Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2017 |  Bagi Bulan : :.       

24 Mei 2017
Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak Yatim Kebangsaan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof semasa melancarkan SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak Yatim Kebangsaan

Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak Yatim Kebangsaan dihasrat dapat memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung anak yatim berkenaan.

Sehubungan itu, majlis pelancarannya diadakan petang tadi di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu, Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu; Pemangku Pengarah Urusan Perkhidmatan Pelanggan DST, Datin Hajah Umikalthum bin Haji Mat Daud dan Ahli Lembaga Pengarah Progresif Cellular Sdn. Bhd. (PCSB), Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adnan.

SMS Brunei Prihatin adalah projek tahunan yang diungkayahkan bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), DST dan PCSB.

Orang ramai boleh menderma melalui perkhidmatan SMS dengan menaip YATIM (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah derma iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20.

Sebagai contoh, YATIM20, bagi derma berjumlah BND20, dan hantar ke 38111 bagi pelanggan DST dan PCSB.

Kutipan derma tersebut akan berakhir pada 2 Julai 2017.

Sumber: Pelita Brunei

 
23 Mei 2017
Barigakan kefahaman Konvensyen Hak Kanak-Kanak

PARA murid-murid diberikan penerangan mengenai dengan perkara yang boleh membahayakan diri sendiri oleh orang yang tidak dikenali

Bersempena dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2017, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Badan Pergerakan Mahasiswa dan Mahasiswi Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mengadakan program mengenai hak kanak-kanak yang berlangsung di Kompleks Stadium Tertutup Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Majlis pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

Seramai 100 pelajar Tahun 3 hingga 6 daripada 10 buah sekolah kerajaan dan sekolah swasta menyertai program tersebut yang berkonsepkan Edutainment.

Pelbagai sudut interaktif dan aktiviti diadakan oleh agensi-agensi jemputan, iaitu BruCERT ITPS; Unit Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei; Jabatan Peguam Negara dan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Pengarah-Pengarah di Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, Pengarah Pendidikan Swasta, Ketua-Ketua Bahagian Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga pegawai-pegawai JAPEM.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy ketika ditemui berkata, beliau amat gembira mengetahui penglibatan belia-belia dari UBD yang tampil sama menjayakan program ini.

Manakala Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Noor Hidayah binti Haji Osman, selaku Ketua Unit Kanak-Kanak JAPEM berkata program ini antara lain bertujuan untuk membarigakan dan meningkatkan pengetahuan serta kefahaman para peserta mengenai Konvensyen Hak Kanak-Kanak atau CRC khususnya artikel 19 iaitu melindungi kanak-kanak dari semua bentuk keganasan sama ada fizikal atau mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian, penganiayaan atau eksploitasi termasuk penderaan seksual.

Sumber: Pelita Brunei

 
13 Mei 2017
Pusat Bahagia sambut Isra dan Mikraj

Kehormat majlis ialah Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya bergambar ramai bersama peserta membaca jawi

 Satu Majlis Ceramah dan Peraduan Membaca Jawi 4 Daerah Sempena Sambutan Isra’ dan Mi’raj bagi murid-murid dan pelatih-pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) telah diadakan pagi ini di Dewan Imtiyaz, Cawangan Pusat Bahagia Brunei Muara.

Di antara tujuan utama majlis keugamaan ini diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi suasana bagi memperingati peristiwa Isra’ Mi’raj Nabi Muhammad SAW yang berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-12 bersamaan dengan 622 Masihi.

Ceramah khas yang bertajuk “Keutamaan Solat Berjemaah” telah disampaikan oleh Ustaz Isham bin Ismail, Pegawai Penceramah daripada Pusat Dak’wah Islamiah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Dayang Noryani binti Haji Abdul Rani, Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Orang Kelainan Upaya di Jabatan Pembangunan Masyarakat. Turut hadir ialah ketua – ketua bahagian serta pegawai-dan kakitangan di Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Acara kemuncak majlis ini adalah Peraduan Membaca Jawi yang dikhususkan bagi pelatih-pelatih dan murid-murid OKU Pusat Bahagia di seluruh daerah. Seramai lapan orang peserta telah menyertai peraduan ini yang mana setiap daerah mewakilkan seorang peserta lelaki dan seorang peserta perempuan. Peraduan membaca jawi ini dibahagikan kepada 2 pusingan iaitu, Bahagian 1 – Membaca Teks Jawi dan Bahagian 2 – Menyebut Patah Perkataan Jawi.

