Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2017 |  Bagi Bulan : :.       

14 Jun 2017
Golongan OKU, KRK diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyampaikan sumbangan derma kepada golongan OKU

Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) diraikan dalam satu Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung di The Rizqun International Hotel, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan isteri.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos; Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan KKBS.

Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil beramai-ramai dan diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada penghuni KRK dan para murid serta pelatih Pusat Bahagia. Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri.

Turut menyampaikan sumbangan yang berupa kewangan dan barangan asasi adalah wakil daripada Kumpulan Isteri-Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Isteri-Isteri Timbalan-Timbalan Menteri, Isteri-Isteri Setiausaha Tetap - Setiausaha Tetap, Isteri-Isteri Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu, Syarikat DST Sendirian Berhad, Syarikat PCSB Sdn. Bhd., Syarikat Nazmi Textile, The Rizqun International Hotel bersama wakil penyumbang dan penderma persendirian yang turut membiayai Majlis Berbuka Puasa tersebut.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jemputan yang lain seterusnya berpeluang beramah mesra bersama 149 pelatih dan murid OKU di Pusat Bahagia dan 64 penghuni KRK.

Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan KKBS untuk meraikan golongan OKU dan penghuni KRK sekali gus meningkatkan penglibatan dan sokongan masyarakat kepada mereka melalui pendekatan ’whole of nation’ termasuk peringkat individu dan korporat turut sama menyumbang dan beramal secara khusus di bulan Ramadan yang mulia ini.

Sumber: Pelita Brunei

 
10 Jun 2017
Kembara Amal Ramadan KKBS terus dipergiatkan

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral [B] Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Program Kembara Amal Ramadan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) hari ini diteruskan lagi dengan Penyerahan Sumbangan dan Jalinan Kasih Belia kepada empat buah keluarga penerima bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JAPEM) di Daerah Tutong.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Rombongan Kembara Amal KKBS, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut menyertai rombongan dan seterusnya menyampaikan sumbangan berupa hamper hari raya ialah Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Rombongan Kembara Amal KKBS ini juga disertai oleh ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Program dimulakan dengan Majlis Bertadarus dan Khatam Al-Quran Belia serta Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam Kampung Sengkarai.

Lebih kurang 200 belia yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, persatuan-persatuan belia di daerah Tutong, Kumpulan Belia Masjid, penuntut-penuntut sekolah menengah dan penduduk-penduduk Kampung Sengkarai menyertai majlis tersebut.

Program Kembara Amal Ramadan ini merupakan program tahunan KKBS ke seluruh daerah di negara ini sebagai inisiatif membantu masyarakat yang memerlukan, selain menggalakkan belia mengungkayahkan kerja-kerja amal dan berkebajikan serta menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini.

Sumber: Pelita Brunei

 
10 Jun 2017
JAPEM terima sumbangan

Penyerahan sumbangan derma oleh Pengerusi Kumpulan Isteri-Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini menerima sumbangan daripada Kumpulan Isteri-Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Tingkat 8, Pejabat Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penyerahan sumbangan sebanyak BND5,000 (Ringgit Brunei Lima Ribu Sahaja) diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan Isteri-Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Hadir sama menyaksikan, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria; Pengarah JAPEM dan Pegawai-Pegawai Kanan di JAPEM.

Sumbangan tersebut amat dihargai dan sedikit sebanyak membantu dalam usaha meningkatkan kesedaran dan membentukkan sikap positif dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menggalakkan penglibatan sukarelawan dan keinginan menyumbang lebih banyak daripada orang ramai mahupun persatuan-persatuan atau syarikat terhadap golongan-golongan yang memerlukan.

Sumber: Pelita Brunei

 
08 Jun 2017

4 Keluarga di Daerah Belait terima sumbangan

Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima

Program Kembara Amal Ramadan 2017 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) diteruskan lagi dengan Penyerahan Sumbangan Amal Bulan Ramadan Tahun 1438 Hijrah kepada empat buah keluarga di Daerah Belait. Para penerima terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan termasuk warga emas dan orang kelainan upaya.

Rombongan Kembara Amal KKBS ke Daerah Temburong telah diketuai oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Turut menyertai rombongan ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Program Kembara Amal Ramadan merupakan sebuah program tahunan KKBS yang diadakan di keempat daerah sebagai inisiatif 'outreach' untuk menggalakkan masyarakat terutama sekali belia-belia dalam mengungkayahkan kerja-kerja amal dan berkebajikan di samping menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan yang mulia ini

 
07 Jun 2017
 Tingkatkan kegiatan kemasyarakatan, kebajikan di bulan Ramadan

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyerahkan sijil penyerahan rumah bantuan kepada pasangan Dayang Sibulan binti Haji Buntar dan Awang Wahid bin Haji Abdullah

Program Kembara Amal Ramadan 2017 Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) diteruskan lagi dengan Penyerahan Sumbangan Amal Bulan Ramadan Tahun 1438 Hijrah kepada lima buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara. Para penerima terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan termasuk warga emas dan orang kelainan upaya.

