Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2016 |  Bagi Bulan : :.       

03 Disember 2016

NBD komited penuhi keperluan warga OBK

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas (OBK)

Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) dan Asia Pacific Development Center on Disability (APCD) meraikan Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas (OBK) yang diadakan di Dewan Digadong, kementerian berkenaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis kemuncak pembukaan rasmi sambutan berkenaan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Beberapa pakar undangan termasuk dari Social Affair Officer, UNESCAP, Ms. Aiko Akiyama dan Pengarah Eksekutif APCD, Mr. Akiie Ninomiya hadir menyampaikan ucap tama, di mana pembentangan hasil dialog pula telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian OBK, JAPEM, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani.

Menerusi hasil dialog tersebut, Dayang Noryani menjelaskan, antara perkara-perkara dan isu-isu yang telah dibincangkan pada sesi dialog meliputi usaha Negara Brunei Darussalam yang baru sahaja meretafikasi CRPD, dasar-dasar dan tindakan-tindakan, di mana pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sememangnya sudah sedari awal mengambil kira keperluan warga OBK dan sekarang adalah peranan KKBS juga persatuan-persatuan OBK untuk bergiat lebih aktif dalam memenuhi hak-hak warga OBK.

Dalam memastikan penyediaan akses-akses seperti Bangunan, kawasan rekreasi, letak kereta OBK dan yang berkaitan, jelas beliau lagi, wakil dari Divisyen Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan merupakan agensi yang menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kawalan Bangunan atau Buildings Control Regulations di negara ini.

Tambahnya, walaupun seksyen yang berkaitan dengan keperluan pembinaan bangunan yang berkonsepkan mesra OBK hanya akan dilaksanakan dalam tiga tahun yang akan datang, pihak ABCi dengan aktif menyarankan pihak-pihak berkenaan yang ingin membina bangunan-bangunan baharu untuk menyediakan infrastruktur yang mesra OBK.

Selain itu, perbincangan mengenai kategori-kategori OBK, yang mana terang Dayang Noryani, pihak UN telah menyarankan agar definisi OBK yang umum, hendaklah mengikut kesesuaian dasar negara-negara, oleh itu negara-negara boleh memberi definisi yang lebih khusus mengikut keperluan polisi negara masing-masing seperti untuk mengenal pasti penerima-penerima perkhidmatan OBK dan peruntukan dalam undang-undang.

Peranan-peranan individu OBK, keluarga serta Persatuan-persatuan OBK ujarnya pula adalah penting dalam menyumbang pada perlaksanaan CRPD serta diikuti dengan sokongan daripada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat.

Melalui sesi dialog tersebut katanya lagi, menunjukkan ia merupakan platform yang berkesan bagi tujuan komunikasi dan menghasilkan cadangan-cadangan bagi pelan tindakan negara terhadap pelaksanaan United Nations Convention on the Right of Persons with Disabilities (UNCRPD).

Menurut Dayang Noryani lagi, antara contoh cadangan bagi pelaksanaan yang dibincangkan pada awal tadi adalah mentafsirkan CRPD pada bahasa yang digunakan di negara ini dan dalam format yang difahami oleh individu OBK, ahli-ahli keluarga dan semua lapisan masyarakat serta memperkukuhkan lagi mekanisme komunikasi untuk meningkatkan penglibatan golongan OBK dalam arena sosial dan ekonomi.

''Dengan penyediaan bengkel-bengkel dan program-program, juga boleh memperkasakan individu-individu OBK, keluarga dan Persatuan-persatuan OBK dalam mengadvokasikan hak-hak,'' ujarnya lagi.

Di samping itu terangnya, pihak media juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk pemahaman, penerimaan dan pelaksanaan untuk menghapuskan stereotaip dan diskriminasi terhadap golongan OBK, juga mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh warga OBK.

