Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2018 |  Bagi Bulan : :.       

29 Ogos 2018

Dayang Nur Aqilah Khadijah binti Haji Jaini sejurus selepas Ijazah Sarjana Pengurusan (Masters of Management) dari Universiti Brunei Darussalam

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dayang Nur Aqilah Khadijah binti Haji Jaini, salah seorang pegawai i-Ready yang telah menerima Ijazah Sarjana Pengurusan (Masters of Management) dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada hari Rabu, 29 Ogos 2018.

Diucapkan selamat maju jaya dan semoga sentiasa sukses dalam apa jua bidang kerja yang diceburi.

 
26 Ogos 2018
Sukarelawan JAPEM pelajari bahasa isyarat

PEGAWAI daripada Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan mengendalikan Kursus Bahasa Isyarat kepada sukarelawan JAPEM

Seramai 32 peserta terdiri daripada sukarelawan berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), menyertai Kursus Singkat Bahasa Isyarat yang berlangsung di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, di sini.

Para peserta diajarkan penggunaan bentuk tangan (hand shapes) untuk mengeja huruf dan nombor, tatacara memberikan ucapan salam dan pertanyaan dalam bahasa isyarat.

Selain itu peserta juga diberikan kesempatan untuk belajar dan menghalusi bahasa isyarat yang betul, melalui beberapa aktiviti seperti memperkenalkan diri, belajar menggunakan kata kerja, ekspresi perasaan dan sebagainya.

Kursus dikendalikan oleh dua pemudahcara daripada Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dayang Widiafalena binti Haji Surham dan Dayang Hajah Mariani binti Abdullah.

Antara tujuan kursus ialah untuk memberikan pendedahan kepada para sukarelawan mengenai isu pendengaran, serta penggunaan dan kepentingan bahasa isyarat bagi berkomunikasi dengan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kursus anjuran Unit Sukarelawan, JAPEM dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan itu diharap akan dapat memperkasa para sukarelawan JAPEM untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan OKU yang mempunyai masalah pendengaran dalam aktiviti dan kegiatan yang diungkayahkan dengan lebih efektif.

Di akhir kursus, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing yang disampaikan oleh Penolong Pengarah JAPEM, Haji Khairul Ariffin bin Haji Abdul Aji.

 
20 Ogos 2018
Program Pendidikan Pencegahan Dadah

Pegawai dari Biro Kawalan Narkotik ketika menyampaikan taklimat Program Pendidikan Pencegahan Dadah Di Tempat Kerja

Lebih 50 orang pegawai dan tenaga kerja JAPEM menghadiri Program Pendidikan Pencegahan Dadah Di Tempat Kerja bagi tahun 2018 yang berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada pagi ini.

Program tersebut telah diungkayah oleh Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan (PASS), JAPEM dengan kerjasama Biro Kawalan Narkotik (BKN) melalui Cawangan Pendidikan Pencegahan Dadah.

Tujuan program adalah untuk memberi kefahaman, kesedaran dan kemahiran mengenai bahaya dadah dalam kalangan pekerja-pekerja termasuk penerangan mengenai peruntukan undang-undang yang mengawal kesalahan-kesalahan dibawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 serta perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh BKN. Taklimat tersebut diselajurkan dengan satu pameran di luang legar tingkat bawah.

 
08 Ogos 2018
Berkenan berangkat ke Majlis Malam Gala sempena Penutup ACF Ke-5

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Malam Gala sempena Penutup Forum Kanak-kanak ASEAN (ACF) Ke-5

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Malam Gala sempena Penutup Forum Kanak-kanak ASEAN (ACF) Ke-5 yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D'Seni, di ibu negara.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria selaku wakil Kebajikan Sosial dan Pembangunan Sosial (SOMSWD) Negara Brunei Darussalam dan Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir.

Sejurus keberangkatan tiba, DYTM dan YTM dijunjung menyertai sesi bergambar ramai bersama delegasi, disusuli dengan menandatangani lembaran kenangan oleh DYTM dan YTM, dan seterusnya berkenan menyaksikan persembahan kebudayaan bertajuk Senandung Budaya daripada KKBS dengan kerjasama Yippie Music School.

Dalam sembah alu-aluannya Pemangku Setiausaha Tetap KKBS antara lain menjelaskan ACF Ke-5 dengan tema Anak-Anak Kita, Masa Depan Kita, ASEAN Kita, telah membincangkan empat isu utama iaitu keamanan; keselamatan (siber dan jenayah di bawah umur); menghormati semua golongan; penjagaan alam sekitar dan gaya hidup sihat.

