Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2019 |  Bagi Bulan : :.       

31 Mei 2019
Majlis Khatam Al-Quran PKWE eratkan silaturahim

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri hadir selaku tetamu kehormat Majlis Khatam Al-Quran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara

Bagi meraih keberkatan dan ganjaran pahala berlipat ganda pada bulan Ramadan yang mulia ini, warga Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Dewan Kemasyarakatan 11, Jalan 77, Perpindahan Lambak Kanan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Hajah Norhayana Janis binti Abdullah Lim.

Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga selaku Penghulu Mukim Berakas 'B'; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Apong; juga pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan KKBS.

Bagi memberkati majlis, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Manakala bacaan Takhtim, Doa Khatam dan Tahlil dipimpin oleh Awang Haji Sari bin Nasir.

Sebelum majlis bersurai, acara diteruskan dengan Dikir Marhaban dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan.

Selain meraih ganjaran pahala majlis seumpama ini juga diharap dapat mengeratkan silaturahim di antara warga kementerian dan warga PKWE.

 
25 Mei 2019
2 buah tabung kendalian JAPEM terima sumbangan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir menerima sumbangan hasil kutipan daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli Bersekutu

Tabung Kompleks Rumah Kebajikan (TKRK) dan Tabung Orang-Orang Cacat (TOOC) dibawah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima sumbangan hasil kutipan daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli Bersekutu.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Salwana binti Pengiran Haji Ibrahim, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Kerma Jaya Haji Mohd Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri yang menyampaikan sejumlah $500.00 kepada Tabung Kompleks Rumah Kebajikan dan sejumlah $1,000.00 telah disampaikan oleh Pengiran Datin Hajah Juraidah binti Pengiran Haji Hidup, isteri Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Suhaimi bin Haji Ghafar, Menteri Pembangunan kepada Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir menyaksikan pada majlis ini ialah Yang Mulia Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Perancangan Dasar dan Strategi); Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid, Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dayang Rostinah binti Pehin OKSSP Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli Bersekutu serta urusetia serta pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Majlis penyerahan derma tersebut telah diadakan hari ini di Tingkat 8, Pejabat Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sumbangan ini mencerminkan sifat sokongan padu keprihatinan dan kemurahan hati serta pemedulian pihak Kumpulan terhadap kebajikan penghuni dan residen Kompleks Rumah Kebajikan dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia. Sumbangan daripada wakil kumpulan itu diharapkan akan memberikan keceriaan dan kegembiraan bagi menyambut bulan Ramadhan dan menjelang Syawal nanti.

 
24 Mei 2019
91 lukisan OKU dipamerkan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin menyaksikan Pameran 'Enabling' Lukisan Pelatih-pelatih Kelainan Upaya Pusat Bahagia, Galeri Seni Dermaga Diraja

Sebanyak 91 buah lukisan yang dihasilkan oleh para pelatih Orang Kelainan Upaya (OKU) dipamerkan pada Pameran 'Enabling' Lukisan Pelatih-pelatih Kelainan Upaya Pusat Bahagia, Galeri Seni Dermaga Diraja, di ibu negara.

Majlis pelancaran pameran disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku tetamu kehormat majlis.

Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Awang Mohd. Tahir dalam ucapan alu-aluannya, antara lain menjelaskan, pameran tersebut merupakan inisiatif Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam memperkasa dan mengetengahkan bakat-bakat seni lukis golongan istimewa untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Pameran selama 11 hari bermula hari ini hingga 3 Jun 2019 akan dapat memberikan pendedahan akan keupayaan dan penghasilan kreatif para pelatih OKU Pusat Bahagia kepada masyarakat bagi tujuan peningkatan sosial.

Selain itu, pameran juga dihasrat agar dapat meningkatkan hasil jualan lukisan-lukisan Pelatih OKU sebagai pendapatan mereka, yang mana usaha seumpama ini juga menggalakkan dan meningkatkan kerjasama di antara pihak-pihak kerajaan dan swasta dalam mengembangkan kebolehan dan peningkatan OKU dalam arena kreatif.

