Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2017 |  Bagi Bulan : :.       

12 Julai 2017
KKBS adakan Majlis Silaturahim HKK

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyampaikan sumbangan derma (paket hijau) dari beberapa dermawan dan 'goddie bags' tajaan Bank Islam Brunei

Keceriaan dan kegembiraan terpapar di wajah para penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, Belimbing dan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) semasa mereka diraikan bersama ahli keluarga masing-masing pada satu Majlis Silaturahim Hari Keluarga Kebangsaan di bulan Syawal yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, di sini.

Sambutan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) adalah bertujuan bagi mengukuhkan tali silaturahim dan hubungan kekeluargaan di bulan Syawal dan turut diselajurkan bagi pemberian penghargaan kepada para penderma yang telah menyumbang kepada Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) dan Pusat Bahagia di bulan Ramadan yang lalu.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili.

Majlis telah dimulai dengan bacaan Doa Kesyukuran dan diikuti dengan penyampaian sijil kepada para penderma yang telah menghulurkan sumbangan untuk kebajikan dan kesejahteraan penghuni-penghuni KRK dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Majlis juga turut menyaksikan penyampaian sumbangan derma (paket hijau) daripada beberapa dermawan dan 'goodie bags' tajaan Bank Islam Brunei Darussalam kepada penghuni KRK dan pelatih OKU yang turut disempurnakan oleh tetamu kehormat dan datin.

Di sepanjang majlis tersebut pelbagai hidangan juadah Aidilfitri disajikan dan para yang hadir dihiburkan dengan lagu-lagu Aidilfitri dendangan golongan OKU dan artis-artis tempatan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Awang Haji Mohd Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan KKBS dan JAPEM serta wakil-wakil daripada Persatuan OKU dan para dermawan.

Majlis yang dihadiri sekitar 400 orang peserta merupakan aktiviti tahunan K KBS dan sambutan pada tahun ini memfokuskan kepada memberikan peluang serta pendedahan kepada penghuni KRK dan pelatih OKU untuk memperkaya pengalaman melalui bakat seni dan kreativiti.

Sumber: Pelita Brunei

 
10 Julai 2017
PKWE buktikan umur bukan penghalang

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menandatangani Plak Perasmian Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong.

Peningkatan jumlah penduduk warga emas di negara ini semakin ketara susulan peningkatan jangka hayat yang disebabkan oleh kualiti kehidupan rakyat dan taraf kesihatan yang semakin bertambah baik merupakan satu fenomena yang dialami oleh kebanyakan negara termasuk Negara Brunei Darussalam.

Menyedari akan hakikat ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menubuhkan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di Daerah Tutong.

Perasmian bangunan PKWE tersebut disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Juga hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Awang Haji Umarali bin Esung; Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung serta warga emas dari Daerah Tutong.

Sejurus selepas perasmian tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyaksikan pameran yang memperlihatkan pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh warga emas Daerah Tutong seperti kraf tangan, pembuatan sirap Aloe Vera, pembuatan makanan tradisi dan bacaan dikir serta tausyeh.

Pusat yang disumbangkan oleh Pengarah Urusan GHK, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin itu merupakan yang kedua dibina di negara ini, yang mana PKWE yang pertama terletak di Lambak Kanan, yang telah dirasmikan pada tahun 2013.

PKWE ini dihasrat akan menjadi mekanisme bagi membolehkan warga emas di Daerah Tutong lebih bergiat aktif terutamanya dalam menyumbang khidmat bakti kepada negara.

Meskipun pengurusan PKWE dijalankan sendiri oleh warga emas, ia membuktikan bahawa umur bukan penghalang bagi seseorang itu untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Pada masa akan datang, KKBS merancang untuk terus memudah cara penubuhan PKWE di Daerah Belait dan Daerah Temburong malahan di zon-zon Daerah Brunei dan Muara.

PKWE Daerah Tutong ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat dan Ahad bermula dari jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang dan warga emas khususnya yang menetap di Daerah Tutong adalah dialu-alukan datang dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Sumber: Pelita Brunei