.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2007 |  Bagi Bulan : :.

26 April 2007
PROGRAM PEMBANGUNAN KELUARGA DI DAERAH TEMBURONG

Rumahtangga yang sejahtera dan hormoni tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Pasangan suami isteri perlu berusaha dan bertindak mengatur serta menyusun pola rumahtangganya, anak-anaknya supaya mengikuti segala norma dan peraturan yang tidak menjerumuskan mereka atau ahli keluarganya ke dalam kancah yang tidak bermoral dan terlibat dalam gejala sosial. Perkara ini telah ditekankan oleh Penolong Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah di Majlis Perasmian Program Pembangunan Keluarga Peringkat Daerah Temburong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis perasmian tersebut ialah Awang Metusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba, Penolong Pegawai Daerah Temburong.

Seramai lebih kurang 115 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta/NGO, persatuan-persatuan dan persendirian telah menghadiri Program yang diadakan di Dewan Belalong, Daerah Temburong.

Penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja telah menyampaikan 3 Kertas Kerja yang berkaitan mengenai dengan Kemahiran Keibubapaan, Kemahiran Komunikasi dan Pengurusan Kewangan.

 

Pembentangan Kertas Kerja yang bertajuk Kemahiran Komunikasi Dalam Keluarga yang telah disampaikan oleh Dr Ee Ah Meng dari Kementerian Pendidikan

Pada sebelah petang diadakan bengkel dan pembentangan hasil bengkel oleh peserta program.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta program yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah bte Bolhassan

 
22 April 2007
kejohanan futsal antara bahagian-bahagian japem

Pasukan Pentadbiran dan Kewangan telah menjuarai Kejohanan Futsal Antara Bahagian-Bahagian JAPEM bagi tahun 2007 setelah menewaskan Pasukan Perkhidmatan Pencen dengan jaringan 3 berbalas 1.

Selain dinobatkan sebagai juara kejohanan Pasukan Pentadbiran dan Kewangan juga merangkul piala rebutan yang disumbangkan oleh Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina bte Othman.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada malam tadi ialah Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina bte Othman dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kemenangan.

Sementara itu tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) setelah mengalahkan Pasukan Pusat Bahagia dengan jaringan 1 tanpa balas.

Kejohanan tersebut adalah sebagai satu aktiviti sukan jabatan disamping menjalinkan hubungan baik antara pegawai dan kakitangan JAPEM selain mencari pemain-pemain yang berpotensi untuk mewakili JAPEM dalam kejohanan yang mendatang.

 
21 April 2007
KEMPEN KEBERSIHAN DI PPSBS

Kempen kebersihan dihasratkan untuk menyemai sikap kebersihan dan kecintaan terhadap bangunan yang duduki

Satu kempen kebersihan telah diadakan di Pusat Penempatan Sementara Belimbing Subok, JAPEM. Kempen yang diadakan adalah sebagai hasrat JAPEM untuk menyedarkan para penghuni pusat berkenaan untuk sama-sama menjaga kebersihan sebagai perkara yang perlu diberikan keutamaan serta perhatian yang serius.

Penolong Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah berharap melalui kempen tersebut semua penghuni pusat berkenaan akan menanam sikap bertanggungjawab terhadap menjaga kebersihan bangunan termasuk persekitarannya, di samping menyemai sikap kecintaan terhadap bangunan yang mereka duduki.

Kempen melibatkan pegawai dan kakitangan JAPEM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pengakap Maktab SOAS, sukarelawan dari Pusat Tingkatan Enam, Berakas dan para penghuni PPSBS.

 
19 April 2007
PROGRAM PEMBANGUNAN KELUARGA DI DAERAH TUTONG

Program Pembangunan Keluarga Peringkat Daerah Tutong telah dilancarkan oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Haris bin Othman.

Penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah, Universiti Brunei Darussalam dan Tabung Amanah Pekerja telah menyampaikan 3 Kertas Kerja yang berkaitan mengenai dengan Kemahiran Keibubapaan, Kemahiran Komunikasi dan Pengurusan Kewangan. Pada sebelah petang diadakan bengkel dan pembentangan hasil bengkel oleh peserta program.

Seramai lebih kurang 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta/NGO, persatuan-persatuan dan persendirian telah menghadiri Program yang diadakan di Dewan Ma'had Islam Brunei, Daerah Tutong.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta program yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah bte Bolhassan.

