.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2008 |  Bagi Bulan : :.

24 Jun 2008
majlis penyerahan derma kepada tabung bantuan kemanusiaan taufan nargis, myanmar dan gempa bumi china

Satu majlis penyerahan derma kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China telah diadakan pada petang tadi bertempat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat sekaligus menerima derma-derma yang disumbangkan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Penasihat Bersama Tabung.

Jumlah derma yang diterima pada hari ini ialah sebanyak B$2,176.00 iaitu $1,000.00  daripada Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dan $1,176.00 daripada Penuntut Pembimbing Rakan Sebaya Pusat Tingkatan Enam, Berakas.

Bagi pihak Majlis Wanita, derma telah disampaikan oleh Datin Hajah Fatimah binti DSS Abang Haji Razali, Yang Dipertua Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam. Manakala bagi pihak Penuntut Pembimbing Rakan Sebaya Pusat Tingkatan Enam, Berakas telah disampaikan oleh Presiden iaitu Awang Mohd Khairul Hazwan bin Haji Maidin.

 
19 Jun 2008
KURSUS Training Of Trainers On Managing Juvenile And Understanding Juvenile Behavioral BERAKHIR

Kursus “Training Of Trainers On Managing Juvenile And Understanding Juvenile Behavioral” yang dibiayai oleh Commonwealth Fund For Technical Cooperation (CFTC) telah berlangsung di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan disertai oleh 40 orang pegawai-pegawai dan pekerja pembangunan masyarakat dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS.

Kursus selama 4 hari ini yang telah bermula pada hari Isnin lalu menjemput 2 orang pengersus jemputan iaitu Awang Kalidass Karuppiah, Penolong Pengarah and Dayang Siti Ruziya Bte Nasir dari Bahagian Pemulihan dan Perlindungan, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Singapura.

Matlamat dan objektif kursus antaranya untuk memberi kefahaman dengan lebih lanjut mengenai tugas dan tanggungjawab termasuk etika seorang pegawai probesyen, cara-cara mengendalikan perkhidmatan probesyen dan mengendalikan kes-kes pesalah remaja dan dewasa. Para peserta kursus juga diajarkan mengenai panduan mengendalikan kaunseling kepada pesalah dan keluarga, etika dan tatacara membuat penyiasatan, membuat laporan kes dan penjagaan diri.

 
5 Jun 2008
PELANCARAN SMS BRUNEI PRIHATIN UNTUK TABUNG BANTUAN KEMANUSIAAN TAUFAN NARGIS, MYANMAR DAN GEMPA BUMI DI CHINA

Sebagai salah satu usaha untuk memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis, Myanmar dan Gempa Bumi di China yang telah ditubuhkan pada 17 Mei 2008, satu Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis, Myanmar dan Gempa Bumi di China telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Projek ini adalah anjuran bersama JAPEM, Jabatan Radio Televisyen, DST Group dan B-Mobile Communications Sdn Bhd. Majlis pelancaran pada pagi tadi telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China. Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan tabung berkenaan.

Kutipan derma melalui SMS ini akan bermula pada hari ini sehingga 17 Julai 2008. Oleh yang demikian kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang dikehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh BANTU20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 8885555 bagi pelanggan DST dan 10101 bagi pelanggan B-Mobile atau melalui WAP Portal.
 
 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn