Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2018 |  Bagi Bulan : :.       

24 Mei 2018
Enam keluarga terima bantuan JAPEM

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Daerah Brunei dan Muara

Seramai enam buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara yang tersenarai di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima sumbangan berupa barang keperluan asas melalui Program Kembara Amal Ramadan.

Program berkenaan merupakan program tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sebagai inisiatif 'outreach' ke seluruh daerah untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bagi membantu dan meringankan beban orang-orang susah.

Selain itu, ia juga dapat memberikan kegembiraan kepada mereka dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

Mengetuai rombongan bagi program tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Yang Berhormat berserta rombongan mula-mula berkunjung ke rumah keluarga pertama di Kampung Sungai Besar bagi menyampaikan sumbangan amal bulan Ramadan.

Kemudiannya meneruskan kembara amal ke beberapa buah rumah lagi bertempat di Kampung Pengkalan Sibabau, Mentiri; Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mentiri, seterusnya dilanjutkan ke Kampung Serasa; Perumahan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Tanah Jambu dan Kampung Perpindahan Jaya Setia Berakas.

Turut menyertai rombongan tersebut ialah Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta pegawai-pegawai kanan di KKBS dan JAPEM.

 
23 Mei 2018
3,103 anak yatim terima sumbangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sumbangan derma kepada penerima-penerima

Bagi meringankan beban perbelanjaan keperluan harian anak-anak yatim dan sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri, satu Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Bank Islam Brunei Berhad (BIBD) serta Datin dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta Datin.

Pada tahun ini seramai 4,840 anak-anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), menerima sumbangan derma daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan.

Seramai 3,103 anak-anak yatim Daerah Brunei dan Muara menerima sumbangan mereka yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Manakala bagi anak-anak yatim di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong diwakili oleh Pegawai Daerah masing-masing dan akan disampaikan dalam satu majlis penyerahan derma di daerah masing-masing.

Majlis turut diselajurkan dengan Penyampaian Skim Hadiah Galakan Pelajar Cemerlang BIBD untuk Anak-Anak Yatim 2017 kepada 21 pelajar daripada peringkat 'A' Level, 'O' Level, Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), dan Peperiksaan Sekolah Rendah (PSR) yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan II selaku Pengerusi BIBD.

Sumbangan derma untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan di bawah kendalian JAPEM telah berjaya mengumpul sebanyak BND90,803.00 melalui kempen kutipan SMS Brunei Prihatin yang turut dijayakan bersama oleh Radio Televisyen Brunei, DST Communication Sendirian Berhad (DST) dan Pogressif Cellular Sendirian Berhad (PCSB).

 
12 Mei 2018
JAPEM anjur ceramah menjelang Ramadhan 1439 Hijrah

Majlis Ceramah Menjelang Ramadhan 1439 Hijrah yang berlangsung di Dewan Kuliah, Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan (PASS) telah mengadakan Majlis Ceramah Menjelang Ramadhan 1439 Hijrah di Dewan Kuliah, Kompleks Rumah Kebajikan, Belimbing JAPEM.

Bulan Ramadhan memberikan peluang untuk meraih pahala yang banyak dan tidak patut dibiarkan berlalu.

Perkara tersebut adalah antara isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Haji Anwari bin Haji Rawi.

Antara yang hadir pada majlis ceramah pagi tadi, Penolong Pengarah JAPEM, Dayang Noryani binti Haji Abd Rani.

 
10 Mei 2018
Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak Yatim Kebangsaan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak Yatim Kebangsaan

Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak Yatim Kebangsaan dihasrat dapat memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung anak yatim berkenaan.

Sehubungan itu, majlis pelancarannya diadakan pagi tadi di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Antara yang hadir pada majlis pelancaran itu, Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

SMS Brunei Prihatin adalah projek tahunan yang diungkayahkan bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), DST dan PCSB.

Orang ramai boleh menderma melalui perkhidmatan SMS dengan menaip YATIM (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah derma iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20.

Sebagai contoh, YATIM20, bagi derma berjumlah BND20, dan hantar ke 38111 bagi pelanggan DST dan PCSB.

Kutipan derma tersebut akan berakhir pada 18 Jun 2018.

 
07 Mei 2018
Cenderahati kelahiran 'Anakku Kesayanganku'

Sesi bergambar ramai Tetamu-tetamu Khas  isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi dan isteri Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Datin Hajah Norhaida binti Haji Sulaiman bersama

Seramai 14 anak damit telah dilahirkan pada 6 Mei 2018 di seluruh negara, diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah sempena Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2018.

