.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2008 |  Bagi Bulan : :.

26 November 2008
bengkel orientasi dan mobiliti

Bengkel Orientasi dan Mobiliti Orang Berkeperluan Khas Penglihatan dan Anggota  diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan peningkatan dan kesedaran kepada masyarakat umumnya mengenai cara membantu orang berkeperluan khas penglihatan dan anggota. Selain daripada itu, ianya juga diharapkan akan dapat melahirkan sebuah masyarakat yang hidup dalam harmoni, bantu-membantu tanpa mengira status atau kecacatan.

Bengkel seumpama ini merupakan sala satu aktiviti tahunan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai orang berkeperluan khas khusus orang berkeperluan khas penglihatan dan anggota berkerusi roda.

Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, persatuan-persatuan, ibu bapa, persendirian, dan orang berkeperluan khas di Daerah Temburong.

Berapa orang pengendali bengkel dari JAPEM, UPK dan Kementerian Kesihatan akan menyampaikan kertas kerja dan tunjuk cara membantu orang berkeperluan khas penglihatan dan orang berkeperluan khas anggota (berkerusi roda).

Majlis pembukaan rasmi bengkel ini telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Seramai 3 orang pelajar berkeperluan penglihatan di Daerah Temburong telah menerima Jam Tangan Braille. Sementara itu sebanyak 7 buah kerusi roda telah diserahkan kepada 7 orang penerima bantuan kerusi roda dari JAPEM. Kesemua sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan kepada para penerima.

Bengkel yang diadakan di Dewan Belalong ini akan berakhir pada esuk hari dengan penyampaian sijil-sijil penyertaan kepada para peserta bengkel oleh Pemangku Pengarah JAPEM.

 
25 November 2008
 SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK 2008

"The Right to Play" atau "Hak untuk Bermain" merupakan tema Sambutan Hari Kanak-Kanak 2008 yang diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM). Program tahunan ini diadakan bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia (Universal Children's Day) jatuh pada setiap 20 November.

Tema adalah selaras dengan 'Convention On The Rights Of The Child' yang mendokumentasikan etika dan norma-norma tingkah laku masyarakat antarabangsa dan negara-negara di dunia ini terhadap kanak-kanak dan menyediakan garispandu mengenai hak-hak asasi yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak untuk hidup dan berkembang secara sihat termasuklah Hak Untuk Bermain.

Oleh yang demikian, Sambutan Hari Kanak-Kanak ini bertujuan untuk (i) memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai terutama ibubapa mengenai hak-hak kanak-kanak untuk beriadah; (ii) memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat dan kepintaran masing-masing di dalam aktiviti permainan sukan ria dan juga telematch; (iii) ianya juga merupakan suatu ruang untuk kanak-kanak berinteraksi antara satu sama lain; dan (iv) untuk mempromosikan lebih dekat mengenai peranan dan tanggungjawab JAPEM yang sememangnya memeduli kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan kanak-kanak di negara ini.

Antara acara yang diadakan termasuk senamrobik, telematch dan juga pameran oleh JAPEM; Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Jabatan Polis DiRaja Brunei; Biro Kawalan Narkotik; dan Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beberapa buah syarikat bermurah hati menyumbangkan berbagai bentuk tajaan untuk sambutan ini antaranya Baiduri Bank Group selaku penaja utama, Brunei LNG, Restaurant Nasi Ayam WYWY, Brunei Press dan Asia Enterprise.

Tetamu kehormat di sambutan pada pagi tadi ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir Setiausaha Tetap dan Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Juga hadir Pegawai Daerah Belait.

 
12 November 2008
JAPEM JUARA ACLW KATEGORI JABATAN KERAJAAN

Gambar Jabatan Penerangan

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah diumumkan sebagai pemenang pertama dalam kategori Jabatan bagi Anugerah Cemerlang Laman Web Rasmi Kerajaan (ACLW) sempena Hari Perkhidmatan Awam kali ke-15 tahun 2008 peringkat Daerah Brunei Muara yang berlangsung di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei Muara.

Selaku pemenang tempat pertama JAPEM menerima hadiah wang tunai BND500.00 bersama trofi dan sijil.

Bagi kategori Jabatan tempat kedua disandang oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Institut Perkhidmatan Awam (IPA), Jabatan Perdana Menteri di tempat Ketiga.

Sementara itu Kementerian Pertahanan menjuarai bagi kategori Kementerian, kedua Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Perdana Menteri ditempat ketiga.

Penyampaian ACLW disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Dato Paduka Haji Osman bin Pengiran Haji Petra selaku Tetamu Kehormat.

Diakhir majlis, Tetamu Kehormat menyaksikan satu pameran laman web bagi para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

 
11 November 2008
JAPEM SERTAI ACPA

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) buat julung-julung kalinya telah menyertai Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam (ACPA) peringkat kebangsaan bersempena dengan Sambutan Hari Perkhidmatan Awam kali ke-15 tahun 2008 dengan diwakili oleh 2 buah kumpulan iaitu Kumpulan Inovatif JAPEM dan Kumpulan Bekarih.

Kumpulan Inovatif JAPEM menyertai kategori Penyampaian Perkhidmatan adalah terdiri daripada pegawai dan kakitangan Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Perhubungan Awam, JAPEM dangan tajuk projek Skim Cadangan Inovasi. Mereka terdiri daripada Dayang Hajah Siti Zarena binti Haji Ismail, Awang Haji Khairul Ariffin bin Haji Abd Aji, Awangku Zainorisnan bin Pengiran Othman dan Dayang Hajah Rozita binti Haji Moktar

Sementara itu, Kumpulan Bekarih dari Unit Keusahawanan, JAPEM dengan tajuk projek Skim Berdikari. Kumpulan ini dianggotai oleh Dayang Hajah Noridah binti Haji Abd Hamid, Awang Haji Berudin bin Haji Singgil, Dayang Juzailah binti Haji Abd Rahman dan Awang Mohd Hadri bin Abd Halim.

Kumpulan ini telah dianugerahkan sijil penyertaan di Sambutan Hari Perkhidmatan Awam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 
5 November 2008
KUMPULAN HARMONI RAIH ANUGERAH PERAK

Kumpulan Harmoni dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-XI tahun 2008 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA) telah meraih Anugerah Perak.

Selain dari menerima Anugerah Perak, mereka juga menerima Sijil Penyertaan, piala trofi dan wang tunai BND1,000.00.

Hadiah Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2008 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah, Menteri Pembangunan selaku Tetamu Kehormat.

 
3 November 2008
KUMPULAN HARMONI DI KONVENSYEN KKC PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-XI

Kumpulan Harmoni dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-XI tahun 2008 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA).

Bagi Konvensyen kali ini sebanyak 21 pasukan telah turut menyertai, yang mana ianya melibatkan 20 jabatan yang mewakili 9 kementerian.

Kumpulan Harmoni telah memilih projek "Perlaksanaan Khidmat Seliaan yang kurang Bersistematik" kerana ianya adalah salah satu perkhidmatan khusus bagi membantu dan memantau perkembangan klien setelah mengikuti program pemulihan atau kaunseling yang telah diberikan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak.

Kumpulan ini telah ditubuhkan pada 10 Februari 2007 dan dianggotai oleh Dayang Siti Hazizah binti Saleh (Fasilitator), Mohd Johardi bin Hamdi (Ketua Kumpulan), Hajah Dayang binti Haji Mohiddin, Awang Yaram bin Yaning, Dayang Lim Tok Eng, Awang Shah Rudy bin Awang Idris dan Dayangku Norhayati binti Pg Haji Yunus.

 
3 November 2008
PENUTUPAN TABUNG BANTUAN KEMANUSIAAN TAUFAN NARGIS MYANMAR DAN GEMPA BUMI DI CHINA

Penubuhan Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China bertujuan untuk mengumpul derma seangkat-angkat hati dari seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam bagi disumbangkan kepada penduduk yang dilanda oleh Taufan Nargis dan Gempa Bumi Di China. Jawatankuasa tabung berkenaan telahpun menetapkan bahawa derma dikumpulkan dalam tempoh 3 bulan sahaja bermula 17 Mei 2008 dan berakhir pada 16 Ogos 2008.

Sehubungan dengan itu satu mesyuarat Penutupan Tabung Bantuan
Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China diadakan hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Penasihat Bersama tabung berkenaan.

Jumlah keseluruhan derma yang telah dikutip sepanjang tempoh tabung berkenaan ialah $494,951.92. Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Bantuan Kemanusiaan Taufan Nargis Myanmar dan Gempa Bumi di China merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para penderma di negara ini yang telah bermurah hati menghulurkan derma bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa Taufan Nargis di Myanmar dan gempa bumi di China

 

 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn