Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

13 Jun 2019
TBKK terima sumbangan dari FS Create Company

Pemangku Pengarah JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abd Aji menerima sumbangan derma untuk Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan daripada Pengurus FS Create Company, Pengiran Fairul Alinur bin Pengiran Haji Hamlin

Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan (TBKK) hari ini menerima sumbangan derma sejumlah $2,000.00 daripada FS Create Company.

Sumbangan telah diserahkan kepada Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abd Aji oleh Pengurus FS Create Company, Pengiran Fairul Alinur bin Pengiran Haji Hamlin.

Terdahulu FS Create Company telah menyumbangkan sejumlah $3,000.00 kepada Tabung Belia, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumbangan diserahkan kepada Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud oleh Pengurus FS Create Company.

Sumbangan derma tersebut adalah hasil daripada bayaran yang diterima oleh Syarikat FS Create Company selaku pengendali Gerai Ramadhan Belia 2019.

Majlis berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
03 Jun 2019
JAPEM, YMRM gembirakan warga Pusat Bahagia

Pengerusi Syarikat YMRM Textiles menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang murid dan pelatih Pusat Bahagia

Di atas dasar pemedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (OKU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan tajaan dari Syarikat YMRM Textiles telah menganjurkan majlis bersungkai bersama murid dan pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara yang diadakan di Dewan Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi Syarikat YMRM Textiles, Awang Ramesh Jiwatram Bhawani.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Awang Abd. Rahman bin Haji Apong, serta Jemputan-jemputan Khas YMRM; Pegawai-pegawai Kanan dari JAPEM serta murid dan pelatih Pusat Bahagia.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh Awang Khairul Anuar bin Haji Abdul Ghaffar, Pelatih Latihan Industri Pusat Bahagia, diakhiri dengan bacaan Doa Tahlil dan Doa Selamat.

Seramai 140 orang murid dan pelatih Pusat Bahagia Brunei Muara menerima sampul Hari Raya Aidilfitri dan hadiah berupa 'goodie bags' hasil sumbangan ikhlas daripada Syarikat YMRM Textiles.

Sumbangan tersebut masing-masing disampaikan oleh Awang Ramesh Jiwatram Bhawani dan juga Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat.

Acara tersebut merupakan majlis tahunan KKBS bersama Syarikat YMRM Textiles sejak tahun 2016 yang bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara murid dan pelatih bersama pegawai dan tenaga kerja Pusat Bahagia dengan beberapa rakan strategik.

Majlis seumpamanya dihasratkan akan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada murid-murid dan para pelatih OKU dalam sama-sama menyambut bulan Ramadan yang penuh berkah.

Di samping itu, ia bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan golongan OKU untuk berhadapan dengan masyarakat bahkan juga dapat meningkatkan keterlibatan mereka di dalam masyarakat.

Oleh itu, para dermawan dan sukarelawan di Brunei Darussalam adalah digalakkan untuk memeduli kebajikan golongan OKU secara aktif menerusi apa jua aktiviti atau sumbangan yang berkaitan.

 
03 Jun 2019
Majlis bersungkai Pusat Bahagia Eric Goh

Sebahagian murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia Eric Goh Kuala Belait yang diraikan pada majlis bersungkai

Pusat Bahagia Eric Goh telah mengadakan Majlis Bersungkai bagi murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia Eric Goh Kuala Belait di Restoran Indah Damai, Jalan Maulana pada lewat petang ini. Majlis ini adalah kali kedua diadakan bersempena bulan Ramadhan 1440H.

Hadir pada majlis tersebut ialah pegawai dan kakitangan Pusat Bahagia Eric Goh Kuala Belait, murid-murid dan pelatih-pelatih serta ibu bapa dan penjaga.

Matlamat utama majlis ini diadakan ialah bagi mendidik serta menanam rasa kasih sayang dan kekeluargaan di antara masyarakat dan golongan OKU disamping dapat memupuk Ukhuwwah Islamiah serta beramah mesra antara pihak Pusat Bahagia dan pihak yang terlibat khususnya golongan OKU dan para ibubapa dan penjaga. Ianya juga bertujuan untuk memberikan pendedahan positif kepada golongan OKU khususnya di Daerah Belait.

Jamuan serta buah tangan bagi kira-kira 40 orang murid-murid dan pelatih-pelatih serta pegawai dan kakitangan Pusat Bahagia Eric Goh telah disumbangkan oleh sumbangan derma daripada isteri-isteri Menteri, SUT dan TSUT.

Majlis seumpama ini dihasratkan dapat diteruskan pada masa akan datang melihat kepada keceriaan dan kegembiraan yang jelas digambarkan setiap murid dan pelatih yang hadir. Majlis ini juga merupakan peluang bagi para tetamu untuk sama-sama menyambut bulan Ramadhan yang penuh keberkatan bersama murid dan pelatih Pusat Bahagia.

 
02 Jun 2019
Lebih 100 anak yatim, OKU terima sumbangan

PEMANGKU Pengarah, Jabatan Pembangunan Mesyarakat, KKBS, Awang Abd. Rahman bin Haji Apong semasa menerima sumbangan derma Tabung Anak Yatim Kebangsaan dari salah sebuah syarikat.

Lebih 100 anak yatim dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Tabung Anak Yatim, Daerah Brunei dan Muara (DBM) menerima sumbangan derma daripada pihak-pihak swasta dan persendirian.

Penyampaian Derma Anak-anak Yatim dan OKU di Harini Catering Service Sendirian Berhad, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Pada majlis tersebut, sumbangan derma berjumlah BND8,300 bagi Tabung Anak Yatim Kebangsaan diterima oleh Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Awang Abd. Rahman bin Haji Apong.

Manakala, Tabung Anak-anak Yatim DBM menerima sumbangan derma berjumlah BND8,400 yang diterima oleh Pegawai DBM, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Majlis kelolaan Harini Catering Service Sendirian Berhad, antara lain bertujuan untuk membantu perbelanjaan anak-anak yatim dan OKU sebagai persediaan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

 
01 Jun 2019
Sumbangan derma bantu golongan memerlukan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang penerima

Dalam usaha berterusan bagi memeduli kebajikan dan kesejahteraan masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Kumpulan Syarikat Hua Ho, iaitu Pusat Membeli Belah Hua Ho dan Ladang Pertanian Hua Ho mengadakan Majlis Bersungkai dan Penyerahan Sumbangan Derma kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Di Gadong KKBS di sini ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Saidah binti Haji Wahid dan wakil daripada Syarikat Kumpulan Hua Ho, Lau Hou Teck, Lau Soon Tiong, Lau Soon Lin dan Allen On.

Sumbangan baucar berjumlah BND30,000.00 telah diserahkan kepada 300 penerima yang terpilih hasil sumbangan Syarikat Kumpulan Hua Ho dengan harapan ia akan dapat membantu meringankan beban keluarga-keluarga yang memerlukan.

Majlis turut diserikan dengan bacaan tahlil beramai-ramai, Doa Tahlil dan Doa Selamat dipimpin oleh Pelatih Latihan Industri Pusat Bahagia, Awang Khairul Anwar bin Haji Abdul Ghaffar.

Acara tahunan yang diadakan oleh KKBS dengan kerjasama agensi-agensi swasta ini merupakan wadah bagi membantu golongan yang memerlukan, di samping dapat memberikan keceriaan dan kegembiraan kepada mereka dalam sama-sama menyambut bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri nanti.

Selain itu, para dermawan dan sukarelawan di negara ini juga adalah digalakkan untuk terus meningkatkan pemedulian kebajikan golongan yang memerlukan secara aktif dan berterusan.