.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.

30 Julai 2009
7 KELUARGA MANGSA KEBAKARAN TERIMA SUMBANGAN

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan Derma
Kepada Salah Seorang Ketua Keluarga Mangsa Kebakaran

Satu majlis penyerahan derma kepada mangsa-mangsa kebakaran bagi Daerah Brunei Muara dan Tutong telah berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan bantuan derma tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan dan beberapa orang pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM.

Sejumlah $27,400.00 telah diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan melalui JAPEM kepada 7 ketua-ketua keluarga terlibat bagi membantu meringankan bebanan mereka. Turut sama menyumbang derma pada pagi tadi ialah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Musthapa bin Haji Matahir, Penolong Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

 
25 Julai 2009
JAPEM LANCAR OPERASI JEJANAK 1

Sebahagian dari 4 orang kanak-kanak yang digunakan oleh ibubapa dan penjaga mereka
untuk berjual kuih-muih di sekitar pusat beli belah kawasan Gadong

Seramai 4 orang kanak-kanak di bawah umur 11 tahun telah didapati disalahgunakan oleh ibubapa atau penjaga mereka untuk berjual melalui Operasi Jejanak 1 pada malam tadi.

Operasi tersebut yang membabitkan seramai 15 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah diketuai oleh Penolong Pengarah,  Bahagian Pembangunan Keluarga.

Operasi itu adalah sebagai sebahagian daripada plan tindakan JAPEM bagi memastikan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak disalahgunakan untuk mengemis atau menerima derma, atau memujuk pemberian atau sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang atau kegiatan yang menjejaskan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak itu.

Dalam operasi tersebut beberapa orang ibubapa dan penjaga yang menggunakan kanak-kanak untuk menjual kuih-muih disekitar pusat beli belah dan restaurant-restaurant telah diberi nasihat mengenai dengan kesalahan yang mereka lakukan.
Mereka juga telah diberi amaran untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut di masa akan datang.

Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 7.00 malam dan berakhir 11.30 malam tertumpu di kawasan perniagaan Kiarong, Gadong, Kiulap, Batu Bersurat dan Serusop.

Sehubungan itu Jabatan ini terus mengingatkan orang ramai terutama ibubapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak berada disebarang jalan, bangunan atau tempat untuk mengemis atau menerima derma, atau memujuk pemberian atau sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang atau kegiatan yang menjejaskan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak itu. Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun dengan 8 kali sebatan atau denda tidak melebihi $10 ribu atau kedua-duanya sekali.

 
23 Julai 2009
TERIMA SUMBANGAN DERMA DARI PESURUHJAYA TINGGI BRITISH

Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara telah menerima lawatan dan sumbangan derma dari Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Donald William Saville dan isteri.

Tuan Yang Terutama dan isteri juga menyampaikan sumbangan derma sebanyak BND1,000.00 ke pusat berkenaan yang diterima oleh Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah JAPEM.

Terdahulu sebelum itu Tuan Yang Terutama dan isteri telah dihiburkan dengan beberapa buah nyanyian dari murid-murid dan pelatih Pusat Bahagia. Sebelum meninggalkan majlis Pesuruhjaya Tinggi British dan isteri beramah mesra dengan murid-murid dan pelatih pusat berkenaan.

Tuan Yang Terutama yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya mula berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam sejak 26 Mei 2005.

 
8 Julai 2009
TERIMA ANUGERAH 'BRUNEI WOMAN LEADER IN CIVIL SOCIETY'

Datin Hajah Adina binti Othman, Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini telah dianugerahkan 'Brunei Woman Leader In Civil Society.

Majlis Penganugerahan Pengiktirafan Kepada Pemimpin-Pemimpin Wanita Cemerlang Dalam Pelbagai Bidang telah disempurnakan oleh
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

Berangkat sama di majlis yang berlangsung di Empire Theatre itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Paduka Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bulqiah.

Sebanyak lima Anugerah Pengiktirafan sempena Forum 'Women In Business 2009' diberikan kepada wanita-wanita yang berjaya sepanjang pembabitan mereka dalam memberikan jasa dan bakti utama kepada kemajuan negara.

Datin Hajah Adina binti Othman, memang terlibat aktif dalam memainkan peranan mengenai hal ehwal kebajikan masyarakat di negara ini. Beliau menjadi Pengarah JAPEM bermula 25 Oktober 2004.


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn

Terms Of Use

Hak Cipta Terpelihara (c) JAPEM