Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2018 |  Bagi Bulan : :.       

30 Januari 2018
Sambutan HKK wadah pengukuhan keluarga

Mesyuarat Hari Keluarga Kebangsaan 2018 yang diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) pada tahun ini akan diraikan pada 6 Mei dengan tema 'Keluargaku Penyayang Negara Gemilang'.

Ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya kasih sayang di antara ketua dan ahli-ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga dan rumah tangga yang 'sakinah', 'mawaddah' dan 'warahmah'.

Sebagai persediaan untuk menyambut HKK Ke-7, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK telah mengadakan mesyuarat pertama di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir bagi mempengerusikan mesyuarat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK.

Dalam ucapan mukadimah, Yang Berhormat menekankan bahawa Sambutan HKK merupakan wadah untuk menyatukan usaha secara 'whole of nation' bagi menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian dan pengukuhan keluarga untuk mengatasi segala cabaran.

Sebagai langkah untuk kesempurnaan Sambutan HKK tahun ini, ujar Yang Berhormat lagi, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK telah bersidang lebih awal bagi persediaan yang lebih mantap dan perancangan yang lebih teratur.

Sambutan HKK 2018 seperti tahun yang lalu akan diadakan secara sepadu oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan serta penglibatan aktif daripada agensi kerajaan yang lain, pihak swasta, dan Persatuan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) melalui pendekatan 'whole of nation'.

Bagi menjayakan sambutan pada tahun ini, Yang Berhormat menggesa semua pihak sama ada dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan, institusi-institusi, para penghulu dan ketua kampung serta pemimpin akar umbi masyarakat, diseru untuk berganding dan terus sama-sama bekerjasama dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim atau kampung masing-masing, mahupun di peringkat organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing dalam aspirasi negara iaitu keharmonian dan perpaduan keluarga serta masyarakat yang menyumbang ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035.

Turut hadir, ahli-ahli dan wakil ahli yang terdiri daripada wakil Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan juga wakil-wakil daripada sektor swasta dan organisasi-organisasi bukan kerajaan.

Sumber: Pelita Brunei

 
16 Januari 2018
Warga emas terima bantuan rumah

SETIAUSAHA Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin yang juga selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB menyerahkan anak kunci rumah kepada penerima bantuan, Awang Asbi bin Md. Yassin.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bersama-sama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan rumah bantuan kepada warga emas, Awang Asbi bin Md. Yassin.

Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan penyampaian anak kunci rumah di Dewan Kebudayaan Pelancongan, Kampung Sungai Matan, ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama danPelancongan, Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.

Rumah asal Awang Asbi di Kampung Sungai Matan, Jalan Kota Batu telah roboh dan tidak selamat untuk didiami.

Beliau tidak mempunyai pekerjaan, hanya bergantung kepada Elaun Bulanan Pencen Umur Tua JAPEM dan masih menanggung seorang isteri, tiga orang anak serta dua ahli keluarga.

Awang Asbi, 68, ketika ditemui melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas rezeki sumbangan rumah bantuan yang diberikan kepadanya serta menghargai pemedulian dan keprihatinan dari pihak-pihak berkenaan yang membolehkannya memiliki tempat tetap untuk mereka sekeluarga berteduh.

JAPEM dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengendalikan urusan pembelian dan tukar milik sebuah rumah terpakai di Kampung Sungai Matan untuk disumbangkan kepada Awang Asbi.

Pemberian rumah bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan secara bersepadu dengan agensi-agensi yang terlibat bertujuan bagi melahirkan semangat kerjasama secara kolektif membantu mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini, iaitu selaras dengan tujuan penubuhan YSHHB.

Sumber: Pelita Brunei

 
10 Januari 2018
JAPEM beri taklimat pelajar IBTE

Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan JAPEM, Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar baru IBTE

Kehidupan penuntut peringkat tinggi di Institute of Brunei Technical Education (IBTE) bermula untuk seramai 260 orang pelajar baru bagi pengambilan bulan Januari pada tahun ini. Beberapa pelajar dan guru-guru dari IBTE menghadiri majlis orientasi mereka yang berlangsung selama 3 hari di Dewan Kuliah Aviation, Kampus IBTE Saiful Rizal, Jln Berakas.

Sebagai salah satu acara majlis orientasi bagi pengambilan penuntut baru ini, pihak sekolah IBTE telah menjemput beberapa penceramah dari agensi-agensi kerajaan untuk menyampaikan ceramah, termasuk Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) pada petang itu.

Bagi pihak JAPEM, ceramah tersebut disampaikan oleh Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji, Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan. Turut hadir untuk menyampaikan ceramah adalah pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (Pusat Dakwah Islamiah) dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Biro Kawalan Narkotik).

Tujuan ceramah ini adalah sebagai pengetahuan umum para pelajar-pelajar baru dan yang melanjutkan peringkat tinggi dalam pengajian mereka. Tajuk ceramah adalah mengenai akhlak, gejala sosial dan dadah dikalangan generasi masa kini.

Dalam ceramah tersebut, para penceramah menyeru agar sentiasa berakhlak baik dan berhati-hati bergaul sesama rakan sebaya agar menghindari diri dari pengaruh yang buruk, apalagi di zaman sekarang yang canggih bermedia sosial.

Mana-mana agensi kerajaan yang ingin mengadakan taklimat atau ceramah melibatkan JAPEM, sila hubungi Unit Perhubungan Awam di talian 2382911/2381903 ext 1341/1242.