TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA
DITUTUP
Setiausaha Tetap Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji
Ampal ketika mempengerusikan mesyuarat penutupan Tabung Kemanusiaan Gempa
Bumi Indonesia dan Ribut Filipina
Jawatankuasa Kebangsaan Tabung
Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina telah memaklumkan bahawa
mulai hari ini Tabung berkenaan dengan rasminya ditutup dan diselajurkan
dengan pembubaran Jawatankuasa.
Sehubungan dengan itu satu mesyuarat penutupan Tabung berkenaan telah
diadakan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah
dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
selaku Pengerusi Bersama Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut
Filipina.
Di sepanjang tempoh kutipan, Tabung ini telah berjaya mengumpul sebanyak
B$422,819.86 dan USD 100,000.00. Derma tersebut Insya Allah akan disalurkan
kepada pihak berkenaan dengan secepat mungkin melalui pihak yang akan
dikenal pasti oleh Jawatankuasa Tabung.
Tabung berkenaan telah dibukakan selama tempoh tiga (3) bulan iaitu mulai
10hb Oktober 2009 sehingga 09hb Januari 2010. Sepanjang tempoh tersebut
telah memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma
berbentuk kewangan secara langsung atau untuk mana-mana pihak berpeluang
untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan
kutipan derma tersebut.
Melalui kesempatan ini, Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa
Bumi Indonesia dan Ribut Filipina dengan amat sukacitanya merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma
sama ada secara individu, pertubuhan atau perkumpulan yang telah
menyumbangkan derma kepada Tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan
tulus ikhlas para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripadaNya
jua, Amin.
23 Januari 2010
LEBIH 200 RIBU
DISUMBANGKAN KE TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA
Setiausaha Tetap Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji
Ampal menerima sumbangan derma Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan
Ribut Filipina daripada
Yang Di-Pertua
Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI, Yang Mulia Dyg Hajah
Marhani Binti Abd Hamid
Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi
Indonesia dan Ribut Filipina telah menerima sumbangan derma sejumlah
BND217,816.00 dari beberapa buah agensi kerajaan, sektor swasta dan
pertubuhan awam di negara ini.
Dari jumlah tersebut Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Di Raja
Brunei menyumbangkan derma sebanyak B$12,000.00 yang disampaikan oleh
Pemerintah Angkatan Bersenjata Di Raja Brunei, Yang Mulia Mejer Jeneral Haji
Aminuddin Ehsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji
Abidin.
Jabatan Hal Ehwal Masjid menyumbangkan derma sebanyak B$51,172.68 iaitu
sumbangan daripada orang ramai melalui tabung di masjid-masjid, surau-surau
dan balai-balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara. Sumbangan tersebut telah
disampaikan oleh Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Yang Mulia Awg Haji
Abdul Kahar Bin Haji Hussin.
DST GROUP Communication Sdn Bhd menyumbangkan derma sebanyak B$49,777.00
iaitu derma yang disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin
yang disampaikan oleh Pengurus Am Perkhidmatan Kumpulan Korporat DST Group
Sdn Bhd, Yang Mulia Awg Haji Matnarudin Bin Ibrahim.
B-MOBILE Sdn Bhd menyumbangkan derma sebanyak B$19,892.00 iaitu derma yang
disumbangkan oleh orang ramai melalui SMS Brunei Prihatin yang disampaikan
oleh Yang Mulia Dyg Hajah NurulBaiyinah Binti Haji Kassim.
Universiti Brunei Darussalam menyumbangkan derma sebanyak B$16,725.68 yang
disampaikan olehPenolong Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti
Brunei Darussalam, Yang Mulia Professor Dr Zohrah Binti Haji Sulaiman.
Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
menyumbangkan derma sebanyak B$13,736.39 yang disampaikan oleh Pengarah
Belia dan Sukan, Yang Mulia Awg Haji Muhammad Bin Penglima Asgar Dato Haji
Abdullah.
Persatuan Bank-Bank (Jawatankuasa Penempatan Tabung di Bank-Bank dan
Bangunan Awam) menyumbangkan derma sebanyak B$16,088.44 yang disampaikan
oleh Yang Mulia Awg Haji Minorhadi Bin Haji Mirhassan.
Jabatan Daerah Belait menyumbangkan derma sebanyak B$14,025.45 yang
disampaikan oleh Pengawai Daerah Belait, Yang Mulia Awg Haji Jamain Bin
Momin.
