Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2018 |  Bagi Bulan : :.       

25 April 2018
Sambutan HKK pada 6 Mei 2018

Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2018 semasa mempengerusikan Sidang Media Hari Keluarga Kebangsaan 2018

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) Kali Ke-7 2018 akan diraikan pada 6 Mei 2018 dengan mengekalkan tema 'Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang'.

Sambutan HKK tahun ini akan menumpukan terhadap permasalahan penyalahgunaan dadah yang menyumbang kepada peningkatan keganasan rumah tangga dan menggugat keharmonian serta kesejahteraan institusi keluarga.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2018 semasa mempengerusikan Sidang Media yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, KKBS, di sini.

Jelasnya, sambutan tersebut akan didahului dengan Majlis Kesyukuran iaitu Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Khas Hari Keluarga Kebangsaan pada Khamis, 3 Mei 2018 bermula jam 5.45 petang diadakan serentak di semua masjid seluruh negara dengan tumpuan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri, Daerah Brunei dan Muara; Masjid Pengiran Anak Mohamed Alam Kampung Sengkarai, Daerah Tutong; Masjid Mohamad Jamalul Alam, Daerah Belait dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Daerah Temburong.

''Acara kemuncak sambutan ialah Acara Perhimpunan Keluarga: Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni yang akan berlangsung pada Ahad, 6 Mei 2018 di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien,'' jelas Awang Haji Amer Hamzah.

Tambahnya, acara akan dimulakan dengan Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien dengan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah dan diikuti dengan sesi tazkirah yang akan memfokuskan terhadap sambutan HKK 2018.

Sambutan kemudiannya akan diteruskan dengan Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni, yang menjangkakan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

''Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni, menggabungkan aspek gaya hidup sihat, yang diharap akan dapat memupuk perpaduan negara melalui penghayatan budaya bersukan dengan penglibatan setiap ahli keluarga, segenap lapisan masyarakat, yang seterusnya akan mewujudkan warga sihat yang sentiasa mengamalkan kegiatan dan aktiviti sukan secara berterusan,'' tambahnya.

Riadah berbasikal yang dianjurkan oleh KKBS bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama semua kementerian yang lainnya serta Persekutuan Basikal Brunei Darussalam itu adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Dengan laluan kira-kira 11.49 kilometer, riadah berbasikal akan bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddienn.

Bagi sama-sama memeriahkan lagi sambutan berkenaan, KKBS mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama hadir bagi memeriahkan Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni yang akan bermula pada jam 7.00 pagi dan diikuti dengan pelbagai aktiviti riadah keluarga berbentuk permainan, pameran info keluarga dan jualan bazar.

Sambutan HKK 2018 juga akan turut dimeriahkan lagi dengan Majlis Anakku Kesayanganku, iaitu penyampaian penghargaan khas kepada anak-anak damit yang dilahirkan bermula jam 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam 6 Mei 2018.

Majlis akan diadakan secara serentak pada 7 Mei 2018 di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Hospital Suri Seri Begawan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam.

Selain itu beberapa acara sampingan juga akan diadakan dan semua pihak adalah digalakkan untuk memeriahkan Sambutan HKK 2018 pada tahun ini dengan aktiviti yang bersesuaian dan mengongsikan aktiviti berkenaan melalui instagram '@harikeluargakebangsaan' atau '#hkknbd2018'.

Pemangku Setiausaha Tetap KKBS menyeru orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk sama-sama meraikan dan memeriahkan Sambutan HKK 2018 dengan pelbagai aktiviti berbentuk kekeluargaan sepanjang tahun, bagi menghayati mesej dan maksud HKK sebenar, iaitu sebagai landasan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan.
 

Sidang media diselajurkan dengan penyerahan Poster HKK 2018 daripada Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar kepada Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, yang kemudiannya menyerahkan kepada wakil-wakil Pegawai Daerah dan kementerian-kementerian.

Sumber: Pelita Brunei

 
16 April 2018
Permasalahan penyalahgunaan dadah fokus sambutan HKK 2018

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucapan mukadimah

Institusi keluarga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sebuah masyarakat dan negara yang berintegerasi tinggi dan ia diibaratkan tiang yang menjadi asas sebuah rumah untuk berdiri megah.

Oleh itu, terpimpinnya sebuah keluarga akan mampu melahirkan sebuah masyarakat sejahtera dan cemerlang, manakala rapuhnya sebuah keluarga akhirnya akan meruntuhkan masyarakat dan negara.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menekankan sedemikian semasa menyampaikan ucapan mukadimah pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kali ke-2 Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) Kali ke-7 bagi tahun 2018 yang diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.

Yang Berhormat seterusnya berkata, fokus sambutan pada tahun ini ialah permasalahan penyalahgunaan dadah yang turut menyumbang kepada peningkatan keganasan rumah tangga dan mengugat keharmonian serta kesejahteraan institusi keluarga.

Ke arah itu jelasnya, isu sedemikian perlu diambil kira dalam merancang program-program pengukuhan institusi keluarga di sepanjang tahun.

Bagi memastikan kejayaan sambutan tahun ini, Yang Berhormat juga menekankan bahawa semua pihak termasuk dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan NGO serta pemimpin akar umbi masyarakat, khsusnya ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Kerja akan memberikan komitmen yang sepadu, berganding bahu melipatgandakan usaha menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim, kampong, mahupun di peringkat organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing.

Antara agenda utama yang dilaporkan ialah persediaan bagi Majlis Kesyukuran Sempena HKK di masjid-masjid utama di seluruh daerah yang akan diadakan pada Khamis, 17 Syaaban 1429 Hijrah bersamaan 3 Mei 2018 Masehi.

Diikuti dengan acara kemuncak pada Ahad, 20 Syaaban 1439 Hijrah bersamaan 6 Mei 2018 Masihi, iaitu Acara Perhimpunan Keluarga yang bermula dengan acara Masjidku Makmur, Negara Berkat, disusuli dengan acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni dan Riadah Keluarga Harmoni yang akan berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Manakala, acara Anakku Kesayanganku akan diadakan pada Isnin, 21 Syaaban 1439 Hijrah bersamaan 7 Mei 2018 Masihi, di hospital-hospital setiap daerah serta Kempen Mempromosi Keluarga Penyayang untuk menyebarluaskan mesej Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang.

Turut hadir di mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Timbalan Pengerusi Sambutan HKK 2018; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara; wakil Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan juga wakil-wakil daripada sektor swasta dan organisasi-organisasi bukan kerajaan