Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah
binti Haji Bolhassan semasa menyampaikan sumbangan derma kewangan kepada
salah seorang penerima bantuan
Mangsa-mangsa kebakaran yang
berlaku di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong menerima bantuan
kewangan dari Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda
Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB)
hari ini.
Bantuan kewangan dari Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri
Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam melalui
JAPEM berjumlah BND21,900.00 kepada empat ketua
keluarga yang terlibat dalam kebakaran rumah disampaikan oleh Pemangku
Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan berlangsung di
Bilik Mesyuarat Attaqwa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sementara itu pihak YSHHB juga
turut menyumbangkan kewangan kepada empat buah keluarga tersebut yang telah
disempurnakan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim
bin Haji Daud.
Terdahulu sebelum itu, JAPEM juga
telah menyumbangkan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh seminggu,
bantal, tilam dan kain selimut kepada mangsa-mangsa kebakaran tersebut.
22 April 2010
KONTRAK E-KERAJAAN JAPEM
DITANDATANGANI
Pemangku Setiausaha
Tetap I, Awang Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman menyaksikan majlis
penandatangan kontrak Perjanjian E-Kerajaan JAPEM yang berlangsung di Bilik
Mesyuarat Attaqwa, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Syarikat OakChem petang tadi
telah menandatangani kontrak Perjanjian bagi Projek 'The Consultancy
Services For Business Process Re-engineering (BPR) for the e-community Phase
1' yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Attaqwa, Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan majlis penandatangan tersebut
Pemangku Setiausaha Tetap I, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang
Haji Mohammad bin Haji Abd Rahman.
Menandatangani bagi pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pemangku
Pengarah JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan manakala Pengarah
Urusan, Awang Haji Hashim bin Haji Puting menandatangani bagi pihak Syarikat
OakChem Sdn Bhd.
Projek 'The Consultancy Services for Business Process Re-engineering' (BPR)
adalah projek e-masyarakat fasa pertama adalah inisiatif jabatan dalam
menilai semula semua proses perniagaan untuk menghalusi semua applikasi bagi
JAPEM dalam meningkatkan perkhidmatannya kepada orang ramai.menghalusi
proses perniagaan jabatan dengan menjadikan kerja pegawai-pegawai untuk
lebih efektif dan efisien melalui pandangan menyeluruh terhadap maklumat
yang mustahak kepada pelanggan.
Perlaksanaan projek e-masyarakat (e-community) itu juga akan dapat
menghubungkan secara elektronik pihak kerajaan dan penduduk dan menambahbaik
kerjasama antara JAPEM dan agensi-agensi kerajaan yang lain serta orang
ramai melalui 'online collaboration'.
Juga hadir di majlis tersebut, Pengarah-Pengarah Jabatan di bawah KKBS,
Penolong-Penolong Pengarah, Pegawai Kanan dan pegawai serta kakitangan
dibawah KKBS dan JAPEM.
18 April 2010
PASUKAN BAHAGIAN PENCEN-PENCEN
JUARA FUSTAL JAPEM
Pemangku Pengarah
Perkhidmatan Sosial Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah
Misnah binti Haji Bolhassan menyampaikan piala kemenangan kepada Bahagian
Pencen-Pencen
Pasukan Bahagian Pencen-Pencen
telah menjadi juara Kejohanan Futsal Di Antara Bahagian-Bahagian JAPEM, 2010
setelah menewaskan Pasukan Pentadbiran dengan jaringan 1 - 0.
Kemenangan tersebut diperolehi
melalui sepakan kencang oleh Muhd Luqman bin Haji Kamaludin pada minit
ke-11.
Muhd Luqman bin Haji Kamaludin juga
diumumkan sebagai Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak di kejohanan dengan
4 goal. Pasukan Pembangunan Keluarga dipilih sebagai Pasukan Terbaik.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di
perlawanan akhir pada petang tadi ialah Pemangku Pengarah Perkhidmatan
Sosial Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti
Haji Bolhassan, seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.
Terdahulu sebelum itu pada
perlawanan separuh akhir pertama, menyaksikan Pencen-Pencen menewaskan
Pasukan KRK 'A' dengan kemenangan 1 - 0.
Dalam perlawanan separuh akhir kedua, Pasukan Pentadbiran menewaskan Pasukan
KRK 'B' dengan kemenangan 2 - 1 melalui sepakan penalti setelah kedua-dua
pasukan terikat tanpa jaringan.