Acara peraduan tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan budaya membaca dalam ayat jawi serta mengetengahkan bakat kebolehan diri dan kefahaman murid-murid dalam pengetahuan pembacaan jawi. Di samping itu juga untuk mempromosikan penyertaan golongan OKU bersama masyarakat serta mengetengahkan kewibawaan dan keberanian mereka.

Pusat Bahagia merupakan sebuah institusi yang menyediakan khidmat latihan-latihan memperkasa kepada golongan OKU agar menjadi ahli penyumbang ke dalam masyarakat. Pusat ini mempunyai cawangan di keempat-empat daerah.

Sumber: Siaran Akhbar

 
11 Mei 2017
JAPEM baik pulih rumah anak yatim

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof menyerahkan Sijil Bantuan Perumahan dan Sumbangan Bantuan kepada anak sulung Allahyarham Haji Azalani bin Haji Sulaiman dan Allahyarhamah Norita binti Laisah

Projek sepadu adalah merupakan inisiatif Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam membina dan membaik pulih tempat tinggal golongan tertentu dengan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, bukan kerajaan, swasta mahupun masyarakat termasuk individu secara bersepadu.

Sebagai salah satu projek di bawah inisiatif ini, sebuah rumah kepunyaan anak yatim piatu yang terlibat dalam kebakaran rumah pada bulan November 2016, telah pun dibaik pulih dengan kerjasama Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dan beberapa orang penderma.

Rumah yang dibaik pulih tersebut adalah kepunyaan Allahyarham Haji Azalani bin Haji Sulaiman dan Allahyarhamah Norita binti Laisah yang meninggal dunia pada tahun 2007 akibat kemalangan jalan raya.

Rumah tersebut kini didiami oleh dua orang anak perempuan mereka yang berumur 14 tahun dan 12 tahun bersama ibu saudara mereka selaku penjaga, iaitu Dayang Azizah binti Haji Sulaiman, seorang balu bersama empat orang anaknya.

Sehubungan itu, sebagai tanda rasa syukur di atas penyempurnaan projek ini dan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya, JAPEM telah mengadakan satu Majlis Doa Kesyukuran dan Tahlil.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Majlis turut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman, selaku Ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara Sabun dan Pelumpong; Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad; Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta pengarah-pengarah di KKBS serta pegawai-pegawai kanan JAPEM.

Dayang Azizah binti Haji Sulaiman, ibu saudara kepada dua orang anak yatim tersebut ketika ditemui berkata, usaha seumpama itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei terjamin selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan yang tinggi.

Saya berharap agar kedua anak saudara saya, Norhanesah dan Norfaizah menjadi anak solehah dan berjaya dalam bidang pelajaran agar suatu hari nanti mereka akan dapat berkhidmat semula kepada masyarakat," ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir menjelaskan, projek membaik pulih rumah anak yatim dan membantu orang-orang yang memerlukan ini akan terus dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa.

Sumber: Pelita Brunei

 
08 Mei 2017
Sambutan HKK catat 16 kelahiran anak damit

TETAMU Kehormat Majlis Datin Sarimah binti Haji Umar, isteri kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan bergambar ramai sejurus selepas menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada penerima

Seramai 16 anak damit telah dilahirkan pada 7 Mei 2017 di seluruh negara, diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah sempena Hari Keluarga Kebangsaan 2017.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 13 kelahiran dicatatkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini, iaitu sembilan lelaki dan empat perempuan dan dua lagi di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Daerah Belait, sementara itu tiada kelahiran dicatatkan di Daerah Temburong.

Di Daerah Brunei dan Muara, majlis penyampaian cenderahati kelahiran “Anakku Kesayanganku” berlangsung di Dewan Kuliah, Hospital RIPAS dan hadir menyampaikan hadiah ialah isteri Menteri Kesihatan, Datin Sarimah binti Haji Umar.

