.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.

31 Mac 2009
KEBERANGKATAN PENEMPATAN KERJA KE KRK DAN PUSAT BAHAGIA

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Paduka Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bulqiah meneruskan keberangkatan penempatan kerja di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan berangkat melawat ke Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) dan Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara.

Ketibaan YTM-YTM di Kompleks Rumah Kebajikan dijunjung oleh Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Adina binti Othman, Pengarah JAPEM dan beberapa orang pegawai kanan dari KKBS dan JAPEM.

YTM-YTM disembahkan taklimat mengenai dengan fungsi dan peranan KRK yang telah disembahkan oleh Awang Abd Rahman bin Haji Apong, Pemangku Penolong Pengarah JAPEM yang bertanggungjawab ke atas Kompleks berkenaan.

Sementara itu sembah taklimat mengenai dengan peranan dan fungsi Pusat Bahagia telah disembahkan oleh Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah JAPEM.

Sebelum berangkat melawat ke Rumah-Rumah yang terdapat di kompleks tersebut Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia berkenan menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan.

Sepanjang lawatan ini ke Rumah-Rumah di kompleks berkenan YTM-YTM telah diiringi oleh Pengarah JAPEM disamping mendengar sembah taklimat fungi dan peranan setiap rumah-rumah di kompleks tersebut. Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra daripada para pegawai dan kakitangan KRK serta penghuni kompleks.

Keberangkatan tiba YTM-YTM di Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara telah dijunjung oleh Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah JAPEM. YTM-YTM telah berkenan berangkat ke bilik-bilik darjah yang terdapat di pusat ini untuk menyaksikan dengan lebih dekat cara pembelajaran di sini.

Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah dan beramah mesra daripada para pegawai dan kakitangan, pelatih dan murid Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara.

Sebelum berangkat balik YTM-YTM berkenan menerima pesembah dari murid-murid Pusat Bahagia. Pesembah adalah hasil dari kerja tangan pelatih dan murid-murid pusat berkenan.

 
30 Mac 2009
KEBERANGKATAN PENEMPATAN KERJA KE JAPEM

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Paduka Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bulqiah memulakan keberangkatan penempatan kerja di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Lawatan kerja Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia dimulakan dengan sembah taklimat mengenai dengan fungsi dan tanggungjawab jabatan oleh Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman.

Selesai sesi taklimat Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia dijunjung untuk melawat ke Bahagian-Bahagian yang terdapat di JAPEM.
Sepanjang lawatan ini Yang Teramat Mulia berdua telah diiringi oleh Pengarah JAPEM disamping mendengar sembah taklimat fungi dan peranan setiap bahagian di Jabatan ini.

Yang Teramat Mulia-Yang Teramat Mulia juga berkenan menerima junjung ziarah daripada pegawai dan kakitangan JAPEM.

Turut hadir sepanjang keberangkatan tersebut ialah Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Juga hadir beberapa pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
26 Mac 2009
BND298, 749.26 uNTUK TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin setakat ini berjaya mengumpul sejumlah BND298, 749.26 berikutan sumbangan daripada 8 penderma pada pagi ini.

Hadir menerima kesemua sumbangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat selaku Penasihat Bersama Tabung berkenaan.

Di majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kumpulan Isteri-Isteri Kabinet, Isteri Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Isteri-Isteri Timbalan Menteri, Isteri-Isteri Setiausaha Tetap, Isteri-Isteri Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-Ahli Bersekutu menyumbangkan sebanyak B$2,280.00 yang disampaikan oleh Yang Mulia Datin Hajah Edah binti Haji Mohd Noor selaku Pengerusi Kumpulan.

Badan Kebajikan Isteri-isteri Pegawai, Pegawai-pegawai dan kakitangan Wanita Kerajaan Brunei (BISTARI) menyumbangkan sebanyak B$1,055.00 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua BISTARI, Datin Hajah Edah binti Haji Mohd Noor.

Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam menyumbangkan sebanyak B$5,500.00 disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Hafsah binti Haji Abdul Halim, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Negara Brunei Darussalam.

Majlis Perundingan Mukim Pengkalan Batu menyumbangkan sebanyak B$1,266.60 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Tahir bin Haji Tarip, Penghulu Mukim Pengkalan Batu.

Pertubuhan Perkumpulan Wanita Brunei (WI) menyumbangkan sebanyak B$1,000.00 disampaikan oleh Datin Hajah Mariam binti Abdullah, Timbalan Yang Di-Pertua WI.

Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) menyumbangkan sebanyak B$1,533.70 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Luqman bin Haji Abd Hamid, Ketua Bahagian Belia KESAN.

Dewan Bahasa dan Pustaka menyumbangkan sebanyak B$2,862.00 disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sekolah Bakti Dewa menyumbangkan sebanyak B$600.00 disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Anak Haji Hamiruddin Shah Mardi bin Pengiran Anak Haji Hassanuddin, Pengarah Sekolah Bakti Dewa.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyumbangkan derma sama ada terus kepada Urusetia Tabung bertempat di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan atau melalui tabung-tabung yang telah ditempatkan di gedung-gedung perniagaan, masjid-masjid dan surau di seluruh Negara atau melalui kemudahan SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
19 Mac 2009
8 WARGA JAPEM DIKURNIAKAN PINGAT KEHORMATAN

Seramai 8 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah dikurniakan Pingat-Pingat Kehormatan Sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam ke 62 tahun.

Enam orang pegawai dan kakitangan JAPEM menerima Pingat Indah Kerja Baik (PIKB). Mereka ialah Pengiran Abd Azis bin Pengiran Haji Othman, Haji Tal'ah bin Haji Hidup @ Moksin, Muhammad Sanif bin Muhammad Kim Choi, Dayang Rosni binti Haji Matusin, Hajah Kasmah binti Haji Abd Wahab dan Hajah Rosni binti Haji Maidin.

Seramai 2 orang pegawai dan kakitangan JAPEM menerima Pingat Kerja Lama (PKL). Mereka terdiri daripada Awang Haji Mail bin Haji Ohsali dan Hajah Lauyah binti Mayasin.

Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan tersebut berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri telah berkenan menyempurnakan pengurniaan pingat-pingat tersebut.

 
14 Mac 2009
PUSAT BAHAGIA RAIKAN SAMBUTAN HARI LAHIR

Seramai 6 orang pelatih di Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara yang lahir dalam bulan Februari dan 11 orang yang lahir dalam Mac diraikan pada pagi tadi di Dewan Makan, Pusat Bahagia Brunei Muara. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Majlis juga diselajurkan dengan penyampaian alat bantu pendengaran kepada 3 orang bekeperluan khas (OBK) pendengaran. Mereka ialah Awang Haji Ismail bin Ibrahim, Dayang Sakdiah binti Haji Ismail dan Dayang Noraini binti Haji Ismail.

Sambutan diserikan lagi persembahan nasyid oleh pelatih Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara.

Pusat Bahagia mengalu-alukan sumbangkan orang ramai sama ada dalam bentuk material untuk sama-sama memeduli orang berkeperluan khas. Orang ramai yang ingin untuk membuat sumbangan boleh berhubung terus ke pusat berkenanan atau melalui talian 2331113 sewaktu pejabat

 
5 Mac 2009
PENUNTUT PUSAT TINGKATAN ENAM KATOK LAWAT JAPEM

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menerima kunjungan lawatan daripada 45 orang penuntut dan 3 orang guru Pusat Tingkatan Enam, Katok.

Rombangan yang diketuai oleh Cikgu Rahmah binti Haji Mohd Arsad dialu-alukan di Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara dimulakan dengan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Siti Hazizah binti Saleh.

Sejurus selepas itu, satu taklimat mengenai fungsi bahagian-bahagian yang terdapat di Jabatan ini telah disampaikan oleh wakil bahagian-bahagian berkenanan.

Selain daripada mengeratkan silaturahim antara agensi, lawatan ini bertujuan bagi mendedahkan para penuntut kepada pentadbiran dan pengendalian kes-kes yang dirujuk ke jabatan ini.

Para ahli rombongan juga diberikan kesempatan bertukar-tukar pendapat dan sebarang pertanyaan.

JAPEM juga menerima lawatan yang serupa dari pusat yang sama
juga akan diadakan pada hari Sabtu ini.

 
5 Mac 2009
TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN TERUS TERIMA SUMBANGAN

Majlis penyerahan derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin telah diadakan pada hari ini bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menerima derma yang diserahkan ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan selaku Penasihat Bersama Tabung.

Derma yang diterima pada hari ini telah disumbangkan oleh
Kementerian Perhubungan berjumlah B$15,601.81 dan Sukarelawan Penunggang Motosikal Daerah Tutong berjumlah B$1,990.60.

Penyerahan derma bagi pihak Kementerian Perhubungan telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha, Setiausaha Tetap, Kementerian Perhubungan dan penyerahan derma bagi pihak Sukarelawan Penunggang Motosikal Daerah Tutong telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hassan bin Haji Zunaidi selaku Pengerusi sukarelawan berkenaan.

Melalui derma yang diterima pada hari ini termasuk kutipan derma melalui kemudahan SMS Brunei Prihatin menjadikan jumlah kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin sehingga kini sebanyak B$287,778.77.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk sama-sama menyumbangkan derma sama ada terus kepada Urusetia Tabung bertempat di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan atau melalui tabung-tabung yang telah ditempatkan di gedung-gedung perniagaan, masjid-masjid dan surau di seluruh Negara atau melalui kemudahan SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
5 Mac 2009

Program Mengenai Pendidikan Kesihatan Mulut 2009 untuk murid-murid dan pelatih-pelatih berkeperluan khas telah diadakan di Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara oleh Jabatan Perkhidmatan Pergigian.

Sesi taklimat pada peringkat awal ini telah disampaikan oleh empat orang Jururawat Pergigian Pediatrik dan dihadiri oleh Pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan di Pusat ini yang mana nanti mereka ini akan memberikan tunjuk ajar mengenai kesihatan mulut dan penjagaan gigi kepada murid-murid dan pelatih-pelatih berkeperluan khas di Pusat ini.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan status kesihatan mulut bagi orang berkeperluan khas (OBK). Pelbagai aktibiti akan dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung antaranya ceramah pendidikan kesihatan mulut serta tunjuk ajar cara memberus gigi yang berkesan bagi OBK; Pemeriksaan gigi bagi OBK khasnya murid-murid dan pelatih-pelatih di Pusat ini; Sesi latihan memberus gigi kepada ibubapa serta penjaga memberi tunjuk ajar cara memberus gigi yang berkesan bagi anak-anak mereka yang berkeperluan khas.

Program ini akan dijalankan mengikut kategori masing-masing dan akan diadakan pada setiap hari khamis sesi pagi dan petang sehingga 23 April 2009.

Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi taklimat pagi tadi ialah Penolong Pengarah JAPEM, Awang Haji Rosmadee bin Haji Md Daud. Juga hadir ialah Pegawai Pentadbir Hospital RIPAS, Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Pusat Pergigian Negara.

 


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn

Terms Of Use

Hak Cipta Terpelihara (c) JAPEM