.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2012 |  Bagi Bulan : :.       

29 Januari 2012
Projek Memeduli Warga Emas dilaksanakan

Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman semasa merasmikan Projek Memeduli Warga Emas dengan memotong 'Pulut Kuning'

Bagi meningkatkan kesedaran terhadap kewajipan memelihara dan memeduli warga emas di negara ini, satu Majlis Ramah Mesra Bersama Sukarelawan dan Warga Emas Projek Memeduli Warga Emas diadakan pagi tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Pusat Belia di sini ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman.

Awang Haji Hasbollah bin Haji Awang Damit selaku Pengerusi Majlis dalam ucapan alu-aluannya berkata majlis tersebut merupakan sentuhan kasih sayang mereka terhadap warga emas yang dianggap sebagai ibu dan bapa mereka.

Dengan niat dan perasaan yang tulus ikhlas tambahnya, para sukarelawan berharap semua warga emas yang ada akan dapat bergembira dan berhibur seadanya dengan aktiviti yang dirancang.

"Harapan kami semoga dapat melihat keceriaan, keaktifan warga emas sekali gus untuk pengisian masa kepada yang lebih berfaedah dan penuh manfaat," jelasnya.

Semoga peluang yang ada itu terangnya akan dapat mengukuhkan hubungan dengan saling beramah mesra di antara rakan-rakan warga emas yang diraikan.

Warga emas yang hadir di majlis berkenaan terdiri dari Warga Emas Projek Memeduli Warga Emas dan penduduk-penduduk kampung dari dua buah Mukim di Daerah Brunei dan Muara iaitu Mukim Kota Batu dan Mukim Kianggeh.

Sukarelawan Memeduli Warga Emas adalah projek usahasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan 'Help Age Korea' yang mula bergerak pada tahun 2005.

Setakat ini, seramai 106 sukarelawan berdaftar di bawah JAPEM yang diamanahkan bertanggungjawab menjaga seramai 31 warga emas yang memerlukan perhatian dan pemedulian.

Projek tersebut merupakan projek berterusan yang mana nanti akan dilaratkan kepada mukim-mukim yang lain.

Juga hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung di bawah Mukim Kota Batu dan Mukim Kianggeh.

 
21 Januari 2012

Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan hadiah kepada Awang Azmain bin Sulaiman penerima Anugerah Orang Berkeperluan Khas Berjaya

“Together For A Better World For All: Including Persons With Disabilities In Development” ialah tema bagi Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas 2011. Tema ini memberikan satu gambaran kepada manusia sejagat bahawa orang berkeperluan khas perlu dilibatkan dalam proses pembangunan sesebuah negara itu. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam penglibatan orang berkeperluan khas dalam proses pembangunan negara khususnya dari segi ekonomi memang tidak dapat dinafikan.  Sehubungan itu, sebagai pengiktirafan kepada mereka yang terbabit, Jabatan Pembangunan Masyarakat  memperkenalkan Anugerah Orang Berkeperluan Khas Berjaya bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas.

Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas telah dilancarkan pagi ini oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah di ruang legar, Airport Mall.

Acara kemuncak ialah, penyampaian Anugerah Orang Berkeperluan Khas Berjaya oleh Yang Berhormat Pehin kepada seorang pengusaha yang berkeperluan khas, Awang Azmain bin Sulaiman, daripada Kampung Bangungos, Tanjong Maya, Daerah Tutong.  Beliau menerima wang tunai berjumlah $5,000.00, Sijil Penghormatan dan Plak. Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan bantuan kerusi roda kepada lima orang penerima.

Sambutan sehari ini bertujuan untuk mewujudkan perkumpulan dalam suasana persahabatan dan persaudaraan dengan saling bantu-membantu antara satu dengan yang lain, meningkatkan kesedaran dan membentukkan sikap positif dalam kalangan masyarakat terhadap golongan orang berkeperluan khas dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam setiap program perkembangan orang berkeperluan khas di samping menjalinkan rangkaian bagi penglibatan sektor swasta dalan hal ehwal yang berkaitan dengan orang berkeperluan khas.

Sekitar 600 orang berkeperluan khas dalam pelbagai kategori yang mewakili Pusat-Pusat Bahagia dan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi Orang Berkeperluan Khas menyertai persembahan dan aktiviti yang diselaraskan oleh pihak penganjur. Aktiviti-aktiviti termasuklah pameran yang mengetengahkan pencapaian orang berkeperluan khas seperti kraftangan dan sukan selain langkah-langkah yang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkenaan dalam memastikan kesejahteraan orang berkeperluan khas.

Hadir pada majlis ini ialah, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar dan Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Ismail bin Pehin Orang Kaya Pekerma Setia Dato Paduka Haji Hashim; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan.

Sambutan ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan dan Persatuan-Persatuan Orang Berkeperluan Khas. Sementara itu, penaja utama bagi sambutan ini ialah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Lain-lain penaja terdiri daripada Ben Foods Sdn Bhd, Malphy Machinery Sdn Bhd, WT Aircond & Electronic Supplies,  R & T Electronic Enterprise, Newera Air-Conditioning and Engineering, Poh Motor Service and Engineering dan Jasra Harrisons Sdn Bhd.

Juga menaja sambutan ini terdiri daripada pihak individu iaitu, Awang Chong Chen Kong, Awang Lau Chee Huat, Awang Teo Boon Wan Aaron, Awang Khoo Hok Khin, Dayang Elmer Cheong Tie Li dan Dayang Pauline Chew.

 
4 Januari 2012
Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina ditubuhkan hari ini

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair
bin Haji Abdullah ketika berucap di Majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni AI-Marhum Sultan Omar' Ali Saifuddin Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina.

Sehubungan dengan itu, majlis pelancaran Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina telah diadakan pada hari ini oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung berkenaan. Hadir sama ke majlis pada petang tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman,  yang juga selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung, dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahram bin Pengiran Haji Bahar selaku Timbalan Penasihat Bersama Jawatankuasa Tabung berkenaan.

Majlis diteruskan dengan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama,  Yang Mulia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharajalela Haji Mohd Yusof. Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir kilat di Pulau Mindanao, Filipina berikutan kejadian ribut tropika Washi yang melanda pulau itu.

Mesyuarat Jawatankuasa telah menetapkan bahawa derma akan diadakan selama tiga (3) bulan iaitu mulai hari ini, 4 Januari 2012 hingga 3 April 2012. Penetapan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma terse but.

Untuk itu, bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah menderma melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara ataupun menghantarkannya terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Mangsa Ribut Tropika Washi Filipina di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]