Jabatan Daerah Temburong menyumbangkan derma sebanyak B$1,460.00 yang
disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengawai Daerah Temburong, Yang Mulia Awg
Sazali Bin Haji Timbang.
Jabatan Daerah Tutong menyumbangkan derma sebanyak B$13,082.12 yang
disampaikan oleh Penolong Pengawai Pentadbir Tingkat 1, Jabatan Daerah
Tutong, Yang Mulia Pg Mohd Bakhtiar Bin Pg Haji Ibrahim.
Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam menyumbangkan derma sebanyak
B$2,000.00 yang disampaikan oleh Setiausaha Kehormat Majlis Wanita NBD, Yang
Mulia Dyg Hajah Kartini Binti Orang Kaya Paduka Setia Di Raja Abang Haji Abu
Hanifah.
Giant Hypermarket, Tasek Rimba menyumbangkan sebanyak B$6,121.32 yang
disampaikan oleh Pengurus Besar Am Pasar Raya Besar Giant, Yang Mulia Encik
Latip Bin Isnin.
Penduduk kampong di Mukim Pengkalan Batu menyumbangkan derma sebanyak
B$236.00 yang diserahkan oleh Ketua Kampong Wasan, Yang Mulia Awg Mat Noor
Bin Ma’arof.
Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) menyumbangkan derma sebanyak
B$1,500.00 yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua WI, Yang Mulia Dyg Hajah
Marhani Binti Abd Hamid.
Hadir menerima sumbangan tersebut di
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ialah Setiausaha Tetap Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Dato Paduka Haji Jemat bin Haji
Ampal selaku Pengerusi bersama Tabung berkenaan.
23 Januari 2010
PENUNTUT PUSAT TINGKATAN ENAM KATOK
LAWAT JAPEM
Sebahagian daripada
penuntut Pusat Tingkatan Enam Katok yang mengikuti lawatan sambil belajar ke
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
Jabatan
Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
petang tadi telah menerima lawatan sambil belajar daripada 43 orang penuntut
dan 4 orang guru Pusat Tingkatan Enam, Katok.
Rombangan yang diketuai oleh Cikgu Serinah binti Hassanal, dialu-alukan di
Dewan Citra Budaya, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Acara dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai
Pentadbir JAPEM, Haji Afero Eswandy Haji Mohamad, diikuti dengan
taklimat mengenai Struktur Organisasi dan Perkhidmatan-perkhidmatan di JAPEM
yang disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Siti Hazizah binti
Saleh.
Selain daripada mengeratkan silaturahim antara agensi, lawatan ini bertujuan
bagi mendedahkan para penuntut kepada pentadbiran dan pengendalian kes-kes
yang dirujuk ke jabatan ini.
Para ahli rombongan juga diberikan kesempatan bertukar-tukar pendapat dan
sebarang pertanyaan sebelum meneruskan lawatan ke Pusat Bahagia, Daerah
Brunei Muara.
23 Januari 2010
PEGAWAI DAN KAKITANGAN
JAPEM HADIRI TAKLIMAT SCP
Penolong Pengarah I
JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah dan Ketua Unit SCP, Dayang Norliah
binti Haji Kula semasa menghadiri Taklimat Skim Persaraan Caruman Tambahan
bagi Pegawai dan Kakitangan JAPEM
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM)
dengan kerjasama Unit Skim Persaraan Caruman Tambahan dan Tabung Amanah
Pekerja (TAP) telah mengadakan taklimat mengenai Skim Persaraan Caruman
Tambahan (SCP).
Pagi tadi kira-kira 50 orang pegawai dan
kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) hadir mendengarkan
penjelasan dan penerangan mengenai SCP ini yang berlangsung di Dewan Citra
Budaya.
Taklimat SCP disampaikan oleh Ketua Unit Skim Persaraan Caruman Tambahan
(SCP), Dayang Norliah binti Haji Kula.
Turut hadir, Penolong Pengarah I JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah.
Skim yang baru diperkenalkan ini akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun
hadapan setelah diperkenalkan melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada
14 Julai 2009 yang lalu sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-63 tahun.
Skim SCP merupakan
skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang
dilaksanakan pada masa ini.
Objektif utama adalah
untuk memastikan semua peserta Skim SCP yang telah memenuhi syarat-syarat
yang ditetapkan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak BND150
setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun.
Skim ini menjamin
bayaran sebanyak BND150 dan dicampur dengan bayaran Pencen Umur Tua sebanyak
BND250 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa
ini.
