.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2009 |  Bagi Bulan : :.       

22 Oktober 2009
SMS TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA DILANCARKAN

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd Zain bin Haji Serudin dan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat merasmikan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina

Diatas keprihatinan terhadap penderitaan mangsa-mangsa gempa bumi di Indonesia dan ribut di Filipina, Jawantankuasa Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina telah melancarkan Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk tabung berkenaan di Coffee House Rizqun, The Mall Gadong pada pagi tadi.

Hadir melancarkan SMS Brunei Prihatin itu ialah Penasihat Bersama tabung berkenaan iaitu Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Haji Mohd Zain bin Haji Serudin dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad.

Projek SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusian Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina adalah anjuran bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), DST-Group dan B-Mobile Communication Sdn Bhd. Sebagai salah satu usaha untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung berkenaan yang telah ditubuhkan pada 10 Oktober 2009.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ini ialah Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Yang Mulia Awang Haji Md Mahdi bin Pehin Orang Kaya DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina.

Kutipan derma melalui SMS ini akan bermula pada hari ini
22 Oktober 2009 sehingga 30 November 2009. Oleh yang demikian kepada orang ramai yang berhasrat untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang di kehendaki iaitu 1, 5, 10, 15 atau 20 sebagai contoh BANTU20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan  B-mobile atau melalui WAP Portal
.

Oleh yang demikian, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang disediakan seperti di atas pada tempoh yang dinyatakan. Mudah-mudahan segala sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.

 
19 Oktober 2009

LEBIH 30 SUKARELAWAN HADIRI TAKLIMAT 'TRAINING FOR TRAINERS'

Presiden HelpAge Korea, Cho Hyunse ketika menyampaikan taklimat kepada sukarelawan Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mengalu-alukan penglibatan sukarelawan yang akan sama-sama membantu dalam penjagaan warga emas di Negara Brunei Darussalam. Sehubungan dengan itu lebih 30 orang sukarelawan Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas telah menghadiri taklimat 'Training For Trainers' yang diadakan di Suria 1, Riverview Hotel pada petang tadi.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Presiden HelpAge Korea, Cho Hyunse. Antara yang hadir di sesi taklimat tersebut, Timbalan Pengawal Pencen-Pencen, Dayang Rostinah binti POKSS Dato Paduka Haji Mohd Tahir.

Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas merupakan anjuran bersama JAPEM dan HelpAge Of Korea. Projek ini dihasratkan untuk memberikan khidmat sukarela kepada warga emas di Negara Brunei Darussalam yang berumur 60 tahun ke atas, berseorangan (solo) dan memerlukan bantuan dalam aktibiti kehidupan seharian. Projek ini juga berkehendakkan ahli keluarga terlibat bagi memeduli warga tua, selain penglibatan keluarga terdekat yang lain, pihak individu dan pihak NGOs.

Antara objektif projek berkenaan ialah untuk meningkatkan taraf kehidupan warga emas dari segi fizikal, emosi dan sosial serta menyediakan bantuan di dalam mengendalikan aktibiti kehidupan harian. Disamping itu dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, sektor swasta dan pertubuhan sukarela mengenai perlunya penjagaan terhadap warga tua bagi mengekalkan survival. Ianya juga diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap kewajipan memelihara dan memeduli warga tua.

Berbagai-bagai perkhidmatan yang bersesuaian dapat dilakukan di dalam projek memeduli warga emas antaranya, membantu mengadakan keperluan harian seperti mengemas rumah dan sebagainya; penjagaan/kebersihan diri; mengisi masa warga emas.

 
14 Oktober 2009
MURID-MURID DAN PELATIH-PELATIH PUSAT BAHAGIA BRUNEI MUARA TERIMA SUMBANGAN

Ahli Lembaga Pengarah DST Group Sdn Bhd, Abd Latif bin POKSS Haji Mohd Yusof menyampaikan Sumbangan Hari Raya kepada salah seorang Pelatih di Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara

Nasib orang berkeperluan khas di negara ini terus mendapat perhatian dari pelbagai pihak. Sehubungan dengan itu satu Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Dari DST Group Sdn Bhd kepada murid-murid dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara telah diadakan pada petang tadi.

Hadir penyampaikan sumbangan tersebut kepada murid-murid dan pelatih-pelatih berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah DST Group Sdn Bhd, Abd Latif bin POKSS Haji Mohd Yusof.

Objektif pusat ini ditubuhkan bagi melaksanakan program bimbingan dan asas laihan kemahiran bagi orang-orang berkeperluan khas agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara. Di pusat ini juga terdapat pelbagai program serta latihan diajarkan kepada mereka yang berkeperluan khas antaranya seperti asas menulis, membaca, mengira, bantu diri, komputer, braille, kraftangan dan bahasa isyarat.

Antara yang hadir di majlis yang dilangsungkan di Dewan Makan, Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara ialah Penolong Pengarah JAPEM, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud, Pegawai dan kakitangan Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara dan Pegawai-pegawai Kanan DST Group Sdn Bhd

 
10 Oktober 2009
BRUNEI PRIHATIN PENDERITAAN MANGSA GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA

Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan bagi Penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS)

Negara Brunei Darussalam beserta dengan negara-negara dunia lain amat pihatin dengan penderitaan mangsa-mangsa gempa bumi di Indonesia dan ribut di Filipina.

