Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2018 |  Bagi Bulan : :.       

20 Oktober 2018
BIBDSEED bantu ibu-ibu menjadi usahawan Berjaya

Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof semasa hadir menyaksikan penandatanganan MoU di antara JAPEM dengan BIBD

Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menutup Fasa Pertama Program BIBDSEED (Special Underprivileged Mothers Empowerment Entrepreneurship Development - BIBDSEED) dengan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BIBD; Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Fasa Pertama Program BIBDSEED diadakan pada 16 hingga 19 Oktober dengan proses kelayakan selama empat hari.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan MoU itu ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah dalam ucapannya menyatakan, empat fasa Program BIBDSEED ini akan berusaha untuk memastikan para peserta dilengkapi dengan pengetahuan, sifat dan kemahiran perniagaan yang sebenar, terutama dari etika perniagaan.

Menandatangani bagi pihak BIBD ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah; PDI diwakili oleh Pengarah PDI, Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd. Salleh; MUIB diwakili oleh Pemangku Setiausaha MUIB, Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop dan JAPEM pula diwakili oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir.

Majlis turut menyaksikan pengesahan 12 finalis yang layak ke Fasa Kedua Program BIBDSEED dengan penyerahan sijil penyertaan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Program BIBDSEED bertujuan untuk mengubah kehidupan ibu yang kurang bernasib baik, menjadi usahawan yang berjaya dan berdaya tahan yang dapat bersaing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ia dicapai dengan mewujudkan peluang perniagaan melalui platform pembinaan kapasiti untuk ibu-ibu yang tidak mempunyai kaedah ke arah pembangunan keusahawanan Muslimah yang memegang ciri-ciri seperti mengekalkan diri dan kestabilan.

Sumber: Pelita Brunei

 
17 Oktober 2018

TKBS terima sumbangan kewangan PERMAI

Yang Di-Pertua PERMAI, Muhd. Hanafi Rustam menyerahkan sumbangan kepada Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Tahir selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Kebangsaan TKBS

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) menerima sumbangan derma sejumlah BND1,500.00 daripada Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) bagi tabung berkenaan di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Sumbangan tersebut diserahkan oleh Yang Di-Pertua PERMAI, Muhd. Hanafi Rustam kepada Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Tahir selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Kebangsaan TKBS.

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari JAPEM.

Dalam pada itu, derma boleh dihantar secara 'online' melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), akaun nombor 00-001-01-0076007 atau dihantar terus kepada pihak Urus Setia TKBS di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, JAPEM, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

Sumbangan juga boleh dihantar melalui perkhidmatan SMS dengan menaip BANTU (tanpa jarak) diikuti dengan jumlah 1, 5, 10, 15 atau 20 dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan DST dan pelanggan PCSB. Perkhidmatan SMS ini akan berakhir pada 22 November 2018.

Orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan derma berbentuk kewangan boleh berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid dan surau-surau, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.

Bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyediakan peti tabung bagi mengadakan kutipan amal, boleh mendapatkan pelekat khas daripada pihak Urus Setia TKBS pada waktu pejabat.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, boleh menghubungi pihak Urus Setia TKBS melalui talian +673 2381903 sambungan 1341 / 1242 atau e-mel ke 'pr.japem@gmail.com'.

Tempoh kutipan derma TKBS bermula 9 Oktober 2018 hingga 6 Januari 2019, iaitu selama tiga bulan.

 
17 Oktober 2018
YSHHB hulur sumbangan BND50,000 ke TKBS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, Ahli Lembaga Pengarah YSHHB selaku Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB menyampaikan sumbangan kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Penasihat Bersama TKBS

Berikutan kejadian gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter di Sulawesi, Indonesia yang mencetuskan Tsunami pada 28 September lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan titah perkenan bagi Penubuhan Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) selama tempoh tiga bulan.

Sehubungan itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menghulurkan sumbangan kewangan berjumlah BND50,000 ke TKBS sebagai keprihatinan terhadap mangsa dan bagi menyokong penubuhan tabung berkenaan.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud, Ahli Lembaga Pengarah YSHHB selaku Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan YSHHB kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku Penasihat Bersama TKBS.

TKBS ditubuhkan bagi membolehkan orang ramai dan pelbagai pihak untuk menyumbangkan derma bagi meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh para mangsa gempa bumi dan Tsunami di Sulawesi.

