.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.       

25 November 2009

Pusat Bahagia raikan Sambutan Hari Jadi

Persembahan dari murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara menyerikan majlis

Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), meraikan Majlis Penutup Sekolah dan Sambutan Hari Jadi Murid-murid dan Pelatih-pelatih Pusat Bahagia, Daerah Brunei dan Muara.

Hadir bagi sama-sama meraikan 144 orang murid dan pelatih dari Kelas Bimbingan Kanak-kanak Berkeperluan Khas dan Pusat Latihan Pekerjaan Orang-orang Berkeperluan Khas ialah Penolong  Pengarah JAPEM, Yang Mulia Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud.

Turut hadir, pegawai-pegawai kanan JAPEM dan para dermawan yang sama-sama menyumbangkan bagi majlis tersebut.

Di majlis tersebut, Pihak Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara menerima sumbangan berupa ‘Sand Paper Machine’ dari ISB, Berakas. Pihak ISB, Berakas juga menyampaikan sumbangan hadiah kepada murid-murid dan pelatih-pelatih yang menyambut Hari Jadi. Penuntut-penuntut dari ISB, Berakas juga turut membuat persembahan nyanyian.

Selain itu beberapa persembahan dari murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia juga diadakan.

Seramai 27 orang Murid-murid dan Pelatih-pelatih Pusat Bahagia, Daerah Brunei dan Muara yang lahir pada bulan November dan Disember turut diraikan.

Di majlis tersebut juga diadakan penyerahan “Goodies Bag” kepada murid-murid/pelatih-pelatih sumbangan daripada Pegawai dan kakitangan pusat berkenaan dan dari orang-orang perseorangan.

 
23 November 2009
MANGSA KEBAKARAN KG UJONG TANJONG TERIMA BANTUAN CATUAN MAKANAN

Timbalan Pengawal Pencen-Pencen, Dayang Rostinah binti POKSS Dato Paduka Haji Mohd Tahir menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah sebuah keluarga mangsa kebakaran di Kampong Ujong Tanjong

Nasib mereka yang ditimpa musibah di negara ini termasuk yang terlibat dalam musibah kebakaran tidak dipandang ringan oleh pihak Kerajaan.

Oleh itu mangsa-mangsa kebakaran di Kampong Ujong Tanjong menerima sumbangan derma dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk meringkan bebanan mereka.

Majlis penyerahan sumbangan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh satu minggu, tilam, bantal dan kain selimut kepada mangsa-mangsa kebakaran tersebut telah diadakan di Bahagian Bantuan Am, JAPEM.

Hadir menyampaikan bantuan berkenaan ialah Timbalan Pengawal Pencen-Pencen, Dayang Rostinah binti POKSS Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Sebanyak 3 buah rumah menempatkan kediaman 10 buah keluarga dengan 32 ahli keluarga hangus dijilat api semasa kebakaran yang berlaku pada 21 November yang baru lalu.

 
21 November 2009
MANGSA KEBAKARAN TERIMA SUMBANGAN DERMA

Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman dan Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud menyampaikan sumbangan derma kepada ketua keluarga mangsa kebakaran

Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana di negara ini, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) bersama dengan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) telah menyampaikan sumbangan derma kepada mangsa kebakaran di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir menyampaikan derma berkenaan ialah Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman.

Di majlis tersebut pihak JAPEM menyumbangkan derma berjumlah B$14,100.00 kepada mangsa-mangsa kebakaran terdiri daripada 2 ketua keluarga dari Kampong Pancha Delima dan Kampong Keramut Danau.

Sebelum ini pihak JAPEM juga telah menyumbangkan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh satu minggu, tilam, bantal dan kain selimut kepada mangsa-mangsa kebakaran tersebut.

Sementara itu pihak YSHHB turut mendermakan sejumlah B$10,000.00 kepada mangsa kebakaran itu yang telah disampaikan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

 
18 November 2009
SMS BRUNEI PRIHATIN BERJAYA KUTIP $173,778.00

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat menerima penyerahan derma daripada DST Group Sdn. Bhd dan B-Mobile Communications Sdn. Bhd

Projek SMS Brunei Prihatin berjaya mengutip sebanyak $173,778.00 keseluruhannya dengan $94,820.00 melalui DST Group Sdn. Bhd. dan $78,958.00 melalui B-Mobile Communications Sdn. Bhd.