Sembah beliau lagi, selama tiga hari forum tersebut diadakan, para delegasi telah berkongsi pengalaman dalam isu-isu yang berkaitan dan mengenal pasti punca-punca utama serta inisiatif nasional yang telah dilakukan di negara masing-masing.

Para delegasi juga tambahnya, telah membuat beberapa cadangan yang mengandungi satu set pelan tindakan yang boleh dibawa ke hadapan oleh setiap negara di peringkat individu, institusi dan komuniti.

Acara kemudian diteruskan dengan sembah rumusan dari perwakilan delegasi kanak-kanak yang telah disampaikan oleh Nurul Farah Nabila binti Kamarudin dari Malaysia, diikuti dengan sembah tayangan video yang menayangkan aktiviti-aktiviti para delegasi sepanjang forum dijalankan.

Persembahan budaya daripada para delegasi setiap negara anggota ASEAN turut memeriahkan dan mewarnai lagi majlis tersebut.

DYTM dan YTM seterusnya berkenan menerima pesambah yang berupa lukisan hasil daripada delegasi kanak-kanak dan setiap negara-negara anggota ASEAN.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM dan YTM berkenan menerima junjung ziarah daripada delegasi yang menyertai forum tersebut.

Sumber: Pelita Brunei

 
08 Ogos 2018
Sesi Plenari ACF Ke-5 bentang isu berkepentingan di rantau ASEAN

Sesi pembentang oleh para delegasi semasa Foum Kanak-Kanak ASEAN Ke-5

Forum Kanak-kanak ASEAN (ACF) Ke-5 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan pembentangan hasil sesi plenari yang diadakan di Mangrove Paradise Resort.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.

Hasil sesi plenari disampaikan oleh para delegasi dalam bentuk pembentangan, lakonan dan nyanyian berdasarkan empat isu utama forum yang berkaitan dengan keamanan; keselamatan siber dan jenayah di bawah umur; menghormati semua golongan termasuk orang kelainan upaya, warga emas dan kepelbagaian kaum serta budaya; penjagaan alam sekitar dan gaya hidup sihat dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Hasil perbincangan sesi plenari tersebut akan dijadikan sebagai pelan tindakan untuk dicadangkan kepada pemimpin-pemimpin ASEAN agar dapat digunakan sebagai rujukan dalam menyediakan dasar dan polisi yang melibatkan isu-isu yang berkesan dan berkepentingan mengenai hal kehidupan di serantau ASEAN.

Turut hadir ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari; Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir dan perwakilan negara anggota ASEAN ke Negara Brunei Darussalam.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Ogos 2018
Delegasi ACF diraikan

Seramai 73 delegasi yang menyertai Forum Kanak-kanak ASEAN (ACF) Ke-5 diraikan dalam satu Majlis Makan Malam yang berlangsung di Pondok Sari Wangi, Jerudong Park, di sini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria.

Majlis Makan Malam itu dihoskan oleh wakil-wakil Suruhanjaya ASEAN mengenai Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC), Dayang Hajah Misnah binti Bolhassan selaku wakil ACWC Negara Brunei Darussalam bagi Hak Wanita dan Dato Paduka Dr. Haji Junaidi bin Haji Abd. Rahman selaku wakil ACWC Negara Brunei Darussalam bagi Hak Kanak-kanak.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir; Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussaalam, Puan Marianne Clark-Hattingh dan para delegasi negara anggota ASEAN.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian penghargaan yang disampaikan oleh wakil ACWC Negara Brunei Darussalam bagi Hak Kanak-kanak kepada Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussaalam.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Ogos 2018
ACF Ke-5 - Platform relevan untuk kanak-kanak ASEAN

Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussalam, Marianne Clark-Hattingh

Forum Kanak-Kanak ASEAN (ACF) Ke-5 yang diadakan di Negara Brunei Darussalam membawakan tema 'Anak-Anak Kita, Masa Depan Kita, ASEAN Kita' (OUR Children, OUR Future, OUR ASEAN) adalah selaras dengan Deklarasi ASEAN yang telah dimeterai semasa Sidang ASEAN Ke-31 di Manila pada tahun 2017.

Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussalam, Marianne Clark-Hattingh ketika ditemu bual menjelaskan ACF Ke-5 menjadi platform yang relevan bagi kanak-kanak ASEAN untuk bersuara mengenai pandangan dan mencapai impian mereka untuk menangani isu-isu yang mempengaruhi kehidupan mereka dan isu-isu serantau lain bagi kehidupan kanak-kanak di rantau ini.

