Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

JERAYAWARA SKN PERSIAPKAN PENGHULU DAN KETUA KAMPUNG

skn 1.jpg

[Sumber : Media Permata]

Berita: Daniel Lim (Media Permata)

BELAIT, Selasa, 30 Jun 2020 - Dalam usaha mempersiapkan para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh negara bagi pelaksanaan Sistem Kebajikan Negara (SKN), jerayawara yang telah bermula di Daerah Brunei dan Muara diteruskan lagi di Daerah Belait, hari ini.

Hadir pada jerayawara yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Belait itu ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Arifin; Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid.

skn 2.jpg

skn 3.jpg

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku ketua kampung Labi 1 serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

Jerayawara mendengarkan ucapan ringkas daripada Dr Hajah May Fa'ezah yang menggariskan objektif jerayawara serta menjelaskan mengenai SKN yang merupakan pangkalan data berpusat untuk memastikan semua penduduk yang layak, mendapat bantuan. Semasa mengendalikan jerayawara, Dayang Saidah telah menggariskan pelbagai ciri dan manfaat serta maklumat mengenai bagaimana untuk menggunakan laman sesawang www.skn.gov.bn, terutamanya proses pendaftaran dan bagaimana membantu mereka yang tidak celik teknologi. Di samping itu, jerayawara juga merupakan satu peluang bagi hadirin untuk mengemukakan sebarang soalan mengenai sistem berkenaan kepada agensi-agensi yang terlibat termasuk Jabatan Pembangunan Masyarakat di KKBS, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Majlis Ugama Islam Brunei di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Dynamik Technologies Sdn Bhd.

skn 4.jpg

skn 5.jpg

Para hadirin juga dapat menggunakan laman sesawang SKN untuk membiasakan diri dengan pelbagai proses yang telah dibincangkan menerusi laman sesawang simulasi yang ditunjukkan pada sejumlah komputer yang dipasang semasa jerayawara tersebut. Yang Berhormat Awang Hanapi ketika ditemu bual menyatakan sokongannya terhadap sistem baharu berkenaan yang bermatlamat untuk menyatukan pelbagai langkah yang diperlukan bagi mereka yang memerlukan bantuan, pada masa sama memastikan rakyat dan penduduk yang memerlukan bantuan tidak terlepas pandang.

Setelah menghadiri jerayawara berkenaan, beliau berkata, sistem berkenaan boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan bantuan dengan menekankan mengenai pengemaskinian maklumat yang mudah bagi para pemohon dengan menggunakan teknologi-teknologi moden sebagai sistem berpusat.

Menurutnya, sistem seperti SKN mempunyai potensi untuk mempercepatkan proses bagi ramai pemohon yang memerlukan bantuan kerana daripada mengunjungi pelbagai jabatan dan agensi, mereka hanya perlu melayari laman sesawang berkenaan untuk membuat pendaftaran.

Mengulas mengenai mereka yang tidak celik teknologi dalam melayari dan mendaftar secara talian, yang dibangkitkan semasa jerayawara itu, Yang Berhormat Awang Hanapi berkata, menjadi tugas peghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta jabatan-jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu para pemohon berkenaan untuk mendaftar.

Beliau melahirkan harapan, dengan SKN akan mula menerima permohonan 15 Julai, semua jabatan-jabatan dan agensi kerajaan akan berkerjasama untuk memastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan untuk mengurangkan beban mereka.

Jerayawara selanjutnya akan diadakan esok di Dewan Utama Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong dari pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang manakala itu, di Daerah Temburong, ia akan diadakan pada 2 Julai di Dewan Kemasyarakatan Pejabat Daerah Temburong dari pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi.

Attachments
Created at 7/2/2020 9:30 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 7/16/2020 10:29 AM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim