Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2017 |  Bagi Bulan : :.       

20 November 2017
13 orang belia tamat kursus PIBB

Pemangku Timbalan Pengarah JAPEM, Abd Rahman bin Haji Apong menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil agensi yang terlibat dengan Program Inovasi Belia Berwawasan

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan satu majlis penutup Tamat Kursus Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB).Program ini telah dilancarkan pada 1 Disember 2016.Program ini merupakan kerjasama antara Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Politeknik Brunei.

Seramai 13 orang peserta yang berumur di antara 18 hingga 21 tahun telah berjaya menamatkan program ini yang mengambil masa 9 bulan dari 4 Disember 2016 hingga 5 Oktober 2017 dan diadakan secara 3 fasa. Antara intipati program yang diikuti oleh para peserta ialah Penghijrahan Diri dan Minda dalam Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Latihan Kemahiran Asas Alaf ke 21 iaitu Pendidikan secara “mentor-mentee” di Politeknik Brunei dan Penempatan Kerja yang mana para peserta menjalani latihan industri di beberapa buah syarikat swasta.

Antara lain tujuan Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB) ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha untuk membantu belia yang belum mempunyai pekerjaan memberikan latihan dan kemahiran yang bersesuaian agar mereka mendapat peluang pekerjaan di masa akan datang. Projek seumpama ini juga adalah salah satu usaha dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu mencapai Kehidupan Rakyat Yang Berkualiti Tinggi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Awang Dennis Ho Mun Tai, Pengarah Politeknik Brunei.

Bagi memberkati majlis acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Awang Abdul Ghani bin Murni daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Majlis bermula dengan kata alu-aluan daripada tetamu kehormat kepada para peserta dan jemputan majlis sebelum menonton tayangan video klip PIBB.Sebagai tanda penghargaan, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada peserta yang disampaikan oleh Pengarah Politeknik Brunei.

Turut hadir di majlis ini ialah Pg Muhd Nuur Hakiim bin Pg Anak Badi’ozaman, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Pegawai Kanan dari Tabung Amanah Pekerja (TAP), pegawai serta kakitangan dari JAPEM dan mentor-mentor Politeknik Brunei.

 
16 November 2017
50 pelajar sertai Forum Kanak-Kanak Brunei Darussalam

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii hadir selaku tetamu kehormat majlis Penutup Forum Kanak-Kanak Brunei Darussalam

Forum Kanak-Kanak Brunei 2017 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Syarikat Data Stream Technology (DST) berakhir dengan Majlis Penutupan Rasmi yang diadakan di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii.

Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Haji Hanafiah bin Haji Mahmud dan disusuli dengan penyampaian hasil sesi Suara Kanak-Kanak oleh empat pelajar yang terpilih iaitu Jerick Yap Raymundo, pelajar Tahun 9 dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; Dayang Alya Insyirah binti Adri Syame, pelajar Tahun 9 Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri; Awang Abdul Hakim Afiq bin Abdullah, pelajar Tahun 10 dari Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien dan wakil pelajar Orang Kelainan Upaya yang disampaikan oleh Dayang Siti Jalilah binti Abdullah pelajar Tahun 10 Sekolah Menengah Menglait.

Seramai 50 penuntut Tahun 9 dan 10 mewakili sekolah menengah kerajaan dan swasta menghadiri forum yang diadakan selama dua hari tersebut. Turut diadakan selepas penyampaian hasil sesi Suara Kanak-Kanak ialah pameran dapatan daripada forum tersebut.

Selain mendengarkan taklimat, para pelajar juga berpeluang untuk berbincang, berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dengan fasilitator dan rakan-rakan sebaya dan menghasilkan 'Suara Kanak-Kanak' yang seterusnya berguna sebagai rujukan dalam menyediakan dasar dan program yang melibatkan kanak-kanak.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Ahli-Ahli Komiti Pelindungan; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir serta pegawai-pegawai kanan JAPEM.

Sumber: Pelita Brunei

 
15 November 2017
Tingkatkan pengetahuan mengenai Konvensyen Hak Kanak-kanak

Persembahan daripada murid-murid Sekolah Sarjana Mulia

Sempena dengan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang diratifikasikan oleh Konvensyen Hak Kanak-kanak sejak 27 Disember 1995, Forum Kanak-kanak Brunei Darussalam selama dua hari diadakan bermula 15 hingga 16 November dengan tema 'Kanak-kanak Cemerlang, Negara Gemilang'.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikannya ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang berlangsung di Dewan Di-Gadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah 50 pelajar Tahun 9 dan 10 dari sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta.

Acara diisikan dengan penyampaian ucaptama daripada Wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussalam, Marianne Clark-Hattingh mengenai gabungan artikel 5 (bimbingan ibu bapa / penjaga / parental guidance), artikel 17 (membolehkan untuk mendapat maklumat melalui media massa) dan artikel 29 (matlamat pendidikan) di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak.

Forum yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Authority for Info-communications Technology Industry (AiTi) Brunei Darussalam tersebut, antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan khususnya kepada kanak-kanak mengenai Konvensyen Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Child - CRC) dan orang ramai secara amnya.

Selain itu, ia juga untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak bagi menyuarakan pandangan pandangan mereka yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam menyediakan dasar dan program yang melibatkan kanak-kanak.

Juga hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Dato Paduka Haji Mohammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohd. Jammy bin Haji Muhd. Shah Al-Islam selaku Ahli Isu Jawatankuasa Khas Isu Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak; wakil ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (ACWC) Brunei Darussalam, Dayang Hajah Misnah binti Bolhassan; wakil-wakil Ahli Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, pegawai-pegawai kanan KKBS dan wakil-wakil DST Communications Sdn. Bhd. (DST) sebagai penaja utama.

Sumber: Pelita Brunei

 
11 November 2017
Terima sumbangan derma

Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir menerima sumbangan dari wakil Syarikat Lian Tong dan Anak-Anak

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), hari ini menerima sumbangan daripada Syarikat Lian Tong dan Anak-Anak. Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Tingkat 3, Pejabat Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penyerahan sumbangan sebanyak BND3,000 (Ringgit Brunei Tiga Ribu Sahaja) diserahkan oleh Wakil Syarikat Lian Tong dan Anak-Anak, Awang Allen On kepada Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Turut hadir sama menyaksikan, Setiausaha Lembaga Melesen Pengangkutan Bermotor (MTLA), Awang Haji Mohammad Syafien bin Yandol @ Abdullah dan Penolong Pengarah JAPEM, Dayang Noryani binti Haji Abd Rani.

Sumbangan tersebut amat dihargai dan sedikit sebanyak membantu dalam usaha meningkatkan kesedaran dan membentukkan sikap positif dalam kalangan masyarakat dan seterusnya menggalakkan penglibatan sukarelawan dan keinginan menyumbang lebih banyak daripada orang ramai mahupun persatuan-persatuan atau syarikat terhadap golongan-golongan yang memerlukan.