Anak damit pertama yang dilahirkan pada 7 Mei ialah anak damit lelaki pasangan Awang Mohd. Izzuddin bin Mohd. Yussof dan Dayang Norhamizah Adilah binti Haji Latif pada pukul 2:47 pagi.

Manakala Jerudong Park Medical Centre mencatatkan seorang kelahiran anak damit lelaki.

Pada tahun lalu, seramai sembilan anak damit dilahirkan pada 1 Mei 2016 di seluruh negara iaitu empat orang anak damit lelaki dan lima orang anak damit perempuan.

Penyampaian cenderahati kelahiran “Anakku Kesayanganku” yang sebelum ini dikenali sebagai “Anakku Harapanku” merupakan anjuran kali kelima diadakan bersempena sambutan Hari Keluarga Kebangsaan dengan pemberian kali pertama berlangsung pada tahun 2013.

Sumber: Pelita Brunei

 
07 Mei 2017
Ceramah Perdana bagi Pengukuhan Institusi Keluarga

CERAMAH Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dengan tajuk 'Keluarga Penyayang Pemangkin Kebahagiaan'

Dalam memberikan kefahaman dan kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya kesejahteraan dalam keluarga, satu Ceramah Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) Kali Ke-6 Tahun 2017 diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

 Ceramah Perdana tersebut disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned dengan membawakan tajuk 'Keluarga Penyayang Pemangkin Kebahagiaan'.

Hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Dato Paduka Haji Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berserta isteri masing-masing.

Ceramah Perdana antara lain bertujuan untuk memberikan kefahaman dan kesedaran akan kepentingan kesejahteraan dalam keluarga dengan cara mengamalkan hidup yang berdisiplin, bertamadun, dan mengikut lunas-lunas yang diajarkan oleh agama kerana pengukuhan institusi keluarga ini sangat bergantung kepada beberapa faktor terutamanya penghayatan kepada agama yang tinggi.

Penghayatan yang tinggi ini akan memastikan keluarga tersebut berada di landasan yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala manakala, penghayatan dan amalan agama yang konsisten pula akan menjamin keselamatan dan kestabilan institusi keluarga.

Justeru, setiap ahli keluarga akan memperoleh perasaan aman dan tenteram yang pastinya akan mewujudkan keharmonian dalam keluarga itu sendiri serta akan melahirkan masyarakat yang berkualiti dan negara yang harmoni, kukuh dan cemerlang.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Hari Keluarga yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid RPN Kampung Mentiri, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Abdullah diikuti dengan tayangan dua buah video promo sempena HKK 2017 yang bertajuk 'Kalau Sayang Kenapa Pukul' dan 'Keluargaku Penyayang Negara Gemilang'.

Turut hadir, pegawai dan kakitangan kerajaan, Persatuan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs), para belia, penuntut-penuntut institusi pusat pengajian tinggi, Pelatih-pelatih Pusat Pembangunan Belia, pasukan beruniform dan orang awam bersama ahli keluarga masing-masing.

Sumber: Pelita Brunei

 
07 Mei 2017
Acara kemuncak HKK meriah - Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni eratkan Raja dan rakyat

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah berkenan berangkat menyertai acara Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien (SOAS)

Suasana di ibu negara sangat meriah apabila semua lapisan masyarakat dan seisi keluarga sama-sama menyertai acara kemuncak Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2017 tahun ini iaitu Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni 2017.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyertai acara Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), di ibu negara.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah.

Keberangkatan baginda dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Terdahulu, acara kayuhan sejauh 12 kilometer dimulakan dengan pelepasan sebanyak 20 belon oleh peserta kanak-kanak.

Kayuhan turut disertai oleh Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Duta-duta serta perwakilan negara asing, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

Kayuhan melalui jalan-jalan utama iaitu Jalan Pretty; Jalan Elizabeth Dua; Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Lapangan Terbang Lama; Jalan Muhibbah; Jalan Landasan Lama; Jalan Menteri Besar; Jalan Perdana Menteri; Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien melimpasi beberapa buah bangunan ikonik seperti Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien; Dermaga; Bangunan Lapau; Pusat Belia; Bangunan Jabatan Perdana Menteri; Bangunan Alat Kebesaran Diraja dan Bangunan Sekteriat.

