TABUNG
BANTUAN KEMANUSIAAN TAUFAN NARGIS MYANMAR DAN GEMPA BUMI CHINA TERUS TERIMA
SUMBANGAN
Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China
terus menerima sumbangan sejumlah B$4,000.00 yang masing-masing disumbangkan
oleh Standard Chartered Bank sebanyak B$3,000.00 dan Persatuan Bistari
sebanyak B$1,000.00.
Kesemua sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan
Awang Haji Mohamad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan selaku
Penasihat Bersama Tabung daripada Dayang Nani Zuraila binti Hj Ismi, Head of
Legal and Compliance Standard Chartered Bank dan Datin Hajah Maimonah binti
Haji Omar, Timbalan Yang Di-Pertua BISTARI.
Dengan sumbangan derma yang telah diterima pada hari ini telah menambahkan lagi
jumlah kutipan tabung berkenaan kepada B$233,650.87 (termasuk
B$76,203.00 yang diterima melalui sumbangan SMS).
17
Julai 2008
BSP DAN BSLA SUMBANG B$127,151.52 KE
TABUNG
BANTUAN KEMANUSIAAN TAUFAN NARGIS MYANMAR DAN GEMPA BUMI CHINA
Satu majlis penyerahan derma kepada
Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China
telah diadakan pada petang ini bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan
Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.
Derma-derma yang telah disumbangkan pada hari ini telah diterima oleh Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan
Awang Haji Mohamad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan selaku
Penasihat Bersama Tabung. Jumlah keseluruhan derma yang diterima pada hari
ini ialah sebanyak B$127,151.52 iaitu sumbangan daripada;
Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn. Bhd (BSP) sebanyak B$123,151.52
yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali,
Timbalan Pengarah Urusan BSP.
Brunei Shell Ladies Association (BSLA) sebanyak B$4,000.00
yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Datin Paduka Hajah Hayati binti Pehin
Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Paduka Haji Mohd Salleh selaku Presiden BSLA.
Sumbangan derma yang telah diterima pada hari ini telah menambahkan lagi
jumlah kutipan tabung berkenaan kepada B$227,342.87 (termasuk
B$74,467.00 yang diterima melalui sumbangan SMS).
Melalui kesempatan ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat
selaku Urusetia Tabung sekali lagi menyeru kepada orang ramai untuk
sama-sama menghulurkan derma kepada Tabung ini sama ada terus kepada
Urusetia Tabung di Jabatan Pembangunan Masyarakat, melalui kemudahan SMS
atau melalui tabung-tabung yang telah ditempatkan di gedung-gedung
perniagaan, bank-bank, masjid-masjid dan surau-surau seluruh negara.
Mudah-mudahan dengan sumbangan yang dihulurkan akan dapat meringankan
bebanan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa yang terlibat kelak.
13
Julai 2008
KRK 'A' JUARA FUTSAL JAPEM 2008
KRK 'A' telah menjadi juara
Kejohanan Futsal Di Antara Bahagian-Bahagian JAPEM 2008 telah menewaskan
Pasukan Pentadbiran melalui sepakan penalti 8 - 7 pada perlawanan akhir
malam tadi.
Perlawanan yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara
Hassanal Bolkiah Berakas menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menjaring
sebarang gol sehingga ke wisel penamat.
Kejohanan ini merupakan kejohanan
tahunan yang dikendalikan oleh
Bahagian-Bahagian di JAPEM secara bergilir-gilir. Bahagian Pencen-Pencen
mengendalikan kejohanan pada tahun ini.
Objektif kejohanan adalah untuk menjalinkan hubungan silatur rahim antara
pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat melalui bola sepak;
Menanai semangat kerjasama berpasukan di antara para ahli dalam pasukan dan
juga bahagian masing-masing; Sebagai pentas kepada pemain-pemain yang
berpontensi dan berbakat untuk diserapkan di kejohanan futsal antara jabatan,
Kementerian mahupun bola sepak padang; Ianya merupakan satu aktiviti untuk
menghilangkan tekanan bekerja dan pada masa yang sama untuk menaikkan taraf
kesihatan individu tersebut. Disamping itu ianya adalah satu aktiviti untuk
pegawai, kakitangan dan pelatih lelaki yang bertugas di Jabatan Pembangunan
Masyarakat (JAPEM).
Kejohanan kali kedua ini telah disertai oleh 7 pasukan iaitu (1). Gabungan
Bantuan dan Pekerjaan (2). KRK ‘A’ (3). Pentadbiran (4). Daerah-Daerah (5).
Pencen-Pencen (6). KRK ‘B’ (7). Pusat Bahagia.
Terdahulu itu pada perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Pasukan
gabungan Bantuan & Pekerjaan tewaskan kepada Pasukan Pentadbiran dan
Kewangan dengan jaringan 0 -3. Pasukan KRK ‘A’ pula menewaskan Pasukan
Daerah-Daerah dengan jaringan tipis 1-0.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat,
Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan seterusnya menyampaikan
hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Beberapa buah Syarikat telah turut serta menjayakan kejohanan kali ini
dengan menyumbangkan hadiah bagi cabutan angka bertuah. Syarikat-syarikat
tersebut ialah Syarikat Shalim (B) Sdn Bhd, Prob Printing Sdn Bhd, D-Best
Printing and Trading Co., Top Happy Star Superstore Sdn Bhd, Superb
Photographic Studio, Dee Jay Home Video, J.J.F Printing and Stationary, Wing
On Printing Sdn Bhd, Elyon Marketing Company.
5
Julai 2008
SAMBUTAN HARI WANITA ASEAN 2008
Majlis Sambutan Hari Wanita ASEAN
2008 telah diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Persidangan Antarabangsa,
Berakas. Majlis dianjurkan oleh JAPEM dengan kerjasama Majlis Wanita Negara
Brunei Darussalam.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya
Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri
Kesihatan. Juga hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Ahli
Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Timbalan
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Diantara tujuan sambutan ini adalah sebagai memperingati Hari Wanita
peringkat ASEAN yang telah ditetapkan pada 5 Julai setiap tahun dan
seterusnya bagi memberikan maklumat yang berguna mengenai perkembangan kaum
wanita. Sambutan seperti ini juga adalah sebagai meningkatkan kesedaran
masyarakat terhadap sumbangan yang diberikan oleh kaum wanita dalam pelbagai
bidang ke arah pembangunan negara khasnya.
Pada tahun ini sempena sambutan tersebut, satu simposium mengenai Keganasan
Rumah Tangga telah diadakan dengan tema 'Keganasan Rumah Tangga - Jangan
Dibiarkan'. Simposium ini telah membincangkan pelbagai isu yang berkaitan
dengan keganasan rumah tangga iaitu dari sudut pencegahan, perlindungan,
perundangan dan sokongan. Seramai 250 orang peserta yang terdiri daripada
pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta/NGO dan persatuan-persatuan telah
menghadiri simposium ini.
Satu resolusi simposium telah diserahkan kepada Setiausaha Tetap,
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dengan adanya resolusi tersebut
akan dapat membantu menangani masalah isu-isu keganasan rumah tangga di
Negara ini.