.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2010 |  Bagi Bulan : :.       

20 Julai 2010
KRRK BELIMBING JADI TUMPUAN LAWATAN

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika melawat salah satu kelas yang terdapat di Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Belimbing

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Awang Haji Hazair bin Haji Abdulah mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Belimbing, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi mengetahui lebih dekat mengenai peranan yang dikendalikan oleh Kompleks berkenaan.

Sejurus tiba di Kompleks berkenaan Yang Berhormat mendengar taklimat dan penerangan mengenai visi, misi serta fungsi oleh Penolong Pengarah JAPEM, Awang Abd Rahman bin Haji Apong.

Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan (KRRK) Belimbing ini adalah dibawah Perintah Kanan dan Remaja 2006 bagi remaja dan kanak-kanak yang berumur 18 tahun ke bawah dan Akta Perlindungan Perempuan dan Gadis 1972 bagi perempuan berumur 21 tahun ke bawah. Tertubuhnya Kompleks ini pesalah remaja tidak perlu lagi ditahan di penjara bersama pesalah-pesalah dewasa dan ini adalah selaras dengan kehendak dan keperluan antarabangsa seperti yang dinyatakan di dalam 'Convention on the Rights of The Child (CRC)' yang mana Negara Brunei Darussalam adalah menjadi salah sebuah ahli kepadanya.

Kompleks Rumah-Rumah Kebajikan Belimbing ini dibina di atas tanah seluas 20 ekar dan boleh menempatkan seramai 150 orang penghuni lelaki dan 150 orang penghuni perempuan. Antara kemudahan yang terdapat di Kompleks berkenaan termasuk dewan makan, kelas, flat pegawai dan kakitangan, banglo pegawai dan pondok keselamatan, enam blok asrama satu tingkat, dua blok asrama dua tingkat dan sebuah dewan serbaguna.

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman; Setiausaha Tetap 1, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal dan beberapa orang pegawai kanan dari KKBS.

Sepanjang lawatan tersebut Yang Berhormat Menteri KKBS diiringi oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini bin Abdullah.

Lawatan Yang Berhormat itu menrupakan kesinambungan sesi lawatan kerja ke Jabatan-Jabatan di bwah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
15 Julai 2010
PEMANGKU PENGARAH JAPEM DIKURNIAKAN S.N.B
 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam "Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Ketiga (S.N.B)" kepada Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.

Pengurniaan Bintang kebesaran tersebut telah berlangsung di Balai Singgahsana Indera Buana Istana Nurul Iman bersempena Hari Keputeraan Baginda Ke-64 Tahun.

 
12 Julai 2010
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI HAITI DAN CHILE DITUTUP RASMI
 

Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Haiti dan Chile telah memaklumkan bahawa mulai hari ini Tabung berkenaan dengan rasminya ditutup dan diselajurkan dengan pembubaran Jawatankuasa.

Sehubungan dengan itu satu mesyuarat penutupan Tabung berkenaan telah diadakan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan selaku Pengerusi Bersama Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Haiti dan Chile.

Di sepanjang tempoh kutipan, Tabung ini telah berjaya mengumpul sebanyak BND150,705.59. Derma tersebut Insya Allah akan disalurkan kepada pihak berkenaan dengan secepat mungkin melalui pihak yang akan dikenal pasti oleh Jawatankuasa Tabung.

Tabung berkenaan telah dibukakan selama tempoh tiga (3) bulan iaitu mulai 25 Mac 2010 hingga 24 Jun 2010. Sepanjang tempoh tersebut telah memberi peluang kepada para penderma untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung atau untuk mana-mana pihak berpeluang untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan bagi tujuan kutipan derma tersebut.

Melalui kesempatan ini, Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Indonesia dan Ribut Filipina dengan amat sukacitanya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penderma sama ada secara individu, pertubuhan atau perkumpulan yang telah menyumbangkan derma kepada Tabung tersebut. Mudah-mudahan dengan sumbangan tulus ikhlas para penderma akan mendapat ganjaran yang setimpal daripadaNya jua, Amin.

 
12 Julai 2010
TABUNG KEMANUSIAAN GEMPA BUMI HAITI DAN CHILE KUTIP BND107,078.93

Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Adina binti Othman menerima sumbangan derma dari Jabatan Hal Ehwal Masjid disampaikan oleh Pemangku Pengarahnya, Awang Haji Abd Kahar bin Haji Hussin - Infofoto

Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Haiti dan Chile menerima sumbangan derma sejumlah BND150,705.59 berikutan sumbangan daripada 9 penderma pada petang ini.

Hadir menerima kesemua sumbangan tersebut ialah Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman.

Majlis Penyerahan Derma tersebut diadakan di Tingkat 3, Bilik Attaqwa, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan(KKBS), di sini.

Juga hadir, Setiausaha Tetap I, KKBS, Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal, pegawai-pegawai kanan kerajaan, Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Haiti dan Chile dan para penderma.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) menyumbang sejumlah BND15,000 berserta BND6,103.93 hasil kutipan dari orang ramai melalui penempatan kotak tabung di Kompleks Bangunan Yayasan disampaikan oleh Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menyumbang sebanyak BND11,351.70 yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Abd. Kahar bin Haji Hussin.

Syarikat Kumpulan DST Sendirian Berhad menyumbangkan BND11,343 melalui SMS Brunei Prihatin disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Md. Yusuf.

Syarikat Telekomunikasi B.Mobile Sendirian Berhad menyumbangkan BND5,914 yang juga disumbangkan melalui SMS Brunei Prihatin dan disampaikan oleh Pengurus Kanan Hal Ehwal Koporat, Dayang Hajah Noorul Baiyinah binti Haji Kassim

Persatuan Bank-bank Brunei (PBBB) menyumbangkan sebanyak BND17,208.03 yang disampaikan oleh Pengerusi PBBB, Awang Abdul Razak bin Abdul Malek.

Jabatan Belia dan Sukan (JBS) menyumbangkan sebanyak BND 2,786 yang disampaikan oleh Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Muhammad bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah.

BND8,209.96 sumbangan Giant Hypermarket Sendirian Berhad disampaikan oleh Pengurus Sokongan Jualan (Sales Support Manager), Dayang Yusnani binti Md. Yusof.

Kementerian Pendidikan menyumbangkan sebanyak BND38,482.70 disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Pengiran Hajah Mastoli binti Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Sementara itu, Pejabat Daerah Tutong menyumbangkan sejumlah BND2,722.56 dan Pejabat Daerah Belait menyumbangkan derma
sebanyak BND2,956.65.

 

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]