Kebawah DYMM beserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lintas lalu daripada ahli-ahli keluarga yang terdiri daripada cucu, anak, ibu bapa dan nenek berbasikal sebelum dijunjung berangkat menandatangani papan penghargaan / terima kasih.

Selepas berbasikal, baginda berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan lebih dekat kemeriahan Riadah Keluarga di Bandarku Ceria dengan berbagai jenis aktiviti mengikut kluster seperti kesukanan, keugamaan, keusahawanan, kemasyarakatan dan kewangan dan seterusnya berkenan menyertai perlawanan tarik kalat bersama Ahli-ahli Persatuan Tarik Kalat Brunei Darussalam.

Baginda bersama ahli-ahli kerabat diraja kemudian berkenan berangkat melawat petak-petak jualan Bandarku Ceria yang berada di sekitar Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Kluster Kesukanan terdiri daripada Demonstrasi Sukan Tarik Kalat, Lumba Perahu, Lumba Basikal dan Pertunjukan Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts).

Persatuan Tarik Kalat Brunei Darussalam turut memperlihatkan gambar-gambar penglibatan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Al-Marhum Ayahanda baginda dalam sukan Tarik Kalat pada tahun 70-an termasuk piala-piala kejohanan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut.

Manakala bagi Persatuan Lumba Perahu Brunei Darussalam menunjukkan gambar-gambar yang berkaitan dengan sukan Lumba Perahu, pameran kelengkapan berkayuh dahulu dan sekarang, pengayuh, jaket keselamatan dan perahu lumba serta demonstrasi berkayuh dalam perahu dan kecergasan (fitness).

Persekutuan Basikal Brunei Darussalam pula memperlihatkan gambar-gambar yang berkaitan dengan sukan Lumba Basikal, pameran kelengkapan berbasikal yang terdiri daripada tujuh buah basikal pertandingan dan mengadakan pertandingan 'push bike'.

Sementara itu, Skim Seni Mempertahankan Diri (Martial Arts) juga membuat Pertunjukan Seni Bela Mempertahankan Diri yang terdiri daripada sukan-sukan Wushu, Pencak Silat, Karatedo, Taekwando dan Kempo.

Selain itu, acara-acara kekeluargaan yang berbentuk telematch seperti meniup belon, menarik daun nipah, peraduan boling kelapa juga diadakan yang diungkayahkan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung megikut zon-zon di Daerah Brunei Muara.

Pertunjukan-pertunjukan seperti Pertunjukan Burung Helang dan Kakak Tua serta Pertandingan Suara Burung juga turut memeriahkan lagi keceriaan Riadah dan Keluarga Harmoni di Bandarku Ceria.

Para peniaga-peniaga kecil dan sederhana yang sudah seperti biasanya berniaga di Bandarku Ceria memang setentunya tidak melepaskan peluang berjaja pada hari tersebut begitu juga agensi-agensi swasta seperti Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) juga turut serta mempromosikan produk-produk kekeluargaan.

Riadah dan Kayuhan Keluarga Kebangsaan 2017 merupakan acara yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan dengan penglibatan semua kementerian lain serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam.

Kejayaannya mencerminkan bagaimana pendekatan keseluruhan negara yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs adalah sangat berkesan, apatah lagi jika digunapakai dalam memajujayakan program-program pembangunan negara.

Acara ini menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi di mana penglibatan aktif dan penghayatan budaya sukan oleh setiap ahli keluarga akan mewujudkan masyarakat yang sihat dan memupuk perpaduan negara.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Mei 2017
Majlis keagamaan membuka tirai HKK 2017
Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2017 juga diadakan di Daerah Temburong dengan tumpuan acara keugamaan berlangsung di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yusof. Juga hadir Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu berserta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid RPN Kampung Rataie, Awang Haji Said Ahmad bin Haji Aliamat@Aliahmad, yang juga mengimamkan Sembahyang Sunat Hajat serta mengepalai bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil. Manakala bacaan Doa Kesyukuran Sempena HKK dibacakan oleh Awang Elde bin Haji Suhaili. Sementara itu, Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah turut diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Temburong, Imam Masjid RPN Kampung Rataie.

