Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

31 Januari 2019
Pusat Masyarakat Bestari, Daerah Temburong dirasmikan

Menteri KBS semasa merasmikan Pusat Masyarakat Bestari, Daerah Temburong

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menubuhkan sebuah lagi Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) di Daerah Temburong yang dinamakan sebagai Pusat Masyarakat Bestari (PMB) Temburong. Pusat ini ditempatkan sementara di bawah satu bumbung dengan bangunan Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) sehingga mempunyai bangunan kekal.

Objektif utama bagi menubuhkan pusat ini adalah sebagai ‘One Stop Centre’ untuk aktiviti-aktiviti ke arah menjadikan sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan aktif dalam kegiatan berkebajikan. Ianya juga sebagai salah satu kemudahan warga emas untuk berinteraksi atau networking dengan pelbagai golongan masyarakat terutama sekali belia, remaja dan kanak-kanak yang bertujuan untuk merapatkan jurang di antara mereka. Di samping itu masyarakat juga berpeluang untuk menimba ilmu pengetahuan melalui perkongsian pengalaman warga emas.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan penubuhan PMB Temburong ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Majlis berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu, Ahli Majlis Mesyuarat Negara / Penghulu Mukim Bokok; Datin Paduka Dr. Hajah Norlila Binti Dato Paduka Hj Abdul Jalil, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Awang Khairul Shahrul bin Duahim, Pemangku Pegawai Daerah Temburong; Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat; Dayang Hjh Sariani binti Hj Ishak, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Daerah Temburong, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Bahagian Warga Emas dari Kuala Belait dan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong.

Acara dimulai dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang dipimpin oleh Awang Haji Mohammad Sallehuddin bin Hj Suhaimi, Imam Masjid Labu Estate. Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Awang Hj Md Jaidi @Md Jaidin bin Haji Tahir, Pengurus Jawatankuasa Tadbir Pusat Masyarakat Bestari Temburong. Majlis Perasmian dilancarkan dengan pukulan gong oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan diteruskan dengan majlis menandatangani Plaque.

Majlis juga turut menyaksikan pameran dan jualan dari setiap kampung dan mukim Daerah Temburong seperti buah-buahan, kuih-kuih tradisi, parang, demonstrasi masakan dan sebagainya.

Dengan tertubuhnya Pusat Masyarakat Bestari (PMB) bagi Daerah Temburong yang kini diperluaskan fungsi dengan penyerapan aktiviti-aktiviti bagi warga emas adalah diharapkan untuk dapat memenuhi keperluan kepada warga emas untuk terus menikmati kehidupan yang aktif dan dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian bagi para warga emas. Dimasa yang sama, ia diharapkan sebagai langkah pertama bagi Pusat Masyarakat Bestari ini manarik penglibatan pihak belia dan peringkat masyarakat sekeliling di dalam kegiatan sosial yang berkebajikan ke arah masyarakat yang bersepadu dan berpengetahuan.

 
30 Januari 2019
Empat buah agensi serah derma bagi TKBS

Menteri KHEU dan Menteri KKBS semasa menerima sumbangan derma dari Progresif Cellular Sdn. Bhd

Sejumlah BND533,189.55 berjaya dikutip bagi Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) sepanjang tempoh kutipan dijalankan selama tiga bulan, iaitu mulai 9 Oktober 2018 hingga 7 Januari 2019.

Sehubungan dengan itu, satu Majlis Penyerahan Derma kepada TKBS telah diadakan bertempat di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Hadir bagi menerima penyerahan derma tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penasihat-Penasihat Bersama TKBS.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku Timbalan Penasihat Bersama TKBS; Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Pengerusi Bersama TKBS; dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.

Pada majlis tersebut, sebanyak empat buah agensi telah menyerahkan derma bagi TKBS kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

KHEU yang diwakili oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri telah menyerahkan sebanyak BND100,307.44 hasil kutipan daripada masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara.

Sementara itu, pihak DST Communications Sendirian Berhad telah menyampaikan dua 'mock cheque' iaitu sumbangan daripada DST Communications Sendirian Berhad sebanyak BND5,000 dan hasil kutipan SMS Brunei Prihatin sebanyak BND75,706 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn. Bhd., Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni.

