.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2008 |  Bagi Bulan : :.

23 April 2008
JBS TEWASKAN JAPEM

Pasukan Bola Sepak JAPEM hari ini meneruskan lagi perlawanan dengan menentang Pasukan Bola Sepak Jabatan Belia dan Sukan. Perlawanan tersebut merupakan perlawanan terakhir JAPEM dalam siri Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri KKBS yang bermula pada 16 Mac lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas menyaksikan  JAPEM telah tewas kepada Pusat Sejarah dengan jaringan 20 - 0.

Pasukan Bolasepak Jabatan Belia dan Sukan memulakan pesta jaringan mereka seawal minit ke 15 melalui Arman Haji Serudin. Separuh masa pertama perlawanan ditamatkan dengan kedudukan 8 - 0.

Pasukan Bolasepak Jabatan Belia dan Sukan yang sudah jauh melebarkan jurang jaring diseparuh masa pertama terus menggandakan asakan bertalu-talu sehingga gawang JAPEM dengan mudah dibolosi sebanyak 12 jaringan diseparuh masa kedua.

 
23 April 2008
KAMPONG AYER JADI TARIKAN

Tertarik...Para Peserta Mesyuarat ROK-ASEAN terpegun dengan keindahan Kampong Ayer

Para peserta yang menghadiri Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas membuat lawatan ke Kampong Ayer.

Lawatan menyusur Sungai Brunei di Kampong Ayer menggunakan perahu Roda Impian itu bermula dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menuju ke Kampong Burong Pingai, Tamoi dan berpatah balik menuju Kampong Saba Darat.

Kampong Ayer mempunyai enam buah mukim dengan keramaian penduduknya lebih 30, 000 orang. Kebanyakan penduduknya yang tinggal disini bekerja dengan pihak kerajaan dan selebihnya bekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri sebagai nelayan.

Sepanjang lawatan, para peserta Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas diiringi oleh Awang Said bin Siraj selaku Ketua Penyelaras Lawatan Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas.

 
23 April 2008
LAWAT ALAT-ALAT KEBESARAN DIRAJA

Bergambar Kenangan...Para Peserta Mesyuarat ROK-ASEAN

Para peserta yang menghadiri Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas membuat lawatan ke Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja di ibu negara.

Sepanjang lawatan itu, mereka telah diberikan penerangan mengenai galeri-galeri yang terdapat di bangunan tersebut yang sebahagian besarnya mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja yang diwarisi sejak zaman berzaman sebagai lambang kebesaran kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Semasa lawatan mereka diiringi oleh Awang Said bin Siraj selaku Ketua Penyelaras Lawatan Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas.

Antara yang dilawati oleh mereka termasuklah Galeri Pameran Alat-Alat Kebesaran Diraja semasa Perpuspaan 1968, Galeri Pameran Diraja dan Galeri Pameran Jubli Perak.

Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 30 September 1992.

 
23 April 2008
MESYUARAT ROK-ASEAN BERAKHIR

Mesyuarat ROK_ASEAN dalam Penjagaan Warga Emas selama 3 hari telah berakhir hari ini. Mesyuarat ini diusahakan bersama oleh HelpAge Korea, Republik Korea (ROK) dengan beberapa buah negara ASEAN iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Negara Brunei Darussalam.

Mesyuarat yang  bertujuan  antara lain untuk mendapatkan maklumat mengenai projek berkaitan pemedulian terhadap warga emas, mengenalpasti perkembangan perlaksanaan sesama ahli. Mesyuarat juga akan menilai sejauh mana setiap negara ahli telah membuat beberapa dasar dan garispandu dalam penjagaan warga emas.

Bagi mesyuarat kali ini setiap negara yang terlibat telah menghantar 3 orang wakil yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan sosial, pegawai perkhidmatan kesihatan dan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

 
22 April 2008
HELPAGE KOREA ADAKAN MAKAN MALAM

Para peserta Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas malam ini menghadiri Majlis Makan Malam yang diraikan oleh HelpAge Korea. Majlis makan malam tersebut diadakan di Li Gong, Empire Hotel Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Datin Hajah Adina bte Othman, Pengarah JAPEM. Turut hadir Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah bte Haji Bolhassan dan Penolong-Penolong Pengarah JAPEM.

