.: Catatan Kegiatan Aktiviti Bagi Tahun 2010 |  Bagi Bulan : :.       

22 Jun 2010
PUSAT BAHAGIA BRUNEI MUARA TERIMA KUNJUNGAN DELEGASI THAILAND

Rombongan dari 'National Office For Empowerment Of Persons With Disabilities (NEP), Thailand
ketika mengadakan lawatan ke Pusat Bahagia

Pusat Bahagia, Brunei Muara pagi tadi menerima kujungan lawatan kerja dari tujuh orang pegawai dari 'National Office For Empowerment Of Persons With Disabilities (NEP), Thailand.

Semasa lawatan ini rombongan telah dibawa melawat ke bilik-bilik darjah pembelajaran sambil beramah mesra dengan para murid dan pelatih. Sepanjang lawatan ini rombongan diiringi oleh Penolong Pengarah JAPEM, Awang Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud disamping mendengar taklimat fungsi dan peranan Pusat berkenaan.

Objektif pusat ini ditubuhkan bagi melaksanakan program bimbingan dan asas laihan kemahiran bagi orang-orang berkeperluan khas agar mereka dapat menyumbang kepada masyarakat dan negara. Di pusat ini juga terdapat pelbagai program serta latihan diajarkan kepada mereka yang berkeperluan khas antaranya seperti asas menulis, membaca, mengira, bantu diri, komputer, braille, kraftangan dan bahasa isyarat.

 
21 Jun 2010
JAPEM TERIMA LAWATAN DELEGASI THAILAND

Rombongan dari 'National Office For Empowerment Of Persons With Disabilities (NEP), Thailand ketika mengadakan
kunjungan muhibbah ke Pemangku Pengarah JAPEM

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan petang tadi menerima kujungan lawatan kerja selama tiga hari dari tujuh orang pegawai dari 'National Office For Empowerment Of Persons With Disabilities (NEP), Thailand.

Rombangan yang diketuai oleh Puan Kingkaew Iugwang ke JAPEM dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah serta beberapa orang pegawai kanan JAPEM.

Semasa lawatan para delegasi dari Thailand antara lain mendengar taklimat mengenai struktur, peranan dan fungsi Pusat Bahagia, JAPEM disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Irnawati binti Haji Mahir.

Tujuan lawatan para delegasi adalah untuk melihat dengan lebih dekat lagi serta mempelajari dan menimba pengalaman dan pengetahuan mengenai pentadbiran kebajikan dan sosial di negara ini khususnya dalam bidang penjagaan warga berkeperluan khas.

Delegasi juga dijangka akan membuat ke Pusat Bahagia Brunei Muara dan beberapa buah institusi orang berkeperluan khas.

Delegasi dari Thailand terdiri dari Puan Wilaiform Kotbungkair, Puan Kanitta Kamolwat, Puan Jintana Chanbamrung, Puan Vijita Rachatanantikul, Puan Ubantip Potchoo dan Puan Phatcharamont Phantong.

 
19 Jun 2010
PROGRAM 'KELUARGAKU PERMATAKU' KE MUKIM KUALA BELAIT

Sesi Kongsi Maklumat JAPEM kepada para peserta Program Keluargaku Permataku bagi Mukim Kuala Belait

Sebagai salah satu inisiatif yang berterusan kearah meningkatkan lagi kefahaman orang ramai khususnya di peringkat akar umbi mengenai perlunya institusi keluarga diperkukuhkan bagi menghindarkan berlakunya masalah-masalah keluarga atau gejala-gejala sosial yang lain, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait telah mengadakan Program Keluargaku Permataku bertempat di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Rancangan Perumahan Negara, Kampong Pandan, Daerah Belait.

Menurut Penolong Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah selaku Pengerusi Bersama majlis di dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa dengan tema Kesejahteraan Keluarga Tanggungjawab Bersama program ini antara lain dihasratkan untuk menambah dan meningkatkan lagi kesedaran setiap individu mengenai peranan dan tanggungjawab yang perlu dimaikan bagi mewujudkan kesejahteraan keluarga masing-masing. Dengan tersemainya sifat sebegini Insyallah akan dapat menghindarkan berlakunya gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan keluarga sekaligus masyarakat dan negara.

Program pada pagi tadi telah diisikan dengan sesi perkongsian maklumat daripada JAPEM mengenai isu-isu kekeluargaan dan gejala sosial yang berlaku di kalangan masyarakat Negara ini. Selain daripada itu, diadakan juga sesi interaksi bersama penduduk maukim untuk bertukar-tukar pandangan terutama mengenai isu-isu kekeluargaan dan langkah-langkah yang bersesuaian bagi menangani isu tersebut. Mudah-mudahan dengan pengisian sesi-sesi tersebut ianya akan dapat memupuk semangat kecintaan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat secara umumnya.

 
11 Jun 2010
HAJAH INTAN MENERIMA BANTUAN BAIK PULIH RUMAH

Pemangku Menteri KKBS, Pemerintah ABDB dan Pengarah Urusan YSHHB menyampaikan Sijil Penyerahan Baik Pulih
Kepada Dayang Hajah Intan binti Haji Kula

Sebagai salah satu usaha pihak kerajaan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dalam memeduli golongan yang memerlukan terutama sekali mereka yang memerlukan tempat kediaman yang lebih selesa, maka satu projek bagi membaik pulih rumah kediaman Dayang Hajah Intan binti Haji Kula telah sempurna dilaksanakan.

