Seramai 4 orang pegawai dan kakitangan JAPEM adalah diantara penerima
‘Anugerah Pekerja Cemerlang’ bagi pegawai dan kakitangan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-Jabatan di bawahnya.
Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Haji Awang Ahad bin Haji Hassan,
Hajah Kamariah binte Abdullah, Bahron bin Majid dan Dayangku Norhayati binte
Pg Haji Yunus oleh Awang Haji Matassim bin Haji Jibah, Pengarah Belia dan
Sukan selaku wakil peribadi Tetamu Kehormat Majlis, Timbalan Setiausaha
Tetap KKBS di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi tahun 2008.
Majlis berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan.
28 Mei 2008
KUMPULAN HARMONI
JUARAI KKC PERINGKAT KKBS
Kumpulan Harmoni dari
JAPEM dinobatkan sebagai juara Pertandingan Konvensyen Kumpulan Kerja
Cemerlang Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di
bawahnya bagi tahun 2008.
Kumpulan ini telah ditubuhkan pada 10 Februari 2007 dan ahlinya terdiri
daripada pegawai dan kakitangan di Bahagian Pembangunan Keluarga, Kaunseling
dan Probesyen, JAPEM.
Kumpulan Harmoni telah memilih projek "Perlaksanaan Khidmat Seliaan yang
kurang Bersistematik" kerana ianya adalah salah satu perkhidmatan khusus
bagi membantu dan memantau perkembangan klien setelah mengikuti program
pemulihan atau kaunseling yang telah diberikan oleh Bahagian ini.
Sebanyak 6 pasukan telah
menyertai konvensyen pada pagi ini yang telah dilangsungkan di Dewan
Digadong, KKBS. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi pasukan KKC
dari Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Delxpress dan Cakah.
Sementara itu tempat keempat disandang oleh Kumpulan Mesra dari Dewan Bahasa
dan Pustaka, kelima dimenangi oleh KRK dai JAPEM dan keenam Kumpulan
Khazanah dari Jabatan Muzium-Muzium.
Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh wakil peribadi Timbalan Setiausaha
Tetap KKBS selaku Tetamu, Awang Haji Matassim bin Haji Jibah, Pengarah
Jabatan Belia dan Sukan. Selaku juara kumpulan ini akan mewakili KKBS ke
Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan
kemudian.
26 Mei 2008
TIMBALAN SUT LAWAT
JAPEM
Satu lawatan suai kenal bagi Yang
Mulia Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
telah diadakan di Ibu Pejabat JAPEM pada petang tadi.
Yang Mulia Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dilantik menjadi
Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bermula
pada 4 Mei 2008.
Sepanjang lawatan tersebut Yang Mulia Timbalan SUT telah diiringi oleh
Pengarah JAPEM Datin Hajah Adina bte Othman sambil diberikan taklimat
mengenai dengan fungsi dan peranan setiap bahagian yang terdapat di JAPEM.
26 Mei 2008
35 orang sertai “TRAINING OF TRAINERS-PENJAGAAN
WARGA EMAS”
Sebagai usaha berterusan JAPEM
dalam mempastikan semua pegawai dan kakitangan di Jabatan ini dapat
memberikan layanan dan perkhidmatan yang cemerlang kepada klien-klien yang
memerlukan terutama golongan warga emas, maka Jabatan ini menganjurkan
kursus 3 hari “Training of Trainers - Penjagaan Warga Emas”. Kursus ini
dikendalikan oleh jabatan ini sendiri dan para penceramah terdiri daripada
pegawai-pegawai jabatan ini iaitu Dayang Hajah Aynah bte Hj Yaakub, Dayangku
Mariatul bte Pg Haji Hashim dan Awang Ahmad bin Kasmani.
Pegawai-pegawai penceramah telah berkongsi pengalaman dan memberikan
panduan-panduan yang berguna dalam penjagaan warga emas setelah mereka
kembali dari mengikuti kursus “The Republic of Korea-ASEAN Training of
Trainers of Volunteer Befriending Older Persons” di Singapura tahun 2007.
Diantara tajuk-tajuk yang dikongsikan ialah mengenai cara pengendalian
kes-kes, etika dan nilai seorang pekerja kebajikan atau sukarelawan,
bagaimana membuat penilaian dan pengawasan klien, penderaan warga emas,
ciri-ciri komunikasi, kesihatan, memahami dan penjagaan kesihatan serta
keselamatan warga emas.