Daripada jumlah tersebut, 12 kelahiran dicatatkan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), di sini, iaitu enam lelaki dan enam perempuan dan dua lagi di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Daerah Belait, sementara itu tiada kelahiran dicatatkan di Daerah Temburong dan Tutong.

Di Daerah Brunei dan Muara, Majlis Penyampaian Cenderahati Kelahiran 'Anakku Kesayanganku' berlangsung di Bilik Seminar, Hospital RIPAS.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Hasbi dan isteri Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Datin Hajah Norhaida binti Haji Sulaiman.

Anak damit pertama yang dilahirkan pada 6 Mei ialah anak damit lelaki dari pasangan Awang Maskuri dan Dayang Jamiatul Asiah Iding yang lahir jam 2.44 pagi.

Pada majlis itu, keluarga anak-anak damit berkenaan menerima cenderamata berupa barangan keperluan anak damit.

Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran 'Anakku Kesayanganku' merupakan salah satu usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan selaku Penyelaras Bersama HKK, khususnya bagi majlis 'Anakku Kesayanganku'.

Selain itu, pemberian cenderamata kelahiran tersebut juga diharap menjadi pendorong kepada semua masyarakat di negara ini untuk menyayangi dan menghargai anak-anak bermula dari kelahiran lagi, sebagai satu anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang sangat bermakna dalam kehidupan berkeluarga.

Penyampaian cenderahati kelahiran 'Anakku Kesayanganku' yang sebelum ini dikenali sebagai 'Anakku Kesayanganku' merupakan anjuran kali keenam diadakan sempena sambutan HKK dengan pemberian cenderahati kali pertama pada tahun 2013.

Sumber: Pelita Brunei

 
07 Mei 2018
Hospital Suri Seri Begawan catat dua kelahiran sempena HKK 2018

Sesi bergambar ramai bersama tetamu-tetamu khas iaitu Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Muhamad (dua, kiri), isteri kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Datin Hajah Zalina binti Haji Omar (kanan, dua), isteri kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Sempena Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2018, Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan seramai 14 orang kelahiran anak damit iaitu lapan orang anak damit lelaki dan enam orang anak damit perempuan pada 6 Mei 2018 di seluruh negara.

Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait mencatatkan seramai dua orang kelahiran anak damit lelaki pada 6 Mei 2018 yang mana anak damit lelaki yang pertama dilahirkan ialah anak kepada pasangan Awang Mohammad Shahirul bin Haji Adam dan Dayang Anita Omar, yang merupakan anak ketujuh bagi pasangan berkenaan.

Sehubungan itu, Majlis 'Anakku Kesayanganku' diraikan dengan doa kesyukuran dan penyampaian cenderamata kelahiran kepada pasangan ibubapa yang berlangsung petang tadi di Dewan Kuliah, Block R, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, di sini.

Hadir selaku tetamu-tetamu khas dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata ialah Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Muhamad, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Datin Hajah Zalina binti Haji Omar, isteri kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Mei 2018

Berkenan sertai Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni 2018

KEBAWAH DYMM bersama paduka-paduka anakanda serta adinda baginda berkenan menyertai Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni 2018

Suasana di ibu negara bertambah meriah dan ceria dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bercemar duli bagi sama-sama menyertai acara kemuncak Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) tahun ini, iaitu Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni 2018.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku Pemangku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja berkenan dan dijunjung bagi mendahului pelepasan acara Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni sejauh 11.490 kilometer yang bermula dan berakhir di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Acara tersebut turut disertai oleh Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Perwakilan dari negara sahabat, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, para jemputan dan orang ramai termasuk warga asing.

Riadah berbasikal menuju ke Jalan Pretty, Jalan Elizabeth Dua, Jalan Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Jalan Kianggeh, Jalan Sekolah, Jalan Kumbang Pasang, Jalan Gadong, Jalan Perdana Menteri, Jalan Stadium, Jalan Pertahanan, Jalan Lapangan Terbang dan Jalan Sultan Omar 'Ali Saifuddien.

Selesai riadah berbasikal, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudiannya berkenan menyaksikan perbarisan lalu keluarga harmoni dari empat buah kementerian, iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) juga daripada ahli-ahli keluarga mereka, iaitu cucu, anak, ibu-bapa dan nenek berbasikal berserta golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan membawa alat-alat tradisi.

Selepas itu, Kebawah DYMM serta kerabat diraja juga berkenan menyaksikan perlawanan Tarik Kalat Persahabatan di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei Brunei (PDB) dengan berkesudahan seri.

Baginda seterusnya berkenan bersama-sama Pasukan Belia menyertai persembahan Tarik kalat dengan Kumpulan Menteri-menteri Kabinet yang dimenangi oleh pasukan Kebawah Duli.

Acara Perhimpunan Keluarga : Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni 2018 merupakan acara yang dianjurkan bersama oleh KKBS, KHEDN, KHEU dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan, pihak swasta badan-badan korporat serta organisasi bukan Kerajaan termasuk peringkat akar umbi.

Kejayaan sambutan tersebut dapat dicapai secara efektif melalui pendekatan keseluruhan negara yang merangkumi seluruh lapisan masyarakat termasuk pihak bukan kerajaan atau NGOs dalam menyampaikan mesej mengenai kepentingan keharmonian keluarga dan pengukuhan institusi keluarga untuk mengatasi segala cabaran, apatah lagi jika digunapakai dalam menjayakan program-program perpaduan masyarakat serta pembangunan negara.

Dengan sambutan HKK bertemakan 'Keluargaku Penyayang, Negara Gemilang' dapat meningkatkan lagi kesedaran betapa pentingnya peranan institusi keluarga dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Mei 2018
Berangkat saksikan aktiviti HKK

KEBAWAH DYMM berkenan menyaksikan pameran Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat pada HKK 2018

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli dan menyaksikan aktiviti-aktiviti acara Riadah Keluarga Harmoni yang berlangsung di Taman Haji Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara.

Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Acara tersebut diwarnai dengan tiga kategori, iaitu Aktiviti Ceria Keluarga, Aktiviti Pameran Info Keluarga dan Aktiviti Jualan Bazaar Keluarga Cermat.

Aktiviti Ceria Keluarga mengandungi aktiviti berbentuk permainan kekeluargaan. Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan sepanjang Riadah Keluarga Harmoni diadakan.

Sebanyak 3,000 hadiah-hadiah menarik disediakan yang ditaja oleh pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta badan-badan korporat dan organisasi bukan Kerajaan.

Sementara itu, Aktiviti Info Keluarga, iaitu pameran-pameran daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta perbadanan-perbadanan kebajikan yang bertujuan untuk memberi nasihat, sokongan dan maklumat yang berfaedah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap isu-isu kekeluargaan dan isu-isu semasa yang lain.

Antara yang menyertai pameran berkenaan terdiri dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Persatuan Warga Emas Brunei dan Muara, Persatuan Warga Emas Tutong, Pusat Bahagia, Persatuan SMARTER Brunei, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga Jabatan Hal Ehwal Syariah, Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pengajian Islam, Pameran Menghalusi Solat dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Klinik Surah Al-Fatihah, Jabatan Muzium-Muzium, Jerudong Park Medical Centre, Syarikat DARe, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Pusat Promosi Kesihatan, Majlis AIDS Brunei Darussalam, Telekom Brunei Berhad (TelBru), Syarikat DST dan banyak lagi.

Kemudian aktiviti diserikan lagi dengan Jualan Bazaar Keluarga Cermat, iaitu Food Bazaar dan Non-Food Bazaar daripada pembekal-pembekal dan syarikat tempatan bagi memeriahkan lagi suasana acara kemuncak perhimpunan keluarga.

Para peniaga kecil dan sederhana (PKS) yang biasa berniaga di Bandarku Ceria setentunya tidak melepaskan peluang berjaja pada hari tersebut dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan HKK 2018.

Dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha bercemar duli dan seterusnya menyaksikan aktiviti-aktiviti Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni 2018 Kebangsaan (HKK) tahun ini mencerminkan keprihatinan baginda serta kerabat diraja kepada rakyat dan masyarakat di negara ini dalam hubungan raja serta rakyat yang tiada tembok, bahkan baginda bersama-sama mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini.

Sumber: Pelita Brunei

 
03 Mei 2018
Majlis Kesyukuran HKK 2018 Daerah Temburong

HADIR menyertai bersama jemaah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan

Negara Brunei Darussalam meraikan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) setiap hari Ahad pada minggu pertama di bulan Mei yang disambut sejak tahun 2012.

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini didahului dengan Majlis Kesyukuran yang diadakan di seluruh negara secara serentak.

Bagi Daerah Temburong, acara diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Hadir menyertai jemaah ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Shafrillah Bin Haji Ahmad.

Diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Awang Haji Shafrillah.

Sementara Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Elde Bin Haji Suhaile.

Sebelum mengakhiri majlis, Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Kamarulzaman Bin Kamis.

Sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 Masihi ini, sama-sama kita memohon keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala agar rakyat dan penduduk serta Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dan dilindungi dari segala perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara dan keluarga kita yang disayangi.

Sumber: Pelita Brunei