Manakala, hasil kutipan SMS Brunei Prihatin daripada Progresif Cellular Sendirian Berhad (PCSB) sebanyak BND29,973 telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Sumber Manusia PCSB, Dayang Erwienna Shafienaz binti Abu Bakar.

TBKS juga menerima sumbangan derma berjumlah BND2,000 daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, UBD, Awangku Muhd. Nur Hafizan bin Pengiran Haji Hassan.

Majlis penyerahan derma tersebut diikuti dengan Mesyuarat Penutupan TBKS yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap KKBS selaku Pengerusi Bersama TBKS dan dihadiri oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan TBKS.

Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat At-Taqwa, Tingkat 3, KKBS telah bersetuju bahawa mulai hari ini, TBKS ditutup secara rasminya sekali gus membubarkan Jawatankuasa Tabung tersebut.

Sebahagian hasil kutipan derma Negara Brunei Darussalam telahpun disalurkan bagi pembinaan tempat perlindungan sementara yang dikenali sebagai 'huntara' (hunian sementara) melalui projek ASEAN Resilient Village yang dikendalikan oleh pihak ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre).

Sumbangan tersebut adalah bagi pembinaan sebanyak enam buah unit huntara berjumlah USD198,000.00. Kapasiti bagi setiap unit bangunan huntara dapat menampung sebanyak 12 buah keluarga, yang mana setiap keluarga dianggarkan seramai lima orang dan sebuah huntara akan dapat menempatkan seramai 60 orang penghuni.

Sementara, baki kutipan tabung setelah pembiayaan huntara-huntara tersebut akan digunakan untuk pembinaan masjid atau infrastruktur lain yang diperlukan.

 
 
26 Januari 2019
JAPEM terima lawatan dari pelajar Korea Selatan

Mahasiswi Universiti Namseoul bergambar ramai bersama pegawai-pegawai dari Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara

Seramai 14 orang mahasiswi dari Universiti Namseoul, Korea Selatan telah membuat lawatan ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Lawatan bermula ke Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara. Rombongan tersebut diketuai oleh Professor Kim Hee Young.

Taklimat mengenai dengan peranan dan fungsi Pusat Bahagia telah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Irnawati binti Haji Mahir.

Semasa berada di sini, mahasiswi berkenaan telah membuat persembahan dan mengajar para pelatih pusat membuat permainan tradisi Korea iaitu Ddakji.

Antara yang hadir semasa lawatan mereka, Penolong Pengarah JAPEM, Awang Abd Rahman bin Haji Apong.

Pada sebelah petang mereka meneruskan lawatan ke Kompleks Rumah Kebajikan di Kampung Belimbing.

Taklimat mengenai fungsi dan peranan JAPEM telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah JAPEM, Dayang Norzaridah binti Zainal.

 
20 Januari 2019
Kempen gotong royong

Kempen gotong royong bertujuan menyemai sikap bekerjasama dalam menjaga kebersihan

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Unit Bencana dan  Perumahan, Bahagian Kebajikan Am  telah mengungkayahkan Kempen Kebersihan dan bergotong royong bersama Penghuni-penghuni Pusat Penempatan Sementara Kg. Belimbing Subok dan Pusat Penempatan Sementara Sentosa.

Turut hadir menyertai kempen tersebut, Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Kempen Kebersihan bertujuan menyemai sikap bekerjasama dalam menjaga kebersihan dan ianya juga sememangnya digalakkan dalam Islam, serta sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim, hidup bermasyarakat dan memupuk kesejahteraan sesama penduduk setempat.

 
19 Januari 2019
Galakkan warga KKBS amalkan gaya hidup sihat

Antara warga KKBS yang menyertai Riadah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS)

Riadah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) diteruskan lagi pagi tadi, berlangsung di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Acara yang dikelolakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) tersebut memfokuskan kepada sukan-sukan bela diri yang antara lain diisikan dengan aktiviti-aktiviti sukan seperti Wushu, Kempo, Fencing Sabre, Taekwondo, Karate dan Pencak Silat.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KBS), Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KKBS.