Diantara
objektif bengkel adalah bagi meningkatkan sikap positif dalam memberikan
perkhidmatan yang bermutu bagi menyelesaikan masalah klien, menghayati
kepentingan hubungan pelanggan bagi mencapai misi dan hasrat organisasi dan
membentuk pendekatan yang berkesan bagi menyelesaikan masalah pelanggan.
Bengkel yang diadakan di Dewan Citra Budaya, KKBS telah disertai oleh 35
orang pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan ini serta sukarelawan projek
“Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas” juga adalah kesinambungan kepada ROK-ASEAN
Meeting On Home Care For Older Persons yang telah berlangsung pada 21-23
April 2008 anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat dan HelpAge Korea.
20 Mei 2008
Bengkel Sistem
Ejaan Rumi Bahasa Melayu
Pelbagai usaha terus diungkayahkan
untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dikalangan para pegawai
dan kakitangan JAPEM dalam penggunaan bahasa melayu yang sempurna dari segi
penggunaan aspek bahasanya yang betul.
Ke
arah itu JAPEM melalui Bahagian HRD dan PR dengan kerjasama Dewan Bahasa dan
Pustaka telah mengendalikan Bengkel Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang
bertujuan untuk memberikan kefahaman dari segi penggunaan aspek-aspek
bahasanya, iaitu ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa
dan sebutnya.
Sehubungan itu seramai 25 orang pegawai dan kakitangan JAPEM menyertai
bengkel tersebut yang diadakan di Dewan Citrabudaya, Kementerian Kebudayaan
Belia, dan Sukan.
Bengkel dua hari yang bermula hari ini dikendalikan oleh Awang Moksin
bin Durahim, Pegawai Bahasa dari Dewan Bahasa dan Pustaka.
19
Mei 2008
TERIMA LAWATAN
DARI GURU-GURU
Seramai 26 orang tenaga pengajar dari Sekolah Rendah Datu Mahawangsa, Lambak
telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat JAPEM.
Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran sosial dan pengetahuan mengenai khidmat kebajikan dan khidmat lain
yang dikendalikan oleh JAPEM. Rombongan ini
diketuai oleh Cikgu Pg Haji Abd Rahman bin Pg Haji Mohammad, Guru Kanan
Ko-kurikulum di sekolah berkenaan.
Taklimat mengenai dengan fungsi dan tanggongjawab JAPEM telah disampaikan
oleh Dayang Hajah Siti Zarena binti Haji Ismail, Pegawai Pembangunan
Masyarakat. Sementara itu
Taklimat mengenai dengan fungsi dan peranan Unit Kaunseling JAPEM telah
disampaikan oleh Hajah Siti Aynah bte Haji Mohd Yakub, Pegawai Kaunseling
JAPEM.
Turut hadir disesi taklimat tersebut ialah Penolong Pengarah JAPEM, Awang
Mohd Husaini Abdullah.
17
Mei 2008
TABUNG
BANTUAN KEMANUSIAAN TAUFAN NARGIS, MYANMAR DAN GEMPA BUMI DI CHINA DAN GEMPA
BUMI DI CHINA ditubuhkan
Kebawah Duli Yang
Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei
Darussalam telah memperkenankan penubuhan satu tabung bantuan yang bernama
Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis, Myanmar dan Gempa Bumi Di China.
Dalam hal ini, satu Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Bantuan
Kemanusiaan Taufan Nargis, Myanmar dan Gempa Bumi Di China telah berlangsung
pada petang ini di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan
dipengerusikan bersama oleh Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian
Kebudayaan Belia dan Sukan iaitu Awang Haji Jemat bin Haji Ampal. Turut
hadir di Mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia
Setiausaha Tetap Hal Ehwal Ugama serta beberapa perwakilan agensi kerajaan
dan bukan kerajaan.
Selaras dengan mesyuarat tersebut, satu Jawatankuasa khas yang dikenali
sebagai Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis,
Myanmar dan Gempa Bumi Di China telah ditubuhkan bagi mengendalikan segala
urusan yang berkaitan dengan Tabung ini yang dipengerusikan bersama oleh
Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Setiausaha
Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan ahli-ahlinya terdiri daripada berbagai
agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Derma akan dikumpulkan bagi tempoh tiga (3) bulan dan akan dilanjutkan jika
perlu. Tempoh tersebut memberi peluang kepada para penderma untuk
menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung atau menganjurkan
aktiviti-aktibiti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.
