.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.

27 Ogos 2009
MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA ANAK-ANAK YATIM BAGI DAERAH BELAIT & DAERAH TUTONG

Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis menyampaikan derma  Anak-Anak Yatim bagi Daerah Belait dan Daerah Tutong kepada ketua-ketua kampung di Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong

Bagi tujuan sekurang-kurangnya meringankan beban dalam perbelanjaan keperluan anak-anak yatim semasa bulan ramadhan dan juga persediaan menjelang hari raya, Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Bagi Daerah Belait dan Daerah Tutong Bagi Tahun 1430H / 2009M diadakan pada hari ini, 27 Ogos 2009, bertempat di Dewan Santap, Kuala Belait.  Majlis dikendalikan dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). 

Pada tahun ini seramai 2,221 orang anak yatim di seluruh negara berumor di bawah 18 tahun menerima sumbangan derma berbentuk kewangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).   Dari jumlah tersebut seramai 300 orang anak yatim di Daerah Belait, dan seramai 472 orang anak yatim di Daerah Tutong akan menerima derma melalui ketua-ketua kampung masing-masing pada hari ini. 

Sementara itu, Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim bagi Daerah Brunei Muara dan Daerah Temburong telah diadakan pada hari kelmarin, 26 Ogos 2009 bertempat di Dewan DiGadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan untuk 1,351 orang anak yatim di Daerah Brunei Muara;  dan 98 orang di Daerah Temburong melalui ketua-ketua kampung di daerah-daerah berkenaan.  

Jumlah keseluruhan sumbangan derma yang disampaikan di seluruh negara pada tahun ini ialah sebanyak $222,100.00 dari Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, manakala Bank Islam Brunei Darussalam bagi Anak-Anak Yatim sebanyak $111,050.00.  Manakala jumlah keseluruhan sumbangan derma yang disampaikan kepada anak yatim bagi Daerah Belait dan Daerah Tutong pada tahun ini ialah sebanyak $77,200 dari Tabung Anak Yatim Kebangsaan dan $38,600 dari Bank Islam Brunei Darussalam.

Tetamu kehormat bagi
menyampaikan derma Anak-Anak Yatim bagi Daerah Belait dan Daerah Tutong kepada ketua-ketua kampung di Daerah Belait dan Daerah Tutong ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Abu Bakar, Menteri Pembangunan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam.

 
26 Ogos 2009

MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA ANAK-ANAK YATIM BAGI DAERAH BRUNEI MUARA & DAERAH TEMBURONG,   DAN MAJLIS PELANCARAN SMS BRUNEI PRIHATIN UNTUK TABUNG ANAK-ANAK YATIM KEBANGSAAN BAGI TAHUN 1430H / 2009M

Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis Ketika Merasmikan Pelancaran SMS Brunei Prihatin
Untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan

Bagi tujuan sekurang-kurangnya meringankan beban dalam perbelanjaan keperluan anak-anak yatim semasa bulan ramadhan dan juga persediaan menjelang hari raya, Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Bagi Daerah Brunei Muara & Daerah Temburong, dan Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan Bagi Tahun 1430H / 2009M diadakan pada hari ini, 26 Ogos 2009, bertempat di Dewan DiGadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Majlis dimulakan dengan
Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan bagi Tahun 1430H/2009M.  Derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan telah bermula pada tahun 2005 dan ini merupakan projek kali kelima dijayakan bersama oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Radio dan Televisyen Brunei,  DST Group Sdn Bhd dan B.Mobile Communications Sdn Bhd bertujuan untuk memudahkan orang ramai beramal dengan menderma melalui SMS kepada Tabung Anak –Anak Yatim Kebangsaan.

Derma SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan adalah bagi tempoh bermula dari 26 Ogos 2009 hingga 13 Oktober 2009
Orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip YATIM (tanpa jarak) dan kemudian menekan jumlah yang dikehendaki iaitu 1,5,10,15, atau 20 sebagai contoh YATIM20 (bagi derma jumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan juga pelanggan B-Mobile atau melalui WAP Portal. Oleh yang demikian, orang ramai dialu-alukan untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang disediakan seperti di atas dalam tempoh yang disediakan.

Sementara itu juga, Majlis Penyerahan Derma untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan oleh DST Group & B.Mobile Communications juga diselajurkan.  DST Group menyerahkan derma sebanyak B$20,000 dan B. Mobile Communications menderma berjumlah B$5,000.

Majlis diikuti dengan
Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong yang mana dikendalikan dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Tetamu-Tetamu Kehormat Majlis menyampaikan derma  Anak-Anak Yatim bagi Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong kepada ketua-ketua kampung di Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong

Pada tahun ini seramai 2,221 orang anak yatim, terdiri dari 1,351 orang anak yatim di Daerah Brunei Muara;  dan 98 orang di Daerah Temburong, yang berumor di bawah 18 tahun menerima sumbangan derma berbentuk kewangan daripada Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).  Sumbangan derma tersebut diserahkan melalui ketua-ketua kampung masing-masing.  Sementara, seramai 472 orang anak yatim di Daerah Tutong;  dan 300 orang anak yatim di Daerah Belait; juga akan menerima derma dari Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melalui ketua-ketua kampung di daerah-daerah masing-masing yang mana majlis penyerahan derma bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait akan diadakan pada 27 ogos 2009 bertempat di Dewan Santap, Kuala Belait. Jumlah sumbangan derma yang akan disampaikan pada tahun ini ialah sebanyak $222,100.00 dari Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan, manakala Bank Islam Brunei Darussalam bagi Anak-Anak Yatim sebanyak $111,050.00.

Tetamu-Tetamu Kehormat bagi menyempurnakan majlis pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-Anak Yatim Kebangsaan dan juga menyampaikan derma  Anak-Anak Yatim bagi Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong kepada ketua-ketua kampung di Daerah Brunei/Muara dan Daerah Temburong ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Abu Bakar, Menteri Pembangunan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam.

 
21 Ogos 2009
ATLET OBK NEGARA BAWA PULANG 9 EMAS, 5 PERAK, 7 GANGSA

Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai 5th ASEAN Para Games bergambar bersama dengan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, dan Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat

Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang menyertai 5th ASEAN Para Games di Kuala Lumpur, Malaysia, selamat tiba ke tanah ayer dengan meraih kejayaan membawa pulang 9 Emas, 5 Perak dan 7 Gangsa.  Kejohanan tersebut diadakan selama 5 hari, bermula dari 15 Ogos hingga 19 Ogos 2009.  Negara Brunei Darussalam menghantar seramai 28 Orang Atlit Berkeperluan Khas terdiri daripada Atlit Berkeperluan Khas Anggota, Atlit Berkeperluan Khas Penglihatan dan Atlit Berkeperluan Khas Inteleks untuk bertanding dalam tiga acara sukan iaitu olahraga, renang dan catur. 

Hadir bagi menyambut ketibaan kontinjen negara di Lapangan Terbang ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman.  Turut hadir bagi mengalu-alukan kedatangan para atlit ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Datin Hajah Adina binti Othman serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Penyertaan negara di kejohanan pada tahun ini merupakan kali ke-5 sejak tahun 2001 yang mana  ianya diadakan dua tahun sekali.  Kontinjen negara di kejohanan 5th ASEAN Para Games juga diiringi oleh 3 jurulatih dan 13 pegawai yang diketuai oleh Chef de Mission, Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Pencapaian terbaik atlit Negara sebelum ini ialah di 3rd ASEAN Para Games yang berlangsung di Manila, Philippines pada tahun 2005 dengan kutipan pingat: 7 Emas, 6 Perak dan 4 Gangsa. Sementara  di 4th ASEAN PARA GAMES di Thailand, hanya memperolehi 2 Pingat Emas, 4 Perak dan 10 Gangsa.

 
18 Ogos 2009
ATLET NEGARA RAIH 9 EMAS, 5 PERAK, 7 GANGSA

KL'09.. Logo Rasmi Sukan '5 ASEAN PARA GAMES' di Kuala Lumpur, Malaysia

Atlet negara yang menyertai Sukan 5th ASEAN Para Games yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, menerusikan kecemerlangan mereka di hari keempat kejohanan dengan berjaya meraih 3 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa dengan 1 rekod baru di cipta oleh Awang Shari bin Haji Jumat (F55) dalam Acara Rejam Lembing dengan catatan sejauh 25.17m.

2 Pingat emas negara disumbangkan oleh Rosli bin Haji Hastan (F44) dalam Acara Buang Peluru dengan lontaran sejauh 11.01m dan dalam Acara Lempar Cekera dengan catatan 30.85m.

Awang Shari bin Haji Jumat meraih emas ke-3 untuk negara dalam Acara Rejam Lembing denga catatan sejauh 25.17m sekaligus mencipta rekod baru kejohanan. Sebelum ini rekod tersebut telah dibuat oleh altet Filipine, Andres Lubin di ASEAN Para Games 2001 di Kuala Lumpur, Malaysia dengan catatan 22.44m.

Sementara itu 2 pingat perak diperolehi menerusi Alihan bin Muda (F37) dalam Acara Rejam Lembing  dengan catatan sejauh 19.19m dan Awang Hirdan bin Haji Abd Kadir (F55) dalam Acara Rejam Lembing dengan catatan sejauh 24.63m.

2 pingat Gangsa diperolehi melalui Awang John Vanni bin Chandau (F44) dalam Acara Buang Peluru dengan catatan sejauh 7.00m dan Dayang An Nurhaiyyu binti Yusuf (T12) Acara Lari 200m dengan catatan masa 31.25s.

Dengan tambahan pingat pada hari ini, kontinjen negara telah berjaya meraih 9 Emas, 5 Perak dan 7 Gangsa.

 
17 Ogos 2009
ATLET NEGARA TERUSKAN KECEMERLANGAN

Ujang.. Maskot Kejohanan Kali ini

Atlet negara yang menyertai Sukan 5th ASEAN Para Games yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, menerusikan kecemerlangan mereka di hari ketiga kejohanan dengan berjaya meraih 3 pingat emas, 2 perak dan 4 gangsa.

3 pingat emas tersebut masing-masing diperolehi melalui Razali bin Subi (F44) dalam Acara Lompat Jauh dengan lompatan sejauh 4.84m. Dayang An Nurhaiyyu binti Yusof (F12) dalam Acara Lompat Jauh dengan lompat sejauh 3.99m dan Awang Rosli bin Haji Hastan (F44) dalam Acara Rejam Lembing dengan rejaman sejauh 43.49m.

Sementara itu 2 pingat perak diperolehi menerusi Alihan bin Muda dalam Acara Lempar Cekera dengan lemparan sejauh 23.32m dan Awang John Vanni bin Chandau dalam Acara Rejam Lembing dengan catatan sejauh 38.30m.

Sebutir pingat gangsa diraih oleh Awang Hirdan bin Haji Abdul Kadir (F55) melalui Acara Buang Peluru dengan lontaran sejauh 7.81m.

Dengan tambahan pingat pada hari ini, kontinjen negara telah berjaya meraih 6 Emas, 3 Perak dan 4 Gangsa.

 
16 Ogos 2009
ATLET NEGARA RAIH 3 EMAS, 1 PERAK, 3 GANGSA

Chef de Mission, Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud Mengalongkan Pingat Emas Kepada Awang HIrdan bin Haji Abd Kadir (Foto: Mohd Aidil bin Jahali)

Kontinjen negara yang menyertai Sukan 5th ASEAN Para Games yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia, setakat ini telah berjaya meraih 3 pingat emas, 1 perak dan 3 gangsa.

Pada hari pertama kejohanan Altet Negara telah berjaya meraih 2 pingat Emas dan 3 Pingat Gangsa. Dua pingat emas tersebut masing-masing telah diperolehi melalui Alihan Muda (F35) dalam Acara Buang Peluru dengan jauh lontaran 8.67m sekaligus mencipta rekod baru kejohanan. Awang Hirdan bin Haji Abd Kadir (F55) melalui Acara Lempar Cekara dengan jauh lontaran 24.16m dan sekaligus mencipta rekod baru.

3 pingat Gangsa masing-masing diperolehi melalui Awang Martin bin Dawat (T12) dalam Acara Lari Pecut 100m dengan masa 12.23s, An Nurhaiyyu binti Yusuf (T12) dalam Acara Lari Pecut 100m dengan masa 15.22s dan Norhensan Haji Mataha (F12) dalam Acara Lempar Cekera dengan lontaran sejauh 18.50m.

Awang Sibuang bin Haji Kalong meraih Pingat Emas Dalam Acara Rejam Lembing dengan rejaman Sejauh 31.39m (Foto: Mohd Aidil bin Jahali)

Dihari kedua kejohanan semalam Negara berjaya menambah pungutan pingat dengan 1 Emas dan 1 Perak. Awang Sibuang bin Haji Kalong (F11) melalui Acara Rejam Lembing dengan rejaman sejauh 31.39m.

Pingat Perak pertama diraih melalui Mohammad Hadi Zulhilmi bin Nirwan (T20) dalam Acara Lari Pecut 100m dengan catatan masa 11.88 saat.

 
12 Ogos 2009
KONTINJEN NEGARA MENYERTAI SUKAN 5TH ASEAN PARA GAMES DI KUALA LUMPUR

Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, KKBS, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha dan Timbalan Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan bergambar ramai bersama Kontinjen NBD sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia (Foto: Hajah Ajijah Haji Ali)

Kontinjen Negara Brunei Darussalam berlepas ke Malaysia hari ini bagi menyertai Sukan 'The 5th ASEAN Para Games' yang akan berlangsung dari 15 Ogos hingga 19 Ogos 2009 di Kuala Lumpur.

