.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2013 |  Bagi Bulan : :.       

31 Januari 2013
Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan terima sumbangan kewangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menerima sumbangan daripada Pengarah Urusan Syarikat Borneo United Enterprise Sendirian Berhad, Awang Stanley Um Hock Ghim

Salah sebuah syarikat tempatan telah menyumbangkan sejumlah $2,000.00 kepada Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Sumbangan diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah daripada Pengarah Urusan Syarikat Borneo United Enterprise Sendirian Berhad, Awang Stanley Um Hock Ghim.

Turut hadir pada majlis ini, Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhasan, dan pegawai-pegawai daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat.

 
30 Januari 2013
Kemudahan 'Mesra OBK' perlu disediakan

Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos menyampaikan sijil seminar sempena Sambutan Hari Antarabangsa OBK kepada wakil daripada Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP)

Beberapa bidang yang memerlukan pembaikan bagi memenuhi keperluan golongan Orang Berkeperluan Khas (OBK) seperti kemudahan, pendidikan, moral dan agama serta kesukarelawan merupakan rumusan perbincangan setiap kumpulan yang disampaikan pada Majlis Penutup Sambutan Hari Antarabangsa OBK petang ini di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Hadir pada forum anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan dan Persatuan-persatuan OBK itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.

Pada forum tersebut, para peserta membincangkan mengenai hal ehwal yang berkaitan dengan OBK di neagra ini, selaras dengan tema sambutan pada tahun ini 'Menghapuskan Halangan Bagi Mewujudkan Masyarakat Inklusif dan Mempunyai Akses (Removing Barriers To Create An Inclusive and Accessible Society For All).

Dari segi kemudahan, mereka menginginkan kemudahan yang 'Mesra OBK' iaitu bangunan-bangunan perlu menyediakan kemudahan seperti 'ramp', papan tanda yang jelas, 'road pavements', 'line aware' dan warna pintu yang kontras dengan warna dinding.

Selain itu, dari segi pendidikan, mereka mencadangkan agar sekolah-sekolah boleh menyediakan guru 'speechtherapy', psikologis sepenuh masa, 'reading cctv', komputer perisian bersuara, dan 'brailler'.

Sementara itu dari persepsi masyarakat terhadap OBK harus menuju ke arah masyarakat yang memahami keperluan OBK, dan boleh menghulurkan sokongan padu secara berterusan di mana media memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran yang positif terhadap OBK yang dengan cara ini masyarakat umum akan lebih faham tentang keperluan dan hak-hak OBK.

Dari sudut sukarelawan pula, mereka mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa bertindak, dalam kalangan agensi profesional dan sukarelawan, bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan OBK selain mencadangkan agar ditubuhkan pusat sukarelawan khusus untuk OBK.

Acara kemuncak ialah penyerahan rumusan forum yang bersempena Hari Antarabangsa OBK kepada tetamu kehormat oleh wakil peserta, Awang Yusof bin Latif daripada Persatuan Orang-orang Cacat Berkerusi Roda dan Orang-orang Cacat Anggota (PAPDA).

Rumusan ini akan menjadi sukat-sukat Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam merangka program-program yang berkaitan dengan OBK.

Seminar selama dua hari ini dihadiri oleh 200 peserta yang mewakili pelbagai kementerian, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan-persatuan OBK, guru-guru dan pelajar-pelajar daripada sekolah-sekolah menengah dan Pra Universiti.

 
29 Januari 2013
Mangsa kebakaran Kampung Setia 'A' terima sumbangan kewangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menerima sumbangan kewangan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin yang juga selaku Pengurus Syarikat Goh Hock Kee Motors Sendirian Berhad

Sejumlah BND8,000 telah disumbangkan untuk membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada petang hari Sabtu, 26 Januari di Kampung Setia 'A', Kampung Air.

Penyampaian sumbangan di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di terima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin yang juga selaku Pengurus Syarikat Goh Hock Kee Motors Sendirian Berhad.

Seramai 146 orang terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan yang terdiri daripada 27 buah kelamin dan meranapkan sepuluh buah rumah manakala tiga buah lagi mengalami kerosakan.

Hadir pada majlis tersebut, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Pengarah Pembangunan Masyarakat dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat.

 
29 Januari 2013
Bersikap positif terhadap golongan OBK

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan Anugerah Anugerah OBK Berjaya (Pendidikan Cemerlang) kepada Cikgu Awang Sahari bin Haji Tinggal

Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas (OBK) bertujuan untuk mewujudkan perkumpulan dalam suasana persahabatan dan persaudaraan dengan saling bantu-membantu antara satu dengan yang lain, meningkatkan kesedaran dan membentukkan sikap positif dalam kalangan masyarakat terhadap golongan OBK.

Ke arah itu, Sambutan Hari Antarabangsa OBK diadakan di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini. Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan sambutan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Dalam ucapan alu-aluan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan berkata, Sambutan Hari Antarabangsa OBK merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam usaha untuk memberikan pemedulian khususnya kepada OBK di negara ini.

Menurut Dayang Hajah Misnah yang juga selaku Pengerusi Majlis, sambutan ini adalah bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa OBK yang diraikan pada setiap 3 Disember sejak ia diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1992 yang antara lain bertujuan untuk memberi penghargaan dan penghormatan kepada OBK, di samping untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa OBK juga mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat dan pembangunan negara mengikut kebolehan, keupayaan dan kemahiran yang ada pada diri mereka.