Seramai 12 pelatih dari Pusat Bahagia Brunei Muara; Pusat Bahagia Eric Goh, Kuala Belait; Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam; dan La Vida Berhad yang dalam Kategori OKU intelek, Austisme dan Pendengaran mempamerkan lukisan masing-masing semasa pameran ini.

Kemahiran Pelatih-pelatih OKU itu dikenal pasti melalui kebolehan mereka melakar lukisan dan keupayaan untuk menggunakan warna-warna yang menarik bagi menghasilkan lukisan melalui pandangan mereka.

Hasil jualan pameran lukisan akan diserahkan sepenuhnya kepada pelatih-pelatih sebagai pendapatan mereka.

Antara yang hadir semasa majlis pelancaran, Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kolonel (B) Pengiran Haji Maidin bin Pengiran Haji Said

 
22 Mei 2019
JAPEM berwakaf di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan wakaf sumbangan dari warga Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Pusat Sejarah Brunei kepada Imam Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar

Dalam sama-sama meraikan tetamu yang mulia, bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) meneruskan lagi siri Tadarus Al-Quran di masjid-masjid bermula di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, petang tadi.

Hadir mengetuai rombongan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kanan, pegawai kakitangan KKBS dan Jabatan-jabatan di bawahnya dan para ahli jawatankuasa Takmir Masjid berkenaan.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, Tadarus Al-Quran dan solat Asar berjemaah.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan wakaf sumbangan dari warga Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Pusat Sejarah Brunei kepada Imam Masjid berkenaan.

Majlis tersebut antara aktiviti-aktiviti keagamaan KKBS sepanjang bulan Ramadan yang dimuatkan dalam kalendar tahunan kementerian berkenaan bagi memupuk kerjasama dan silaturahim dalam kalangan warga KKBS dan pihak-pihak yang berkepentingan

 
21 Mei 2019
13 keluarga terima sumbangan Kembara Amal Ramadan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyerahkan sumbangan Program Kembara Amal Ramadan kepada salah seorang penerima

Sebanyak 13 buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara (DBM) yang tersenarai di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan asas melalui Program Kembara Amal Ramadan.

Para penerima sumbangan terdiri daripada penerima Bantuan Kebajikan Bulanan, anak yatim, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mana penyampaian sumbangan bagi golongan OKU juga diterima melalui Projek Kasih OKU.

Mengetuai rombongan bagi berkunjung ke dua buah rumah kediaman milik warga emas di Kampung Serasa Muara dan Kampung Lugu, ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Manakala rombongan yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Perancangan Dasar dan Strategi), Kementerian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil telah mengunjungi sebanyak tiga buah rumah bermula dari Kampung Putat seterusnya ke Kampung Junjungan dan berakhir di Kampung Mulaut Sengkurong.

Sementara itu, tiga buah rumah di Kampung Jerudong, Kampung Perpindahan Lambak Kanan dan Kampung Pulaie pula dikunjungi oleh rombongan yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Kunjungan ke rumah di Kampung Pengkalan Sibabau, Jalan Kota Batu dan Kampung Panchor, Jalan Sungai Cerana Mengkubau diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Manakala, Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd. Tahir pula, menyampaikan sumbangan ke sebuah rumah di Jalan Binglu Tengah, Rumah Teres Perpindahan Kampung Tanah Jambu.

Juga menyampaikan sumbangan ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, KKBS, Dayang Hajah Noridah binti Abdul Hamid ke dua buah rumah, iaitu di Kampung Tamoi, Tamoi Ujung dan Kampung Menunggol.

Rombongan juga dihadiri oleh Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ketua-ketua Kampung, Pegawai-pegawai Kanan di KKBS dan JAPEM.

Program Kembara Amal Ramadan merupakan program tahunan KKBS sebagai inisiatif 'outreach' ke seluruh daerah untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bagi membantu dan meringankan beban orang-orang susah selain memberikan kegembiraan kepada mereka dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

Program tersebut antara aktiviti-aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan mubarak yang dimuatkan dalam kalendar tahunan KKBS bagi memupuk kerjasama dan silaturahim dalam kalangan warga KKBS dan pihak-pihak yang berkepentingan

 
19 Mei 2019
120 pelatih, murid Pusat Bahagia diraikan

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang murid Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara

Kira-kira 120 orang pelatih-pelatih dan murid-murid Pusat Bahagia Brunei Muara, diraikan dalam satu Majlis Bersungkai yang berlangsung di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Hajah Norhayana Janis binti Abdullah Lim.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil beramai-ramai yang diketuai oleh murid Orang Kelainan Upaya (OKU) Intelek dari Pusat Bahagia Brunei Muara, Awangku Ali Safwan bin Pengiran Ali Shafie, manakala Doa Tahlil dan Doa Selamat dibacakan oleh Ketua Guru Ugama Pusat Bahagia Brunei Muara, Awang Haji Nurmateen bin Haji Abu Bakar.

Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sampul Hari Raya Aidilfitri sumbangan dari Tabung Orang-Orang Cacat (TOOC) yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan juga penyampaian sumbangan derma daripada Pengerusi Syarikat Borneo United Enterprise Sendirian Berhad dan wakil dari Syarikat Dee Jay Sendirian Berhad.

Melalui majlis tersebut menunjukkan sokongan padu dan pemedulian dari firma-firma swasta akan kebajikan golongan kelainan upaya ke arah pendekatan 'Whole of Nation'.

Ia dihasratkan dapat diteruskan pada masa akan datang melihat kepada keceriaan dan kegembiraan yang jelas dari setiap murid dan pelatih yang hadir.

Majlis tersebut juga memberi peluang kepada para tetamu untuk sama-sama menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan bersama murid dan pelatih Pusat Bahagia.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, KKBS, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir; Pengerusi Syarikat Borneo United Enterprise Sendirian Berhad dan wakil dari Syarikat Dee Jay Sendirian Berhad; Pegawai-pegawai Kanan dan tenaga kerja di KKBS dan Jabatan Pembangunan Masyarakat serta murid dan pelatih Pusat Bahagia Brunei Muara.

 
18 Mei 2019
Mangsa bencana terima bantuan kewangan kerajaan

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan II selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bantuan kewangan kerajaan kepada Dayang Norlela binti Haji Majenis mangsa bencana kebakaran rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampong Mengkubau pada 12 April 2019

Di atas dasar pemedulian kerajaan dalam membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh mangsa bencana kebakaran, satu majlis penyampaian bantuan kewangan kerajaan telah diadakan pada pagi ini di Bilik Kunjungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bantuan kewangan kerajaan tersebut telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, Menteri Pertahanan II selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, kepada Dayang Norlela binti Haji Majenis mangsa bencana kebakaran rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampong Mengkubau pada 12 April 2019.

Turut hadir ialah Yang Mulia Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,Yang Mulia Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) Kementerian Kebudayaan,Belia dan Sukan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Alus, Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan dan Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Bantuan kerajaan yang dihulurkan ini adalah diharapkan sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh para mangsa dan keluarga mereka untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

 
13 Mei 2019
Mendekatkan masyarakat dengan kerja amal

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika berkunjung ke salah sebuah rumah penerima di Daerah Temburong

Program Kembara Amal Ramadan merupakan usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan khususnya jaringan-jaringan kebeliaan dan kemasyarakatan dalam menyemarakkan bulan Ramadan dengan aktiviti menziarahi kediaman golongan yang kurang berkemampuan.

Di Daerah Temburong, hadir mengetuai rombongan KKBS ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Emran bin Haji Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok, dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.

Sebanyak enam buah rumah yang dikenal pasti memerlukan bantuan telah dikunjungi bermula di Kampung Belais, Kampung Kenua, Kampung Rataie, Kampung Amo dan terakhir di Bangar Kem Temburong.

Pada kunjungan ziarah tersebut, Yang Berhormat menyampaikan pelbagai sumbangan seperti keperluan asasi dan keperluan yang lain kepada para penerima.

