Haji Afero Eswandy Haji Mohamad, diikuti dengan
taklimat mengenai Struktur Organisasi dan Perkhidmatan-perkhidmatan di JAPEM yang disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Siti Hazizah binti Saleh.

Selain daripada mengeratkan silaturahim antara agensi, lawatan ini bertujuan bagi mendedahkan para penuntut kepada pentadbiran dan pengendalian kes-kes yang dirujuk ke jabatan ini.

Para ahli rombongan juga diberikan kesempatan bertukar-tukar pendapat dan sebarang pertanyaan sebelum meneruskan lawatan ke Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara.

 
23 Januari 2010
PEGAWAI DAN KAKITANGAN JAPEM HADIRI TAKLIMAT SCP

Penolong Pengarah I JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah dan Ketua Unit SCP, Dayang Norliah binti Haji Kula semasa menghadiri Taklimat Skim Persaraan Caruman Tambahan bagi Pegawai dan Kakitangan JAPEM

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Unit Skim Persaraan Caruman Tambahan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengadakan taklimat mengenai Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP).

Pagi tadi kira-kira 50 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hadir mendengarkan penjelasan dan penerangan mengenai SCP ini yang berlangsung di Dewan Citra Budaya.

Taklimat SCP disampaikan oleh Ketua Unit Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP), Dayang Norliah binti Haji Kula.

Turut hadir, Penolong Pengarah I JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah.

Skim yang baru diperkenalkan ini akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun hadapan setelah diperkenalkan melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 14 Julai 2009 yang lalu sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-63 tahun.

Skim SCP merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang dilaksanakan pada masa ini.

Objektif utama adalah untuk memastikan semua peserta Skim SCP yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak BND150 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun.

Skim ini menjamin bayaran sebanyak BND150 dan dicampur dengan bayaran Pencen Umur Tua sebanyak BND250 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini.

Para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum keseluruhan sebanyak BND400.

Dalam pada itu Skim SCP ini juga memberi pembayaran manfaat ‘survivorship’ bagi menjamin kesejahteraan tanggungan sekiranya peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori.

 
23 Januari 2010
'EVEREST TREKKING' BANTU TABUNG BADAN KEBAJIKAN KEBANGSAAN

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad
bin Haji Jumat bergambar ramai bersama dengan Ahli Persekutuan Catur Brunei (BCF) yang akan membuat pendakian ke Everest Base Camp

Sebagai salah satu usaha untuk menambah kutipan Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan (TBKK), satu projek telah diusahakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Persekutuan Catur Brunei (BCF) melalui Projek Amal 'Everest Trekking'. Projek ini diungkayahkan bertujuan untuk mempromosi kutipan derma daripada orang ramai bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di Negara ini khususnya bagi pembinaan dan pembaikan rumah.

Melalui projek "Everest Trekking', seramai lapan (8) orang ahli Persekutuan Catur Brunei (BCF) akan mengadakan perjalanan sejauh 120 kilometer di Nepal dan membuat pendakian setinggi 3,000 meter menuju ke Everest Base Camp. Perjalanan ini dijangka akan mengambil masa selama 16 hari di mana para pendaki akan mengadakan perlawanan catur sesama mereka di Everest Base Camp.

Sehubungan dengan itu satu Majlis Pelancaran telah diadakan pada petang ini yang telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat.

Projek yang berkebajikan ini diharapkan akan dapat mengumpul sebanyak $50,000.00. Oleh itu orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyumbangkan derma sama ada terus kepada Urusetia Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan (TBKK) di Bahagian Kewangan Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atau melalui cek atas nama BCF TREKKING AMAL di Hongkong and Shanghai Corporation (HSBC) atau melalui On-line Laman Web- http://www.trekkingamal.com.bn

 
23 Januari 2010
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA TERUS TRIMA SUMBANGAN

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad
bin Haji Jumat menerima sumbangan derma daripada
Pemangku Pengarah Urusan, Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad, Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali

Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina hari ini 23 Januari 2010 telah menerima sumbangan derma berjumlah B$26,400.00 daripada Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah Urusan, Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad.

Hadir bagi menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat selaku Penasihat Bersama Tabung berkenaan.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai dan para penderma yang telah menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina. Mudah-mudahan melalui sumbangan yang telah di hulurkan akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
18 Januari 2010
JAPEM PRIHATIN TERHADAP MEREKA YANG SUSAH

Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan menyempurnakan perletakan batu asas mendirikan tiang utama rumah seorang penduduk Kampung Senukoh, Awang Jumat bin Abai.