M
esyuarat mengenai pemedulian warga emas "ROK-ASEAN Meeting on Home Care For Older Persons" telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada hari Isnin lalu dan dijangka akan berakhir pada esuk hari 23 April 2008.

 
22 April 2008
DIBAWA MELAWAT KE DUA BUAH RUMAH WARGA EMAS

Awang Rakit bin Zakaria bersalaman dengan Mr. Cho Hyun Se, President HelpAge Korea

Hari ini para peserta Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas telah dibahagikan kepada 2 kumpulan untuk dibawa melawat ke 2 buah rumah warga emas yang terpilih di Daerah Brunei Muara.

Kumpulan yang pertama telah dibawa melawat ke rumah Awang Rakit bin Zakaria. Awang Rakit yang berusia 69 tahun tinggal bersama kakaknya di Kampong Tanah Jambu. Beliau mengalami cacat penglihatan dan telah menerima Pencen Umur Tua dan Pencen Buta.

Di sini para peserta mesyuarat telah disambut oleh Awang Hasbollah bin Haji Awang Damit, Sukarelawan Memeduli Warga Emas JAPEM.

Dayang Hajah Musbah bergambar ramai bersama dengan para peserta mesyuarat

Sementara itu kumpulan kedua peserta mesyuarat dibawa melawat ke rumah Dayang Hajah Musbah bte Mohammad. Ketika lawatan ini beliau tinggal bersama anak saudaranya di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Kampong Rimba.

Di sini peserta mesyuarat telah disambut oleh Datin Paduka Hajah Jusnani bte Haji Lawie, Sukarelawan Memeduli Warga Emas JAPEM.

Tujuan lawatan ini adalah untuk mengetahui lebih dekat lagi mengenai penjagaan warga emas yang memerlukan pemedulian dari pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga para sukarelawan yang terlibat di negara ini.

 
21 April 2008
DELEGASI MESYUARAT ROK-ASEAN DALAM PENJAGAAN WARGA EMAS DIRAIKAN

Delegasi yang menghadiri Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas telah diraikan di Majlis Makan yang diadakan di Polo Restaurant, Jerudong Park Country Club. Makan malam tersebut diberikan oleh JAPEM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara kemuncak pada malam tadi ialah menyampaian cenderamata kepada peserta-peserta yang menghadiri mesyuarat tersebut oleh Tetamu Kehormat. Mr. Cho Hyun Se, President HelpAge Korea juga menyampaikan cenderamata kepada Tetamu Kehormat.

Makan Malam sempena Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas diserikan lagi dengan persembahan nyanyian oleh artis-artis tempatan dari Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, Timbalan SUT KKBS, Pegawai Kanan KKBS.

 
21 April 2008
MESYUARAT ROK-ASEAN DALAM PENJAGAAN WARGA EMAS bermula

Sebaik saja selesai acara perasmian Mesyuarat ROK-ASEAN Dalam Penjagaan Warga Emas, mesyuarat telah bermula dengan dipengerusikan oleh Mr. Cho Hyun Se, President HelpAge Korea.

Mesyuarat ROK_ASEAN dalam Penjagaan Warga Emas pada 2008 bertujuan  antara lain untuk mendapatkan maklumat mengenai projek berkaitan pemedulian terhadap warga emas, mengenalpasti perkembangan perlaksanaan sesama ahli. Mesyuarat juga akan menilai sejauh mana setiap negara ahli telah membuat beberapa dasar dan garispandu dalam penjagaan warga emas.

Hasil daripada mesyuarat itu nanti ianya diharapkan akan dapat dijadikan panduan oleh negara-negara yang terlibat yang mana nanti akan dapat membantu negara-negara berkenaan di dalam mengendalikan projek yang berkaitan dengan penjagaan warga emas di negara masing-masing dengan lebih berkesan dan bersistematik.

Bagi mesyuarat kali ini setiap negara yang terlibat telah menghantar 3 orang wakil yang terdiri daripada pegawai perkhidmatan sosial, pegawai perkhidmatan kesihatan dan dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Negara Brunei Darussalam diwakili oleh pegawai dari JAPEM, pegawai dari Kementerian Kesihatan dan juga para sukarelawan.