Selain itu, aktiviti membersihkan rumah dan persekitaran juga diungkayahkan di rumah-rumah tertentu oleh rombongan belia dan Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) sebagai sumbangan kerja amal dan khidmat bakti mereka.

Bagi Daerah Tutong, hadir mengetuai rombongan pertama ialah Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) KKBS, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Rombongan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila mengunjungi sebanyak dua buah rumah bermula dari Kampung Padnunok dan berakhir di Kampung Bukit Sulang, Jalan Lamunin.

Sementara rombongan kedua diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said yang mengunjungi kediaman di Kampung Panchong, Lamunin; seterusnya ke Kampung Bukit, Mukim Ukong; dan berakhir di Kampung Lubok Pulau.

Juga hadir, Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Awang Ramli bin Haji Lahit selaku Penghulu Mukim Telisai dan Yang Berhormat Awang Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.

Sementara itu, mengetuai rombongan kembara ke Mukim Labi, Daerah Belait bagi menyempurnakan penyampaian barangan keperluan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) KKBS, Pengiran Mohd. Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Hanafi bin Mohd. Siput selaku Ketua Kampung Labi I.

Rumah penerima pertama yang disinggahi bagi Mukim Labi ini ialah kediaman Awang Muhammad Ian Eszuan bin Sabirin, 15 tahun di Kampong Mendaram Kecil, Labi 2.

Rombongan seterusnya bergerak ke rumah kedua yang terletak di Kampong Gatas, Labi 1 iaitu di kediaman Awang Muhammad Asyraf bin Julie, 17 tahun, diikuti dengan rumah ketiga yang dimiliki oleh Hajah Janibah binti Haji Md. Tahir, 84 tahun yang terletak di Kampung Terunan Labi.

Kembara Amal Ramadan diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampong Labi, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd. Nazzeley bin Norashid.

Pada waktu yang sama, tiga lagi penyampaian sumbangan turut diadakan secara serentak bertempat di sekitar Mukim Sungai Liang.

Hadir menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

Pada kembara tersebut, sebanyak tiga lagi rumah kediaman yang dikunjungi.

Rumah pertama yang dikunjungi terletak di Kampung Keluyuh, Sungai Liang kepunyaan Awang Ibrahim bin Jait.

Manakala dua lagi rumah seterusnya terletak di Kampung Sungai Bakong masing-masing dimilik oleh Dayang Selina @ Salina binti Abdullah dan Awang Amirin bin Bujang.

Program tahunan tersebut merupakan inisiatif untuk mendekatkan golongan belia dan masyarakat dengan aktiviti keagamaan dan kerja amal serta kesukarelawanan di bulan yang penuh berkat ini.

 
09 Mei 2019
Iftar bersama pelajar Pusat Bahagia

PENGARAH Syarikat Rajamas Bersama, Alan Lau menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang diraikan pada majlis Iftar tersebut.

Seramai lebih 70 pelajar berkeperluan khas termasuk tenaga pengajar di Pusat Bahagia diraikan dalam Majlis Iftar, berlangsung di Dewan Darul Ifrah, Pusat Bahagia, Kampung Pulaie, di sini.

Majlis anjuran Syarikat Rajamas Bersama itu didahului dengan bacaan Tahlil dan Doa Selamat, dipimpin oleh Awang Nuurmaten bin Haji Abu Bakar dari Pusat Bahagia.

Antara yang hadir, Pengetua Pusat Bahagia, Awang Md. Nasrullah El Hakiem bin Haji Mohammed; Pengarah Syarikat Rajamas Bersama, Alan Lau berserta para kakitangan sukarelawan daripada Syarikat Rajamas Bersama.

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan kepada para pelajar yang diraikan berupa hamper Sosro Fruit Tea, biskut dan Sampul Hijau, disempurnakan oleh Pengarah Syarikat Rajamas Bersama.

Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Rajamas menyatakan keterujaannya kerana dapat menganjurkan majlis sungkai bagi para pelajar dan tenaga pengajar di Pusat Bahagia pada tahun ini.