Sambutan Hari Antarabangsa OBK yang disambut setiap tahun pada 3 Disember diperkenalkan dan dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1992 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu dan cabaran golongan OBK selain meraikan pencapaian-pencapaian serta kemajuan-kemajuan integrasi golongan OBK dalam masyarakat yang merangkumi setiap aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Antara objektif sambutan ini diadakan adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Negara Brunei Darussalam secara rasminya telah meratifikasikan UNCRPD, di samping turut memberigakan dan menyebarluaskan mengenai UNCRPD kepada masyarakat, khususnya kepada individu-individu, para ibu bapa dan persatuan-persatuan OBK.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti POKSSP Dato Paduka Haji Mohd. Tahir, selaku Pengerusi Majlis; Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam; Setiausaha-Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Jalil dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan.

Juga hadir Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Isu Warga Emas dan OBK, pegawai-pegawai kanan yang berkenaan serta wakil-wakil Persatuan OBK dan ibu bapa serta penjaga OBK.

Sumber: Pelita Brunei

 
03 Disember 2016
Sesi Dialog bincang keperluan negara dalam Konvensyen Hak-Hak Orang Kurang Upaya

Sesi dialog dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir

Sambutan Hari Antarabangsa Orang Berkeperluan Khas (OBK) diperkenalkan dan dipromosikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) sejak 1992.

Justeru itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) meraikan sambutan ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu cabaran golongan tersebut, dan juga bagi meraikan pencapaian-pencapaian serta kemajuan-kemajuan integrasi golongan OBK dalam masyarakat, yang merangkumi setiap aspek kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya.

Sehubungan itu, satu Sesi Dialog 'Government Organization (Go) - Non Government Organization (NGOs)' bersama Pakar UN Konvensyen Hak-Hak Orang Kurang Upaya (UN CRPD) sempena Sambutan Hari Antarabangsa OBK Kali Ke-10 Tahun 2016 telah diadakan bertempat di Dewan Digadong, KKBS, Berakas, di sini.

Dalam temu bual bersama Pelita Brunei, Penolong Pengarah, Bahagian OBK, Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani menjelaskan, sesi forum diadakan antara GO dan NGOs dan daripada sembilan persatuan jemputan yang menangani OBK

Tambahnya, antara agensi kerajaan yang menghadiri sesi dialog tersebut ialah, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi-agensi kerajaan lain, untuk sama-sama mendengar sesi berkenaan.

Pada sesi ini katanya, seramai dua orang pakar jemputan luar negara telah didatangkan untuk membincangkan mengenai Konvensyen Hak-Hak Orang Kurang Upaya.

Beliau seterusnya menjelaskan, sesi dialog berkenaan dipengerusikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir bersama Timbalan Pengerusi Bersama, Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Osman yang juga Presiden SMARTER Brunei; Puan Aiko Akiyama, seorang pakar antarabangsa dalam Hak OBK dan Pembangunan Inklusif OBK dan Dr. Ryuhei Sano dari Pusat Pembangunan OBK Asia Pasifik (Asia-Pacific Center for Disability-APCD) dalam sama-sama membincangkan perkara yang berkenaan dengan UN CRPD kerana Negara Brunei Darussalam baharu sahaja meratifikasi CRPD pada bulan April tahun ini

Tambahnya, dalam sesi ini, ada sesi soal jawab untuk membincangkan lebih lanjut keperluan-keperluan yang bersesuaian di negara ini mengenai dengan konvensyen berkenaan.

Manakala, Dayang Nurul Huda binti Haji Mohin semasa ditemui menjelaskan, sesi dialog berkenaan amat berguna bagi mereka yang bertugas di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang menyediakan perkhidmatan dari segi pendidikan bagi OBK di Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, pada tahun 2016 statistik golongan OBK yang berdaftar di JAPEM adalah seramai 9,303 orang, merangkumi dua peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara ini

Dengan jumlah OBK yang meningkat di negara ini, maka pelbagai aktiviti, projek dan program giat dilaksanakan dan ianya semakin ketara dengan adanya penglibatan dari organisasi kerajaan dan bukan kerajaan.

Antara lain tujuan sambutan tersebut diadakan bagi memberikan motivasi kepada golongan OBK, serta memaklumkan usaha-usaha serta langkah kerajaan dalam meratifikasi CRPD, yang mana Negara Brunei Darussalam telah meratifikasi CRPD.

Sambutan berkenaan anjuran bersama JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; 'United Nation Economic and Social Commission for Asia and the Pacific' (UN ESCAP); APCD dan MKOKU.

