.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2014 |  Bagi Bulan : :.       

30 Januari 2014
Larian Amal Sempena Hari Tongkat Putih Sedunia diadakan pada 9 Mac 2014

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rozan Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos ketika menyaksikan pameran sempena Majlis Pelancaran Kempen Larian Amal Hari Tongkat Putih Sedunia

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rozan Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos ketika menyaksikan pameran sempena Majlis Pelancaran Kempen Larian Amal Hari Tongkat Putih Sedunia

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Syarikat Armtrix Entreprise pada tahun ini buat julung-julung kalinya akan menganjurkan Larian Amal Sempena Hari Tongkat Putih Sedunia yang akan diadakan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada 9 Mac 2014.

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd Rozan Bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos pagi tadi menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Larian Amal Sempena Hari Tongkat Putih Sedunia yang berlangsung di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei dan Muara, JAPEM, di sini.

Sehubungan dengan itu, Sidang Media mengenai larian amal tersebut juga berlangsung pagi tadi yang mana turut dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa larian ini serta wakil-wakil penaja dan penyokong rasmi larian berkenaan.

Pada Sidang Media itu, Pengerusi Bersama, Awang Mohd Jamary bin Danggat menjelaskan bahawa Projek Larian Amal Sempena Hari Tongkat Putih Sedunia tersebut tidak akan berjaya tanpa adanya bantuan, sokongan dan nasihat daripada rakan-rakan, agensi-agensi berkenaan, penderma, penaja dan tidak kurangnya, para sukarelawan.

Di samping itu, ianya juga merupakan projek larian amal yang pertama yang diungkayahkan oleh ahli­-ahli BDNAB yang telah diperakui dan dipersetujui oleh JAPEM dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHLDN). Larian ini juga disokong oleh Jabatan-Jabatan Kerajaan yang berkenaan, persatuan-persatuan bukan kerajaan, ahli-ahli peniaga swasta dan ahli-ahli persendirian.

Tujuan majlis pelancaran kempen ini diadakan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai larian amal tersebut dan sekaligus meningkatkan kesedaran mengenai fungsi tongkat putih dan golongan berkeperluan khas penglihatan kepada orang ramai.

Antara objektif utama larian amal tersebut diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai dan sektor-sektor korporat untuk menderma kepada Dana Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan

Kebangsaan, yang mana sebahagiannya akan digunakan bagi membiayai program-program operasi seperti bimbingan, latihan kerjaya dan pemulihan untuk golongan berkeperluan khas penglihatan di bawah Persatuan berkenaan.

Selain itu, ianya juga bagi menggalakkan pembangunan sikap yang positif dari kalangan belia dan ahli keluarga aktif untuk menggalakkan amalan cara hidup masyarakat sihat di negara ini, di samping ianya juga merupakan rakan kongsi kerajaan dalam mempromosikan penyertaan golongan berkeperluan khas dalam masyarakat dan juga mempromosikan aktiviti-aktiviti sosial dan berkebajikan dari kalangan sektor Kerajaan, swasta dan orang ramai.

Juga dinyatakan ialah mengenai kategori-kategori larian yang dibukakan bagi penyertaan orang ramai iaitu Kategori 10km Lelaki Terbuka bagi penyertaan 16 tahun ke atas; kategori 10Km Wanita terbuka bagi penyertaan 16 tahun dan ke atas; kategori 5Km Lelaki Terbuka bagi penyertaan 12 tahun dan ke atas; kategori 5Km Wanita terbuka bagi penyertaan 12 tahun dan ke atas; kategori 3Km Fun Run ( Non­Competitive) Terbuka kepada semua, termasuk keluarga; kategori 3Km Fun Run ( Non-Competitive) Terbuka untuk penyertaan golongan berkeperluan khas penglihatan; dan kategori 3Km Fun Run ( Non­Competitive) Terbuka untuk penyertaan golongan Berkeperluan Khas/ Special Needs.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang penyertaan peserta melalui laman web) www.larianamaltongkatputih.com dan tempat mengembalikan borang penyertaan tersebut akan di Stadium Tertutup Negara Hassanal Bolkiah, Berakas mulai dari 3hb Febuari 2014 hingga 15 Febuari 2014; dari jam 8.00 pagi (temasuk tengahari) hingga 6.00 petang.

