Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

30 April 2019
Bahasa alternatif mudahkan komunikasi

Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil ketika hadir selaku tetamu kehormat majlis

Pengetahuan berbahasa isyarat sebagai bahasa alternatif untuk berkomunikasi dengan Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran akan memudahkan komunikasi dan urusan, malahan akan memberikan perasaan inklusif golongan tersebut dan tidak tersisih dari masyarakat yang normal.

Sehubungan itu, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) mengendalikan Bengkel Asas Bahasa Isyarat Kali Ke-3 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 29 April sehingga 1 Mei 2019.

Hadir bagi menyempurnakan pembukaan bengkel tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Juga hadir Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut dan Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Muhammad Saufaqrul Waie bin Amir, seorang OKU Pendengaran diikuti dengan bacaan Doa Selamat oleh Ustaz Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, Guru Ugama Pusat Bahagia.

Yang Di-Pertua Persatuan OKP, Awang Khairul Anwar bin Haji Johari yang disampaikan oleh seorang pengantara, antara lain menzahirkan rasa penghargaan dan berbangga di atas sokongan dan usaha pihak KKBS dalam memberikan peluang kepada Persatuan OKP untuk mengongsikan bahasa istimewa mereka iaitu Bahasa Tangan atau Bahasa Isyarat kepada orang ramai, untuk merasakan betapa indah bahasa yang jarang sekali atau tidak sama sekali digunakan oleh orang yang normal.

''Kami sangat gembira sebahagian peserta yang sudah mendapat pembelajaran Asas Bahasa Isyarat berani menampilkan diri menggunakan bahasa isyarat apabila berhadapan dengan Ahli-ahli OKP di pejabat atau di tempat awam dengan keyakinan yang tinggi,'' tambahnya.

Atur cara diteruskan dengan penyampaian taklimat bertajuk 'Sign Language - An Alternative Form of Communication' oleh Pegawai Pelajaran, Ketua Bahagian Perkhidmatan Bantuan Khusus Sensori Pendengaran, Unit Pendidikan Khas, Dayang Widiafalena binti Surhan.

Majlis juga diserikan dengan persembahan lagu berjudul 'One Small Voice' dalam bahasa isyarat daripada OKU Pendengaran bersama Ahli Persatuan OKP serta pegawai dan kakitangan Pusat Bahagia.

Seramai 73 peserta terdiri daripada guru-guru sekolah persendirian menyertai sesi bengkel selama tiga hari tersebut yang akan diberikan beberapa modul, iaitu mempelajari penggunaan bentuk tangan (hand shapes) untuk mengeja huruf abjad dan nombor; cara berkomunikasi secara asas seperti memberikan ucapan salam dan pertanyaan dalam bahasa isyarat, serta aktiviti 'role play' bersama golongan OKU Pendengaran.

Bengkel seumpamanya akan diadakan sehingga penghujung tahun dan juga akan dibukakan kepada orang awam yang berminat.

 
13 April 2019
Kerajaan bantu mangsa kebakaran

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan bantuan kewangan kerajaan kepada Dayang Damit binti Haji Bustan

Kerajaan di negara ini sememangnya sentiasa mempedulikan dan mengambil berat nasib para mangsa yang tertimpa musibah.

Salah satu usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah dengan menghulurkan bantuan kepada salah sebuah keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bebuloh bulan lalu.

Untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa terjejas, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menghulurkan pemberian bantuan kerajaan, disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis pemberian bantuan berlangsung di Bangunan KKBS, di sini.

Juga hadir, Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid / Burut; Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir; juga pegawai-pegawai kanan daripada KKBS dan JAPEM.

Kejadian kebakaran di Kampung Bebuloh pada Khamis, 22 Mac 2019, jam 8.00 malam meranapkan keseluruhan rumah banglo milik seorang balu warga emas, Dayang Damit binti Haji Bustan, yang didiami oleh sembilan orang penghuni.