Program ‘outreach’ tahunan KKBS itu bertujuan untuk meningkatkan kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan terutama sekali di bulan Ramadan yang mulia ini.

Salah satu sumbangan berupa Rumah Kabin jenis mudah alih kepada pasangan Awang Wahid bin Haji Abdullah dan Dayang Sibulan binti Haji Buntar demi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan penerima ini yang juga mengalami cacat penglihatan.

Rumah sumbangan tersebut terletak di kawasan tapak tanah adik kepada Awang Wahid di Kampung Junjongan Limau Manis, di sini.

Majlis Penyerahan Kunci rumah berkenaan disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Pasangan tersebut sebelum ini tinggal di sebuah pondok usang di kawasan yang sama dan menolak tawaran untuk ditempatkan di perumahan yang lain disebabkan kawasan asal tersebut berhampiran dengan keluarga dan juga memudahkan mereka mendapatkan sumber pencarian.

Oleh yang demikian, Jabatan Pembangunan Masyarakat telah membantu untuk mendapatkan Rumah Kabin yang lebih selamat dan selesa di kawasan yang sama dengan izin serta persetujuan ahli keluarga berkenaan.

Kembara Amal Ramadan KKBS diteruskan dengan penyerahan sumbangan yang berupa barangan keperluan asas serta ‘hamper’ hari raya kepada empat buah keluarga dari Kampung Mulaut, Kampung Masin dan Kampung Batu Ampar, Limau Manis.

Turut hadir dan mengikuti rombongan Kembara Amal ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta wakil Pegawai Daerah Brunei Muara.

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama Dayang Sibulan, 58, beliau melahirkan perasaan gembira dan menjunjung kasih ke hadapan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Jelasnya, dengan sumbangan berupa Rumah Kabin itu, beliau dan suaminya, Awang Wahid, 48, dapat tinggal dengan penuh keselesaan dan selamat dalam menjalani kehidupan harian mereka.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Jun 2017
Program Kembara Amal Ramadan di Daerah Temburong

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu semasa menyampaikan sumbangan Program Kembara Amal Ramadan kepada sebuah keluarga di Kampung Amo 'A'.

Ke arah untuk meningkatkan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti keagamaan terutama sekali golongan belia agar akan dapat secara berterusan mengukuhkan perpaduan masyarakat dan jati diri belia dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang, satu program amal yang dikenali dengan nama Program Kembara Amal Ramadan telah bermula dari Daerah Temburong.

Rombongan Kembara Amal KKBS ke Daerah Temburong telah diketuai oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, yang juga selaku Penghulu Mukim Bokok.

Turut menyertai rombongan ialah Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Program Kembara Amal Ramadan merupakan sebuah program tahunan KKBS yang diadakan di keempat daerah sebagai inisiatif 'outreach' untuk menggalakkan masyarakat terutama sekali belia-belia dalam mengungkayahkan kerja-kerja amal dan berkebajikan di samping menyemarakkan lagi sambutan bulan Ramadan yang mulia ini

Sumber: Pelita Brunei

 
01 Jun 2017
Anak yatim terima sumbangan persediaan hari raya

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa menyempurnakan Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan

Bagi meringankan beban perbelanjaan keperluan harian anak-anak yatim dan juga sebagai persediaan menjelang hari raya, satu Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1438 Hijrah / 2017 Masihi diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Majlis itu merupakan acara tahunan anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Tetamu-tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Datin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Bahrin bin Abdullah, selaku Pengerusi BIBD dan Datin.

Seramai 5,000 anak yatim di seluruh negara pada tahun ini yang berdaftar di JAPEM menerima sumbangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, Tabung Dana Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara (DBM) dan BIBD.

Hari ini, seramai 3,212 anak yatim dari DBM menerima derma berkenaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Sementara bagi anak-anak yatim di Daerah Belait, Tutong dan Temburong, mereka telah diwakili oleh pegawai-pegawai daerah masing-masing dan akan disampaikan dalam majlis penyerahan derma tersebut di daerah masing-masing.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar-Pelajar Cemerlang sumbangan daripada BIBD kepada anak-anak yatim yang memperoleh keputusan cemerlang dalam tiga kategori peperiksaan utama pada tahun 2016, iaitu Pelajar Cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) menerima baucar tunai BND500 setiap seorang, pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat 'O' menerima baucar tunai BND800 setiap seorang, manakala bagi keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'A' Level menerima baucar tunai BND1,000 setiap seorang.

Hadiah-hadiah galakan tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan selaku Pengerusi BIBD.

Jumlah sumbangan yang disampaikan dari Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan kendalian JAPEM sebanyak BND250,000 dan dari Tabung Dana Anak Yatim DBM pula berjumlah BND80,300 sementara BIBD menyumbangkan sebanyak BND150,000.

Sumber: Pelita Brunei