Sebagai salah sebuah agensi kerajaan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sentiasa memeduli nasib mereka yang kurang berkemampuan, bersama agensi kerajaan yang lain serta badan bukan kerajaan (NGO) telah dapat mengenalpasti mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.

Sehubungan dengan itu,
pagi tadi, JAPEM dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah mengadakan Majlis Perletakan Batu Asas Mendirikan Tiang Utama rumah salah seorang penduduk Kampung Senukoh Mukim Labu, Awang Jumat bin Abai yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

Antara yang hadir dan turut meletakkan batu asas tersebut, Ketua Kampung Belingos, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Ahad yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Negara; wakil Pengarah Urusan YSHHB, Awang Haji Mustafa bin Haji Tahir; wakil Pegawai Daerah Temburong, tuan rumah, penghulu dan ketua kampung.

Awang Jumat bin Abai berusia 48 tahun, merupakan salah seorang penerima Bantuan Kebajikan Bulanan dari JAPEM. Beliau mempunyai 7 orang anak yang masih bersekolah. Manakala isteri beliau hanya seorang suri rumahtangga.

Rumah bantuan yang beralamat di No. 169-1548 Lot 3372 Kampong Senukoh, Labu Temburong menelan belanja sebanyak $40 ribu. JAPEM telah menyumbangkan $30 ribu dan pihak YSHHB memperuntukkan sebanyak $10 ribu.

 
16 Januari 2010

penandatanganan perlantikan konsultan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad
bin Haji Jumat menyaksikan Majlis Penandatanganan Perlantikan Konsultan Bagi Kajiselidik Mengenai Kemiskinan di Negara Brunei Darussalam di antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan ZD Consultant

Majlis Penandatanganan Perlantikan Konsultan Bagi Kajiselidik Mengenai Kemiskinan di Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menitahkan supaya Negara Brunei Darussalam berusaha bagi mencapai tahap 'Kemiskinan sifar', semasa Sesi Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada 4 Mei 2008.

Jawatankuasa pandu atau 'Task Force' telah ditubuhkan dibawah naungan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan. Jawatankuasa pandu ini dipengerusikan oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Majlis Ugama Islam Brunei dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Objektif Kajiselidik adalah seperti berikut; Untuk mendapatkan definisi kemiskinan yang khusus dalam konteks Negara Brunei Darussalam; Menyediakan satu pangkalan maklumat atau 'database' yang lengkap mengenai golongan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan di negara ini, dan Menyediakan perancangan kebangsaan bagi membasmi kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.

Konsultan yang telah terpilih ialah ZD Consultant, iaitu sebuah syarikat konsultan tempatan. Bagi tujuan kajiselidik ini, ZD Consultant telah mengumpulkan beberapa orang yang mempunyai kepakaran yang khusus untuk kepentingan kajiselidik ini.

ZD Consultant akan bergabung dengan sebuah lagi syarikat tempatan iaitu Syarikat Consultant UPV. Syarikat konsultan ini akan menyumbangkan kepakarannya dalam kajian sosio-politik Negara Brunei Darussalam dan pendekatan dari segi Shari'ah terutamanya definisi kemiskinan yang melibatkan asnaf-asnaf tertentu yang ada di Negara Brunei Darussalam termasuk asnaf 'Fakir' dan 'Miskin'.

ZD Consultant juga akan bergabung dengan Syarikat Ramfel Sdn Bhd yang beribu pejabat di Selangor, Semenanjung Malaysia, yang mana akan menyumbangkan kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat untuk membentuk sebuah pengkalan data mengenai golongan miskin di Negara ini.

Kumpulan pakar-pakar kajiselidik dan pergabungan syarikat-syarikat konsultan ini telah membentuk suatu 'critical skills set' yang memberikan ZD Consultant kekuatan strategik yang difikirkan dapat memenuhi objektif-objektif kajiselidik dan menghasilkan 'deliverables' yang telah ditentukan.

Pada majlis penandatanganan tersebut pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) diwakili oleh Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha. Sementara itu bagi pihak ZD Consultant diwakili oleh Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Dayang Hajah Siti Zarefah binti Abdul Aziz dan Principal Consultant UPV, Dayang Hajah Huslina binti Haji Husin.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]