Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2015 |  Bagi Bulan : :.       

31 Januari 2015
Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara sambut Maulidur Rasul

Persembahan Nasyid bertajuk 'Dia Kekasih Allah' dari Murid dan Pelatih Pusat Bahagia Brunei dan Muara menyerikan Sambutan Maulidur Rasul

Bagi menanamkan rasa cinta dan kasih sayang kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara mengadakan Sambutan Maulidur Rasul 1436 Hijrah / 2015 Masihi di Dewan Darul Imtiyaz, pusat berkenaan, petang tadi.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Md. Daud dan Yang Di-Pertua Persatuan BASMIDA (Persatuan Basmi Dadah), Datin Hajah Masni binti Haji Mohd. Ali.

Tujuan majlis adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping untuk mengetahui tentang sejarah kehidupan Baginda.

Pada majlis tersebut dimuatkan dengan sesi ceramah bertajuk 'Bagaimana Kita Mencintai Rasullullah' disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), Universiti Brunei Darussalam, Awang Haji Muhammad Nazif bin Haji Awang Damit.

Terdahulu majlis itu diserikan dengan persembahan Nasyid bertajuk 'Dia Kekasih Allah' dari Pusat Bahagia Brunei dan Muara dan disusuli dengan persembahan Tausyeh bertajuk 'Sholatun Alhamdulillah dan Ya Ha Na Na' oleh Persatuan BASMIDA.

Majlis merupakan aktiviti tahunan Pusat Bahagia Brunei dan Muara yang bertujuan untuk memberi pengetahuan dan mendidik murid-murid di pusat tersebut selain supaya mereka sentiasa mengamalkan serta mempraktikkan sunnah-sunnah Rasullullah setiap hari.

 
27 Januari 2015
Rombongan Malaysia lawatan KRK dan Pusat Bahagia

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia dan rombongan melawat Kompleks Rumah Kebajikan yang terlerak di Kampung Belimbing, Jalan Subok

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia dan rombongan hari ini meneruskan lagi jadual lawatan ke aset-aset Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Lawatan Yang Behormat yang pertama sekali pada hari ini ialah, Kompleks Rumah Kebajikan yang terletak di Kampung Belimbing, Jalan Subok, Daerah Brunei dan Muara.  Di sini Yang Berhormat diberikan taklimat oleh Yang Mulia Pengiran Mahdi bin Pengiran Haji Md Salleh, Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat.   Kompleks Rumah Kebajikan adalah sebuah pusat pemulihan dan perlindungan yang telah diwartakan bertujuan bagi membantu mereka yang bermasalah dari segi sosial sama ada melakukannya secara senghaja atau pun terpengaruh. Kompleks ini juga menjadi tempat pemulihan dan perlindungan kepada mereka yang menjadi mangsa atau teraniaya oleh masalah-masalah sosial.  Mereka yang ditempatkan di kompleks ini atas perintah mahkamah adalah terdiri daripada kanak-kanak, remaja-remaja, belia-belia dan golongan dewasa.  Semasa berada di Kompleks Rumah Kebajikan para residen dan penghuni akan dibimbing melalui pelbagai program yang menjurus kepada kemasyarakatan, keagamaan,  kaunseling dan vokasional.  Dalam pada itu, mereka juga diberikan peluang untuk meneruskan pengajian akademik di sekolah masing-masing. 

Program-program yang disusunkan oleh Bahagian Pemulihan dan Perlindungan itu bertujuan untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan mempunyai jati diri mengikut calak Negara Brunei Darussalam berlandaskan kepada konsep Melayu Islam Beraja.

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim melawat Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara yang terletak di Kampung Pulaie, Jalan Kebangsaan

Dari Kompleks Rumah Kebajikan, Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim melawat Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara yang terletak di Kampung Pulaie, Jalan Kebangsaan.  Jabatan Pembangunan Masyarakat mempunyai Pusat Bahagia di empat-empat buah daerah yang berperanan bagi menyediakan latihan kepada Orang Berkeperluan Khas (OBK) termasuk latihan vokasional. Bagi memberi peluang kepada golongan OBK untuk mendapat perkerjaan, Jabatan Pembangunan Masyarakat menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk merekrut golongan ini dalam sektor perkerjaan.  Kini 54 orang  golongan OBK bekas pelatih Pusat Bahagia di seluruh negara berkhidmat di pelbagai sektor pekerjaan  setelah mereka menunjukkan suatu perkhidmatan memuaskan ketika menjalani latihan industri.  Pada masa sama seramai 94 orang lagi masih mengikuti latihan industri di pelbagai sektor sama ada kerajaan atau pun swasta.