"Perkara ini merupakan salah satu cara dan peluang bagi syarikat dan kakitangan untuk menyumbang juga membantu masyarakat yang memerlukan di negara ini," ujarnya.

Beliau juga seterusnya berharap agar acara seumpama ini akan dapat menggalakkan dan memberi impak positif kepada orang ramai dalam usaha menyemai rasa pemedulian terhadap mereka yang istimewa.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Syarikat Rajamas pula menjelaskan bahawa acara berbuka puasa seumpama itu merupakan peluang bagi para kakitangan mereka untuk memeduli para pelajar di Pusat Bahagia, terutama sekali pada bulan Ramadan yang mulia ini dan Sambutan Hari Raya yang akan bakal menjelang tidak lama lagi.

Syarikat Rajamas Bersama merupakan pengedar tunggal Sosro Fruit Tea dan Teh Botol Sosro di negara ini.

 
09 Mei 2019
Ringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim

Menteri KKBS menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim

Seramai 2,986 orang anak yatim dari Daerah Brunei dan Muara (DBM) menerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1440 Hijrah / 2019 Masihi yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

Sumbangan derma disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim; Pengarah Urusan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Mubashar Khokhar; Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Dayang Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; dan Pegawai DBM, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Manakala bagi anak-anak yatim di Daerah Tutong, Daerah Belait dan Daerah Temburong diwakili oleh Pegawai Daerah masing-masing dan akan disampaikan dalam satu majlis penyerahan derma di daerah masing-masing.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Ahmad Hamizan bin Haji Laidin @ Ahmad Aliridha, manakala terjemahan ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Haziq Asnawi bin Yussof.

Majlis diteruskan dengan Tahlil, Doa Arwah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Guru Ugama Terlatih Pusat Bahagia, Awang Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar.

Pada majlis tersebut, seramai 13 orang pelajar cemerlang daripada peringkat Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan Brunei - Cambridge GCE 'O' Level pada Tahun 2018 menerima Skim Hadiah Galakan Pelajar Cemerlang BIBD untuk Anak-anak Yatim, disampaikan oleh Pengarah Urusan BIBD.

Derma yang dihulurkan merupakan hasil kutipan daripada orang ramai melalui Tabung Anak-anak Yatim, iaitu melalui Kempen Kutipan Sumbangan melalui SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

SMS Brunei Prihatin adalah projek tahunan anjuran bersama JAPEM, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST Communications Sendirian Berhad (DST), dan Progresif Cellular Sendirian Berhad (Progresif) yang bermula sejak tahun 2005.

Projek tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dengan semua jumlah kutipan yang diterima disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Anak-anak Yatim.

 
08 Mei 2019
SMS Brunei Prihatin kutip BND138,026.00

MENTERI KKBS menerima Kutipan SMS Brunei Prihatin Untuk Anak-Anak Yatim diserahkan oleh Pengurus Pengurus Perhubungan Kerajaan Progresif Cellular Sdn. Bhd. Dayang Hajah Normah binti Ahmad

Kempen kutipan sumbangan melalui SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Anak-Anak Yatim di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bagi tahun 1439 Hijrah / 2018 Masihi telah berjaya mengumpul dana sejumlah BND138,026.00.

Sumbangan tersebut diterima pagi tadi oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, bertempat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Sejumlah BND109,063.00 (Ringgit: Seratus Sembilan Ribu Enam Puluh Tiga Ringgit Sahaja) dana hasil kutipan daripada pelanggan DST Sdn. Bhd. dan sebanyak BND20,000.00 (Dua Puluh Ribu Ringgit Sahaja) hasil sumbangan daripada pegawai dan kakitangan DST Sdn. Bhd., telah diserahkan oleh selaku wakil Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn. Bhd., Awang Amer Iskandar bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria, manakala Progresif Cellular Sdn. Bhd., berjaya mengutip sejumlah BND8,963.00 (Ringgit: Lapan Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga Sahaja) hasil kutipan daripada pelanggan Progresif Cellular Sdn. Bhd. yang diserahkan oleh Pengurus Perhubungan Kerajaan Progresif Cellular Sdn. Bhd. Dayang Hajah Normah binti Ahmad.