Atur cara dimulakan dengan sesi senamrobik yang berlangsung di Pedestrian Mall, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Yang Berhormat Menteri KBS kemudian dijemput untuk melawat di kawasan-kawasan sekitarnya.

Riadah tersebut antara lain bertujuan untuk merealisasikan hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam secara amnya dan warga KKBS khasnya, untuk berada di tahap kesihatan yang optima.

Ianya merupakan kegiatan sukan yang diselenggarakan secara bergilir-gilir oleh jabatan-jabatan di bawah KKBS untuk menggalakkan warga kementerian tersebut bergiat aktif melakukan aktiviti fizikal secara berterusan dengan menggunakan fasiliti yang sedia ada.

 
08 Januari 2019
Masyarakat berperanan penting bantu golongan OKU

YANG Berhormat Menteri KKBS semasa memukul gong pelancaran Forum Sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya 2019 yang telah berlangsung di Dewan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas

Bagi meraikan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) yang disambut setiap 3 Disember, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan Majlis Forum Sempena HAOKU bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya melancarkan forum tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis perasmian forum dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Awang Khairul Anwar bin Haji Abdul Ghafar dan diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Nurasilah binti Zaini.

Yang Di-Pertua Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Dato Paduka Haji Mohd. Alimin bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, semua individu tanpa mengira keupayaan dan ketidakupayaan adalah berhak untuk menikmati hak sama rata dalam pelbagai aspek termasuk penyediaan kemudahan-kemudahan dan peluang yang sama rata tanpa ada pengecualian dan keistimewaan kepada golongan tertentu sahaja.

Dato Paduka Haji Mohd. Alimin yang juga selaku Pengerusi Bersama Majlis tersebut seterusnya menambah, semua anggota masyarakat berperanan penting dalam membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mengatasi halangan-halangan dan mempunyai tanggapan positif terhadap kehadiran mereka.

Seramai empat ahli panel telah diundang dalam sesi forum yang bertajuk Memperkasakan OKU dan Memastikan Penglibatan dan Kesaksamaan iaitu Pegawai Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Awang Bahri bin Bohari; Naib Yang Di-Pertua Persatuan Sindrom Down (ABLE), Dayang Hajah Zaleha binti Haji Abu Salim; Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor dan Ketua Unit Rehabilitasi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Abang Muhd. Fahmy bin Abang Hepnie.

Forum antara lain membincangkan mengenai meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sepanjang hidup mereka.

Antara tujuan forum tersebut diadakan ialah untuk berkongsi ilmu pengetahuan, bertukar-tukar pandangan dan mengumpulkan maklumat-maklumat untuk hala tuju usaha-usaha penyertaan dan perkembangan OKU pada masa sekarang dan akan datang.

Juga hadir pada majlis tersebut ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap KKBS, Pemangku Pengarah JAPEM, Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli MKOKU, Pengerusi-Pengeursi Persatuan-Persatuan di bawah MKOKU dan ibu bapa serta penjaga Warga OKU.

 
05 Januari 2019
TKBS terima sumbangan BND13 ribu

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima sumbangan dari Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof selaku Raes Rabithah Antarabangsa Alumni Azhar Brunei Darussalam

Satu majlis penyerahan derma kepada Tabung Kemanusiaan Bencana Sulawesi (TKBS) berjumlah BND12,000 daripada Rabithah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Brunei Darussalam diadakan di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menerima sumbangan yang diserahkan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd. Yussof selaku Raes Rabithah Antarabangsa Alumni Azhar Brunei Darussalam.

Turut menghulurkan sumbangan di majlis berkenaan ialah Pemangku Pengarah Urusan Hani Marzuqi Car Rental Sendirian Berhad, Pengiran Haji Abd. Rahman bin Pengiran Dato Paduka Haji Jaludin berjumlah BND1,000 kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Setiausaha Tetap KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal selaku Naib Raes Alumni; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Md. Daud dan beberapa orang wakil dari alumni dan syarikat berkenaan serta para pegawai kanan KKBS.

Kutipan derma TKBS ditutup Isnin depan, 7 Januari 2019.