 
16 April 2007
SEMINAR KELUARGA DALAM MEMEDULI WARGA EMAS DI DAERAH BELAIT

Seminar Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas Fasa II di Daerah Belait

Seminar Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas Fasa II telah dilancarkan di Daerah Daerah Belait merupakan salah satu projek yang dianjurkan oleh JAPEM yang bertujuan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan para sukarelawan dalam berkongsi pengalaman tentang perlunya penjagaan terhadap warga emas bagi mengekalkan survival dan kesedaran tentang kewajipan penjagaan dan pemedulian terhadap warga emas ini.

Fasa I projek ini telah dilancarkan di daerah Brunei Muara pada tahun 2005 yang lalu dan telah berjaya mengumpulkan sejumlah sukarelawan.

Projek Fasa II kali ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Pegawai Daerah Beliat, Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman.

Seramai lebih kurang 350 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta/NGO, persatuan-persatuan dan persendirian telah menghadiri seminar ini.

Di seminar ini, sebuah kertas kerja konsep telah dibentangkan oleh Awang Jahali bin Suhaili, Timbalan Pegawal Pencen-Pencen Negara dan sebanyak 3 buah kertas kerja turut dibentangkan oleh beberapa orang penceramah tempatan dan seorang penceramah jemputan dari Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia, Abdul Rahim Zakariah.

 
12 April 2007
PROGRAM PEMBANGUNAN KELUARGA DI DAERAH BELAIT

Sebahagian peserta program yang mengikuti sesi bengkel pada sebelah petang

Sebagai salah satu usaha berterusan memantapkan institusi keluarga, JAPEM telah menganjurkan Program Pembangunan Keluraga (PPK) di Daerah Belait yang telah berlangsung di Dewan Rekreasi Liang Lumut.

Program sehari suntuk tersebut telah dilancarkan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad bin Abd Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja telah menyampaikan 3 Kertas Kerja yang berkaitan mengenai dengan Kemahiran Keibubapaan, Kemahiran Komunikasi dan Pengurusan Kewangan. Pada sebelah petang diadakan bengkel dan pembentangan hasil bengkel oleh peserta program.

Seramai lebih kurang 250 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta/NGO, persatuan-persatuan dan persendirian telah menghadiri Program ini.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta program yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah bte Bolhassan.

 
8 April 2007
pENUTUPAN SUKAN ORANG BERKEPERLUAN KHAS

Salah satu acara akhir yang dipertandingkan sebelum pengistiharan penutupan SOBK

Sukan Orang Berkeperluan Khas (SOBK) Peringkat Kebangsaan kali ke-3 anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melabuhkan tirainya, hari ini.

Sebanyak 88 acara dipertandingkan melibatkan 366 peserta dari Pusat Bahagia keempat-empat daerah; Pusat Pembangunan Kanak-Kanak Kiarong (CDC), Unit Pendidikan Khas (UPK) Kementerian Pendidikan, Pusat KACA, Pusat Ehsan dan Persatuan Kebangsaan bagi Orang Cacat Penglihatan.

Hari ini, 39 acara final olahraga berlangsung dengan tarik kalat turut diadakan di antara pasukan tetamu kehormat menentang anggota jawatankuasa pertandingan.

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Jemat Haji Ampal menyempurnakan majlis penyampaian pingat dan mengisytiharkan temasya ditutup dengan rasminya.

 
7 April 2007
pErASMIAN SUKAN ORANG BERKEPERLUAN KHAS

Sebahagian dari atlet Orang Berkeperluan Khas yang menyertai sukan kali ini

Seramai 366 orang dari 2 kategori umur Orang Berkeperluan Khas iaitu yang berumur 6 hingga 12 tahun dan di atas 12 tahun yang melibatkan atlit-atlit berkeperluan khas dari segi pendengaran, penglihatan, anggota dan intelek telah menyertai Sukan Orang Berkeperluan Khas (SOBK) peringkat kebangsaan kali ke-3 tahun 2007.

Sebanyak 88 acara akan dipertandingkan di temasya dwi tahunan ini. Tujuan sukan ini diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada orang berkeperluan khas untuk terlibat sama dalam aktiviti sukan juga untuk meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan menjadi motivasi pada peserta untuk menjadi masyarakat yang berguna dan dihormati melalui kebolehan mereka dibidang sukan disamping memilih atlit yang berpontensi untuk mewakili Negara ke sukan antarabangsa.

SOBK telah dirasmikan oleh
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. SOBK kali ini dilangsungkan di Belapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn