.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.

27 Mei 2009
PUSAT BAHAGIA RAIKAN SAMBUTAN HARI LAHIR

Seramai 9 orang pelatih di Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara yang lahir dalam bulan Mei diraikan pada petang tadi di Dewan Makan, Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara.

Sambutan dimulakan dengan persembahan tarian oleh pelatih Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara dan Pusat Bahagia Daerah Tutong.

Persembahan 'Fashion Show' dari murid-murid Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara menyerikan majlis. Bajoo Fashion House telah bermurah hati memberikan harga istimewa bagi pakaian yang diperagakan oleh murid-murid tersebut. Sementara itu Pakaian India yang turut diperagakan oleh murid-murid tersebut adalah sumbangan dari H.M.H Boutique.

Para Pelatih dan murid-murid Pusat Bahagian juga menerima sumbangan 'goodie bags' disumbangkan oleh Hajah Roslina binti Haji Md Salleh, Ramlan bin Haji Burut, Haji Wahid bin Ismail dan Md Aidil bin Jahali.

Sementara itu, Kek Hari Jadi disumbangkan oleh Hajah Haliza binti Abu Bakar.

Pusat Bahagia mengalu-alukan sumbangkan orang ramai sama ada dalam bentuk material untuk sama-sama memeduli orang berkeperluan khas. Orang ramai yang ingin untuk membuat sumbangan boleh berhubung terus ke pusat berkenanan atau melalui talian 2331113 sewaktu pejabat.

 
21 Mei 2009
MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN TEMPAT KEDIAMAN AWANG MAININ BIN TIMBANG

Sebagai salah satu usaha pihak Kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam memeduli golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa, maka satu projek bagi menyediakan tempat kediaman untuk salah seorang klien JAPEM iaitu Awang Mainin bin Timbang telah dapat dilaksanakan.

Bantuan tenaga dan kepakaran bagi menyediakan tempat kediaman ini telah disumbangkan oleh ABDB melalui projek Titian Amal bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-48 pada tahun 2009.

Manakala bantuan kewangan telah disumbangkan oleh pihak Kerajaan melalui JAPEM berjumlah $5,700.00 dan dari Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) berjumlah $5,000.00. Turut sama dalam memberikan sumbangan ialah agensi-agensi kerajaan yang lain dan juga orang-orang persendirian. Kos keseluruhan pembinaan tempat kediaman ini berjumlah lebih $10,700.00.

Sebelum ini, Awang Mainin bin Timbang, 70 tahun tinggal bersendirian di sebuah rumah di atas tapak yang sama yang mana telah ranap dalam satu kebakaran.

Sehubungan dengan pada pagi tadi diadakan Majlis Penyerahan Tempat Kediaman bagi Awang Mainin bin Timbang telah diadakan di Kampong Sungai Matan, Kota Batu. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tetamu-tetamu khas iaitu Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman, Pengarah JAPEM dan Yang Mulia Kolonel (L) Haji Abdul Halim bin Haji Hanifah bagi pihak ABDB.

 
17 Mei 2009
SAMBUTAN HARI KELUARGA 2009

“Ibu dan Keluarga : Cabaran Dalam Perubahan Dunia”  atau “Mother and Family : Challenges in the Changing World” adalah tema Sambutan Hari Keluarga Tahun 2009 diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Keluarga yang diisytiharkan pada 15 Mei setiap tahun.   Sambutan Hari Keluarga pada tahun ini diadakan pada di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Tetamu kehormat bagi perasmian Sambutan Hari Keluarga Tahun 2009 ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Sambutan Hari Keluarga Tahun 2009 antara lain bertujuan untuk i) meningkatkan kesedaran kepada masyarakat di negera ini tentang betapa pentingnya institusi keluarga diperkukuhkan demi kesejahteraan ahli-ahlinya; ii) mengeratkan kasih sayang, meningkatkan kerjasama, faham memahami dan perpaduan di kalangan ahli-ahli keluarga; dan iii) merapatkan hubungan kekeluargaan antara semua golongan masyarakat di negara ini.

Jabatan Pembangunan Masyarakat pada tahun ini menganjurkan Sambutan Hari Keluarga yang akan mengumpulkan beberapa buah keluarga dari seluruh negara untuk menyertai acara-acara yang berbentuk kekeluargaan.  Antara acara-acara yang memeriahkan Sambutan Hari Keluarga Tahun 2009 termasuklah senamrobik, jualan, persembahan dan sukan ria.  Kira-kira 370 buah keluarga dari seluruh negara dijemput untuk sama-sama meraikan acara yang mana setiap keluarga terdiri dari 4 orang ahli iaitu ibu dan bapa dan 2 orang anak.

