Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2017 |  Bagi Bulan : :.       

21 Disember 2017
Sambutan Hari Sukarelawan dan OKU Antarabangsa 2017

Majlis sambutan diserikan dengan iringan muzik tradisional yang disertai oleh Orang Kelainan Upaya.

Bagi mengintegrasikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan golongan sukarelawan melalui satu platform, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengadakan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa dan Hari OKU Antarabangsa 2017.

Hadir selaku tetamu kehormat pada sambutan tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof pada majlis yang berlangsung di Dewan Riadah, Pusat Belia, di sini.

Dalam ucapan alu-aluan, Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Anak Mohd Sofian bin Pengiran Anak Haji Ibrahim menyatakan, program kesukarelawanan diberikan perhatian oleh pihak kerajaan terutama dalam kalangan belia.

Menurutnya, satu ruang sukarelawan yang akan mula digunakan menjelang pertengahan tahun 2018, disediakan di Pusat Belia bagi memudahkan para sukarelawan berhimpun, bermesyuarah atau bermuzakarah serta sebagai pusat operasi bagi perkara-perkara yang melibatkan sukarelawan.

Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa merupakan acara tahunan yang diraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada setiap 5 Disember sejak tahun 1985 yang mana Negara Brunei Darussalam telah meraikan sambutan ini sejak tahun 2011, manakala Hari Antarabangsa OKU pula telah diperkenalkan dan dipromosikan oleh PBB sejak tahun 1992 dan disambut pada setiap 3 Disember.

Dalam meraikan kedua-dua sambutan ini, dua acara yang diadakan secara berasingan telah pun dilaksanakan, iaitu Kempen 'Day of Action' (DOA) 2017 yang berlangsung pada 10 Disember dan Dialog Majlis Kesejahteraan OKU bersama Sukarelawan pada 20 Disember lalu.

 
21 Disember 2017
Mangsa banjir Mukim Lumapas terima bantuan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof membuat pendekatan kepada keluarga mangsa banjir di Mukim Lumapas ‘B’

Kejadian hujan lebat pada Rabu, 20 Disember telah mengakibatkan kejadian banjir kilat di kawasan-kawasan rendah di negara ini.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung Lumapas ‘B’, Mukim Lumapas di Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof membuat lawatan ke kawasan-kawasan yang terjejas di Kampung Lumapas ‘B’, daerah ini bagi meninjau lebih dekat rumah-rumah yang terjejas.

Dalam masa yang sama, lawatan berkenaan adalah juga sejajar dengan usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memeduli kebajikan dan kesejahteraan sosial masyarakat terutama semasa menghadapi musibah seperti ini.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada peringkat ini telah memberikan bantuan berbentuk catuan makanan (beras dan makanan kering) kepada para mangsa yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan KKBS, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin dan Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Ketua Kampung Lumapas, Awang Haji Chuchu bin Haji Serudin serta pegawai yang mewakili Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Negara Brunei Darussalam.

Rombongan Yang Berhormat turut disertai oleh Pemangku Pengarah di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, pegawai-pegawai kanan KKBS, JAPEM, Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan NDMC serta para Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung daripada kawasan yang terjejas.

 
20 Disember 2017
Wujudkan deklarasi komitmen bersama

Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Mirany Floridzah Abdul Rahman ketika mempengerusikan Sesi Dialog di antara Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dengan Majlis Sukarelawan Belia

Sesi Dialog di antara Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU) dengan Majlis Sukarelawan Belia dihasrat dapat mewujudkan deklarasi komitmen bersama kedua-dua belah pihak.

Sesi anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) diadakan di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie sempena Sambutan Hari Antarabangsa OKU dan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Hadir pada Sesi Dialog ini adalah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash’ari, selaku Pengerusi bagi Persatuan Society for Community Outreach & Training (SCOT) Green XChange; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, selaku Pengerusi Sesi Dialog dan Pemangku Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Noryani binti Haji Abd Rani, selaku Fasilitator Sesi Dialog.

Antara isi kandungan yang dibincangkan adalah mengenai pengenalan atau pengertian kategori-kategori yang terdapat di dalam golongan OKU, peranan-peranan yang berkaitan di antara persatuan-persatuan OKU dan sukarelawan dalam masyarakat dan cabaran serta kemampuan atau kemahiran yang dapat disumbangkan bersama.

