Dua orang warga emas tertua yang
hadir di Sambutan Hari Warga Emas 2008 di Daerah Tutong telah menerima
penghargaan. Penyampaian penghargaan tersebut telah diberikan kepada Awang
Haji Abdul Razak bin Haji Matassan dan Dayang Hajah Payak binti Timpus.
Tetamu kehormat bagi majlis ini, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia
Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan dan datin telah menyempurnakan penyampaian
penghargaan kepada mereka.
Awang Haji Abdul Razak bin Haji Matassan dilahirkan pada tahun 1901 dan
berusia 107 tahun. Beliau pernah menjadi imam secara sukarela di salah
sebuah balai ibadat di Kampong Layong, Tutong sekitar tahun 40an sehingga
tahun 50an. Sebagai seorang yang berminat dalam bidang agama beliau dengan
secara sukarela tanpa mengharapkan apa-apa imbalan mengembangkan ilmu agama
yang ada pada dirinya dengan mengadakan kelas-kelas zikir bagi anak-anak
kampong, sehingga kini beliau berkebolehan membaca Al-Quran, Raweh, dan
Syair. Jasa dan sumbangan beliau dalam memperluas ilmu agama tetap dikenang
sehingga sekarang. Dalam usia yang sudah menjangkau 107 tahun, beliau masih
mempunyai kesihatan dan pendengaran yang baik selain dari itu juga beliau
berkebolehan merawat orang-orang sakit dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran.
Beliau dikurniakan 2 orang anak lelaki dengan 12 orang cucu. Ketika ini
beliau tinggal bersama anak sulong beliau di Kampong Kuala Abang, Tutong.
Dayang Hajah Payak binti timpus dilahirkan pada tahun 1900 dan berumur 108
tahun. Beliau telah banyak memberikan khidmat kepada anak-anak kampong
khususnya kepada ibu-ibu mengandung. Beliau pernah menjadi bidan kampong
sejak tahun 40an. Beliau juga berkebolehan menjadi tukang urut secara
tradisional. Jasa dan sumbangan beliau terhadap anak-anak kampong masih
dikenang sehingga sekarang. Selain itu beliau juga berkebolehan dalam
anyaman tekiding, bayong basong dan tikar yang diwarisi dari orang tua
beliau. Beliau juga berkebolehan memasak kelupis, wajid, dalamu, nasi kuning
tradisional (sulang) dan tapai. Dikurniakan dengan 3 orang anak perempuan,
mempunyai 23 orang cucu, 62 cicit dan 3 orang antah. Kini beliau tinggal
bersama anak sulong beliau di Kampong Sinaut.
16
Disember 2008
SERAMAI 18,575 ORANG WARGA EMAS
BERDAFTAR DI JAPEM
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam melalui Akta Pencen Umur Tua dan Tidak Upaya 1954, memperuntukkan
pencen umur tua untuk warga tua atau emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.
Sehingga bulan Disember 2008, seramai 18, 575 orang warga emas yang
berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menerima pencen umur
tua. Skim pembayaran pencen umur tua adalah sebagai pengiktirafan dan
penghargaan ke atas sumbangan yang pernah diberikan oleh warga emas dalam
pembangunan negara, sebagaimana yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddin, Sultan ke-28 memerintah
Negara Brunei Darussalam, supaya skim ini dimasukkan dalam Rancangan
Kemajuan Negara.
Sehubungan dengan itu, bagi terus mengingati jasa baik warga emas, Jabatan
Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan
Daerah Tutong, atau lebih dikenali sebagai Persatuan Pakatan, Daerah Tutong
menganjurkan Majlis Sambutan Hari Warga Emas bagi tahun 2008 peringkat
Daerah Tutong. Program tahunan ini diadakan bersempena Sambutan Hari
Antarabangsa Warga Emas yang diraikan pada setiap 1 Oktober. Tema Hari
Antarabangsa Warga Emas pada tahun ini “The Rights of Older Persons” atau
hak warga emas, sempena memperingati ulangtahun ke 60 Universal Declaration
of Human Rights.
Selain mengenang khidmat bakti warga emas yang pernah menyumbang dalam
kemajuan negara, sambutan Hari Warga Emas ini juga adalah bertujuan untuk
meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya generasi muda terhadap
kewajipan memberikan pemedulian kepada warga emas. Di samping itu juga,
mengeratkan lagi silaturahim antara para pegawai kerajaan dan warga emas.
Antara acara-acara yang diadakan : jualan; pameran termasuk dari Jabatan
Pembangunan Masyarakat dan dari Unit Sukarelawan Yayasan Sultan Haji
Hassanal Bolkiah; persembahan Tai Chi; persembahan Tausyeh, Nasyid dan Syair
daripada Persatuan Pakatan, Daerah Tutong. Juga diadakan penyampaian
penghargaan kepada warga emas yang tertua di Daerah Tutong.
Beberapa syarikat juga bermurah hati menyumbangkan berbagai bentuk tajaan
untuk memeriahkan sambutan ini terdiri daripada: Sunlit Advertising Sdn Bhd,
Sin Heng Lee Enterprise, Lim’s Electric Company, C.C.K Tyre & Trading
Company, Milimewah Department Store Sdn Bhd, Hoo Kui Gold Smith, K.B.A
Company, Talat Enterprise, ANIRUS Enterprise, De’Rimba Department Store Sdn
Bhd, M. Rashid & Company, Air Cat Forwarding, PanaCom Sdn Bhd, Perusahaan
Sinaran Gemilang Sdn Bhd, Sunil’s Emporium, Lin Lung Company Sdn Bhd, Mamih
Café dan Atih Mart.
Tetamu kehormat bagi majlis ini, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia
Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan dan datin. Turut hadir Yang Mulia Setiausaha
Tetap dan datin; Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abd
Rauf selaku Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pemangku Pegawai Daerah Tutong,
serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
6
Disember 2008
JAPEM SUMBANG ALAT BANTU PENDENGARAN
Dalam usaha untuk sama-sama
membantu orang yang berkeperluan khas di negara ini, Kerajaan Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah
menyumbangkan alat bantu pendengaran (hearing aid) kepada 3 orang
berkeperluan khas pendengaran.
Alat bantun pendengaran yang bernilai $1200.00 setiap satu telah disampaikan
kepada Dayang Siti Nufarhani binti Matsapar, Awang Mat Takip bin Haji Tengah
dan Dayang Ratnataisah binti Tuah. Kesemua sumbangan tersebut telah
diserahkan oleh Datin Hajah Adina binti Othman, Pengarah JAPEM.
4 Disember
2008
11 KELUARGA MANGSA
KEBAKARAN TERIMA SUMBANGAN
Satu majlis penyerahan derma kepada
mangsa-mangsa kebakaran dan rumah roboh telah berlangsung di Dewan Digadong,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir selaku Tetamu Kehormat dan
seterusnya menyampaikan bantuan derma tersebut ialah Yang Berhormat Pehin
Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji
Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir di majlis tersebut
ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Pengarah Pembangunan Masyarakat (JAPEM), dan beberapa orang pegawai kanan
JAPEM.
Sejumlah $48,900.00 telah diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan melalui JAPEM kepada 11
ketua-ketua keluarga terlibat bagi membantu meringankan bebanan mereka.
Turut sama menyumbang derma pada pagi tadi ialah Yayasan Sultan Haji
Hassanal Bolkiah yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengarah Urusan
Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.