Jelasnya, keamanan, keadilan dan hak asasi manusia serta pengurusan yang baik merupakan faktor yang penting dalam melindungi kanak-kanak ke arah membentuk masyarakat yang mapan.

Beliau berharap hasil pembentangan forum di sini akan dikongsikan oleh setiap delegasi sebagai maklumat dan cadangan ke negara masing-masing.

Tambahnya, ia dapat mewujudkan satu perubahan transformasi dan pihak kerajaan masing-masing akan mendengar pandangan mereka sekali gus mengubah dasar dan undang-undang agar hak mereka terpelihara dan dalam keadaan aman dan damai, persekitaran yang sihat dan selamat.

Selain itu, tambahnya, mereka juga telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Brunei dan juga komuniti hak asasi kanak-kanak serta membuat beberapa cadangan mengenai isu Negara-negara ASEAN termasuk Brunei Darussalam iaitu isu keganasan terhadap hak kanak-kanak dan sebagainya.

Menyentuh mengenai perkahwinan di awal usia, beliau berkata, ia bukan jalan penyelesaian bagi kemiskinan dan kahwin muda dan statistik juga menunjukkan perkahwinan berkenaan tidak berkekalan malah menyebabkan permasalahan.

ACF kali ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada kanak-kanak dalam membangun idea-idea dan pelan tindakan mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka dan isu-isu kepentingan serantau berdasarkan tajuk perbincangan forum yang dianjurkan.

Sumber: Pelita Brunei

 
06 Ogos 2018
ACF beri peluang kanak-kanak kembangkan idea

Para delegasi bergambar ramai bersama Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan

Forum Kanak-Kanak ASEAN (ACF) Ke-5 memberikan peluang kepada kanak-kanak dari negara-negara Anggota ASEAN untuk mengembangkan idea dan pelan tindakan tentang isu-isu yang mendatangkan kesan pada kehidupan dan isu-isu serantau, yang menarik minat mereka berdasarkan tajuk-tajuk yang dibentangkan semasa forum berkenaan.

Majlis Pembukaan Rasmi ACF Ke-5 diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah yang dibacakan oleh Guru Terlatih Pusat Bahagia Brunei Muara, Awang Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis turut diserikan dengan Persembahan Mari Bercerita yang bertajuk 'Pulau Labi-Labi' oleh pemenang ASEAN Folklore Story-telling Competition 2018, Awangku Muhammad Aqil Nurfail bin Pengiran Hasnul Bahrin dan Awang Waiz Amani bin Aminuddin.

Dalam ucaptama Wakil Istimewa UNICEF bagi Negara Brunei Darussalam, Marianne Clark-Hattingh antara lain berkata, para pemimpin dunia adalah komited untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) menjelang 2030, yang mana terdapat 17 matlamat, iaitu setiap satu daripada mereka menetapkan sasaran yang tinggi untuk dicapai.

Menurutnya, pihak kerajaan sendiri sahaja tidak dapat membasmi kemiskinan, mengakhiri kelaparan, memastikan kesetaraan, kesejahteraan, kedamaian dan kemakmuran atau menjamin planet ini untuk generasi masa depan.

Dunia tekannya, memerlukan penglibatan daripada semua pihak, khususnya kanak-kanak untuk bangkit menjadi pemangkin perubahan.

Mereka tambahnya, boleh membuat sumbangan berharga dan menyalakan api transformasi bagi keluarga, bandar serta negara mereka, di ASEAN dan akhirnya di dunia pada umumnya untuk membina dunia juga masa depan yang mereka mahukan.

Sementara itu, Wakil Istimewa UNICEF dari Jawatankuasa Kebangsaan UNICEF bagi Korea Selatan, Tuan Choi Si-Won pula dalam ucapannya berkata, kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang kita ada sekarang kerana kanak-kanak di ASEAN layak mendapat masa depan yang lebih baik.

Choi Si-Won menambah, perjuangan untuk memastikan dunia adalah selamat, bersih dan sihat untuk anak-anak kita masih berterusan.

''Kita semua perlu menjadi sebahagian daripada usaha menentang ketidakadilan, ketidakamanan dan tanggungjawab kepada kanak-kanak dan dunia,'' ujarnya lagi.

Forum dengan tema 'Anak-Anak Kita, Masa Depan Kita, ASEAN Kita' diadakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Ogos disertai oleh seramai 70 delegasi yang mewakili negara anggota ASEAN termasuk wakil Suruhanjaya ASEAN mengenai Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC), mentor serta kanak-kanak, berumur 12 hingga 17 tahun.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.

Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, duta-duta dan perwakilan negara anggota ASEAN serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Sumber: Pelita Brunei