Sehubungan dengan itu, Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina telah ditubuhkan bertujuan untuk mengumpul derma berbentuk kewangan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan negara berkenaan.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbangkan derma seangkat-angkat hati kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina yang telah ditubuhkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan yang bermesyuarat di Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

Antara yang hadir di mesyuarat tersebut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad dan Timbalan Menteri Hal Ewal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badarudin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Mempengerusikan mesyuarat sulung tabung berkenaan itu Pemangku Setiausaha Tetap KKBS, Awang Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman bersama Pemangku Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Ismail bin Haji Abd Manaf.

Penubuhan tabung berkenaan antara lain untuk mengumpul derma berbentuk kewangan seangkat-angkat hati daripada rakyat dan penduduk di negara ini bagi disumbangkan kepada penduduk yang dilanda oleh gempa bumi di Indonesia dan ribut di Filipina.

Pada 2 September 2009, beberapa kawasan di Indonesia telah dilanda gempa bumi dengan kekuatan 7.6 skala Richter, menyebabkan lebih 700 orang terkoban, beribu lagi orang cedera, lebih 3000 orang hilang dan lebih 87,000 buah rumah musnah. Beberapa gegaran gempa bumi seterusnya menyusul menyebabkan korban jiwa bertambah melebihi 1000 orang.

Sementara itu pada 26 September 2009, Ribut Tropika Ketsana telah melanda utara Filipina yang mengakibat korban jiwa meningkat lebih 300 orang, berpuluh orang dilaporkan masih hilang manakala hampir 375,000 orang lagi berlindung di lebih 600 pusat perpindahan. Kediaman hampir 3 juta penduduk negara ini juga terjejas akibat banjir. Filipina juga ditimpa kemusnahan berterusan akibat ribut Parma dan ribut Melor yang melanda sebahagian negara itu pada 4 Oktober 2009.

Sehubungan itu rakyat, penduduk dan orang ramai di negara ini dialu-alukan menghulurkan bantuan derma kewangan seangkat-angkat hati kepada tabung-tabung derma yang akan ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat seluruh negara, gedung-gedung perniagaan, bangunan kerajaan dan awam.

Di samping itu pihak DST Communication dan B.mobile Sendirian Berhad sedikit masa lagi akan membuka tabung derma melalui SMS dan beberapa kegiatan amal dan berkebajikan juga akan menyusul bertujuan bagi mengisi tabung tersebut. Tabung-tabung kutipan derma akan disediakan di masjid-masjid dan surau-surau, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan swasta dan bangunan awam termasuklah bangunan kerajaan di seluruh negara bertujuan memudahkan orang ramai menghulurkan derma.

Kutipan tabung akan dijalankan selama tiga bulan bermula hari ini hingga 9 Januari 2010 akan datang dan orang ramai yang ingin menyumbangkan segera bolehlah menghantarnya terus ke Urusetia Tabung Tingkat 2 Jabatan Pembangunan Masyarakat, Bangunan KKBS di Jalan Kebangsaan atau menelefon ke talian 2380664/667/668.

 
 
7 Oktober 2009
PUSAT BAHAGIA BRUNEI MUARA RAIKAN SAMBUTAN HARI RAYA DAN HARI LAHIR

Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial di KKBS, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha ketika menyampaikan Sumbangan Hari Raya kepada salah seorang Warga Berkeperluan Khas di Pusat Bahagia Brunei Muara

Seramai 144 orang murid dan pelatih di Pusat Bahagia, Daerah Brunei Muara diraikan di Majlis Sambutan Hari Aidilfitri pada pagi tadi. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Shireen binti Haji Mustapha.

Sambutan dimulakan dengan persembahan nyanyian daripada Pegawai, kakitangan dan pelatih-pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara tarian dan ikuti dengan nyanyian dari penuntut-penuntut International School of Brunei (ISB). Turut menghiburkan di majlis yang berlangsung di Dewan Makan, Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara ialah seorang artis jemputan, Khairy.

Majlis juga diselajurkan dengan Sambutan Hari Lahir Bagi Murid-Murid dan Pelatih-Pelatih Pusat Bahagia Daerah Brunei Muara bagi Bulan Jun hingga Oktober 2009.

Acara kemuncak ialah Penyampaian Sumbangan Hari Raya berupa 'Duit Raya' daripada Tabong Orang Cacat JAPEM, Standard Chartered Bank. Sementara itu 'Goodies Bag' disumbangkan oleh 14 orang penderma.

Kek-kek Hari Jadi adalah sumbangan daripada Para Pegawai Kanan JAPEM, Hajah Haliza binti Abu Bakar, Atlet '5th ASEAN Para Games Kuala Lumpur', Standard Chartered Bank dan orang perseorangan.

Pusat Bahagia mengalu-alukan sumbangkan orang ramai sama ada dalam bentuk material untuk sama-sama memeduli orang berkeperluan khas. Orang ramai yang ingin untuk membuat sumbangan boleh berhubung terus ke pusat berkenanan atau melalui talian 2331113 sewaktu pejabat.

 
6 Oktober 2009
KUMPULAN IMPROVER RAIH ANUGERAH PERAK

Kumpulan IMPROVER yang berjaya meraih Anugerah Perak

Kumpulan IMPROVER dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Belait yang bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 tahun 2009 pada 10 hingga 12 Ogos 2009 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA) telah meraih Anugerah Perak.

Keputusan tersebut telah diumumkan di Majlis Penyerahan Sijil-Sijil Perkhidmatan yang berlangsung pada pagi tadi di Banquet Hall, Bangunan Majlis Mesyuarat Negara.

Selain dari menerima Anugerah Perak, mereka juga menerima Sijil Penyertaan, piala trofi dan wang tunai BND1,000.00.

Hadiah Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Mohammad bin Haji Daud, Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri selaku Tetamu Kehormat.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]