Bahasa Melayu | English         Size Teks : A  A  A       Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan        Jabatan Dibawah KKBS       Kementerian        Peta Laman

.

     Utama | About Us | Perkhidmatan | Institusi Kebajikan | Tips & Panduan | TPOR | Sebutharga | Hubungi Kami

.

 
 

.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2020 |  Bagi Bulan : :.       


08 Mac 2020
WANITA BERPERANAN BESAR DALAM PEMBANGUNAN SOSIOEKONOMI

  Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejer Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin


Telah diperakui sejak sekian lama, kaum wanita di Negara Brunei Darussalam berperanan besar dalam pembangunan sosioekonomi negara serta sama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat.

Antara kejayaan wanita Brunei yang telah menjadi kebanggaan negara pada tahun 2019 ialah seramai lima (05) pengusaha wanita tempatan menerima Anugerah Usahawan Wanita ASEAN Cemerlang semasa Persidangan Perniagaan Wanita ASEAN di Bangkok, Thailand dan dua (02) wanita Brunei menerima Anugerah Masa Depan Asia Tenggara atas pencapaian masing-masing.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dalam Perutusan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2020.

Yang Berhormat juga berbangga dengan kejayaan dua (02) orang pengusaha yang menerima anugerah di Women 2020 Entrepreneurship Summit : Perspectives of the Global Woman of Impact, di Republik Filipina.

Menurut Yang Berhormat, berdasarkan Kajian Tenaga Buruh 2018 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, kaum wanita merangkumi 42 peratus jumlah tenaga kerja, yang mana kadar pekerjaan bagi wanita yang berumur di antara 25 ke 64 tahun telah meninggkat daripada 87 peratus (Tahun 2014) ke 89 peratus (2018).

"Dalam sektor awam, setakat November 2019, kaum wanita merangkumi 55 peratus daripada 50,768 jumlah tenaga kerja perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, kaum wanita hanya berjumlah 38 peratus dalam tenaga kerja sektor swasta, dan ini jelas menampakkan potensi yang amat besar bagi kita sama-sama menyokong san memperkasakan lagi penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi negara," jelas Yang Berhormat.

Oleh itu, ujar Yang Berhormat, dalam usaha Negara Brunei Darussalam untuk turut meraikan Hari Wanita Antarabangsa, beberapa aktiviti dan program pembangunan, pengupayaan serta kesaksamaan wanita telah disusun, dengan kerjasama bersepadu rakan-rakan strategik, bukan sahaja di kalangan agensi-agensi kerajaan, bahkan juga penglibatan pihak perwakilan asing, sektor swasta dan lain-lain, dengan menganjurkan, antara lain Ekspo atau 'Marketplace' khusus untuk mengetengahkan perniagaan dan syarikat yang didirikan atau diketuai oleh kaum wanita, dengan mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, dan seterusnya mengujudkan rangkaian komuniti tempatan.

Inisiatif ini juga kata Yang Berhormat, akan melibatkan perniagaan-perniagaan kaum wanita yang terdiri dari 'vulnerable groups' seperti ibu-ibu tunggal, warga emas dan yang berkelainan upaya, untuk membantu menyerlahkan usaha mereka seperti Bengkel yang bertemakan 'Pemerkasaan Wanita di Negara Brunei Darussalam', serta program perkongsian bersama wanita-wanita yang berkerjaya dalam bidang keusahawanan.

Terdahulu, Yang Berhormat menyentuh mengenai tarikh 8 Mac setiap tahun yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) sebagai Hari Wanita Antarabangsa bagi menghargai peranan dan pengorbanan wanita serta mengiktiraf pencapaian wanita dalm pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, budaya dan politik.

Oleh itu, Hari Wanita Antarabangsa diraikan secara global sebagai platform untuk memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita, terhadap sumbangan kepada pembangunan negara di samping sebagai perangsang kepada kaum wanita untuk terus bergiat aktif ke arah pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

"Tumpuan tema pada tahun 2020 ini ialah 'An Equal World is an Enabled World' dengan 'hashtag' #Eachforequal. Tema ini mengajak kaum wanita untuk terus menyuntik keazaman bagi meneruskan langkah pro-aktif dalam usaha membentuk masyarakat dunia yang ada jati diri serta mampu mengharungi cabaran semasa dan memberikan tumpuan kepada cara-cara inovatif untuk meningkatkan kesaksamaan," ujar Yang Berhormat.