 
09 April 2019
Kepentingan Penggunaan Braille

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa meninjau aktiviti para pelajar yang mengikuti bengkel braille

Braille mempunyai kepentingan yang sering digunakan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan agar mereka dapat membaca dan menulis pelbagai ilmu pengetahuan serta perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

Oleh itu, dalam usaha untuk memberikan pendedahan kepada orang awam mengenai penggunaan dan kepentingan mesin Braille terhadap OKU, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengadakan Bengkel Braille, Orientasi dan Mobiliti yang berlangsung di Pusat Bahagia Brunei Muara, Kampung Pulaie.

Bengkel berkenaan diadakan dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; Unit Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam; Jabatan Ophthalmology, Kementerian Kesihatan; Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) dan sukarelawan daripada Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya merasmikan pembukaan bengkel berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Dayang Khairunnisa binti Awang Haji Ash'ari; Presiden BDNAB, Awang Muhammad Hamzi bin Omar dan Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Tahir.

Bengkel Braille, Orientasi dan Mobiliti ini dibahagikan kepada lima sesi di sepanjang bulan April hingga Oktober, yang mana sesi pertama diadakan selama 15 hari bermula 8 hingga 27 April ini.

Bengkel berkenaan berjaya menarik seramai 52 peserta terdiri daripada pelajar, ibu bapa, pegawai-pegawai kerajaan dan guru-guru.

Bengkel turut diisikan dengan taklimat bertajuk 'Memata-matai Mata Awda' yang disampaikan oleh Konsultan Ophthamology, Pengiran Dr. Noor Affizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman dan sesi pemeriksaan mata kepada para peserta bengkel.

Selain itu, para peserta juga diberikan pengenalan mengenai Braille, fungsi dan kaedah penggunaan mesin Braille, teknik orientasi dan mobiliti OKU penglihatan secara teori serta praktikal.

Di samping itu, para peserta turut didedahkan dengan fungsi, teknik juga penggunaan Tongkat Putih (White Cane).

 
04 April 2019
Hari Keluarga Kebangsaan 5 Mei

MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019 semasa mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi Jawatankuasa Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019

Bagi membincangkan persediaan-persediaan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-7, satu mesyuarat bagi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan telah diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi sambutan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha-Setiausaha Tetap; wakil Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; wakil Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan; Pengarah-pengarah; pegawai-pegawai kanan kerajaan; dan juga wakil-wakil daripada sektor swasta dan organisasi-organisasi bukan kerajaan.

Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) bagi Negara Brunei Darussalam diisytiharkan pada setiap hari Ahad pada minggu pertama bulan Mei dan pada tahun ini, HKK jatuh pada 29 Sya'ban 1440 Hijrah bersamaan 5 Mei 2019 Masihi dengan membawakan tema "Keluargaku Harapanku".

Fokus utama Sambutan HKK 2019 adalah untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga, yang mana negara yang mempunyai masyarakat yang keluarganya penyayang, hormat menghormati, saling mendukung dan pemedulian akan dapat menguatkan institusi keluarga ketika menghadapi dugaan dan cabaran hidup sekaligus mewujudkan sebuah negara yang gemilang dan harmoni.

Antara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat adalah mengenai format acara-acara utama Sambutan HKK 2019 yang menjurus kepada aktiviti keugamaan, kemasyarakatan, kesukanan dan riadah yang melibatkan setiap ahli keluarga merangkumi segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Sambutan HKK 2019 akan didahului dengan Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keluarga Kebangsaan di masjid-masjid utama di seluruh daerah yang akan diadakan pada hari Khamis, 2 Mei 2019.

Kemudian, ia akan diikuti dengan acara Anakku Kesayanganku pada 6 Mei 2019 dan acara kemuncak iaitu acara Riadah Keluarga Harmoni pada hari Ahad, 4 Ogos 2019 bersama dengan Riadah Berbasikal sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2019.

Di samping itu, Majlis Perhimpunan Keluarga juga akan diadakan di setiap daerah.

Sambutan HKK 2019 seperti tahun lalu akan diadakan secara sepadu bersama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kesihatan; KKBS serta penglibatan aktif daripada agensi kerajaan yang lain, pihak swasta, dan persatuan bukan kerajaan (NGOs) serta akar umbi.