Kejohanan Futsal Di Antara
Bahagian-Bahagian JAPEM ini merupakan kejohanan tahunan yang dikendalikan
oleh Bahagian-Bahagian di JAPEM secara bergilir-gilir. Pada tahun ini
kejohanan ini telah dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Keluarga.
Diantara objektif kejohanan adalah
untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) melalui sukan bola sepak; Menanai
semangat kerjasama berpasukan di antara para ahli dalam pasukan dan juga
bahagian masing-masing; Sebagai pentas kepada pemain-pemain yang berpontensi
dan berbakat untuk diserapkan di kejohanan futsal antara jabatan,
Kementerian mahupun bola sepak padang; Juga sebagai salah satu aktiviti
untuk menghilangkan tekanan bekerja dan pada masa yang sama untuk menaikkan
taraf kesihatan individu tersebut.
Kejohanan kali keempat ini telah disertai oleh 7 pasukan iaitu (1). Bahagian
Pembangunan Keluarga (2). Bahagian KRK ‘A’ (3). Bahagian KRK ‘B’ (4).
Bahagian Pentadbiran (5). Bahagian Pencen-Pencen (6). Bahagian OBK (7).
Bahagian Kebajikan Am.
Kejohanan sehari suntuk itu dilangsungkan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan
Negara Hassanal Bolkiah Berakas.
Kejohanan Futsal Di antara Bahagian-Bahagian di Jabatan Pembangunan
Masyarakat (JAPEM) pada tahun 2011 akan dikendalikan oleh Bahagian Kompleks
Rumah-Rumah Kebajikan.
17 April 2010
PROJEK KELUARGA DALAM MEMEDULI
WARGA EMAS DILANCARKAN DI DAERAH TUTONG
Pembentang Kertas
Kerja yang disampaikan oleh empat orang ahli penal yang dipengerusikan oleh
Pegawai Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Awang Haji Ahad bin Haji Hassan
Diatas dasar pemedulian terhadap
warga emas di negara ini, Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas Bagi
Daerah Tutong telah diungkayahkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
dengan usahasama HelpAge Korea. Majlis pelancaran projek tersebut telah
diadakan di Dewan Seri Kenangan Daerah Tutong.
Projek Fasa III ini adalah
merupakan lanjutan projek yang telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara,
Belait dan Temburong yang bertujuan untuk meluaskan lagi skop pemedulian
warga emas di negara ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di
Majlis Pelancaran dan Seminar Projek Keluarga Dalam Memeduli Warga Emas Fasa
III ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Suffian bin
Haji Bungsu. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah
Perkhidmatan Sosial, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Hajah
Misnah binti Haji Bolhassan dan Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini
Abdullah.
Diantara tujuan seminar adalah
untuk memperkenalkan projek keluarga dalam memeduli warga emas kepada
sukarelawan di Daerah Tutong disamping berkongsi pengetahuan dikalangan
komiti dan sukarelawan sekaligus membiasakan sukarelawan dengan konsep
projek.
Objektif seminar ini adalah untuk
meningkatkan taraf kehidupan warga emas dari segi fizikal, emosi dan sosial
serta menyediakan bantuan di dalam mengendalikan aktiviti kehidupan seharian
disamping meningkatkan kesedaran orang ramai, sektor swasta dan pertubuhan
sukerela mengenai perlunya pemedulian warga emas bagi mengekalkan survival.
Seramai 100 orang peserta hadir
pada majlis tersebut yang terdiri daripada wakil-wakil Jabatan-Jabatan
Kerajaan, Majlis-majlis Perundingan Kampong dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO).
10 April 2010
FIRE MARSHALL JAPEM TERIMA SIJIL
Pemangku Setiausaha
Tetap 1, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Haji Mohamad bin
Haji Abd Rahman ketika menyampaikan Sijil dan Vest Jacket beserta topi (cap)
kepada Dayang Norratnadewi binti Lumpat
Kesedaran aspek keselamatan
kebakaran adalah amat penting bagi setiap penghuni untuk mengurangkan
kejadian kebakaran atau bilangan korban jiwa. Dengan adanya kesedaran ini,
setentunya pengurusan keselamatan kebakaran dan pelan kecemasan kebakaran
(Fire Emergency Plan) akan dapat dihasilkan untuk memastikan keselamatan
kebakaran sentiasa di tahap yang dikehendaki.