Bantuan tenaga dan kepakaran bagi projek ini telah diungkayahkan oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-49 tahun.

Manakala bantuan kewangan telah disumbangkan oleh pihak kerajaan melalui JAPEM berjumlah $5,000.00 dan dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) berjumlah $3,710.00. Kos keseluruhan projek membaik pulih ini berjumlah $8,710.00.

Majlis penyerahan tersebut diadakan pada petang tadi bertempat di kediaman Dayang Hajah Intan bin Haji Kula, Kampong Sungai Akar. Hadir selaku Tetamu-tetamu Kehormat Majlis ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Datin Hajah Adina binti Othman; Pemerintah ABDB, Yang Mulia Mejar Jeneral Haji Aminudin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Siaful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pengarah Urusan YSHHB, Yang Mulia Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud.

Turut hadir Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah, Pemangku Penghulu Mukim Berakas 'B', Pengiran Ali bin Pengiran Maon, Pegawai-Pegawai Kanan ABDB, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Pegawai-Pegawai Kanan YSHHB, Ketua-ketua Kampong di Mukim Berakas 'B' dan penduduk kampong.

Di majlis ini JAPEM juga turut menyumbangkan bantuan makanan asas kepada Dayang Hajah Intan yang disampaikan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
9 Jun 2010
KERAJAAN PRIHATIN KESUSAHAN RAKYAT

Sumbangan bantuan kewangan daripada JAPEM kepada salah seorang mangsa kebakaran yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memang prihatin terhadap mereka yang telah ditimpa musibah.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghulurkan sumbangan kewangan berjumlah $1,400.00 kepada 02 buah ketua keluarga yang ditimpa musibah baru-baru ini.

Selain itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) juga menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa berkenaan.

Sumbangan derma berkenaan bagi membantu meringankan kesusahan bagi Awang Abu Bakar @ Ayub bin Haji Abdul Wahab dan Awang Mohd Elmi bin Abdul Razak yang mana tempat kediaman mereka di Blok D5, Flat Polis Kawalan Diraja, Kampong Beribi ditimpa kebakaran pada 1 Jun 2010.

Pemangku Pengarah JAPEM, Awang Mohd Husaini Abdullah menghulurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa kebakaran. Sementara itu, Pengarah Urusan YSHHB, Dato Paduka Awang Haji Ali Hashim bin Haji Daud menyempurnakan derma bagi pihak YSHHB.

Sebelum ini JAPEM juga telah menyumbangkan bantuan berupa catuan makanan untuk tempoh seminggu dan selimut kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

 
2 Jun 2010
4 WARGA JAPEM TERIMA ANUGERAH PEKERJA CEMERLANG

Penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dari Jabatan Pembangunan Masyarakat

Seramai 4 orang pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) adalah diantara penerima ‘Anugerah Pekerja Cemerlang’ bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi tahun 2010.

Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Dayang Hajah Siti Ayanh binti Haji Md Yaakub, Awang Roslan bin Haji Ali, Dayang Fauziah binti Haji Timbang dan Dayang Nisbah binti Haji Abd Latif oleh
Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, 
Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi tahun 2010.

Majlis ber
langsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 
2 Jun 2010
KUMPULAN LAGENDA NAIB JUARA KKC PERINGKAT KKBS

Kumpulan LAGENDA ketika membentangkan tajuk projek Kesulitan Membuat Ketetapan Yang Sewajarnya Ke Atas Penerima Pencen Umur Tua (PUT) Yang Didapati Tidak Bermastautin Di Negara Brunei Darussalam di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya

Kumpulan LAGENDA dari  Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan tajuk projek Kesulitan Membuat Ketetapan Yang Sewajarnya Ke Atas Penerima Pencen Umur Tua (PUT) Yang Didapati Tidak Bermastautin Di Negara Brunei Darussalam diumumkan sebagai naib juara Pertandingan Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi tahun 2010.

Kumpulan Lagenda ditubuhkan pada 10 Ogos 2009 dengan keramaian ahli sebanyak 6 orang sahaja. Kumpulan ini adalah dari Bahagian Perkhidmatan Pencen-Pencen, JAPEM yang mana mengendalikan urusan perkhidmatan Pencen Umur Tua (PUT), Pencen Orang Buta (OB), Elaun Pesakit Mental (OG) dan Pencen Tidak Upaya (OKU) mengikut peraturan Akta Pencen Umur Tua dan Tidak Upaya 1954.

Kumpulan memilih tajuk projek kesulitan membuat ketetapa yang sewajarnya ke atas Penerima Pencen Umur Tua (PUT) yang didapati tidak bermastautin di Negara Brunei Darussalam  kerana isu tersebut adalah isu yang sensitif. Ianya melibatkan kepentingan hak rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

Sebanyak 6 pasukan telah menyertai konvensyen pada hari ini yang telah dilangsungkan di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). Tempat Pertama dan ketiga masing-masing dimenangi pasukan KKC dari Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu AKTIAA dan EFEKTIF.

Kumpulan IMPROVER dari Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang bertanding di Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 tahun 2009 yang  telah meraih Anugerah Perak juga menerima Penghargaan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap KKBS, Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,  Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar. Selaku naib juara kumpulan ini akan mewakili KKBS ke Konvensyen Kumpulan Kerja Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan kemudian.

[ KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN ]  [ JABATAN PUSAT SEJARAH ]  [ JABATAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ]
[ JABATAN MUZIUM-MUZIUM ]  [ JABATAN BELIA DAN SUKAN ] [ PUSAT PEMBANGUNAN BELIA ]