Negara Brunei Darussalam tegas Yang Berhormat, memang komited dalam membincangkan isu semasa wanita arena antarabangsa sepertimana pada 7 hingga 12 Oktober 2019 lalu, Negara Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah dan Pengerusi Mesyuarat Komiti ASEAN mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan Ke-18 dengan tema mesyuarat 'Enriching Resilience of Young Women as Agents of Change'.

Tema tersebut dipilih bagi menunjukkan komitmen negara ke arah memperkasa kedayatahanan belia wanita sebagai ejan perubahan dalam menbantu pembangunan keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya Komuniti ASEAN yang lebih kuat.

Mesyuarat tersebut telah berhasil membincangkan dan mengeratkan kerjasama dan bertukar pengalaman terbaik serantau dalam enam bidang kolaborasi utama, iaitu Promotion of Women Leadership; Non-Gender Stereotyping And Social Norms Change; Gender Mainstreming Across the Three ASEAN Community Pillars; Elimination of Violence against Women; Economic Empowerment of Women; dan Empowerment of Women in Vulnerable Areas.

Di samping itu, jelas Yang Berhormat, Negara Brunei Darussalam juga menganjurkan Forum Serantau pada 10 Oktober 2019 iaitu Regional Forum on Social Protection Policy Focusing on Elderly Women and Ageing, yang mengetengahkan isu penuaan penduduk, yang menunjukkan majoriti penduduk di rantau Asia Pasifik yang berumur 60 tahun ke atas adalah golongan wanita.

Sehubungan dengan itu, kata Yang Berhormat, bagi menangani isu penuaan, dasar-dasar sosial perlu merangkumi semua aspek dan meliputi kesihatan, kebajikan dan jaminan insurans diri yang kukuh khusus untuk memeduli warga emas termasuk wanita warga emas.

Yang Berhormat juga menjelaskan pertubuhan-pertubuhan dan persatuan-persatuan bukan kerajaan di negara ini juga turut giat mengadakan program pemerkasaan ekonomi, perusahaan sosial bagi para pengusaha kecil wanita dan aktiviti pengupayaan terutama bagi golongan wanita yang memerlukan.

Kesinambungan dengan perkara itu, menurut Yang Berhormat, strategi-strategi perlaksanaan dan pengukuhan mekanisme-makanisme amat memerlukan penyertaan aktif wanita secara berkesan dalam proses meningkatkan kualiti kehidupan wanita dan sama-sama melipatgandakan usaha bagi mencapai matlamat pembangunan masyarakat yang mampan.

Yang Berhormat menyeru orang ramai agar sama-sama meraikan dan menghargai pengorbanan dan sumbangan kaum wanita di negara ini kerana mereka merupakan aset yang amat bernilai dan amat penting di mana mereka telah berganding bahu bersama masyarakat bagi mencapai kemajuan ekonomi, kesejahteraan keluarga, pembangunan sosial dan kemakmuran negara.

"Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada seluruh kaum wanita di Negara Brunei Darussalam," ucap Yang Berhormat.

[Sumber Berita : Pelita Brunei]


06 Mac 2020
MAJLIS KHATAM AL-QURAN BERSAMA RESIDEN DAN PENGHUNI KOMPLEKS RUMAH KEBAJIKAN
SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-36

  Yang Berhormat Mejer Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku tetamu kehormat majlis.


Bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme terhadap negara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan Majlis Khatam Al- Quran bagi residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) pada pagi ini. Seramai 18 peserta lelaki dan 4 peserta perempuan telah berjaya menghabiskan pembacaan 30 juz Al-Quran. Majlis berlangsung di Masjid Sa'adatul Bolkiah, Kg Sungai Akar.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis ini ialah Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; ibu-bapa dan penjaga residen; pegawai dan kakitangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Acara diteruskan dengan bacaan khatam Al-Quran beramai-ramai, takhtim dan doa khatam. Majlis juga diserikan dengan Dikir Marhaban beramai-ramai dan penyampaian sijil penyertaan dan pengagihan bunga telur oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada peserta khatam.

Antara lain tujuan majlis ini diadakan ialah sebagai galakan untuk memantapkan mutu bacaan Al-Quran serta mendidik penghuni dan residen untuk sentiasa membaca, mencintai, dan mendengar Al-Quran sebagai amalan hidup seharian.

Majlis Khatam ini diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang cintakan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.