Majlis Penyerahan Kutipan Derma SMS Brunei Prihatin untuk Anak-anak Yatim Kebangsaan itu berlangsung di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukandi sini.

SMS Brunei Prihatin Untuk Anak-anak Yatim Kebangsaan adalah projek kelima yang diadakan atas kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Radio Televisyen Brunei, DST Group Sdn. Bhd. dan B-Mobile Communications Sdn. Bhd.

Tempoh bagi kutipan SMS Brunei Prihatin itu bermula sejak 26 Ogos 2009 hingga 13 Oktober 2009.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat menerima penyerahan derma tersebut daripada DST Group Sdn. Bhd, yang disampaikan oleh Pegawai Kemajuan DST Group Sdn. Bhd, Awang Haji Marsad bin Haji Ismail dan bagi pihak B-Mobile Communications Sdn. Bhd. pula diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif B-Mobile Communications Sdn. Bhd. Awang Song Kin Koi.

Majlis pada pagi tadi juga diselajurkan dengan penyerahan derma untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan daripada Giant Hypermarket, Tasek Rimba sebanyak $11,560.61 yang diserahkan oleh Pengurus Am Giant Hypermarket, Tasek Rima, Encik Abdul Latip bin Isnin.

SMS Brunei Prihatin pertama telah dilancarkan pada tahun 2005 dan berjaya mengutip derma dari orang ramai sejumlah $183,517.00, pada tahun 2006 bagi projek kedua pula berjaya mengutip sejumlah $156,580.00, pada tahun 2007 berjaya mengumpul derma sebanyak $209,356.00 dan pada tahun 2008 pula berjaya mengumpul derma sejumlah $149,636.00.

Jawatankuasa bagi projek derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dengan amat sukacitanya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma yang telah menyumbangkan derma melalui SMS kepada tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan tulus ikhlas para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua.

 
4 November 2009
DELEGASI YANG MENGHADIRI ACW DAN ACW+3 LAWAT TEMPAT MENARIK

Sebahagian daripada Delegasi yang menyertai Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3) menyaksikan salah satu sudut pameran di Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer

Para peserta yang menghadiri Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3) telah membuat lawatan ke beberapa buah tempat menarik di Negara ini.

Kumpulan pertama delegasi tersebut telah dibawa melawat ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer. Galeri yang mula dirasmikan pada 19 Ogos 2009 mempunyai lima sudut galeri pameran yang mempamerkan pelbagai aspek Kampong Ayer berpandukan urutan sejarah bermula dari abad kesepuluh Masihi hingga sekarang.

Antara yang dipamerkan ialah petikan sumber-sumber bertulis asing dan tempatan, temuan-temuan arkeologi, bahan-bahan budaya kontemporari, lukisan-lukisan, peta-peta dan gambar-gambar. Sebelum meninggalkan Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer delegasi berkesudian naik untuk menyaksikan pemandangan sekitar Kampong Ayer.

Kemudian rombongan ini dibawa menyusuri Sungai Brunei di Kampong Ayer menggunakan perahu Roda Impian itu bermula dari Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer
 menuju ke Kampong Burong Pingai, Tamoi dan berpatah balik menuju Kampong Saba Darat.

Kampong Ayer mempunyai enam buah mukim dengan keramaian penduduknya lebih 30, 000 orang. Kebanyakan penduduknya yang tinggal disini bekerja dengan pihak kerajaan dan selebihnya bekerja di sektor swasta dan bekerja sendiri sebagai nelayan.

Sementara itu kumpulan kedua delegasi yang menghadiri Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3) membuat lawatan ke Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja di ibu negara.

Sepanjang lawatan itu, mereka telah diberikan penerangan mengenai galeri-galeri yang terdapat di bangunan tersebut yang sebahagian besarnya mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja yang diwarisi sejak zaman berzaman sebagai lambang kebesaran kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Antara yang dilawati oleh mereka termasuklah Galeri Pameran Alat-Alat Kebesaran Diraja semasa Perpuspaan 1968, Galeri Pameran Diraja dan Galeri Pameran Jubli Perak.

Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dibuka rasmi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 30 September 1992

 
4 November 2009
MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA ASEAN MENGENAI WANITA CAMPUR TIGA (ACW+3) BERSIDANG

Pengerusi Mesyuarat ACW+3, Datin Hajah Adina binti Othman bergambar ramai bersama dengan delegasi yang menyertai Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita + 3 kali Pertama

Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3) telah diadakan pada hari ini bertempat di Rizqun International Hotel. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Othman.

Mesyuarat ACW+3 dihadiri oleh semua negara-negara ASEAN, ASEAN Sekretariat dan negara-negara +3 iaitu Jepun, China dan Korea.

 
2 November 2009
DELEGASI MESYUARAT ACW DAN ACW+3 DIRAIKAN

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Ampal menyampaikan cenderamata kepada salah seorang Ketua Delegasi yang menyertai Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3)

Delegasi yang menghadiri Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga (ACW+3) telah diraikan di Majlis Makan yang diadakan di Sutera Hall, Rizqun International Hotel, Gadong. Makan malam tersebut diberikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Ampal, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Acara kemuncak pada malam tadi ialah menyampaian cenderamata kepada Ketua-ketua Delegasi peserta yang menghadiri mesyuarat tersebut oleh Tetamu Kehormat.

Makan Malam sempena Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) dan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita Campur Tiga diserikan lagi dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh artis-artis tempatan dari Bahagian Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta murid-murid dari Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap.

Turut hadir pada majlis malam tadi ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengarah JAPEM, Pegawai Kanan Kerajaan dan NGO.

 
2 November 2009
MESYUARAT KE-8 JAWATANKUASA ASEAN MENGENAI WANITA (ACW) MULA BERSIDANG

Para Peserta Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita ke-8 memulakan sesi permesyuaratan selama dua hari

Para peserta Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita (ACW) memulakan permesyuaratan mereka hari ini di Rizqun International Hotel, Gadong. Mesyuarat ACW dihadiri oleh semua negara-negara ASEAN dan ASEAN Sekretariat yang belangsung selama dua hari (2hb hingga 3hb November 2009). Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Othman.

Antara lain tujuan Mesyuarat ACW adalah untuk memberikan peluang kepada negara-negara anggota ASEAN berbincang dan bertukar-tukar pendapat, maklumat, praktis terbaik dan pengalaman mengenai isu-isu wanita khususnya di rantau ASEAN. Disamping itu juga, mesyuarat memberi peluang kepada negara-negara anggota ASEAN untuk meneliti dan mengkaji semula perkembangan masing-masing terhadap pembangunan wanita di rantau ini.

Tema mesyuarat ACW pada tahun ini ialah 'Mengurangkan Kemiskinan di Kalangan Wanita Dengan Pendekatan Berdasarkan Hak' (Reducing Feminization of Poverty with a Rights-Based Approach') yang akan menyentuh isu-isu mengenai kemiskinan dikalangan wanita di negara-negara ASEAN dengan mengurangkannya menggunakan pendekatan melalui hak-hak wanita.

 
2 November 2009
ACWC MELINDUNGI HAK-HAK WANITA DALAM ASEAN

Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah bergambar ramai bersama dengan delegasi yang menyertai Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita ke-8 dan Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Wanita + 3 kali Pertama

Sebagai salah satu usaha bagi meningkatkan dan memperkasa status wanita di arena serantau dan antarabangsa, satu Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Wanita ASEAN (ACW) sedang berlangsung pada 2hb hingga 3hb November 2009 bertempat di Rizqun International Hotel, Gadong.

Perasmian mesyuarat pada hari ini telah disempurnakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

Dalam berucap di perasmian mesyuarat tersebut, Yang Dimuliakan Pehin antara lain berkata penubuhan Suruhjaya ASEAN Mengenai Perlindungan dan Mempromosi Hak-Hak Wanita dan Kanak-Kanak merupakan langkah penting dalam memastikan pembangunan saksama bagi wanita dan kanak-kanak ke arah mempromosi, melindungi dan menghormati hak-hak wanita dalam ASEAN untuk hidup dalam aman, persamaan, adil, bermaruah dan makmur yang mana membolehkan mereka menyertai dalam pembangunan komuniti ASEAN.

Turut hadir Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Juga hadir Persuruhjaya-Pesuruhjaya Tinggi, Duta-Duta dan perwakilan dari negara ASEAN dan negara-negara +3 iaitu Jepun, China dan Korea.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]