 
21 April 2008
MESYUARAT ROK-ASEAN DALAM PENJAGAAN WARGA EMAS DIRASMIKAN

Sebagai usaha berterusan terhadap kebajikan dan kesejahteraan masyarakat terutama bagi golongan warga emas, satu mesyuarat mengenai pemedulian warga emas "ROK-ASEAN Meeting on Home Care For Older Persons" telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Mesyuarat diusahakan bersama oleh HelpAge Korea, Republik Korea (ROK) dengan beberapa buah negara ASEAN iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir Duta dan perwakilan dari beberapa buah negara ASEAN dan juga Republik Korea di negara ini, yang menghadiri mesyuarat serta kumpulan sukarelawan yang terlibat.

 
20 April 2008

dELEGASI KE MESYUARAT ROK-ASEAN MULA TIBA

Delegasi negara-negara yang menyertai Mesyuarat Republik Korea-ASEAN Mengenai Penjagaan Warga Emas mula tiba di negara ini. Mesyuarat selama 3 hari akan disertai oleh 5 buah negara ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam.

Diantara mereka yang tiba pada lewat petang tadi ialah Mr. Cho Hyun Se, President HelpAge Korea. Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas untuk mengalu-alukan Mr. Cho Hyun Se ialah Ketua Penyelaras Perhubungan Awam Mesyuarat Republik Korea-ASEAN Mengenai Penjagaan Warga Emas, Haji Khairul Ariffin bin Haji Abd Aji.

Turut menyertai dalam rombangan Mr. Cho Hyun Se ke mesyuarat ini ialah Ms. Park Sung Eun, Projek Assistant HelpAge Korea.

Mesyuarat Republik Korea-ASEAN Mengenai Penjagaan Warga Emas akan dirasmikan pada esuk hari oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. 

 
 
14 April 2008
KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN ORANG BERKEPERLUAN KHAS TIDAK DIABAIKAN

Pihak Kerajaan KDYMM sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan orang-orang berkeperluan khas di negara ini. Berbagai-bagai program telah, sedang dan akan disediakan untuk golongan tersebut semata-mata bagi memastikan kehidupan dan masa hadapan mereka sentiasa terpelihara.

Perkara tersebut telah dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan di Majlis Pembukaan Rasmi Bilik Komputer Bagi Orang Berkeperluan Khas Penglihatan, Pusat Bahagia, JAPEM.

"Kerajaan KDYMM pada 18 Disember 2007, telah menandatangani "Convention on the Right of Persons with Disablities". Antara isu-isu penting yang digariskan dalam konvnsyen ini adalah memastikan orang-orang berkeperluan khas diberi hak yang sama dalam pendidikan, kesihatan, undang-undang, kemudahan-kemudahan perhubungan, dan perlindungan daripada keganasan sosial." tambah Yang Berhormat Pehin lagi.

Terdahulu sebelum itu Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DST, Haji Marsad bin Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa Bilik komputer yang khusus bagi orang berkeperluan khas penglihatan ini adalah salah satu usaha DST Group memberikan sokongan dan bantuan kepada agensi-agensi kerajaan khususnya JAPEM. Adalah diharapkan bantuan ini akan dapat serba sedikit meringankan serta membantu mereka yang memerlukan bantuan dari segi kemudahan asas seperti alat-alat komputer.

Bilik komputer orang berkeperluan khas penglihatan merupakan bilik yang ditaja oleh kumpulan syarikat DST Sdn Bhd dengan menelan belanja sebanyak B$18 Ribu. Ini termasuklah pengubahansuaian bilik komputer, 5 buah komputer termasuk Jaws Program dan 2 buah penghawa dingin.

Dengan adanya tajaan yang tersebut, orang berkeperluan khas melangkah setapak lagi dalam arus pendidikan, yang mana akan dapat membantu mereka dalam dunia pekerjaan di kemudian hari kelak.

Majlis pembukaan rasmi pada pagi tadi turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Pengarah-pengarah Jabatan di bawah  KKBS dan para pegawai kanan KKBS dan DST Group Sdn Bhd.

 
 
11 April 2008
DBP TEWASKAN JAPEM

Mohd Khairul Azhan (Jersi Putih) sentiasa menjadi perhatian pemain DBP

Pasukan Bola Sepak JAPEM terpaksa akur dengan kekalahan kepada Pasukan Bola Sepak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) walaupun pada satu ketika mendahului dengan jaringan 2-0.

Perlawanan keempat bagi kedua-dua pasukan dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri KKBS menyaksikan separoh masa pertama ditamatkan tanpa jaringan.

Bersambung separoh masa kedua, JAPEM memulakan perlawanan dengan lebih agresif dan mendominasi ruang untuk mencari jaringan.

Gol pertama JAPEM akhirnya muncul di minit ke-50 menerusi Mohd Khairul Azhan apabila berjaya menolak bola masuk setelah terlepas dari dakapan penjaga gol DBP.

Dua minit setelah itu JAPEM memperolehi jaringan kedua melalui Mohd Luqman.

Ketinggalan 2-0, DBP mula bangkit dengan melakukan serangan ke gawang JAPEM. DBP berjaya merapatkan jurang jaringan melalui Mohd Rezuan pada minit ke-60.

Gawang JAPEM bergegar lagi pada minit ke-72 menerusi Zulhelmy untuk gol penyamaan.

Gol kemenangan DBP hadir pada minit ke-82 menerusi sepakan percuma setelah ketua pasukan JAPEM, Haji Tal'ah menjatuhkan pemain DBP di luar kotak penalti, Pengadil tidak teragak-agak untuk melayangkan kad kuning kedua kepada beliau sekaligus kad merah.

Setakat ini, Pasukan Bola Sepak JAPEM telah bersaing 4 perlawanan dengan mencipta 1 kemenangan dan 3 kali kekalahan untuk mengutip 3 mata.

Perlawanan terakhir JAPEM pada hari Isnin 21 April 2008 bertemu dengan JBS di Kompleks Sukan Berakas, jam 4 petang.

 
4 April 2008
KKBS MUDAH ATASI JAPEM

Pemain JAPEM (Jersi Merah) cuba merebut bola bersama dengan penyerang KKBS

Pasukan Bola Sepak KKBS tidak menghadapi masalah untuk menumpaskan Pasukan Bola Sepak JAPEM 8 - 1 pada Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri KKBS di Kompleks Balapan dan Padang, Berakas.

Perlawanan ketiga bagi kedua-dua pasukan menyaksikan KKBS lebih banyak menguasai perlawanan sehingga gawang JAPEM berjaya dirobek seawal minit ke-12 menerusi pemain jersi 5 mereka, Hairol Nizam Ali.

Namun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila rembatan Mohd Khairul Azhan Haji Abd Razak pada minit ke-14 berjaya menewaskan penjaga gol KKBS, Pg Aziz Pg Sabtu untuk menyamakan Kedudukan.

Tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut, KKBS mula bangkit dengan melakukan serangan ke gawang JAPEM.

Penjaga gol JAPEM, Asrin Ali tewas lagi apabila Hairol Nizam Ali mudah menjaring gol kedua KKBS pada minit ke-18 sebelum mengembalikan sentuhan yang sama di minit 42 untuk menjadikan kedudukan 3 - 1.

Sebaik saja bersambung separuh masa kedua, KKBS meneruskan penguasaan apabila pemain berbisa mereka, Hairol Nizam Ali yang seringkali terlepas dari kawalan pemain pertahanan JAPEM dengan mudah menjaringkan gol ke-4 pada minit ke-56.

Selang 10 minit kemudian Hairol Nizam Ali sekali lagi bertindak cemerlang untuk menjaringkan gol ke-5 KKBS.

Pesta jaringan KKBS berterusan menerusi dua jaringan yang diperolehi melalui Ak Haji Mohd Sharifuddin Pg Haji Ali pada minit ke-72 dan 78.

KKBS yang sebelum ini memenangi dua perlawanan nampak lega apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti di minit ke-84 yang berjaya disempurnakan oleh Haji Alirahman bin Haji Sulaiman.


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn