Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

16 Julai 2019
MAJLIS PEMBUKAAN BENGKEL ASAS BAHASA ISYARAT KALI KE-4

 Sesi bergambar ramai bersama Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dayang Saidah Binti Haji Wahid

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan Majlis Pembukaan Bengkel Asas Bahasa Isyarat kali ke-4 pagi ini di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei Muara, Kampung Pulaie. Majlis tersebut telah dianjurkan bersama Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan, Unit Pendidikan Khas Ugama (UPKU), Jabatan Pengajian Islam, Bahagian Otorhinolaringkologi (ENT), Perkhidmatan Audiologi dan Guru Bagi Orang-Orang Tuli, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi pembukaan majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Saidah binti Hj Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Muhammad Saufaqroul Wa’ie bin Amir, seorang individu Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran dan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Hj Mayadi bin Hj Jais, guru ugama di Pusat Bahagia. Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Khairul Anwar bin Haji Jofari, Yang Di Pertua Persatuan Orang Kurang Pendengaran (OKP) dan seterusnya pembukaan Bengkel Asas Bahasa Isyarat kali ke-4 yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis.

Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian pengalaman bersama Orang Kurang Pendengaran bertajuk ‘Suaramu Ku Dengar’ telah disampaikan oleh Dayang Rabiatul Adawiyah binti Osman Zaini, dan diikuti dengan Persembahan Melodi bertajuk “Satu suara” oleh OKU Pendengaran daripada Pusat Bahagia bersama Ahli Persatuan OKP.

Bahasa Isyarat perlu dipelajari dengan tekun kerana bukan sesuatu yang mudah untuk menguasai bahasa tangan. Antara tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada orang ramai bahawa bahasa isyarat merupakan suara bagi OKU khususnya OKU Pendengaran. Dengan mempelajari bahasa isyarat, kita dapat berkongsi satu suara dengan mereka bagi memudahkan komunikasi dan meningkatkan rasa empati dalam diri seorang yang boleh bertutur secara normal. Dengan mengendalikan bengkel ini juga menunjukkan komitmen agensi-agensi tertentu dan masyarakat yang prihatin dalam memastikan kualiti hidup bagi OKU pendengaran khususnya, dan OKU secara umumnya.




11 Julai 2019
Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Kepada Mangsa-Mangsa Kejadian Bencana Bagi Daerah Brunei Dan Muara

 Hadir bagi menyampaikan bantuan tersebut ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.


Bandar Seri Begawan, Khamis, 11 Julai 2019- Satu majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana di Daerah Brunei dan Muara telah berlangsung pagi ini di Dewan Citra Budaya, bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Hadir bagi menyampaikan bantuan tersebut ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ke majlis ini ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat serta Penghulu Mukim dan Ketua–Ketua Kampung yang berkenaan.

Sejumlah $29,800.00 telah disumbangkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada 22 buah ketua keluarga yang terlibat dalam bencana tersebut.

Mereka yang terlibat dalam kejadian itu ialah dari Kampung Kapok, Kampung Mata-Mata, Kampung Tungku, Kampung Jangsak, Kampung Junjongan, Kampung Lurong Dalam, Kampung Saba Darat B, dan Kampung Pekan Lama.

Selain menyediakan makanan tersedia (packed meal) kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran rumah dan rumah roboh, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) juga menghulurkan bantuan catuan makanan dan keperluan asasi lain kepada mangsa berkenaan sewaktu kejadian.



08 Julai 2019
MAJLIS PROJEK PRIHATIN 1 ANJURAN BIRO KEMASYARAKATAN DAN PERHUBUNGAN MPK RPN MENGKUBAU DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN

  Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, memberikan alat mesin rumput bagi mereka menjalankan usaha khidmat memotong rumput untuk menambah pendapatakan keluarga mereka.


Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan (BKP), Majlis Perundingan Kampong RPN Panchor Mengkubau, Mukim Mentiri dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, telah mengadakan Majlis Projek Prihatin 1 petang ini bertempat di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi pembukaan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Mohammad bin Pengiran Haji Osman@Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Pengurusan Strategi dan Dasar); Yang Mulia Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Pentadbiran, Kewangan dan Estet); Yang Mulia Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat; Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat 2, Wakil Pegawai Daerah Brunei Muara serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung RPN Kampung Panchor Mengkubau.

Tujuan Projek Prihatin 1 merupakan program “pilot projek” Biro Kemasyarakatan dan Perhubungan (BKP), Majlis Perundingan Kampong RPN Panchor Mengkubau untuk membantu keluarga susah yang mempunyai tanggungan yang ramai dan tidak mempunyai, yang mencukupi akan tetapi mempunyai kemahuan yang tinggi untuk berusaha dan mencari pendapatan sendiri. Antaralain inisiatif di dalam projek ini adalah untuk membantu peserta yang telah terpilih untuk diberikan alat mesin rumput bagi mereka menjalankan usaha khidmat memotong rumput untuk menambah pendapatakan keluarga mereka.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan dari Penyelaras Projek Prihatin 1 iaitu Dayang Fatimah binti Haji Jamil dan diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara diteruskan dengan penyerahan bantuan mesin rumput kepada tiga orang peserta Projek Prihatin 1 iaitu Mohammad Fakhrul Zul Azmi bin Haji Yusof berumur 29 tahun dari RPN Kampong Mengkubau, Nazri Azimi bin Asnan, berumur 28 tahun, dari RPN Meragang dan Mohammad Khairul Azdi bin Haji Mohammad Tamit, berumur 31 tahun dari Wasai Limuru, RPN Tanah Jambu , acara ini diakhiri dengan bacaan doa selamat.



03 Julai 2019
PUSAT BAHAGIA DAERAH TUTONG SAMBUTAN AIDILFITRI

 Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dayang Saidah Binti Haji Wahid hadir selaku Tetamu Kehormat

Bulan Syawal adalah bulan dimana semua umat Islam meraikan kemenangan mereka setelah berjaya mengharungi lapar dan dahaga di siang hari semasa bulan Ramadan. Kemeriahan Syawal di negara ini masih dapat dirasakan dengan pelbagai sambutan majlis rumah terbuka diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Pusat Bahagia Daerah Tutong juga tidak ketinggalan dalam sama – sama mengadakan rumah terbuka. Tujuan rumah terbuka ini diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim diantara murid dan pelatih Pusat Bahagia Tutong dan ibubapa serta penjaga mereka dengan pengajar Pusat Bahagia Tutong serta rakan-rakan strategik Pusat tersebut.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Dayang Saidah Binti Haji Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh rakan-rakan strategik Pusat Bahagia Tutong diantaranya Kedutaan Besar Republik Turki yang dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki ke Negara Brunei Darussalam Tuan Yang Terutama Mehmet Suat Akgun serta pihak sektor swasta.

Sambutan rumah terbuka tersebut juga diselajurkan dengan mengadakan sambutan hari jadi bagi murid-murid dan pelatih Pusat Bahagia yang lahir pada bulan April hingga bulan Jun dan dimeriahkan dengan persembahan daripada murid-murid dan pelatih Pusat Bahagia Tutong.

Acara ini dihadiri oleh seramai 100 orang yang terdiri daripada murid-murid dan pelatih – pelatih Pusat Bahagia Tutong, para ibu bapa serta penjaga mereka dan rakan – rakan strategik Pusat ini.