Matlamat sambutan antara lain dihasratkan untuk meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan agama, meningkatkan kualiti dalam kehidupan berkeluarga di samping mewujudkan kasih sayang, persefahaman, bantu-membantu dan saling hormat-menghormati.

Sambutan ini juga menggalakkan masyarakat khususnya institusi keluarga di negara ini untuk membina keluarga yang bahagia dan harmoni serta menggalakkan setiap ahli keluarga meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Sambutan HKK 2017 tahun ini yang diraikan pada 7 Mei, membawa tema 'Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang' yang membawa makna mengenai kepentingan mempunyai keluarga penyayang, bersatu padu, memeduli di antara satu sama lain, saling menghormati, berkomunikasi dengan baik serta memikul tanggungjawab bersama demi menjamin masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

Fokus sambutan tahun ini adalah untuk meningkatkan kesedaran pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga dan rumah tangga.

Sumber: Pelita Brunei

 
01 Mei 2017
Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni kemuncak HKK2017

SIDANG media Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2017 (HKK2017) telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Setiausaha Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2017

Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni merupakan acara kemuncak Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2017 (HKK2017) yang akan turut menyaksikan Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta ahli-ahli kerabat diraja yang akan berlangsung pada Hari Ahad, 7 Mei 2017 di ibu negara.

Acara berbasikal tersebut akan meliputi perjalanan sejauh 16 kilometer bermula daripada Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien dan melalui beberapa batang jalan-jalan utama antaranya Jalan Pretty; Jalan Elizabeth Dua; Jalan masjid Omar 'Ali Saifuddien; Jalan Kianggeh; Jalan Sekolah; Jalan Kumbang Pasang; Jalan Gadong; Jalan Perdana Menteri; Jalan Stadium; Jalan Pertahanan; Jalan Lapangan Terbang; Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien.

Acara yang menggabungkan aspek gaya hidup sihat dan rekreasi dibukakan secara percuma di mana para peserta, pengunjung dan ahli keluarga juga berpeluang memulakan langkah dan keceriaan hari mereka dengan meraih keberkatan dengan mengikuti program Masjidku Ma'mur, Negara Berkat dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah dan mendengarkan Tazkirah Subuh berkaitan dengan Hari Keluarga di Masjid Omar 'Ali Saifuddien.

Perkara tersebut dijelaskan dalam satu sidang media yang diadakan di Dewan Citra Budaya, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof yang merupakan Setiausaha-Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2017.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Operasi, Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas, DSP Hamri Aslan Haji Abu Hanifah dan Haji Md Ruzaimi bin Haji Rosli selaku Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Basikal.

Sidang media tersebut merupakan usaha bagi membarigakan dan memberikan maklumat kepada orang ramai mengenai Sambutan HKK2017 yang akan diadakan pada hari Ahad 10 Syaaban 1438 bersamaan dengan 7 Mei 2017 iaitu hari Ahad minggu pertama dalam bulan Mei.

Sambutan pada tahun ini membawa tema 'Keluargaku Penyayang Negara Gemilang' yang membawa makna kepentingan mempunyai keluarga penyayang, bersatu padu, memeduli di antara satu sama lain, saling hormat menghormati, berkomunikasi dengan baik serta memikul tanggungjawab bersama demi menjamin masa depan keluarga, masyarakat dan negara.

Terdahulu, turut dibarigakan ialah Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang akan dimulakan dengan Majlis Kesyukuran iaitu Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Khas Hari Keluarga yang akan diadakan pada hari Sabtu, 6 Mei 2017 bermula jam 5.45 petang.

Di Daerah Brunei dan Muara tumpuan utama bagi Majlis Kesyukuran akan diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut dan di Daerah Belait diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan; di Daerah Tutong diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang dan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie bagi Daerah Temburong. Majlis serupa juga turut diadakan di semua masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara.

Selain itu, Ceramah Perdana Pengukuhan Institusi Keluarga yang bertemakan 'Mewujudkan Keluarga Sakinah Mawaddah Warrahmah' akan diadakan pada petang hari Ahad, 7 Mei 2017 yang akan disampaikan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang akan mengambil tempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Sementara itu bagi memberi penghargaan khas kepada anak-anak damit yang lahir pada 7 Mei 2017, mereka turut diraikan dalam Program 'Anakku Kesayanganku' yang akan diadakan secara serentak pada hari Isnin 8 Mei 2017 di tiga hospital utama iaitu Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleh di Bandar Seri Begawan, Hospital Suri Seri Begawan di Kuala Belait dan Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam di Pekan Bangar, Temburong.