Menyentuh mengenai tema sambutan iaitu 'Menghapuskan Halangan Bagi Mewujudkan Masyarakat Inklusif dan Mempunyai Akses', Dayang Hajah Misnah menjelaskan, halangan yang dimaksudkan termasuk dari segi persekitaran fisikal, informasi dan teknologi maklumat, undang-undang dan diskriminasi yang menyebabkan OBK tidak mendapat akses kepada perkhidmatan seperti perkhidmatan pendidikan, pekerjaan, perkhidmatan perubatan dan pengangkutan.

Aksesibiliti yang melibatkan OBK dalam masyarakat jelasnya, merupakan hak yang fundamental yang diiktiraf oleh Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya dan merupakan asas untuk mereka menikmati hak yang lain.

Artikel 9 daripada konvensyen ini tambahnya, menekankan akan pentingnya OBK untuk hidup berdikari dan terlibat sepenuhnya dalam pembangunan negara.

Konvensyen ini juga katanya, menyeru semua negara ahli untuk mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan OBK mempunyai akses yang saksama dalam semua aspek kehidupan dan hendaklah menghapuskan apa jua rintangan dan halangan yang menyekat mereka dari memperolehi hak mereka.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat menyempurnakan penyampaian Anugerah OBK Berjaya (Pendidikan Cemerlang) kepada Cikgu Awang Sahari bin Haji Tinggal bagi Kategori OBK Anggota dan Cikgu Dayangku Hijrah Mahani binti Pengiran Haji Abdullah bagi Kategori OBK Penglihatan.

Para penerima anugerah tersebut menerima wang tunai sebanyak BND 5,000, sijil penghormatan, sebuah plak dan cendera mata iringan.

Anugerah ini adalah merupakan pengiktirafan kepada golongan OBK di atas kejayaan mengatasi cabaran dalam kehidupan mereka dan seterusnya berjaya meningkatkan taraf pendidikan masing-masing.

Bersempena dengan Sambutan Hari Antarabangsa OBK pada tahun ini, pihak penganjur mengadakan forum selama dua hari disertai oleh kira-kira 200 orang mewakili pelbagai kementerian, pertubuhan OBK, pelajar-pelajar daripada sekolahsekolah menengah dan Pra Universiti, para sukarelawan dan wakil-wakil persatuan.

Para peserta forum juga berkesempatan mendengar penyampaian kertas kerja utama daripada Encik Mohamad Sazali Shaari, seorang berkeperluan khas pendengaran yang merupakan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan Naib Presiden Majlis Pemulihan Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Juga hadir ialah Ketua-Ketua Jabatan, Pengarah-Pengarah dan pegawai-pegawai kanan di KKBS serta wakil-wakil daripada agensiagensi kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam hal ehwal OBK termasuk ahli-ahli Jawatankuasa Khas OBK dan Warga Emas.

Sambutan tersebut dianjurkan bersama oleh JAPEM, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pusat Perkembangan Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan dan Persatuan-Persatuan OBK.

 
28 Januari 2013
Mangsa Kebakaran Kampong Setia 'A' terima Bantuan Kewangan Kerajaan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada salah seorang mangsa

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menyumbangkan bantuan kewangan sejumlah BND78,200 dan catuan makanan kepada 146 orang yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Setia 'A', Kampung Air yang berlaku pada pada petang 26 Januari 2013.

Sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban mereka yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada para mangsa disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah yang berlangsung di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia 'A'.

Para penerima bantuan terdiri daripada 27 buah kelamin yang mendiami sepuluh buah rumah yang telah ranap dan tiga buah yang mengalami kerosakan.

Mangsa kebakaran juga menerima catuan makanan untuk tempoh satu minggu termasuk susu tepung kanak-kanak damit dan lampin pakai buang selain dibekalkan dengan keperluan asas seperti tilam, bantal dan selimut.

Menurut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, sumbangan yang diberikan oleh JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dihulurkan dengan segera kepada mangsa-mangsa kebakaran dalam bentuk kewangan dan barang-barang keperluan.

Beliau berharap dengan adanya sumbangan itu mereka akan dapat memulakan kehidupan, di samping dapat digunakan untuk memulakan pembinaan rumah baru.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

 
23 Januari 2013
Tabung Kemanusiaan Penduduk Gaza dan Bopha Filipina terima sumbangan

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman menerima sumbangan derma dripada isteri Menteri Kesihatan, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah

Di atas dasar pemeduliaan orang ramai dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh penduduk di Gaza dan Filipina, satu penyampaian derma kepada Tabung Kemanusiaan Penduduk Gaza dan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bopha Filipina telah diadakan pada hari ini bertempat di bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumbangan yang berjumlah $1,300.00 bagi Tabung Kemanusiaan Penduduk Gaza dan $1,300.00 bagi dan Tabung Kemanusiaan Mangsa Bopha Filipina daripada Kumpulan Isteri-Isteri Menteri Kabinet, Isteri- Isteri Timbalan Menteri, Isteri-Isteri Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Isteri-Isteri Timbalan Setiausaha Tetap-Timbalan Setiausaha Tetap dan ahli bersekutu, diterima oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman yang diserahkan oleh isteri Menteri Kesihatan, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Hanafiah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos,  pegawai-pegawai daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan wakil­wakil daripada Kumpulan Isteri-Isteri Menteri Kabinet, Isteri-Isteri Timbalan Menteri, Isteri-Isteri Setiausaha-Setiausaha Tetap, Isteri- Isteri Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan ahli bersekutu.

Setakat ini, Tabung Kemanusiaan Penduduk Gaza telah berjaya mengutip sebanyak $13,080.00 manakala Tabung Kemanusiaan Mangsa Bopha Filipina telah berjaya mengutip sebanyak $11,400.00 termasuk sumbangan yang diterima pada hari ini.

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]