Para pesara akan
menerima pendapatan bulanan minimum keseluruhan sebanyak BND400.
Dalam pada itu Skim SCP ini juga memberi pembayaran manfaat ‘survivorship’
bagi menjamin kesejahteraan tanggungan sekiranya peserta meninggal dunia
sebelum bersara mandatori.
23 Januari 2010
'EVEREST
TREKKING' BANTU TABUNG BADAN KEBAJIKAN KEBANGSAAN
Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji
Ahmad
bin Haji Jumat bergambar ramai bersama dengan Ahli Persekutuan Catur Brunei
(BCF) yang akan membuat pendakian ke Everest Base Camp
Sebagai salah satu usaha untuk
menambah kutipan Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan (TBKK), satu projek telah
diusahakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama
Persekutuan Catur Brunei (BCF) melalui Projek Amal 'Everest Trekking'.
Projek ini diungkayahkan bertujuan untuk mempromosi kutipan derma daripada
orang ramai bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di Negara ini
khususnya bagi pembinaan dan pembaikan rumah.
Melalui projek "Everest Trekking', seramai lapan (8) orang ahli Persekutuan
Catur Brunei (BCF) akan mengadakan perjalanan sejauh 120 kilometer di Nepal
dan membuat pendakian setinggi 3,000 meter menuju ke Everest Base Camp.
Perjalanan ini dijangka akan mengambil masa selama 16 hari di mana para
pendaki akan mengadakan perlawanan catur sesama mereka di Everest Base Camp.
Sehubungan dengan itu satu Majlis Pelancaran telah diadakan pada petang ini
yang telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji
Ahmad bin Haji Jumat.
Projek yang berkebajikan ini diharapkan akan dapat mengumpul sebanyak
$50,000.00. Oleh itu orang ramai adalah dialu-alukan untuk menyumbangkan
derma sama ada terus kepada Urusetia Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan (TBKK)
di Bahagian Kewangan Tingkat 2, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan atau melalui cek atas nama BCF TREKKING AMAL di Hongkong and Shanghai
Corporation (HSBC) atau melalui On-line Laman Web- http://www.trekkingamal.com.bn
23 Januari 2010
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA
BUMI INDONESIA DAN RIBUT FILIPINA TERUS TRIMA SUMBANGAN
Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji
Ahmad
bin Haji Jumat menerima sumbangan derma daripada
Pemangku Pengarah Urusan, Syarikat Brunei
Shell Petroleum Sendirian Berhad, Awang Haji Zainal Abidin bin Haji Mohd Ali
Tabung
Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina hari ini 23 Januari 2010
telah menerima sumbangan derma berjumlah B$26,400.00 daripada Syarikat
Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad bertempat di Kementerian Kebudayaan
Belia dan Sukan, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Zainal
Abidin bin Haji Mohd Ali, Pemangku Pengarah Urusan, Syarikat Brunei Shell
Petroleum Sendirian Berhad.
Hadir bagi menerima sumbangan tersebut ialah Menteri Kebudayaan Belia dan
Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr.
Awang Haji Ahmad bin Haji Jumat selaku Penasihat Bersama Tabung berkenaan.
Jabatan Pembangunan Masyarakat
selaku Urusetia Tabung mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada orang ramai dan para penderma yang telah menghulurkan sumbangan
derma kepada Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina.
Mudah-mudahan melalui sumbangan yang telah di hulurkan akan mendapat
ganjaran yang setimpal daripada Allah Subahanahu Wataala jua, Amin.
18 Januari 2010
JAPEM PRIHATIN TERHADAP MEREKA YANG
SUSAH
Pemangku Pengarah
JAPEM, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan
menyempurnakan perletakan batu asas
mendirikan tiang utama rumah seorang penduduk Kampung Senukoh, Awang Jumat
bin Abai.
Sebagai salah sebuah agensi
kerajaan, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sentiasa memeduli nasib
mereka yang kurang berkemampuan, bersama agensi kerajaan yang lain serta
badan bukan kerajaan (NGO) telah dapat mengenalpasti mereka yang kurang
bernasib baik dan memerlukan bantuan.
Sehubungan dengan itu, pagi tadi, JAPEM
dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan Yayasan Sultan Haji Hassanal
Bolkiah (YSHHB) telah mengadakan Majlis Perletakan Batu Asas Mendirikan
Tiang Utama rumah salah seorang penduduk Kampung Senukoh Mukim Labu, Awang
Jumat bin Abai yang disempurnakan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Hajah
Misnah binti Haji Bolhassan.
Antara yang hadir dan turut meletakkan batu asas tersebut, Ketua Kampung
Belingos, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Ahad yang juga Ahli Majlis
Mesyuarat Negara; wakil Pengarah Urusan YSHHB, Awang Haji Mustafa bin Haji
Tahir; wakil Pegawai Daerah Temburong, tuan rumah, penghulu dan ketua
kampung.
Awang Jumat bin Abai berusia 48 tahun, merupakan salah seorang penerima
Bantuan Kebajikan Bulanan dari JAPEM. Beliau mempunyai 7 orang anak yang
masih bersekolah. Manakala isteri beliau hanya seorang suri rumahtangga.
Rumah bantuan yang beralamat di No. 169-1548 Lot 3372 Kampong Senukoh, Labu
Temburong menelan belanja sebanyak $40 ribu. JAPEM telah menyumbangkan $30
ribu dan pihak YSHHB memperuntukkan sebanyak $10 ribu.
16 Januari 2010
penandatanganan perlantikan konsultan
Menteri Kebudayaan,
Belia dan Sukan Yang
Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Awang Haji
Ahmad
bin Haji Jumat menyaksikan Majlis Penandatanganan Perlantikan Konsultan Bagi
Kajiselidik Mengenai Kemiskinan di Negara Brunei Darussalam di antara
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan ZD Consultant
Majlis Penandatanganan Perlantikan
Konsultan Bagi Kajiselidik Mengenai Kemiskinan di Negara Brunei Darussalam
telah diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Digadong, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan
Negara Brunei Darussalam telah menitahkan supaya Negara Brunei Darussalam
berusaha bagi mencapai tahap 'Kemiskinan sifar', semasa Sesi Ke-4 Majlis
Mesyuarat Negara pada 4 Mei 2008.
Jawatankuasa pandu atau 'Task Force' telah ditubuhkan dibawah naungan
Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan. Jawatankuasa pandu ini dipengerusikan oleh
Yang Mulia Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan
ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam
Negeri, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, Majlis Ugama Islam Brunei
dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Objektif Kajiselidik adalah seperti berikut; Untuk mendapatkan definisi
kemiskinan yang khusus dalam konteks Negara Brunei Darussalam; Menyediakan
satu pangkalan maklumat atau 'database' yang lengkap mengenai golongan
masyarakat yang hidup dalam kemiskinan di negara ini, dan Menyediakan
perancangan kebangsaan bagi membasmi kemiskinan di Negara Brunei Darussalam.
Konsultan yang telah terpilih ialah ZD Consultant, iaitu sebuah syarikat
konsultan tempatan. Bagi tujuan kajiselidik ini, ZD Consultant telah
mengumpulkan beberapa orang yang mempunyai kepakaran yang khusus untuk
kepentingan kajiselidik ini.
ZD Consultant akan bergabung dengan sebuah lagi syarikat tempatan iaitu
Syarikat Consultant UPV. Syarikat konsultan ini akan menyumbangkan
kepakarannya dalam kajian sosio-politik Negara Brunei Darussalam dan
pendekatan dari segi Shari'ah terutamanya definisi kemiskinan yang
melibatkan asnaf-asnaf tertentu yang ada di Negara Brunei Darussalam
termasuk asnaf 'Fakir' dan 'Miskin'.
ZD Consultant juga akan bergabung dengan Syarikat Ramfel Sdn Bhd yang beribu
pejabat di Selangor, Semenanjung Malaysia, yang mana akan menyumbangkan
kepakarannya dalam bidang teknologi maklumat untuk membentuk sebuah
pengkalan data mengenai golongan miskin di Negara ini.
Kumpulan pakar-pakar kajiselidik dan pergabungan syarikat-syarikat konsultan
ini telah membentuk suatu 'critical skills set' yang memberikan ZD
Consultant kekuatan strategik yang difikirkan dapat memenuhi
objektif-objektif kajiselidik dan menghasilkan 'deliverables' yang telah
ditentukan.
Pada majlis penandatanganan tersebut pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan
Sukan (KKBS) diwakili oleh Setiausaha Tetap KKBS, Dato Paduka Haji Jemat bin
Haji Ampal dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Sosial, Datin Hajah Shireen
binti Haji Mustapha. Sementara itu bagi pihak ZD Consultant diwakili oleh
Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Dayang Hajah Siti Zarefah binti Abdul
Aziz dan Principal Consultant UPV, Dayang Hajah Huslina binti Haji Husin.