Turut serta dalam rombongan Yang Behormat Dato Sri’ Rohani sepanjang lawatan ini, Yang Berbahagia Dato’ Sabariah binti Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia.

Ketika mengadakan lawatan ke aset-aset Jabatan Pembangunan Masyarakat pada hari ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia dialu-alukan oleh Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Juga turut mengalu-alukan, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Berhormat Dato Sri’ Rohani mengakhiri lawatan kerja ke negara ini lewat petang hari ini.

 
26 Januari 2015
YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim lawatan PKWE dan Bangunan Alat Kebesaran Diraja

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Yang Behormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim bergambar ramai bersama ahli jawatankuasa Pusat Kegiatan Warga Emas

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani dan rombongan mengadakan lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) yang terletak di Jalan 77, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, Daerah Brunei dan Muara. Pembinaan pusat ini bertepatan dengan strategi negara bagi mewujudkan warga emas yang sejahtera dan agar mereka dapat menjalani kehidupan aktif lagi produktif melalui pengisian masa dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.  

Lawatan diteruskan lagi dengan kunjungan Yang Berhormat Dato’ Seri Rohani ke Bangunan Alat Kebesaran Diraja, ibu negara.  Bangunan Alat Kebesaran Diraja dibina bagi memperingati Ulang Tahun Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menaiki taktha pada tahun 1992.  Bangunan menempatkan koleksi alat-alat kebesaran diraja dan alat-alat berkaitan dengan kerabat diraja Brunei.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Yang Behormat Dato’ Sri Rohani Abdul Karim bergambar kenangan di Bangunan Alat Kebesaran Diraja Brunei

Hadir pada lawatan ini, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Juga hadir, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam. Turut hadir, Yang Berbahagia Dato’ Seri Sabariah binti Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarkat Malaysia,  Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
26 Januari 2015
YB Dato' Sri Rohani Abdul Karim mulakan lawatan kerja

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Perkerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menerima kunjungan Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim di pejabat Yang Berhormat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pagi ini.  Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Perkerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menerima kunjungan Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim di pejabat Yang Berhormat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ibu negara.

Pada majlis ini kedua-dua menteri membincangkan kerjasama yang boleh diterokai oleh Negara Brunei Darussalam dan Malaysia khususnya dalam bidang kemasyakatan, keluarga, wanita dan kanak-kanak.  Negara Brunei Darussalam dan Malaysia mempunyai hubungan yang baik dan mesra dalam pelbagai bidang termasuk kemasyarakatan, keluarga, wanita dan kanak-kanak melalui pertubuhan serantau dan antarabangsa.  Kerjasama itu dijalinkan melalui permesyuaratan-permesyuaratan termasuk ASEAN Ministerial Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (AMRDPE), Asean Ministerial Meeting on Welfare and Social Development (AMSWD), Asean Ministerial Meeting on Women (AMMW),  ASEAN Disability Forum (ADF), Asean Socio-Cultural Community (ASSC).   Kerjasama juga diwujudkan dalam peringkat di luar rantau ASEAN seperti  melalui  East Asian Ministerial Forum on Families (EAMFF) dan East Asia Gender Equality Meeting.   Lain-lain kerjasama diwujudkan melalui Pertubungan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC).

Dalam pada itu, pelbagai projek kerjasama melalui ASEAN diungkayahkan  di bawah pelan-pelan rangka kerja badan sektoral seperti Senior Official Meeting on Rural Development and Poverty Eradication (SOMRDPE), Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development SOMSWD, Asean Women Council (AWC), ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Right of Women and Children (ACWC) dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)  selaku  focal point dalam perkara ini.  

Dari segi bantuan kemanusiaan pula, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat menubuhkan tabung bagi membantu mangsa banjir di Malaysia baru-baru ini yang dikenali sebagai Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia dengan kempen kutipan berjalan sehingga 9 April 2015. 

Hadir pada majlis ini, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Juga hadir, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam. Turut hadir, Yang Berbahagia Dato’ Seri Sabariah binti Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarkat Malaysia, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar dan Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Yang Behormat Dato’ Sri Rohani semasa menghadiri sesi taklimat mengenai Kementerian  Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di Bilik Mesyuarat Attaqwa

Sejurus selepas kunjungan hormat, Yang Behormat Dato’ Sri Rohani beredar ke Bilik Mesyuarat Attaqwa bagi sesi taklimat mengenai Kementerian  Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Berucap pada majlis ini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.  Taklimat mengenai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan disampaikan oleh Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan mengenai Jabatan Pembangunan Masyarakat pula disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Noridah binti Abdul Hamid, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat. Sementara itu, Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani menyampaikan taklimat mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia.

Jabatan Pembangunan Masyarakat ialah jabatan yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada  masyarakat di negara ini termasuk warga asing. Jabatan ini memainkan peranan penting kepada Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang mula dianjurkan pada tahun 2012 dengan berperanan sebagai urus setia.  Sambutan yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi institusi keluarga di negara ini dalam mengharungi arus kehidupan moden dan diraikan setiap hari Ahad pada minggu pertama bulan Mei.

 
25 Januari 2015
Rombangan Malaysia diraikan dalam Majlis Makan Malam

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Perkerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah meraikan Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim dan rombongan di Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, Jerudong

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia berserta rombongan yang berada di negara ini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari diraikan dengan majlis makan malam yang diberikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan malam ini.  Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Perkerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah meraikan Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim dan rombongan di Royal Berkshire, Jerudong Park and Polo Country Club, Jerudong.

Hadir pada majlis ini, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Major Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.  Juga hadir, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.  Majlis ini juga turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,  Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan. 

Sepanjang majlis makan malam ini rombongan menteri daripada Malaysia itu dihiburkan dengan persembahan-persembahan tarian dan nyanyian termasuk tradisi masyarakat Melayu Brunei dan eknik. 

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim mengetuai 10 orang ahli rombongan tiba di negara ini pada petang tadi.

 
25 Januari 2015
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia adakan lawatan ke negara ini

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman mengalu-alukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim yang membuat lawatan ke negara ini selama tiga hari

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim beserta rombongan tiba di negara ini bagi lawatan kerja selama tiga hari.

Ketibaan Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim di Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas dialu-alukan oleh Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Turut mengalu-alukan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani binti Abdul Karim yang mengetuai 10 orang ahli rombongan.

Semasa berada di negara ini, Yang Berhormat Dato’ Sri Rohani juga akan mengadap ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, Yang Berhormat juga dijangka mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, lawatan ke Pusat Kegiatan Warga Emas dan Pusat Bahagia

 
24 Januari 2015
Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia terima sumbangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah menerima sumbangan bagi Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia daripada Persatuan Warganegara Malaysia di Negara Brunei Darussalam

Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia (TKBBM) hari ini menerima sumbangan berjumlah  BND10,500  dari Persatuan Warganegara Malaysia di Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan tersebut diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah yang diserahkan oleh Presiden Persatuan Warganegara Malaysia di Negara Brunei Darussalam, Encik James Lee Kok Choo, berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis juga turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Awang Sahak bin Awang Salleh, Setiausaha-setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid.

Setakat ini, TKBBM telah berjaya mengutip sebanyak BND12,500.00 termasuk sumbangan yang diterima pada hari ini.

Orang ramai atau pihak-pihak yang berhasrat untuk memberikan sumbangan boleh menderma melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.

Sumbangan juga boleh dihantar terus kepada Urus Setia TKBBM di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

 
22 Januari 2015
Tinjau mangsa banjir di Kampong Lumapas 'B' dan Kg Junjongan

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah bersama rombongan melawat mangsa banjir di Kampong Lumapas 'B' dan Kg Junjongan

Berikutan banjir yang berlaku di negara jiran sehingga melimpahi ke Sungai Pandam turut menjejaskan dua buah kampung di Mukim Lumapas.

Beberapa buah rumah di Kampung Lumapas dan Kampung Junjongan telah ditenggelami air sehingga mencecah ke paras setengah meter dan menjejaskan aktiviti seharian bagi keluarga-keluarga yang terlibat.

Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah bersama rombongan dan agensi-agensi kerajaan yang lain telah mengadakan lawatan ke kawasan yang terlibat bagi meninjau keadaan banjir berkenaan.

Melalui lawatan berkenaan, Yang Berhormat berpeluang untuk mendengar maklumat secara langsung daripada pemimpin-pemimpin masyarakat dan para penduduk kampung di kawasan pentadbiran masing-masing mengenai keadaan banjir berkenaan, di samping dapat meninjau dengan lebih dekat lagi kedudukan paras air banjir di kampung-kampung tersebut yang pada masa ini dalam keadaan terkawal.

Semasa tinjauan tersebut, dianggarkan lebih 20 buah rumah telah terjejas akibat banjir tersebut termasuk jalan utama yang turut ditenggelami air.