SMS Brunei Prihatin adalah projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST Sdn. Bhd. dan Progresif Cellular Sdn. Bhd. Projek ini bermula pada tahun 2005 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan kepada Tabung Anak-Anak Yatim.

Kempen kutipan derma melalui SMS Brunei Prihatin berjalan selama 40 hari pada tahun ini bermula 2 Mei 2019 hingga 10 Jun 2019. Kutipan derma melalui perkhidmatan pesanan ringkas itu adalah sebagai alternatif bagi orang ramai untuk menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim.

 
06 Mei 2019
16 anak damit lahir sempena Sambutan HKK

Isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Dayang Nahriah binti Haji Awang Hasbi menyempurnakan penyampaian cenderamata di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, (RIPAS)

Satu-satunya kelahiran anak damit sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Tahun 2019 di Daerah Tutong ternyata membawa rezeki kepada pasangan Awang Mohd. Aszlinhan bin Assim dan Dayang Nur Afiqah Siregar binti Afendi Ajuar di atas kelahiran anak kelima mereka pada 5 Mei 2019.

Pasangan tersebut diraikan pada Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran 'Anakku Kesayanganku' sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2019 yang berlangsung di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Hadir menyempurnakan penyampaian cenderamata berupa barang keperluan anak damit ialah isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Muhamad.

Seramai 10 orang anak damit, lima lelaki dan lima perempuan yang lahir pada 5 Mei 2019 di Daerah Brunei Muara telah diraikan pada majlis yang berlangsung di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, (RIPAS).

Majlis merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan bersempena dengan sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2019 yang disambut pada 5 Mei 2019.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian cenderamata tersebut ialah isteri Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Dayang Nahriah binti Haji Awang Hasbi.

Hospital RIPAS juga mencatatkan kelahiran anak damit pertama pada pukul 12.30 pagi daripada pasangan Awang Shahriman bin Haji Besar dan Dayang Haliane binti Bundan yang merupakan anak keempat bagi pasangan ini.

Seramai lima anak damit, iaitu tiga orang anak damit lelaki dan dua orang anak damit perempuan dilahirkan di Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) bagi Tahun 2019.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran 'Anakku Kesayanganku' diadakan di hospital berkenaan, disempurnakan oleh isteri Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim.

Kelahiran pertama dicatatkan di hospital berkenaan merupakan anak kepada pasangan, Awang Heston Simanjuntak dan Dayang Wulan Eka Putri.

Pemberian cenderamata kelahiran 'Anakku Kesayanganku' merupakan kali ke-7 diadakan bersempena dengan Sambutan HKK dengan pemberian kali pertama berlangsung pada tahun 2013, anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan.

Cenderamata tersebut diharap dapat menjadi pendorong kepada semua masyarakat di negara ini untuk menyayangi dan menghargai anak-anak bermula dari kelahiran lagi sebagai satu anugerah Allah Subhanahu Wata'ala yang sangat berharga.

 
02 Mei 2019
Majlis Kesyukuran sempena Hari Keluarga Kebangsaan

Yang Berhormat Menteri KKBS menyertai para Jemaah Masjid dan warga Daerah Belait sama-sama menuaikan sembahyang fardhu maghrib pada majlis berkenaan.

Hari Keluarga Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam diisytiharkan pada setiap hari Ahad pertama dalam bulan Mei setiap tahun.

Hari Keluarga Kebangsaan jatuh pada 29 Syaaban 1440 Hijrah bersamaan 5 Mei 2019 Masihi dengan membawa tema "Keluargaku Harapanku".

Bagi Daerah Belait, Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-8 bagi Tahun 2019 didahului dengan sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran yang diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Maghrib berjemaah, diikuti dengan sembahyang Sunat Hajat berjemaah, membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil.