Sumber: Pelita Brunei

 
01 Disember 2016
PIBB memperkasa belia berdikari

Menteri KKBS menyaksikan penandatanganan plaque kerjasama di antara Pemangku Pengarah JAPEM, KKBS dan Pengarah Politeknik Brunei (PB), Kementerian Pendidikan, Awang Denis Ho Mun Tai

Belia merupakan aset negara terpenting yang berperanan sebagai tunggak kekuatan negara selaku pewaris kepimpinan di masa akan datang.

Bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi, sebuah program membangun minda dan kemahiran belia-belia iaitu Program lnovasi Belia Berwawasan (PIBB) dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS, Dayang Rostinah Binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir dalam ucapannya menjelaskan, PIBB merupakan sebuah projek perintis yang diungkayahkan dengan kerjasama di antara JAPEM, KKBS dan pihak Politeknik Brunei, Kementerian Pendidikan sebagai salah satu usaha untuk membantu anak-anak para penerima bantuan untuk memperoleh pendapatan yang lebih dengan memberikan latihan dan kemahiran yang bersesuaian agar mereka mendapat peluang pekerjaan.

Bagi peringkat awal program ini tambahnya, seramai 14 orang peserta belia yang dipilih untuk menyertai program, yang mana 10 orang peserta terdiri daripada peserta lelaki dan empat orang peserta perempuan yang belum berumahtangga dan yang belum mempunyai sebarang pekerjaan.

"PIBB merupakan kesinambungan kepada projek BKB 100 iaitu sebuah projek perintis yang dipersetuji oleh Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) untuk dilaksanakan dengan memilih 100 orang ketua keluarga penerima Bantuan Kebajikan Bulanan yang tidak mempunyai pekerjaan untuk dicarikan pekerjaan yang membolehkan mereka keluar daripada kebergantungan kepada bantuan sahaja," ujarnya.

Beliau menambah, pemilihan peserta PIBB adalah daripada anak-anak peserta projek BKB 100 yang berumur di antara 18 hingga 21 tahun.

Jelasnya lagi, PIBB pada keseluruhannya akan mengambil masa selama sembilan bulan yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu di bawah Fasa Pertama, Penghijrahan Diri dan Minda yang mana para peserta akan diaturkan untuk mengikuti Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) selama tiga bulan yang akan bermula pada 4 Disember ini.

Manakala sejurus selesai mengikuti latihan PKBN katanya, para peserta di Fasa Kedua akan dihantar untuk mengikuti Latihan Kemahiran Asas Abad Ke 21 iaitu mengikuti program kemahiran asas di Politeknik Brunei selama tiga bulan dengan diberikan kursus pendek seperti kursus penggunaan komputer, kursus asas keusahawanan seperti belajar membuat buku kunci kira-kira dan mengikuti kursus komunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Beliau seterusnya berkata, bagi fasa terakhir pula iaitu di bawah Program Penempatan Pekerjaan, para peserta akan diaturkan untuk mengikuti latihan industri selama tiga bulan di beberapa buah syarikat swasta bagi mendedahkan mereka kepada suasana pekerjaan.

Tambahnya, adalah diharapkan selepas mereka mengikuti program PIBB ini para peserta akan berjaya untuk mendapat pekerjaan.

Majlis diisikan dengan tayangan video klip PIBB diikuti dengan menandatangani plaque kerjasama di antara Pemangku Pengarah JAPEM, KKBS dan Pengarah Politeknik Brunei (PB), Kementerian Pendidikan, Awang Denis Ho Mun Tai.

Objektif program ialah membantu memperkasa belia melalui penghijrahan minda dan peningkatan kepercayaan diri; memberikan latihan kemahiran asas pekerjaan kepada belia dan mengurangkan jumlah penerima bantuan kerajaan khususnya golongan belia.

Program ini turut sama mendapat sokongan dan gandingan bahu daripada sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam sama-sama merealisasikan belia yang bermotivasi tinggi serta berdisiplin.

Turut hadir pada majlis pelancaran ini, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Awang Haji Abidin; Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Ketua-Ketua Jabatan dan Pengarah-Pengarah di Kementerian Pendidikan dan KKBS.

Sumber: Pelita Brunei