Hari Keluarga Tahun 2009 adalah juga untuk mempromosikan Talian HELPLINE 141 bersempena dengan “Child Helpline International Day” yang disambut setiap 17 Mei.  Penyediaan talian ‘Helpline 141’ Jabatan Pembangunan Masyarakat adalah untuk memberikan ruang perkhidmatan yang lebih baik dan efisen serta bantuan kepada klien-klien yang bermasalah khususnya dalam kes-kes penderaan, pengabaian, perlindungan, eksploitasi, khidmat nasihat, masalah-masalah keluarga dan sebagainya supaya akan dapat diambil perhatian dan tindakan mengikut keutamaan kes-kes berkenaan.  Talian ‘Helpline Kebajikan 141’ beroperasi waktu pejabat sahaja iaitu dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari dan 2 petang hingga 4.30 petang.

Untuk Sambutan Hari Keluarga pada tahun ini beberapa buah syarikat bermurah hati menyumbangkan berbagai bentuk tajaan iaitu:  Cityneon Displays & Construction Sdn Bhd; Bank Islam Brunei Darussalam; Takaful IBB Berhad;  DST Group Sdn Bhd;  B-Mobile Communications Sdn Bhd;  Sunlit Advertising Sdn Bhd;  Aircat Forwarding;   Panacom Sdn Bhd;  Co-Leta Trading Company;  GOMAX  Enterprise;  IZY Printing Services & Trading Co. Sdn Bhd;   Borneo United Enterprise Sdn Bhd;  KFC (B) Sdn Bhd;  Rasa Mas Restaurant;  Jollibee;  Ideal Food Industries Sdn Bhd;  Marcomm Equity Services;  dan QuadraVision Trading Company & Ballon Decoration.

Turut hadir di Sambutan Hari Keluarga ini ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan datin;  Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama datin; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan;  Yang Berhormat Awang Haji Bakar bin Mansor;  ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Brunei dan Muara,  serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 
14 Mei 2009
TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN TERUS TRIMA SUMBANGAN

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin hari ini 14 Mei 2009 telah menerima sumbangan derma berjumlah B$70,000.00 daripada Syarikat Brunei Shell Petroluem (BSP) dan Pegawai dan Kakitangan BSP bertempat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah Urusan, Brunei Shell Petroluem.

Hadir bagi menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat.

Melalui derma yang telah diterima mulai 14 Januari 2009 hingga pada hari ini, Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin telah berjaya mengumpul keseluruhan derma sejumlah B$1,552,627.03.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai dan para penderma yang telah menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Mudah-mudahan melalui sumbangan yang telah di hulurkan akan mendapat ganjaran yang  setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
6 Mei 2009
TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN TERUS TRIMA SUMBANGAN

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin pada petang ini telah menerima sumbangan derma sejumlah B$1,277.52 (Seribu dua ratus tujoh puloh tujuh dan lima puloh dua sen sahaja) dari Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan Daerah Tutong (PAKATAN). Sumbangan tersebut adalah hasil Program Gerai Jualan Barang-Barang Terpakai (Garage Sales) yang telah diadakan pada 29 Mac 2009 bertempat di Ibu Pejabat persatuan berkenaan.

Sebanyak 60% daripada hasil dari pendapatan program tersebut disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin dan manakala 40% adalah dimasukkan ke Tabung Persatuan PAKATAN.

Derma telah disampaikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua PAKATAN, Awang Haji Mat Zin bin Tengah kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Othman.

Melalui derma yang telah diterima mulai 14 Januari 2009 hingga hari ini, Tabung berkenaan telah berjaya mengumpul keseluruhan derma sejumlah B$1,465,345.73.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai dan para penderma yang telah menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin

 
5 Mei 2009
TABUNG KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN TERUS TRIMA SUMBANGAN

Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin telah menerima sumbangan derma sejumlah BND150,393.91 dari beberapa buah agensi kerajaan dan sektor swasta di negara ini.

Dari jumlah tersebut Kementerian Pendidikan selaku Jawatankuasa di Sekolah-sekolah, Maktab-maktab dan Institut Pengajian Tinggi menyumbangkan sebanyak B$52,960.00 yang disampaikan oleh Yang Mulia Tengku Raihar Tengku Haji Kadir, Penolong Pengarah Kewangan, Kementerian Pendidikan.

Persatuan Bank-Bank selaku Jawatankuasa Penempatan Tabung-Tabung di Bangunan Bank-Bank, Gedung-Gedung Perniagaan dan Bangunan-Bangunan Awam di seluruh negara menyumbangkan sebanyak B$43,794.29 disampaikan oleh Yang Mulia Glenrase, Director / Citi Group Country Officer.

Jabatan Daerah Belait menyumbangkan sebanyak B$37,507.70 disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Abd Hamid bin DP Haji Abdullah, Penolong Pegawai Daerah Belait.

Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menyumbangkan sebanyak B$14,083.46 disampaikan oleh Awang Javed Ahmad, Pemangku Pengarah Urusan BIBD.

Sementara itu, Universiti Brunei Darussalam (UBD) menyumbangkan sebanyak B$2,048.46 disampaikan oleh Yang Mulia Dyg Khairunnisa binti Haji Ash'ari, Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar, UBD.

Hadir menerima sumbangan tersebut di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr Awang Haj Ahmad bin Haji Jumat selaku Penasihat Tabung berkenaan.