Bagi memberkati Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Kali Ke-8 bagi Tahun 2019, Doa Kesyukuran Khas telah dibacakan.

Majlis pada malam tersebut diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

Hari Keluarga Kebangsaan 2019 diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran betapa pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga untuk menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga, yang mana negara yang mempunyai masyarakat yang keluarganya penyayang, hormat menghormati, saling mendukung dan pemedulian akan dapat menguatkan institusi keluarga ketika menghadapi dugaan dan cabaran hidup sekali gus mewujudkan sebuah negara yang gemilang dan harmoni.

 
02 Mei 2019
SMS Brunei Prihatin kini bermula

MENTERI Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa melancarkan SMS Brunei Prihatin

SMS Brunei Prihatin merupakan sebuah projek tahunan yang telah bermula pada tahun 2005 telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai dengan semua kutipan yang diterima disumbangkan kepada Tabung Anak-Anak Yatim di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Projek yang diungkayahkan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio Televisyen Brunei, DST Communications Sendirian Berhad (DST) dan Progresif Cellular Sendirian Berhad (PCSB) itu adalah satu usaha untuk memberi kemudahan kepada orang ramai menghulurkan derma kepada Tabung Anak-Anak Yatim.

Sehubungan itu, majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim telah diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Adalah diharapkan majlis pelancaran itu akan memudahkan orang ramai untuk menghulurkan derma bagi membantu mereka yang memerlukan selain meraih pahala yang berlipat ganda di bulan Ramadan sekali gus mendapat keredaan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Kutipan derma melalui SMS itu akan berakhir pada 10 Jun 2019.

Orang ramai bolehlah menderma melalui perkhidmatan SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan iaitu, 1, 5, 10, 15 atau 20.

Sebagai contoh YATIM20 (bagi derma berjumlah BND20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif Cellular Sdn. Bhd.

 
01 Mei 2019
Ubah 'mindset' lebih positif

PEMANGKU Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Tahir kepada Setiausaha Tetap KKBS

Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2019 (HKK2019) yang akan diraikan pada Ahad, 29 Syaaban 1440 Hijrah bersamaan 5 Mei 2019 Masihi, membawa tema 'Keluargaku Harapanku'.

Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil selaku Setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK2019 menjelaskan, tema tersebut digunakan kembali memandangkan ia merupakan slogan Sambutan HKK semenjak tahun 2012 dan orang ramai mengenali tema ini sejak itu.

Melalui tema itu, beliau berharap institusi keluarga lebih difokuskan kepada perubahan 'mindset' yang lebih positif, di mana setiap ahli keluarga lebih mengharapkan dan bergantung kepada ahli keluarga, bukan sahaja semasa senang, malahan apabila ditimpa masalah dan musibah.

Beliau menjelaskan perkara tersebut semasa mempengerusikan Sidang Media Sambutan HKK2019 di Dewan Citra Budaya, Bangunan KKBS yang turut dihadiri oleh wakil Setiausaha-setiausaha Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK2019, iaitu Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang; dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Hospital, Kementerian Kesihatan, Dr. Haji Azlan bin Haji Jaludin.

Datin Paduka Dr. Hajah Norlila seterusnya menyentuh mengenai format sambutan pada tahun ini yang merangkumi lima acara utama, iaitu Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Kesyukuran; Majlis Anakku Kesayanganku; Riadah Keluarga Harmoni; Majlis Perhimpunan Keluarga; dan Kempen Mempromosi Keluarga Penyayang.

Pada tahun ini jelasnya, acara kemuncak Sambutan HKK2019 ialah Riadah Keluarga Harmoni yang akan diadakan selepas bulan Ramadan, iaitu pada Ahad, 4 Ogos 2019 di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berkenan berangkat bagi menyertai acara riadah tersebut, terutamanya Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni.

Menurutnya lagi, Riadah Keluarga Harmoni tahun ini akan diselajurkan dengan Riadah Berbasikal sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2019 yang diraikan setiap 1 Ogos bagi memberikan ruangan kepada para belia untuk sama-sama menjayakan HKK2019.

Majlis Perhimpunan Keluarga juga katanya, akan diadakan tahun ini yang akan dikendalikan di setiap daerah dan diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui Jabatan-jabatan Daerah dan tarikh-tarikh acara akan dimaklumkan kemudian.

Menurut Datin Paduka Dr. Hajah Norlila lagi, beberapa acara sampingan juga akan turut diadakan oleh semua kementerian, Majlis Perundingan Kampung, Badan-badan Bukan Kerajaan dan syarikat swasta, seterusnya menggalakkan semua pihak untuk memeriahkan Sambutan HKK pada tahun ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dan mengongsikan bersama aktiviti mereka melalui Instagram '@harikeluargakebangsaan' atau #hkknbd2019 bagi menyerlahkan lagi perpaduan kita senegara dalam menyambut HKK.

Beliau seterusnya menyeru kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam untuk hadir beramai-ramai ke Majlis Kesyukuran itu nanti bagi sama-sama memohon keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala agar rakyat dan penduduk serta negara kita sentiasa terpelihara dan dilindungi daripada segala perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara dan keluarga kita yang disayangi.

''Semua lapisan masyarakat tidak kira dari sektor kerajaan mahupun swasta termasuk peringkat akar umbi dan individu, bukan saja untuk sama-sama meraikan Sambutan HKK dengan mengadakan aktiviti masing-masing di sepanjang tahun malah lebih penting lagi untuk kita semua memahami dan menghayati mesej serta matlamat HKK diadakan, iaitu menjadikan Sambutan HKK sebagai satu landasan untuk mengukuhkan serta meningkatkan kesedaran pentingnya rasa kasih sayang di antara ahli keluarga bagi menjana kebahagiaan dan keharmonian keluarga dan rumah tangga bersesuaian dengan tema sambutan tahun ini, iaitu 'Keluargaku Harapanku'.

''Ini adalah kerana keluarga sebagai 'safety net' dari segi sokongan kasih sayang, perhatian dan kewangan terutama apabila mana-mana ahli keluarga menghadapi masalah. Dalam hal ini, ikatan atau 'bonding' yang kuat dan teguh juga sokongan di antara ahli keluarga dipercayai dan dibuktikan dapat menjamin keluarga tersebut dalam menangani apa jua masalah yang menimpa ahli keluarga dan mampu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mereka. Justeru, tema ''Keluargaku Harapanku'' diharapkan dapat membisikkan semangat kekeluargaan di antara masyarakat dan tidak membelakangi mana-mana ahli keluarga yang ditimpa masalah,'' jelasnya lagi.

Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil dan Doa Khas Hari Keluarga Kebangsaan diadakan secara serentak di semua masjid di seluruh negara pada 2 Mei 2019.

Manakala Majlis Anakku Kesayanganku, iaitu penyampaian hadiah penghargaan khas yang diberikan kepada anak-anak damit yang lahir bermula pukul 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam pada hari Ahad, 5 Mei 2019 di hospital-hospital utama seluruh daerah sempena Sambutan HKK2019 akan diadakan secara serentak pada hari Isnin, 6 Mei 2019.

Sidang media kemudian diteruskan dengan penyerahan poster HKK2019, disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar; diikuti dengan penyerahan poster-poster tersebut daripada Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Tahir kepada Setiausaha Tetap KKBS dan diteruskan dengan penyerahan poster-poster kepada wakil-wakil di setiap kementerian.

Sambutan HKK2019 diselenggarakan bersama oleh KHEU, Kementerian Kesihatan, KHEDN dan KKBS dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan-badan korporat dan organisasi bukan kerajaan termasuk peringkat akar umbi.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Sambutan HKK boleh berhubung dengan Urus Setia Sambutan HKK melalui talian telefon +673 2380704 (waktu pejabat) atau e-mel ke 'pru@japem.gov.bn' atau datang ke Pejabat JAPEM di alamat : Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Tingkat 3, JAPEM, KKBS, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, BC4415, Negara Brunei Darussalam.