.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2008 |  Bagi Bulan : :.

30 Oktober 2008
PUSAT BAHAGIA TERIMA SUMBANGAN DARI BSLA

Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara hari ini telah menerima sumbangan berupa 1 split unit alat penghawa dingin, 6 unit 'Standing fan', 1 unit TV 21" beserta DVD, 'Educational Toys' dan 'Water Dispenser' dari Persatuan Wanita Brunei Shell (BSLA).

Kesemua sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Presiden Persatuan tersebut, Datin Paduka Hayati binti POKSDSP Awang Haji Mohd Salleh kepada Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman.

Terdahulu sebelum itu, Pengarah JAPEM telah menyampaikan sumbangan 2 buah Jam Braille kepada Dayang Nor Earne binti Haji Emran dan Dayang Hajah Nor Ezzah binti Haji Emran. Sementara itu sebuah Kerusi Roda telah disumbangkan kepada Dayang Hajah Kayah binti Jabair.

Sementara itu seramai 13 orang murid dan pelatih berkeperluan khas yang lahir pada bulan September dan Oktober 2008 telah diraikan di Majlis Sambutan Hari Jadi.

Pusat Bahagia mengalu-alukan usaha dan kerjasama serta sumbangan dari para dermawan, sukarelawan dan orang ramai khasnya dalam sama-sama memeduli murid dan pelatih berkeperluan khas.

 
28 Oktober 2008
majlis rumah TERBUKA PUSAT BAHAGIA

Majlis Rumah Terbuka Pusat Bahagia sempena Majlis Sambutan Hari Raya telah diadakan di Pusat Bahagia, Brunei Muara antara lain bertujuan sebagai menunjukkan keprihatinan pegawai-pegawai terhadap Warga Berkeperluan Khas, disamping mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan pegawai-pegawai, ibubapa dengan pelajar-pelajar dan Pusat Pahagia. Selain itu juga majlis tersebut dapat mengajar pelajar-pelajar dan pelatih tentang adab serta tatacara melayan tetamu semasa hari raya.

Pusat Bahagia, JAPEM merupakan salah sebuah pusat kerajaan yang mengendalikan hal-ehwal Orang Berkeperluan Khas (OBK) di Negara ini. Pelajar-pelajar di Pusat ini terdiri daripada pelajar berkeperluan khas penglihatan, pendengaran, intelektual dan anggota.

Seramai 241 orang murid dan pelatih Pusat Bahagia dari keempat-empat daerah berkampung di Pusat Bahagia, Brunei Muara dengan pelbagai hidangan juadah yang berlainan di antara keempat-empat Pusat Bahagia.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis pada pagi tadi ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Pengiran Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar. Turut hadir Pengarah JAPEM dan beberapa orang pegawai kanan JAPEM. Juga hadir beberapa orang isteri Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta asing ke negara ini.

 
21 Oktober 2008
PERSATUAN PAKATAN meLAWAT KE JAPEM

Serombongan 30 orang dari Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan, Daerah Tutong (PAKATAN) mengadakan lawatan muhibah ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di Jalan Kebangsaan Lama, Berakas, di sini.

Rombongan yang diketuai oleh Timbalan Yang Dipertua PAKATAN, Awang Haji Mohd Zain bin Haji Tengah itu telah diberi taklimat mengenai dengan fungsi dan peranan  JAPEM oleh Awang Haji Afero Eswandy Haji Mohamad, Pegawai Pentadbir JAPEM.

Selepas itu rombongan juga diberikan taklimat secara ringkas mengenai dengan Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas oleh Dayangku Siti Saihalina binti Pg Haji Mohd Daud, Pegawai Pembangunan Masyarakat.

Setelah itu mereka juga mengadakan lawatan ke Pusat Bahagia, di Kampong Pulaie.

 
15 Oktober 2008
WARGA OBK DAN PENGHUNI KRK DIRAIKAN

Bagi meraikan warga Berkeperluan Khas dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan, Majlis Ramah Mesra Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bersama Warga Berkeperluan Khas dan Penghuni Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan telah diadakan pada pagi di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei Muara.

Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Datin. Hadir ke majlis pagi itu selaku jemputan khas Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Isteri, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Ketua-ketua Jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir ialah Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Pelatih-pelatih dari Pusat Bahagia, Penghuni Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan, Klien-klien JAPEM dan Pegawai-pegawai KKBS dan Jabatan-jabatan di bawahnya.

Acara kemuncak di majlis tersebut ialah penyampaian Sumbangan Hari Raya yang berkeseluruhannya berjumlah $28,000 kepada warga berkeperluan khas dan penghuni Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Datin. Turut diterima ialah hadiah hari raya yang disumbangkan oleh pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawahnya Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan wakil-wakil penaja juga menyerahkan beberapa sumbangan hari raya kepada mereka yang diraikan. Seterusnya acara beramah mesra dan persembahan nyanyian oleh Warga Berkeperluan Khas, Penghuni Rumah-Rumah Kebajikan dan semua jabatan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menyerikan lagi majlis pada pagi tadi.

Majlis Ramah Mesra ini adalah acara tahunan kelolaan Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn