Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN KEPADA MANGSA KEJADIAN BENCANA

Hajah Alimah Binti Hj Awg Ahmad.jpg

​Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan majlis penyerahan bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan JAPEM kepada 6 orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, kebakaran rumah dan rumah roboh. Majlis berlangsung di Dewan Citra Budaya, bangunan KKBS.

Hadir menyampaikan bantuan kewangan tersebut ialah Yang Mulia Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman, Pemangku Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada empat(4) orang ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir, seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian kebakaran dan seorang (1) ketua keluarga terlibat dalam kejadian rumah roboh.

Haji Othman Bin Ibrahim.jpg

Sebuah rumah milik Haji Othman bin Ibrahim di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Telisai, Daerah Tutong telah mengalami kerosakan di sebahagian sudut rumah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 8 Oktober 2022 kira-kira pukul 1.45 pagi. Salah seorang penghuni rumah mengalami kecederaan di bahagian kaki serta tangan dan telah dirawat segera oleh pasukan paramedik di tempat kejadian.

Empat buah rumah di Rancangan Perumahan Negara Kampung Mengkubau dan sebuah rumah di Kampung Kapok, Daerah Brunei dan Muara yang dimiliki oleh Hajah Alimah binti Awang Haji Ahad, Awang Tan Chia Chun, Ameliani binti Haji Emran dan Dayang Chee binti Jemat telah dimasuki air yang melebihi paras satu kaki. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kejadian berlaku pada 4 September 2022 dan 8 Oktober 2022.

Sarinah Binti Haji Mohammad.jpg

Manakala mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Saba Ujong, Daerah Brunei dan Muara juga dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Rumah milik Dayang Sarinah binti Haji Mohamad roboh pada 6 Oktober 2022 dan akibat kejadian itu rumah beliau tidak selamat untuk didiami lagi.

Kesemua mangsa-mangsa bencana menerima bantuan kewangan kerajaan hari ini untuk meringankan kesusahan yang dialami demi kesejahteraan mereka sekeluarga. Usaha ini menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.

Attachments
Created at 12/27/2022 3:09 PM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim
Last modified at 12/27/2022 3:09 PM by Mohammad Jamaddil Bin Kassim/Kasim