 
17 Oktober 2018

28 pegawai kerajaan kunjungi KRK

Sebahagian dari  28 orang pegawai kanan kerajaan yang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) mengadakan lawatan ke Kompleks Rumah Kebajikan Kampung Belimbing

Seramai 28 orang pegawai kanan kerajaan yang mengikuti Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan kali ke-26 (EDPSGO) telah mengadakan lawatan ke Kompleks Rumah Kebajikan di Kampung Belimbing.

Dalam lawatan tersebut mereka berpeluang mendengar taklimat yang antara lain menyentuh mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab serta perkhidmatan-perkhidmatan yang terdapat di JAPEM yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Sementara itu, taklimat mengenai Kompleks Rumah Kebajikan telah disampaikan oleh Penguasa Rumah Kebajikan, Dayang Tetty Hasdina binti Pungut.

Selain itu rombongan dan JAPEM juga mengadakan sesi soal jawab mengenai hal-hal yang melibatkan permasalah isu sosial.

Majlis berlangsung di Bilik Kuliah, Kompleks Rumah Kebajikan.

 
16 Oktober 2018
Mangsa kebakaran, rumah roboh terima sumbangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyerahkan bantuan kewangan kerajaan kepada mangsa rumah roboh di Kampung Burong Pingai Ayer pada 24 Julai 2018

Di atas dasar pemedulian kerajaan dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa bencana kebakaran dan rumah roboh, satu majlis penyampaian bantuan kewangan kerajaan telah diadakan pada di Bilik Kunjungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Bantuan kewangan kerajaan tersebut diserahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin kepada mangsa rumah roboh di Kampung Burong Pingai Ayer pada 24 Julai 2018 dan mangsa kebakaran rumah di Kampung Kiarong pada 13 September 2018 yang lalu.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir serta Pegawai-pegawai Kanan daripada KKBS dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Adalah diharapkan bantuan kerajaan yang dihulurkan itu sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh para mangsa dan keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.

 
11 Oktober 2018
Warga emas aset bernilai negara

Sebahagian dari jemputan yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa 2018

Golongan warga emas merupakan aset bernilai bagi negara yang kaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang bermanfaat, terutamanya bagi generasi muda.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa 2018, di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata, statistik terkini juga menunjukkan bahawa jangka umur hayat di negara ini akan meningkat, yang juga bermakna jumlah keramaian golongan warga emas juga akan menunjukkan peningkatan yang nyata.

''Oleh yang demikian, demi untuk menjamin kualiti kehidupan yang berkualiti bagi warga emas, sebagai tanggungjawab bersama kita di masa yang akan datang, fokus pada hari ini ditumpukan kepada pelaksanaan Pelan Tindakan Isu Warga Emas yang telah disahkan melalui Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS),'' tambah Yang Berhormat.

Pelan Tindakan ini memberi keutamaan ke arah penglibatan warga emas dalam pembangunan masyarakat dan peningkatan perkhidmatan kesihatan kepada golongan warga emas.

Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat, kementeriannya telahpun mengambil langkah bagi memastikan perancangan strategik dan hala tuju adalah selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan tersebut.

Yang Berhormat turut menekankan, usaha ini juga melibatkan rakan-rakan strategik kementerian, termasuk pihak kerajaan, bukan kerajaan dan NGO's dalam memastikan apa jua yang dilaksanakan adalah hasil daripada pendekatan 'whole of nation' dan inklusif.

Yang Berhormat seterusnya menyeru sokongan semua pihak, bagi sama-sama mendukung pendekatan 'whole of nation' dalam usaha berterusan ini, sebagai menghormati warga emas dan pengorbanan mereka, serta sebagai satu langkah ke hadapan ke arah pencapaian aspirasi Wawasan Brunei 2035, iaitu meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.

Sumber: Pelita Brunei

 
11 Oktober 2018
Pertahankan hak asasi warga emas

Persembahan pencak silat dan persembahan alat muzik tradisi bernama 'Kasapi' dan diiringi dengan gulintangan dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ikatan kekeluargaan, penjagaan dan perlindungan berkaitan ke arah peningkatan kualiti hidup warga emas, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) 2018 yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Dengan membawakan tema 'Meraikan Hak Asasi Warga Emas', sambutan HAWE tahun ini juga bertujuan untuk memberikan galakan dan sokongan dalam memperkasa golongan warga emas, untuk meneruskan bakti dan bergiat aktif meningkatkan taraf kehidupan warga emas.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan sambutan HAWE 2018 tersebut ialah Menteri KKBS, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, iaitu Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis; Yang Berhormat Awang Haji Tahamit bin Haji Nudin; Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong; Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman; Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Pegawai-pegawai Kanan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya dan warga emas.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pencak silat dan persembahan alat muzik tradisi bernama 'Kasapi' dan diiringi dengan gulintangan dari Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong.

Acara kemuncak sambutan ini adalah Bengkel Pelan Tindakan Warga Emas yang diikuti oleh seramai 120 orang peserta, terdiri daripada warga emas dari PKWE Lambak Kanan, PKWE Daerah Tutong dan Pusat Masyarakat Bestari (PMB) Kampung Pandan, Kuala Belait.

Para peserta dibahagikan kepada lapan kumpulan dan berpeluang memberi pandangan dan maklum balas mengenai empat bidang, iaitu Kemasyarakatan, Kewangan, Kesihatan dan Keugamaan dengan bimbingan lapan orang fasilitator, terdiri dari wakil-wakil daripada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM); LiveWIRE Brunei; Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Pusat Da'wah Islamiah dan Kementerian Pendidikan.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincangkan dan meneliti Pelan Tindakan Warga Emas dengan memfokuskan kepada perkara Kemasyarakatan, Kewangan, Kesihatan dan Keugamaan.

Dengan adanya bengkel ini diharapkan dapat mengumpulkan maklumat, pendapat dan solusi bagi merancang serta menambah baik apa jua perkara yang berkaitan dalam meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga emas di Negara Brunei Darussalam.

Sumber: Pelita Brunei

 
10 Oktober 2018
Kursus Fiqh At-Thaharah bagi pegawai dan kakitangan lelaki JAPEM

Para peserta yang menghadiri Kursus Pengukuhan Islam, Fiqh At-Thaharah bagi pegawai dan kakitangan lelaki JAPEM

Lebih 20 pegawai dan kakitangan lelaki JAPEM menghadiri Kursus Pengukuhan Islam, Fiqh At Thaharah (Kebersihan) yang berlangsung selama tiga hari (sebelah pagi sahaja) bermula hari Isnin lalu di Dewan Kuliah,Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) Kampung Belimbing, di sini.

Kursus selama 03 hari tersebut dibimbing oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Ustaz Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustafa.

Kursus tersebut berakhir dengan majlis penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah JAPEM, Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abd Aji pada pagi tadi.

Kursus anjuran Bahagian Perhubungan Awam, Sumber dan Sukarelawan JAPEM dengan kerjasama Unit Kursus, Bahagian Penyebaran Dakwah, PDI itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan agama, khususnya perkara-perkara yang berhubungkait dengan bab Thaharah (bersuci) dan menghalusi tatacara dalam wudhu, tayammum dan mandi.

Antara isi kandungan kursus tersebut termasuklah pengertian Thaharah, Bahagian Air dan Hukumnya, Najis dan cara-cara menyucikan, Bersiwak, Istinja, Qadha Hajat, Hadas, Wudhu, Mandi dan Tayammum.

Dengan adanya kursus ini, ianya akan dapat meningkatkan kefahaman seterusnya mengulangkaji pengetahuan yang sedia ada dan mengamalkannya dalam kehidupan seterusnya menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan dan ketakwaan.

 
09 Oktober 2018
SMS Brunei Prihatin bagi TKBS bermula 9 oktober ini

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat Bersama bagi Jawatankuasa Kebangsaan TKBS menyempurnakan majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan satu tabung bantuan kemanusiaan, iaitu Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) dan seterusnya penubuhan bagi Jawatankuasa Khas, iaitu Jawatankuasa Kebangsaan TKBS.

Penubuhan tabung bertujuan untuk mengumpulkan derma berbentuk kewangan daripada semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia yang berlaku pada 28 September lalu.

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin TKBS diadakan petang tadi di Dewan Citra Budaya, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan majlis pelancaran ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat Bersama bagi Jawatankuasa Kebangsaan TKBS.

SMS Brunei Prihatin ini diungkayahkan bersama DST Communications Sendirian Berhad (DST) dan Progresif Cellular Sendirian Berhad (PCSB).

Tempoh kutipan SMS berlangsung selama 45 hari, mulai hari ini, Selasa, 9 Oktober hingga Khamis, 22 November 2018.

Orang ramai yang berhasrat untuk menderma kepada tabung berkenaan bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang dikehendaki, iaitu 1, 5, 10, 15 dan 20 dan hantar ke talian 38111 bagi pelanggan DST dan PCSB.

Derma juga boleh dihantar terus kepada Urus Setia pada waktu pejabat dan orang ramai juga boleh menderma secara online (dalam talian) melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), akaun nombor 0-001-01-0076007.

Turut hadir pada majlis tersebut, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan pegawai-pegawai Kanan kerajaan lain dan para wakil daripada pihak DST dan PCSB.

Sumber: Pelita Brunei

 
09 Oktober 2018
Penubuhan Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi diperkenankan bantuan segera
Berdasarkan maklumat terkini daripada ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance (AHA) sehingga 8 Oktober 2018, jumlah yang terkorban pada kejadian gempa bumi di Pulau Sulawesi yang menyebabkan tsunami di wilayah Kota Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia mencecah lebih 1,900 orang.

Pada masa yang sama, lebih 10,000 orang lagi mengalami kecederaan berat dan lebih 74,000 orang kehilangan tempat tinggal, yang mana kejadian gempa bumi dan tsunami itu juga merosakkan hampir 66,000 buah kediaman.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat Bersama menyatakan demikian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS).

Berikutan bencana itu katanya, pihak Kerajaan Republik Indonesia mengeluarkan kenyataan, yang mana mereka amat mengalu-alukan bantuan segera dari negara-negara di seluruh dunia, berbentuk keperluan segera, khususnya dari segi bantuan asas seperti makanan, air minuman, ubat-ubatan, khemah sementara, bantuan kecemasan dan lainnya bagi membantu mangsa yang terlibat.

Tambah Yang Berhormat, menurut kenyataan AHA, bantuan mula dihulurkan oleh negara-negara dan pertubuhan antarabangsa, termasuk Ahli-ahli negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog.

''Sebagai sebuah negara yang prihatin terhadap kesejahteraan negara jiran, dan bagi membolehkan seluruh rakyat dan penduduk negara ini untuk menyumbang derma khusus untuk meringankan beban penderitaan mangsa-mangsa gempa bumi Sulawesi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi penubuhan TKBS bagi tempoh selama tiga bulan bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan,'' jelasnya.

Menurut Yang Berhormat, baginda juga memperkenankan Penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan TKBS, yang mana Menteri Hal Ehwal Ugama dan beliau sendiri adalah sebagai Penasihat Bersama bagi Jawatankuasa Kebangsaan, manakala Pengerusi Bersama mesyuarat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Manakala ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan.Yang Berhormat seterusnya menyampaikan bahawa dengan adanya tabung kemanusiaan itu, ia menunjukkan keprihatinan dan perasaan simpati yang mendalam daripada pihak rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terhadap penderitaan yang ditanggung oleh mangsa gempa bumi dan tsunami di Pulau Sulawesi.

Jawatankuasa Khas tersebut memulakan mesyuarat dan bersidang petang tadi di Bangunan KKBS, yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Pengerusi Bersama mesyuarat.

Mesyuarat bertujuan untuk membincangkan segala urusan yang berkaitan dengan usaha mengumpulkan derma daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Selain itu, mesyuarat diadakan bagi Jawatankuasa Kebangsaan TKBS itu mula bertindak dengan menentukan bidang tugas masing-masing.

Mesyuarat jawatankuasa pada hari ini menetapkan bahawa tempoh kutipan derma kewangan akan diadakan selama tiga bulan, iaitu mulai hari ini, Selasa, 9 Oktober 2018 hingga Ahad, 6 Januari 2019.

Penetapan tempoh tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Bagi orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan bolehlah berbuat demikian melalui tabung-tabung yang disediakan di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara. Manakala di masjid-masjid dan surau-surau, tabung-tabung akan dibukakan bermula Jumaat, 12 Oktober 2018.

Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyediakan peti tabung bagi mengadakan kutipan amal, boleh mendapatkan pelekat khas daripada pihak Urus Setia TKBS di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS, Jalan Kebangsaan pada waktu pejabat.

 
01 Oktober 2018
Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas 2018

Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria Hadir selaku tetamu kehormat bagi Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Antarabangsa Warga Emas di Masjid Ash-Shaliheen

Bagi memperingati Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) yang diraikan setiap 1 Oktober, setiap tahun, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan majlis kesyukuran yang diadakan secara serentak di seluruh daerah pagi ini sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan sumbangan golongan warga emas kepada pembangunan negara. Majlis Kesyukuran tersebut diadakan di Masjid Ash-Shaliheen bagi Daerah Brunei Muara; Pusat Kegiatan Warga Emas bagi sambutan di Daerah Tutong; Pusat Masyarakat Bestari Kg Pandan bagi Daerah Belait; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar bagi Daerah Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis kesyukuran di Masjid Ash-Shaliheen ialah Yang Mulia Awang Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir sama ialah ahli-ahli dari warga emas Daerah Brunei Muara, Pusat Kegiatan Warga Emas Lambak Kanan, Majlis Wanita, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Majlis Perundingan Kampung (MPK), Majlis Perundingan Kampung Sengkurong, Muslimah Masjid Sengkurong serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Yaasin, Tahlil dan diikuti dengan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Haji Nordin bin Durahman, Guru Ugama Kompleks Rumah Kebajikan. Acara juga diselajurkan dengan tazkirah bertajuk “Meniti Kehidupan ke Alam Persinggahan Sementara” yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Drs Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah dari Pusat Da’wah Islamiah.

Majlis Kesyukuran di Daerah Tutong pula dihadiri oleh Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain, Pegawai Daerah Tutong selaku tetamu kehormat majlis. Hadir sama ialah Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, ahli Mesyuarat Negara dan selaku penghulu Mukim Telisai Tutong; Yang Mulia Awang Haji Jainuddin bin Hj Ahmad, Pemangku Ketua JAPEM Cawangan Tutong dan selaku pengerusi majlis; Yang Mulia Awang Haji Metamit bin Mat Zain, Ketua Pengurus Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong; Yang Mulia Awang Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong; Yang Mulia Hj Jaya bin Hj Yahya, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong; Yang Mulia Imam (B) Hj Hamafi bin Mohd Yassin, Pengerusi (1) ahli Jawatankuasa Kerja PKWE Tutong serta ahli-ahlli warga emas PKWE Daerah Tutong dan pegawai-pegawai kanan JAPEM Cawangan Tutong.

Selepas bacaan surah Yaasin, Tahlil dan doa kesyukuran serta doa Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh Yang Mulia Imam (B) Hj Hamafi bin Mohd Yassin, sebuah tazkirah bertajuk “Hak Asasi Warga Emas” disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Hj Anwari bin Hj Rawi.

Tetamu kehormat bagi Majlis Kesyukuran di Daerah Belait dihadiri oleh Yang Mulia Hj Pungut Bin Ali, Penghulu Mukim Kuala Belait. Selepas bacaan surah Yaasin, Tahlil dan doa kesyukuran, tazkirah bertajuk “Hargai Masa” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hj Haslan Bin Hj Shahbudin, Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait.

Tetamu kehormat majlis kesyukuran di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong pula dihadiri oleh Yang Mulia Mohammad Khairul Shahrul bin Haji Duahim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong. Sejurus selepas bacaan surah Yaasin, Tahlil dan doa kesyukuran dibacakan, tazkirah bertajuk “Rebutlah Lima Perkara Sebelum Datang Lima Perkara” disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hj Safrillah bin Hj Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Tema sambutan HAWE pada tahun ini ialah “Meraikan Hak Asasi Warga Emas” (Celebrating Older Human Rights Champions). Bersempena dengan sambutan HAWE, JAPEM juga akan mengadakan Majlis Perasmian Hari Antarabangsan Warga Emas yang mana akan diselajurkan dengan Bengkel Warga Emas yang akan diadakan pada hari Khamis, 11 Oktober 2018 bersamaan 2 Safar 1440 di Dewan Di-Gadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumber: Pelita Brunei