Dalam menyertai larian amal tersebut, para peserta akan menerima baju larian rasmi, sijil penyertaan dan pingat yang direka khas dengan tulisan Braille (Tulisan bantu untuk orang berkeperluan khas penglihatan).

Selain dari itu para peserta juga berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dengan cabutan angka bertuah dan pihak penganjur bersama juga turut mengalu-alukan dan menjemput lebih banyak penaja dan sukarelawan untuk tampil memberi bantuan dan sokongan sebelum acara itu berlangsung dan pada hari larian amal itu diadakan.

Larian amal sempena Hari Tongkat Putih Sedunia akan diadakan di Stadium Hassanal Bolkiah, Berakas bermula pada jam 6:30 pagi.

Tujuan Hari Tongkat Putih sedunia ini diadakan ialah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk Orang-Orang berkeperluan khas penglihatan yang memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak kerajaan, sektor swasta serta orang ramai untuk memastikan hak dan perlindungan pengguna tongkat putih disertakan dalam undang-undang, dasar dasar dan rancangan-rancangan kemajuan negara. Tongkat Putih adalah alat bantu mobility untuk Orang-Orang berkeperluan khas penglihatan sebagai kaedah untuk mengemudi persekitaran mereka. Ini adalah sebahagian daripada prinsip sejagat panduan yang dinyatakan didalam "Konvensyen bagi hak-hak orang kurang upaya, Persatuan bangsa-bangsa bersatu (PBB)".

Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Kebangsaan merupakan sebuah pertubuhan amal kebajikan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk sentiasa berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan­perkhidmatan yang effektif kepada masyarakat, terutamanya kepada Orang-Orang berkeperluan khas penglihatan dalam mempromosikan dan mengadvokasi kesaksamaan dan penyertaan mereka dalam masyarakat. Persatuan tersebut juga berusaha dalam membangunkan bimbingan yang inovatif, perkhidmatan kaunseling untuk orang-orang berkerperluan khas penglihatan, dan program-program latihan teknologi mobility untuk orang-orang berkerperluan khas penglihatan agar mereka menjadi ahli masyarakat yang berdikari dan produktif

 
06 Januari 2014
Mangsa rumah roboh dan hangus terima bantuan kewangan Kerajaan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menyampaikan sumbangan kewangan kepada Awang Haji Tuah bin Duraman

Sejumlah $19,200.00 telah disumbangkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada para mangsa kebakaran rumah dan rumah roboh yang berlaku baru-baru ini di Daerah Brunei dan Muara.

Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada para mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Pancha Delima, Mukim Berakas ‘A’ dan mangsa rumah roboh di Kampong Pingai Ayer, Kampong Ayer berlangsung petang ini di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Bandar Seri Begawan.

Hadir bagi menyampaikan bantuan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah.

Sejumlah $9,200.00 sumbangan telah diserahkan kepada ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah di Kampong Pancha Delima pada 26 Disember 2013 iaitu Awang Ramli bin Haji Mahali. Sementara itu, ketua-ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh di Kampong Burung Pingai Ayer yang masing-masing berlaku pada 28 Disember 2013 dan 01 Januari 2014 iaitu Awang Haji Tuah bin Duraman dan Dayang Rozikustina binti Haji Tawhat telah menerima sejumlah sumbangan sebanyak $5,000.00 setiap seorang.

Sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban mereka yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

Sebelum ini, JAPEM menyediakan packed meal, bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh seminggu, bantal, kain dan selimut kepada mangsa kebakaran dan rumah roboh berkenaan.

Hadir pada majlis ini, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman; Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos.

Juga hadir Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan, dan pegawai-pegawai kanan daripada KKBS dan JAPEM.

 
06 Januari 2014
JAPEM anjur Latihan Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak

Tetamu Kehormat Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos bergambar ramai bersama dengan perwakilan yang hadiri Latihan Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak

Para Pegawai yang bertanggungjawab dalam menangani kanak-kanak yang memerlukan perlindungan khas terutama mangsa keganasan rumah tangga sepatutnya dilengkapi dengan kemahiran khusus melalui latihan. Kemahiran dari segi kebolehan, pengalaman dan pengetahuan sangat penting agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang berkesan seiring dengan senario pekerjaan semasa yang mengalami perubahan, kompleks dan mencabar.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sebagai salah sebuah agensi pelaksana ke atas perlindungan kanak-kanak di negara ini menganjurkan Latihan Mengenai Perlindungan Kanak-­Kanak selama empat hari di Star Lodge, Kampung Jerudong, Daerah Brunei dan Muara. Latihan ini merupakan projek dalam rangka kerja Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Asean Mengenai Pembangunan dan Kebajikan Sosial (SOMSWD) dengan Negara Brunei Darussalam merupakan sebagai negara pelaksana bagi projek berkenaan.

Latihan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos, selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean Mengenai Pembangunan dan Kebajikan Sosial (SOMSWD) bagi Negara Brunei Darussalam.

Program latihan ini berasaskan kepada rangka kerja profesional bagi pengamal-pengamal kerja sosial yang menyediakan nilai-nilai rujukan, pengetahuan dan kemahiran dalam menangani kanak-kanak yang memerlukan perlindungan. Rangka kerja berkenaan bertindak sebagai penyalur maklumat dan membimbing kepada perlaksanaan dan kemajuan program latihan ke atas bidang-bidang utama. Bidang-bidang berkenaan merangkumi pemahaman ke atas keperluan dan hak kanak-kanak, tanggungjawab golongan dewasa dan masyarakat terhadap kanak-kanak dan bagaimana golongan kanak-kanak tertentu dalam setiap masyarakat mempunyai risiko ke atas keganasan rumah tangga atau pun menjadi kumpulan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan. Di samping itu, rangka kerja tersebut juga menekankan pemahaman bagi pengamalan terbaik dalam perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan pemahaman ke atas matlamat bagi perkhidmatan terse but.

Dalam pada itu, objektif latihan ialah, bagi penyediaan rangka kerja pelan perlindungan kanak­kanak yang distandardisasikan dan diintegrasikan di peringkat negara dan antara negara- negara Asean. Di samping itu latihan juga ialah, bagi meningkatkan rangka kerja perkhidmatan tindak balas bagi perlindungan kanak-kanak yang distandardisasikan dan diintegrasikan. Selain dari itu, latihan juga mempunyai objektif untuk memajukan dasar perkhidmatan perlindungan kanak-kanak yang distandardisasikan dan meningkatkan rujukan sokongan badan kehakiman bagi penubuhan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat negara yang menjadi bukti kepada perkongsian pendekatan secara profesional dalam kalangan negara di rantau Asean dan pad a masa sam a juga bertindak balas kepada keperluan-keperluan khusus sesebuah negara ke atas perlindungan khas kanak-kanak.

Latihan dihadiri oleh lebih 40 peserta termasuk sepuluh orang daripada negara tuan rumah dan lain-lain perserta daripada negara-negara Asean yang mewakili kementerian-kementerian atau pun jabatan-jabatan yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan sosial, Kementerian Kesihatan, Jabatan Perundangan dan Pasukan-Pasukan Polis. Negara tuan rumah diwakili oleh 10 orang peserta termasuk daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan perkhidmatan sosial. Latihan dikendalikan oleh konsultan dalam bidang perlindungan kanak-kanak, Professor Madya Dr. Pauline Ann Meemeduma.