Tema Sambutan Hari Antarabangsa OKU pada tahun ini adalah ‘Transformasi Ke Arah Masyarakat Mampan Dan Berdaya Tahan Untuk Semua’ atau ‘Transformation Towards Sustainable And Resilient Society For All’. Manakala tema bagi Hari Sukarelawan pada tahun ini adalah ‘Sukarelawan Bertindak Segera. Sini. Di Mana-Mana’ atau ‘Volunteers Act First. Here. Everywhere’.

Sesi Dialog tersebut bertujuan sebagai platform untuk kedua-dua pihak bermuzakarah, bertukar-tukar pandangan dan maklumat, menyediakan perancangan bagi kerjasama aktiviti, projek atau bengkel untuk tahun 2018.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dan kakitangan dari Bahagian OKU, Bahagian Sukarelawan, JBS, JAPEM serta wakil-wakil dari 13 buah persatuan di bawah Majlis Sukarelawan Belia dan sembilan buah persatuan di bawah naungan MKOKU, iaitu Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA), Persatuan Paraplegic and Physically Disabled Association (PAPDA), Pusat Ehsan Al-Hajjah Maryam, SMARTER Brunei, Learning Ladders Society, Brunei Darussalam National Association of the Blind (BDNAB), Persatuan Orang Kurang Pendengaran Kebangsaan (OKP), Special Olympics Brunei Darussalam dan Persatuan Sindrom Down (DOWN).

 
16 Disember 2017
Ahlam Najiha dan Nur Hikmah juara Peraduan Dikir Syarafil Anam

Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayangku Saihalina binti Pengiran Haji Mohd. Daud menyampaikan hadiah kepada Juara Kumpulan Pendikir wanita, Ahlam Najiha

Kumpulan Pendikir Wanita, Ahlam Najiha dan Kumpulan Pendikir Lelaki, Nur Hikmah masing-masing muncul juara bagi Kategori Kumpulan Wanita dan Kumpulan Lelaki pada Peraduan Dikir Syarafil Anam yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Peraduan tersebut anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) daerah berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Cawangan Daerah Tutong sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayangku Saihalina binti Pengiran Haji Mohd. Daud.

Naib johan bagi Kumpulan Pendikir Wanita diraih oleh Ar Raudhah, tempat ketiga Ya Nur An Nissa.

Manakala naib johan bagi Kumpulan Pendikir Lelaki dimiliki oleh At Taqwa dan tiada pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, Pengurus PKWE Daerah Tutong, Awang Metamit bin Matzin, selaku Pengerusi Majlis tersebut dalam ucapannya menjelaskan, majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan untuk mengembangkan kebolehan Ahli PKWE daerah tersebut dalam menguasai Dikir Syarafil Anam dengan baik.

Sumber: Pelita Brunei

 
14 Disember 2017
Contohi akhlak terpuji Rasulullah

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof antara yang hadir di Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-jabatan di bawahnya Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan sehebat-hebat manusia yang diutuskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Kita selaku umat Islam, yang mengikuti aqidah Ahli Sunnah Waljamaah, wajib mentaati dan mempercayai dan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Demikian dijelaskan dalam ceramah khas 'Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil' disampaikan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar selaku penceramah undangan pada Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-jabatan di bawahnya Tahun 1439 Hijrah / 2017 Masihi bertempat di Dewan Digadong, kementerian tersebut, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Penceramah undangan seterusnya menjelaskan, salah satu tanda bagi kita menzahirkan rasa kecintaan kepada Baginda Rasulullah itu ialah dengan mengamalkan sunnah-sunnahnya, iaitu apa jua yang disampaikan oleh Baginda, yang diperlakukan, yang diperkatakan dan yang diperakui oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam.

Kehidupan kita di dunia ini tambahnya, dikelilingi dengan sunnah, contohnya sebelum melakukan pekerjaan memulakan dengan bacaan Bismillah, sebelum makan membaca Doa Makan dan sebagainya.

Selain itu jelasnya, tanda kita mencintai Rasulullah ialah dengan mencontohi akhlak Baginda kerana Allah Subhanahu Wata'ala sendiri memuji dan memperakui bahawa Rasulullah mempunyai akhlak yang terpuji.

Turut hadir, Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pegawai-Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria dan Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Md. Daud; Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai-pegawai Kanan KKBS.

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Masjid Kampung Pulaie, Awang Mohd. Zakaria bin Haji Mohd. Salleh.

Majlis juga diserikan dengan Dikir Marhaban beramai-ramai dan seterusnya menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Imam masjid berkenaan.

Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati 'Anugerah Pekerja Cemerlang' kepada empat pegawai di bawah KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan KKBS dalam sama-sama memperingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyemarakkan dan menyebarkan lagi syiar Islam.

Sumber: Pelita Brunei