Dalam temu bual pihak media  bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa tinjauan tersebut, Yang Berhormat menjelaskan bahawa persiapan dan bantuan darurat telah disiapkan terutamanya bagi memindahkan mangsa bencana banjir ke tempat-tempat selamat di mana pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyediakan tempat pemindahan sementara iaitu di Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas, Bengkurong, manakala pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menyediakan tempat di Kompleks Sukan Manjalin, Sungai Asam

Menurut Yang Berhormat, setakat ini tidak ada kehilangan jiwa dilaporkan, namun hanya melibatkan kerugian harta benda sahaja.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, jalan penghubung utama di Kampung Lumapas menuju ke Kampung Kasat, Kampung Putat masih boleh digunakan dan keadaan adalah terkawal setakat ini di mana pengguna-pengguna jalan raya adalah dinasihati agar berhati-hati semasa memandu di kawasan yang terbabit.

Dalam waktu yang sama, tambah Yang Berhormat, pihak Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kerja Raya dan agensi-agensi lain juga akan bersiap siaga (standby) di kawasan yang terlibat bagi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair pula menjelaskan bahawa bantuan segera oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terus dikerahkan sejurus mengetahui bahawa paras air semakin tinggi di kawasan yang terlibat itu.

Menurut Yang Berhormat, JAPEM telah pun menghulurkan sumbangan bantuan berupa makanan dan air minuman bersih kepada mangsa yang terjejas ketika ini dan penempatan sementara iaitu di Kompleks Sukan Manjalin dan Dewan Kemasyarakatan Mukim Kilanas juga telah pun disediakan jika keadaan bertambah buruk.

Pada lawatan tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menyampaikan sumbangan bantuan berupa ‘pack meal’ dan air botol kepada mangsa banjir.

Dalam hubungan ini, orang ramai adalah dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika berlakunya banjir dan disaran untuk menyimpan segala dokumen-dokumen penting ke tempat yang selamat, memindahkan kenderaan, perabot, peralatan elektrik ke tempat yang lebih tinggi dan selamat.

Orang ramai turut dinasihati agar berwaspada tentang ancaman binatang berbisa di kawasan persekitaran yang muncul akibat daripada banjir dan meninggalkan kediaman rumah masing-masing jika keadaan banjir semakin buruk.

 
22 Januari 2015
SMS Brunei Prihatin kutip BND$116ribu

Pemangku Menteri KKBS,Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman ketika menerima derma pelanggan-pelanggan
untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan yang diserahkan oleh Ketua Bahagian Perundingan dan Kuatkuasa bagi pihak Progresif Cellular Sendirian Berhad

Sebanyak BND116,000 berjaya dikutip pada Kempen SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan yang telah bermula pada 7 Julai hingga 20 Ogos 2014.

Dari jumlah tersebut, sebanyak BND88,945 dikutip melalui Syarikat Telekomunikasi DST dan BND27,016 pula dikutip daripada Progresif Cellular Sendirian Berhad (PCSB) dan para pegawai dan kakitangan DST juga turut menyumbangkan sebanyak BND20,000.

Penyerahan kedua-dua sumbangan derma daripada pihak DST diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Haji Marsad bin Haji Ismail manakala Ketua Bahagian Perundangan dan Kuatkuasa, Dayang Nurul Haniah binti Haji Jaafar pula mewakili bagi pihak PCSB.

Sumbangan itu kemudiannya diserahkan kepada Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Dayang Hajah Adina binti Othman di Pejabat Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, petang tadi.

Derma SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan bermula pada tahun 2005 dan projek pada tahun lalu merupakan kali Ke-10 diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), DST dan PCSB.

Ia bertujuan untuk memudahkan orang ramai beramal menderma dengan seangkat-angkat hati melalui khidmat SMS ke tabung berkenaan.

Dengan penyerahan sumbangan itu, Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan berjaya mengutip sejumlah BND297,861.39 dana.

 
10 Januari 2015
Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia ditubuhkan

Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman ketika mengumumkan penubuhan Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar’ Ali Saifuddin Sa’adul Khairi Waddien, Sultan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung bantuan kemanusiaan yang dikenali sebagai Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia. Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Penubuhan Jawatankuasa Tabung ini bertujuan untuk mengumpulkan derma atau sedekah seangkat-angkat hati daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir di Malaysia.

Sehubungan dengan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Khas yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia telah diadakan pada hari ini bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.  Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.  Majlis juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang  Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.  Juga hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar, dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam, dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abd Shamad.

Mesyuarat jawatankuasa pada hari ini telah menetapkan bahawa kutipan derma akan diadakan selama tiga (3) bulan iaitu mulai hari ini, 10 Januari 2015 hingga 09 April 2015. Penetapan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara atau pun menghantar terus kepada Urus Setia Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Malaysia di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada waktu pejabat.