Kontinjen Negara mengandungi 28 orang atlet Orang Berkeperluan Khas yang bertanding dalam tiga jenis sukan iaitu olahraga, renang dan catur.

Penyertaan negara ke kejohanan ini merupakan kali ke-5 sejak tahun 2001 dan ianya diadakan dua tahun sekali.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa, Berakas untuk mengucapkan selamat jalan kepada para atlet ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha. Turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan

 
11 Ogos 2009
DELEGASI REPUBLIK INDONESIA ADAKAN LAWATAN KERJA KE JAPEM

ROMBONGAN dari Departemen Sosial Republik Indonesia ketika mengadakan
kunjungan  Muhibbah ke Pengarah JAPEM

Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hari ini menerima kunjungan lawatan kerja selama dua hari dari lima orang pegawai dari Departemen Sosial Republik Indonesia.

Rombongan yang diketuai oleh Kepala Biro Perencanaan Departemen Sosial, Dr. Mu'man Nuryana ke Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dialu-alukan oleh Pengarah JAPEM, Datin Hajah Adina binti Othman serta beberapa orang pegawai dari Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Semasa lawatan tersebut, para delegasi dari Indonesia itu antara lain mendengar taklimat mengenai struktur, peranan dan fungsi Jabatan Pembangunan Masyarakat yang disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Siti Hazizah Saleh.

Para delegasi juga berpeluang beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan JAPEM dan seterusnya melawat bahagian-bahagian di jabatan ini.

Antara aturcara lawatan kerja delegasi tersebut ialah lawatan Ke Pusat Bahagia Brunei Muara, Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Pulaie, Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Belimbing, Pusat Penempatan Sementara Belimbing. Diakhir lawatan kerja para delegasi ini nanti akan meninjau Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas dengan membuat lawatan ke beberapa buah rumah program tersebut yang telah terpilih.

Tujuan lawatan para delegasi itu ialah untuk melihat dengan lebih dekat lagi serta mempelajari dan menimba pengalaman sambil bertukar-tukar dan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai pentadbiran kebajikan dan sosial di negara ini khususnya dalam bidang penjagaan warga emas dan orang berkeperluan khas.

Delegasi dari Indonesia itu disertai oleh Kepala Dinas Sosial Provinsi DKI Jakarta, Drs Budihardjo, Kepala Bagian Penyusunan Perencananan Program dan Anggaran, Biro Perencanaan Departement Sosial, Drs Bambang Mulyadi, Kepala Sub-Bagian Program dan Anggaran Dinas Sosial Provinsi DKI Jakarta, Dra. Mariana dan Ditjen Pelayanan dan Rehabilitasi Sosial Departemen Sosial, Drs. Andi M. Asnandar.
 
8 Ogos 2009
28 Atlet obk GALAS CABARAN NEGARA

Yang Mulia Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan Bendera Negara
kepada
Chief De Mission

Negara Brunei Darussalam akan menyertai 'The 5th ASEAN Para Games' yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia. Sukan dwi-tahunan ini akan berlangsung selama 5 hari yang akan bermula pada 15 Ogos dan dijangka berakhir pada 19 Ogos 2009.

Kontinjen negara ke kejohanan kali mengandungi seramai 28 atlet, 3 jurulatih dan 13 pegawai yang diketuai oleh Chef de Mission, Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Penolong Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat. Atlit-atlit yang akan bertanding terdiri daripada atlit berkeperluan khas anggota, berkeperluan khas penglihatan dan atlit berkeperluan khas inteleks.

Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Ampal, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan penyerahan Bendera Negara kepada Chief De Mission 5th ASEAN Para Games.

Turut hadir di majlis yang diadakan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan, Pegawai-pegawai Kanan dibawah KKBS dan JAPEM.


Pencapaian terbaik atlet Negara di kejohanan ini ialah pada 3rd ASEAN Para Games yang berlangsung di Manila, Philippines pada tahun 2005 dengan memperolehi 7 Emas, 6 Perak dan 4 Gangsa.

Sementara itu pada kejohanan yang lalu di 4th ASEAN Para Games yang diadakan di Nakhon Ratchasima, Thailand pada tahun 2008 atlit Negara berjaya meraih 3 Emas, 4 Perak dan 10 Gangsa.


Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan Bandar Seri Begawan BC 4415 Negara Brunei Darussalam
Telefon: 673 2 380664 / 2380667 / 2380678 E-mail:info@japem.gov.bn

Terms Of Use

Hak Cipta Terpelihara (c) JAPEM