Perkara tersebut telah ditekan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba
dan Penyelamat, Awang Lim Hock Guan di Majlis Penyampaian Sijil Kursus
Safety Officer dan Fire Marshall Bagi Pegawai dan Kakitangan Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya yang
diadakan di Dewan Citrabudaya, Kementerian kebudayaan, Belia dan Sukan.
Sehubungan dengan itu 6 orang warga JAPEM adalah diantara 29 orang yang
telah berjaya menamatkan Kursus Safety Officer dan Fire Marshall
selama 3 hari yang bermula pada 6 April 2010 dan berakhir pada 8 April 2010.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan
seterusnya menyampaikan sijil dan Vest Jacket beserta topi (cap) kepada
peserta kursus ialah Pemangku Setiausaha Tetap 1, KKBS, Awang Haji Mohamad
bin Haji Abd Rahman.
Sepanjang tempoh kursus tersebut
para peserta telah didedahkan kepada beberapa perkara seperti tatacara
mencegah kebakaran, tatacara memadam kebakaran dan pelan kecemasan kebakaran.
8 April 2010
SMS
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI HAITI DAN CHILE DILANCARKAN
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan,
Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji
Awang Ahmad dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib
Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka
Haji Othman ketika melancarkan SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusiaan
Gempa Bumi Haiti dan Chile
Diatas keprihatinan terhadap penderitaan mangsa-mangsa
gempa bumi di Haiti dan Chile, Jawantankuasa Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi
Haiti dan Chile telah melancarkan Pelancaran SMS Brunei Prihatin untuk
tabung berkenaan di Dewan Citrabudaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan pada pagi tadi.
Hadir melancarkan SMS Brunei Prihatin itu ialah Penasihat Bersama tabung
berkenaan iaitu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat
Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad dan
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri
Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.
Projek SMS Brunei Prihatin Untuk Tabung Kemanusian
Gempa Bumi Haiti dan Chile adalah anjuran bersama Jabatan Pembangunan
Masyarakat (JAPEM), Jabatan Radio dan Televisyen Brunei (RTB), DST-Group dan
B-Mobile Communication Sdn Bhd. Sebagai salah satu usaha untuk memberikan
kemudahan kepada orang ramai untuk menghulurkan derma kepada tabung
berkenaan yang telah ditubuhkan pada 25 Mac 2010.
Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ini ialah Yang Mulia Dato Paduka
Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan dan Yang Mulia Awang Haji Md Mahdi bin Pehin Orang Kaya
DiGadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Abdul Rahman, Setiausaha
Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa
Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Haiti dan Chile.
Kutipan derma melalui SMS ini akan bermula pada hari ini 8 April 2010
sehingga 22 Mei 2010. Oleh yang demikian kepada orang ramai yang berhasrat
untuk menderma bolehlah menderma melalui SMS yang disediakan dengan menaip
BANTU (tanpa jarak) dan menaip jumlah yang di kehendaki iaitu 1, 5, 10, 15
atau 20 sebagai contoh BANTU20 (bagi derma berjumlah $20) dan hantar kepada
38111 bagi pelanggan DST dan B-mobile atau melalui WAP Portal.
Oleh yang demikian, Jabatan Pembangunan Masyarakat selaku Urusetia Tabung
mengalu-alukan orang ramai untuk menghulurkan derma melalui kemudahan yang
disediakan seperti di atas pada tempoh yang dinyatakan. Mudah-mudahan segala
sumbangan yang dihulurkan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah
Subahanahu Wataala jua, Amin.
4 April 2010
SAMBUTAN HARI KELUARGA JAPEM
Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Dayang Hajah Misnah binti Haji
Bolhassan hadir selaku Tetamu Kehormat di Sambutan Hari Keluarga JAPEM
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hari ini mengadakan Sambutan Hari
Keluarga JAPEM bertempat di Taman Rekreasi Bukit Shahbandar. Sambutan telah
dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.
Sambutan Hari Keluarga JAPEM bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan
silaturahim dikalangan para pegawai dan kakitangan disamping beriadah
bersama keluarga.
Acara pada pagi tersebut telah dimulakan dengan memotong reben oleh Tetamu
Kehormat dan seterusnya ikuti dengan senamrobik.
Sambutan Hari Keluarga JAPEM pada tahun
ini telah mengumpulkan beberapa buah keluarga warga JAPEM untuk menyertai
acara-acara yang berbentuk kekeluargaan. Antara acara-acara yang
memeriahkan Sambutan Hari Keluarga JAPEM termasuklah senamrobik, persembahan
nyanyian dan sukan ria yang dikendalikan oleh setiap Bahagian di JAPEM.