Melalui derma yang telah diterima mulai 14 Januari 2009 hingga hari ini, Tabung berkenaan telah berjaya mengumpul keseluruhan derma sejumlah B$1,464,068.21.

Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai dan para penderma yang telah menghulurkan sumbangan derma kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin

 
3 Mei 2009
PASUKAN PERKHIDMATAN OBK JUARA BERGANDA FUTSAL, JAPEM

Pasukan Perkhidmatan OBK telah menjadi juara Kejohanan Futsal Di Antara Bahagian-Bahagian JAPEM, 2009 setelah menewaskan Pasukan Pentadbiran dan Kewangan dengan jaringan 3 - 0.

Sebaik saja permainan dimulakan Pasukan Perkhidmatan OBK memulakan perlawanan dengan lebih agresif dan mendominasi ruang untuk mencari jaringan. Gol pertama mereka dijaringkan oleh Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud pada babak pertama menerusi sepakan percuma.

Bersambung di separuh masa kedua, 2 gol lagi dijaringkan oleh Pasukan Perkhidmatan OBK masing-masing melalui pemain jersi 4, Awang Nizam bin Zulhilmi dan Awang Razali bin Subuhi.

Terdahulu sebelum itu pada perlawanan separuh akhir pertama, menyaksikan Pasukan Pentadbiran dan Kewangan menewaskan Pasukan Bantuan Am dengan kemenangan 3 - 2 melalui sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua, pasukan tuan rumah tahun ini, Pasukan Pekerjaan dan Keusahawanan terpaksa akur dengan kehebatan Pasukan Perkhidmatan OBK setelah mereka tumpas dengan jaringan 0 - 3.

Kejohanan ini merupakan kejohanan tahunan yang dikendalikan oleh Bahagian-Bahagian di JAPEM secara bergilir-gilir. Bahagian Pekerjaan dan Keusahawanan mengendalikan kejohanan pada tahun ini.

Objektif kejohanan adalah untuk menjalinkan hubungan silatur rahim antara pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat melalui bola sepak; Menanai semangat kerjasama berpasukan di antara para ahli dalam pasukan dan juga bahagian masing-masing; Sebagai pentas kepada pemain-pemain yang berpontensi dan berbakat untuk diserapkan di kejohanan futsal antara jabatan, Kementerian mahupun bola sepak padang; Ianya merupakan satu aktiviti untuk menghilangkan tekanan bekerja dan pada masa yang sama untuk menaikkan taraf kesihatan individu tersebut. Disamping itu ianya adalah satu aktiviti untuk pegawai, kakitangan dan pelatih lelaki yang bertugas di Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Kejohanan kali ketiga ini telah disertai oleh 9 pasukan iaitu (1). Pekerjaan dan Keusahawanan (2). Bantuan Am (3). Perkhidmatan Pencen-Pencen (4). Pembangunan Keluarga (5). Pusat Bahagia (6) Perkhidmatan OBK (7) Kompleks Rumah Kebajikan 'A' (8) Kompleks Rumah Kebajikan 'B' dan (9) Pentadbiran dan Kewangan.

Selain menjadi Juara Futsal tahun ini, Pasukan Perkhidmatan OBK juga dinobatkan sebagai Juara Liga Futsal, JAPEM 2009. Pentabiran dan Kewangan menduduki tempat kedua, dan ketiga disandang bersama oleh Pasukan Bantuan Am dan Pasukan Pekerjaan dan Keusahawanan.

Awang Razali bin Subuhi dari Pasukan Perkhidmatan OBK diumumkan sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan. Anugerah 'Man of The Match' pula diterima oleh Awang Nizam bin Zuhilmi dari Pasukan Perkhidmatan OBK.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di perlawanan akhir pada malam tadi ialah Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman, seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang. Kejohanan sehari suntuk itu dilangsungkan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah Berakas

 
2 Mei 2009

10 ORANG ATLET OBK AKAN SERTAI SUKAN ARAFURA, 2009

Seramai 10 orang atlet Orang Berkeperluan Khas (OBK) akan menyertai Sukan Arafura Darwin, Australia 2009 dalam acara olahraga. Ini adalah penyertaan kali ke-2 atlet OBK di sukan tersebut.

Seramai 36 orang atlet dan pegawai termasuk 10 orang atlet OBK akan menyertai Sukan Arafura 2009 yang akan diadakan di Darwin, Australia yang akan bermula pada 9 hingga 17 Mei 2009.

Sehubungan dengan itu, satu Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang akan menyertai Sukan Arafura, Darwin Australia telah diadakan di Dewan Digadong pada pagi tadi.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya penyampaian Negara Brunei Darussalam kepada Pemangku Penolong Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan selaku Chef De Mission, Dr. Haji Zafri bin Haji Mohammad ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut hadir Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman, Ketua-Ketua Jabatan di bawah KKBS, Pegawai-Pegawai Kanan KKBS dan Jabatan-Jabatan di bawah KKBS.

Juga hadir Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman.


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn

Terms Of Use

Hak Cipta Terpelihara (c) JAPEM