Pada sidang media tersebut turut sama memberikan taklimat ialah Penolong Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam, Awang Haji Md Ruzaimi bin Haji Rosli yang menyentuh aspek-aspek keselamatan dan berpakaian bagi peserta-peserta Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni dengan memastikan 'helmet' keselamatan digunakan sepanjang aktiviti berjalan.

Manakala wakil dari Pasukan Polis Diraja Brunei juga menerangkan berkenaan penutupan beberapa batang jalan raya yang dilalui peserta Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni. Menurut Pemangku Ketua Operasi, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), DSP Hamri Aslan bin Haji Abu Hanifah jalan-jalan tersebut akan ditutup dan dikawal selia oleh para pegawai JSKLL bermula dari jam 6.00 pagi hingga riadah berbasikal selesai.

Beliau menambah, jalan-jalan utama yang akan dikawal selia menjelang berlangsungnya acara tersebut ialah Kawasan Lampu Isyarat Jalan Haji Basir (Hadapan Bangunan Bomba) dan sepanjang Jalan Lampu Isyarat Taman Jubli; Kawasan Lampu Isyarat Jalan Kumbang Pasang, iaitu berdekatan dengan STPRI sehingga ke Jalan masuk ke Sekolah St. Georges; Simpang Lampu Isyarat Jalan Ong Sum Ping; Jalan Menteri Besar menghala ke Pusing Keliling; Jalan Airport Lama menghala ke Jalan Menteri Besar; Simpang Lampu Isyarat Jalan Pertahanan; Kawasan Lampu Isyarat Jalan Residency / Jalan Mc Arthur dan Simpang Jalan Stadium dan Jalan Persidangan. Manakala tempat letak kereta yang perlu dikosongkan awal sehari sebelum acara bermula ialah Jalan Tasek; Jalan Kianggeh; Jalan Mc Arthur sepanjang Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien, sepanjang Jalan Stoney; sepanjang Jalan Haji Basir; sepanjang Jalan Kumbang Pasang; sepanjang Jalan Stadium; sepanjang Jalan Pasir Berakas dan sepanjang Jalan Delima.

Sambutan HKK2017 akan diselenggarakan bersama oleh KHEDN, KHEU, KKBS dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan korporat dan organisasi bukan kerajaan termasuk di peringkat akar umbi.

Beberapa acara sampingan juga yang akan turut diadakan oleh semua kementerian, Majlis Perundingan Kampung dari seluruh negara, pihak NGOs dan syarikat swasta yang turut sama dalam mempromosikan produk-produk kekeluargaan.

Di samping itu acara-acara kekeluargaan yang berbentuk 'telematch' juga akan diadakan di samping pertunjukan burung dan pertandingan suara burung untuk menambah lagi keceriaan Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni di Bandarku Ceria nanti. Juga akan diadakan ialah Karnival Mudahnya Sembahyang sempena Israk dan Mikraj Peringkat Negara 1438 Hijrah yang diadakan sekali gus bagi memeriahkan lagi acara Riadah dan Kayuhan Keluarga Harmoni yang menyediakan aktiviti dan taklimat seperti Klinik Wudhu dan Tayamum, Klinik Al-Fatihah dan Klinik Sembahyang.

Pihak Jawatankuasa Tertinggi turut mengalu-alukan orang ramai termasuk kementerian-kementerian, Majlis Perundingan Kampung, badan bukan kerajaan, syarikat swasta dan semua pihak untuk sama-sama memeriahkan Sambutan HKK2017 dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bersesuaian.

Sebagai tanda perpaduan senegara dan menjadikan Sambutan HKK2017 sebagai landasan untuk mengukuhkan dan pentingnya pertalian keharmonian keluarga, orang ramai boleh sama-sama mengongsikan aktiviti bersesuaian melalui aplikasi sosial instagram @harikeluargakebanagsaan atau #hkk2017.

Sumber: Pelita Brunei