Seperti biasa, cara kutipan derma ialah sumbangan derma dari badan-badan /
syarikat-syarikat perniagaan, persatuan-persatuan dan orang-orang
persendirian, penempatan tabung-tabung kutipan derma di masjid-masjid dan
surau-surau di seluruh negara, penempatan tabung-tabung untuk kutipan derma
dari orang ramai di bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan
bangunan-bangunan awam di seluruh negara serta aktiviti-aktiviti atau
projek-projek yang bersesuaian.
Pada 03 Mei 2008,
Myanmar telah dilanda taufan Nargis yang mengganas di lembah Delta Irrawaddy di bandar Bassein,
kira-kira 160 kilometer ke barat Nargis
yang meragut diantara 63,000 hingga 100,000 jiwa sehingga kini (laporan
United Nation).Taufan juga menyebabkan lebih 33,000orang hilang dan korban nyawa
mungkin akan
meningkat selepas kerja mencari dan menyelamat dilakukan di beberapa kawasan
terbabit. Dianggarkan juga lebih 1.5 juta orang menjadi mangsa kehilangan
tempat tinggal, kebuluran dan menderita berbagai penyakit. Manakala Gempa
Bumi di China pula berlaku pada 12hb. Mei 2008 yang menyebabkan kematian
kira-kira 50,000 orang dan hampir 25,000 dilaporkan masih tertimbus dan
hilang.
Penubuhan Tabung Bantuan
Kemanusiaan ini bertujuan untuk mengumpul derma seangkat-angkat hati dari
seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi disumbangkan
kepada penduduk yang dilanda oleh Taufan Nargis dan Gempa Bumi Di China.
Dengan adanya kumpulan kutipan derma itu nanti diharapkan dapat meringankan
kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk negara tersebut.
12 Mei 2008
JAPEM HULURKAN
BANTUAN KEPADA MANGSA KEBAKARAN
Sebagai institusi yang
bertanggungjawab dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana di negara ini,
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah (YSHHB) mengadakan majlis penyampaian sumbangan derma kepada mangsa
kebakaran di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia
dan Sukan, hari ini.
hadir di majlis itu ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar
Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad bin Haji Daud, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan yang seterusnya menyampaikan derma.
Di majlis itu, pihak JAPEM menyumbangkan derma berjumlah $20,700 kepada
mangsa-mangsa kebakaran terdiri daripada 10 keluarga dari Kampung Kuala
Ungar, Kampung Jaya Setia Perpindahan Berakas dan Kampung Tanah Jambu.
Sementara itu, pihak YSHHB turut mendermakan $10,500 kepada mangsa kebakaran
itu yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah, Dr Haji Mohd Amin Liew Abdullah.
Manakala bagi derma bantuan membaiki rumah pihak, JAPEM memberi sumbangan
kepada tujuh penerima berjumlah $7,800.
Turut hadir di majlis itu ialah Setiausaha Tetap KKBS, Timbalan Setiausaha
Tetap KKBS, Pengarah JAPEM, pegawai-pegawai kanan JAPEM dan YSHHB.
3 Mei 2008
tERIMA SUMBANGAN
200 TIKET
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
hari ini telah menerima sumbangan berupa tiket bagi menyaksikan Konsert
Musical ““The Dream Ascends – Where Dreams Turn Into Reality” iaitu
persembahan music klasik dan kontemporari dari pemuzik-pemuzik tempatan dan
antarabangsa.
Hadir bagi menyerahkan sumbangan tiket sebanyak 200 keping itu ialah Mr
Chiam Tun Boon, Director, Expression Music dan menerima bagi pihak Jabatan
Pembangunan Masyarakat ialah Datin Hajah Adina Othman, Pengarah Jabatan
Pembangunan Masyarakat.
Tiket-tiket yang disumbangkan itu nanti akan dibahagi-bahagikan kepada
golongan yang kurang bernasib baik.
JAPEM sangat mengalu-alukan sumbangan dari Expression Music ini yang
menunjukkan keperihatinan mereka kepada golongan terutama kanak-kanak yang
memerlukan. Sumbangan ini diharapkan akan dapat memberikan peluang kepada
golongan-golongan istimewa ini berhibur sambil mempelajari serba sedikit
mengenai persembahan dan music-music yang akan dipersembahkan nanti.