Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

27 Februari 2019
TPM Malaysia lawatan Pusat Bahagia

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa membuat lawatan ke salah sebuah kelas pembelajaran di Pusat Bahagia

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah membuat lawatan ke Pusat Bahagia di Kampung Pulaie.

Yang Amat Berhormat dialu-alukan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Peranan dan tanggungjawab Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta program-program yang dijalankan di Pusat Bahagia adalah antara kandungan taklimat disampaikan oleh Datin Paduka doktor Hajah Norlela binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, belia dan sukan.

Yang Amat Berhormat juga melawat kelas-kelas pembelajaran dan bengkel latihan sambil berinteraksi dengan para pegawai, kakitangan, murid dan pelatih Pusat Bahagia.

 
25 Februari 2019
Tingkatkan kemahiran pelajari bahasa isyarat

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku Tetamu Kehormat majlis pembukaan rasmi Bengkel Asas Bahasa Isyarat

Dalam usaha untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan dan tatacara penggunaan bahasa isyarat untuk berkomunikasi bersama Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran, satu Bengkel Asas Bahasa Isyarat diadakan di Pusat Bahagia, Kampung Pulaie.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan pembukaan rasmi bengkel berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir di majlis berkenaan, Yang Di-Pertua Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP), Awang Khairul Anwar bin Haji Johari dan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Tahir.

Seramai 75 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil institusi pengajian tinggi, pihak swasta, ibu bapa dan ahli keluarga OKU Pendengaran serta orang persendirian telah mendaftar bagi mengikuti sesi pertama bengkel yang diadakan sehingga 27 Februari ini.

Semasa bengkel, para peserta akan mempelajari beberapa modul asas bahasa isyarat yang merangkumi penggunaan bentuk tangan (hand shapes) bagi huruf dan nombor, cara berkomunikasi dengan memberikan ucapan salam dan pertanyaan serta aktiviti 'role play' bersama golongan OKU Pendengaran.

Bengkel yang dianjurkan oleh JAPEM dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan; Bahagian Otorhinolaringkrologi (ENT), Perkhidmatan Audiologi dan Guru bagi Orang-Orang Tuli Kementerian Kesihatan dan Persatuan OKP serta sukarelawan daripada Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Bengkel yang akan diadakan sebanyak enam sesi bermula Februari hingga November tahun ini diharap dapat memberikan peluang kepada pelbagai peringkat masyarakat umum untuk mempelajari bahasa isyarat dan seterusnya dapat meningkatkan penerimaan orang ramai terhadap OKU Pendengaran dalam pelbagai aktiviti harian.

 
24 Februari 2019
Kukuhkan semangat cinta negara para sukarelawan berpandukan wawasan negara

Antara yang menghadiri Ceramah Motivasi, bertajuk ''Semangat Patriotik melalui Kerja-kerja Kesukarelawan untuk Negara dan Masyarakat dari Perspektif Islam''

Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-35, Tahun 2019, Unit Sukarelawan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menganjurkan Ceramah Motivasi, bertajuk ''Semangat Patriotik melalui Kerja-kerja Kesukarelawan untuk Negara dan Masyarakat dari Perspektif Islam'', bertempat di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Ceramah motivasi itu disampaikan oleh Pegawai Kaunselor di Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Zaky bin Haji Metasim dan dihadiri oleh 15 sukarelawan yang berdaftar di jabatan ini.

Tujuan ceramah tersebut diadakan adalah untuk mengukuhkan semangat cinta kepada negara dalam diri para sukarelawan, sentiasa berpandukan wawasan negara dalam mengharungi kerjaya dan penghidupan yang serba mencabar di zaman ini.

Di samping itu, sesi berkenaan juga dapat dijadikan sebagai platform kepada para sukarelawan untuk meningkatkan motivasi dan semangat kesukarelawanan.

Sesi motivasi diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada penceramah yang disampaikan oleh Pegawai JAPEM, Dayang Rogayah binti Abdullah dan kemudian diteruskan dengan sesi bergambar ramai.

Dengan adanya ceramah tersebut diharap dapat meningkatkan lagi semangat kesukarelawan untuk lebih proaktif dan berdaya saing dalam menjayakan wawasan negara.

 
18 Februari 2019
Dedahkan pelatih OKU tanggungjawab kebersihan alam sekitar

Aktiviti membersihkan pantai di Taman Jubli Perak Kuala Belait disertai oleh seramai 18 orang murid dan pelatih Pusat Bahagia Eric Goh bersama lapan orang tenaga pengajar

Semangat patriotisme terhadap negara tidak menghalang golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk sama-sama menyemarakkan lagi persediaan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35 dengan menanai rasa kecintaan terhadap kebersihan pantai dan alam sekitar.

Aktiviti membersihkan pantai di Taman Jubli Perak Kuala Belait tersebut telah dimulakan dengan senaman ringan dan disertai oleh seramai 18 orang murid dan pelatih Pusat Bahagia Eric Goh bersama lapan orang tenaga pengajar.

Tujuan aktiviti tahunan ini dijalankan adalah untuk beriadah sambil belajar serta memberikan pendedahan kepada murid-murid dan pelatih-pelatih OKU akan tanggungjawab kebersihan bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat dan alam sekitar.

Syarikat KMST Sdn. Bhd. juga telah berbesar hati menyumbangkan sarung tangan plastik kepada Pusat Bahagia Eric Goh bagi melancarkan lagi aktiviti tersebut.

Pusat Bahagia Eric Goh, Kuala Belait merupakan satu cawangan Pusat Bahagia seluruh negara dibawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang berperanan untuk memberikan perkhidmatan termasuk kelas-kelas dan latihan-latihan khas kepada OKU di Daerah Belait

 
14 Februari 2019
Menteri KBS lawat projek penaman padi OKU

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika membuat lawatan ke Projek tanaman padi OKU

Di atas dasar keprihatinan terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU), Pusat Bahagia Temburong, Jabatan Pembangunan Masyarakat telah menjalankan program insentif Pemulihan Dalam Komuniti dengan memastikan penglibatan Pelatih-Pelatih Latihan Industri Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui aktiviti pertanian dan ternakan melalui Projek tanaman padi bertempat di Ladang Padi Perdayan, Temburong.

Objektif projek ini ialah memberikan bimbingan dan latihan yang berterusan serta memperluaskan perkhidmatan yang menyeluruh mengikut keperluan OKU disamping membuka peluang OKU menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan bagi membantu menampung keperluan hidup seharian.

Projek padi ini bermula pada tahun 2016 dan pada bulan Mac, 2018 projek ini telah menghasilkan pendapatan sebanyak $2,300.00 hasil pelatih bertanam padi jenis Bario, PDR dan Pusu. Projek ini mempunyai potensi yang sangat baik jika dapat menghasilkan tanaman berterusan iaitu 2 kali setahun disamping pemantauan projek OKU yang rutin serta mendapat sokongan daripada masyarakat khususnya sukarelawan dan swasta dari segi tenaga dan pembelian peralatan atau bahan-bahan tanaman. Namun penghasilan padi juga tertakluk kepada cuaca terutamanya kejadian banjir yang akan menjejaskan penghasilan tanaman padi

Hadir membuat lawatan ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Dengan adanya projek ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya para majikan akan potensi dan kebolehan OKU untuk diberikan peluang pekerjaan

 
07 Februari 2019
Mangsa bencana Daerah Brunei dan Muara terima bantuan kewangan kerajaan

Menteri KBS menyerahkan bantuan kewangan kerajaan kepada salah seorang mangsa bencana di Daerah Brunei dan Muara

Di atas dasar pemedulian kerajaan dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa bencana kebakaran dan rumah roboh, satu majlis penyampaian bantuan kewangan kerajaan telah diadakan pada petang ini di Bilik Kunjungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bantuan kewangan kerajaan tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kepada mangsa-mangsa rumah roboh di Kampung Saba Darat B pada 18 Disember 2018 dan di Kampung Pekan Lama pada 9 Januari 2019, serta mangsa kebakaran rumah di Kampung STKRJ Kg.Tungku pada 28 Disember 2018.

Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Bantuan kerajaan yang dihulurkan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh para mangsa dan keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

 
03 Februari 2019
Majlis Penyerahan Derma Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi Kepada Penyelarasan ASEAN Bagi Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana (AHA Centre)

Satu majlis penyerahan derma Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi kepada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana (AHA Centre) telah diadakan pada hari Jumaat, 1 Februari 2019 yang lalu di Jakarta, Indonesia.

Bagi pihak Negara Brunei Darussalam, penyampaian derma berjumlah BND272,000 atau USD202,469.27 disampaikan secara rasmi oleh Tuan Yang Terutama Dato Seri Pahlawan Yussof bin Abdul Rahman, Duta Besar Negara Brunei Darussalam di Indonesia kepada Puan Adelina Kamal, Pengarah Eksekutif AHA Centre. Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi, Setiausaha Agung ASEAN dan Tuan Dicky Fabrian yang mewakili Badan Penanggulangan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia.

Derma tersebut adalah hasil sumbangan dari rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan keprihatinan dan rasa solidariti rakyat di negara ini kepada penduduk yang terlibat dalam gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah. Sumbangan berjumlah USD202,469.27 atau BND272,000.00 ini merupakan fasa pertama bagi menampung pembinaan sebanyak 6 buah unit huntara (hunian sementara) melalui projek ASEAN Resilient Village. Baki kutipan setelah pembiayaan 6 huntara tersebut akan digunakan samaada untuk menambah lagi huntara ataupun pembinaan infrastruktur lain yang diperlukan oleh masyarakat seperti masjid.

Pihak AHA Centre menyatakan bahawa komitmen yang sepenuhnya akan diberikan untuk memastikan sumbangan tersebut akan digunakan secara efektif dan memberi faedah langsung kepada masyarakat yang terjejas oleh gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah. Derma ini juga akan melengkapkan sumbangan wang tunai USD300,000.00 daripada Kerajaan Filipina kepada AHA Centre. Secara kolektif, sumbangan ini akan disalurkan untuk projek ASEAN Resilient Village yang dikendalikan oleh AHA Centre dengan membina rumah-rumah sementara dan kekal yang berdaya tahan untuk beberapa kawasan yang terjejas di Sulawesi Tengah.

 
02 Februari 2019
PPB tawarkan program kemahiran bagi OKU

 Menteri KKBS berinteraksi bersama salah seorang peserta Program Pendedahan Kemahiran Inklusif Orang Kelainan Upaya

Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melakar satu lagi sejarah baharu dengan membukakan pintu institusi tersebut kepada para belia dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan di pusat berkenaan.

Program yang dikenali sebagai Program Pendedahan Kemahiran Inklusif OKU Pusat Pembangunan Belia ini bertujuan untuk memberikan peluang sama rata kepada para OKU bagi mencuba sesuatu kemahiran baharu dan belum pernah dipelajari sebelumnya.

Perasmian program disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Program dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM); Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan; Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya dan Persatuan-Persatuan OKU.

Pelaksanaan program antara lain akan memberi peluang kepada para OKU untuk mempelajari latihan kemahiran yang ditawarkan dengan bantuan dan tunjuk ajar seorang tenaga pengajar yang profesional dalam bidang kemahiran tersebut. Selain itu program juga mendedahkan mereka terhadap suasana pembelajaran baharu melalui bengkel kemahiran yang lengkap, lebih bersistemetik dan teratur; serta membolehkan mereka berdikari dengan kemahiran yang diperolehi selepas tamat kursus, di samping mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan di dalam bidang tersebut.

Kejayaan projek rintis sesi pertama program ini diharapkan akan dijadikan sebagai contoh dan ikutan kepada OKU-OKU lainnya terutama kepada ibu bapa dan penjaga, supaya lebih terbuka dan dapat menawarkan kepada anak-anak OKU mereka dalam sama-sama menyertai program ini di masa hadapan.

Para OKU juga diseru supaya tampil dan bertindak lebih pro aktif dalam merebut apa jua program yang telah dirancang ke arah pembangunan modal insan yang berkemahiran dan berkualiti.